Wednesday, October 10, 2007

Tsunami: keimanan dan misteri

Oleh Dr. Ismail Ibrahim

BENCANA ombak raksasa, tsunami, yang melanda beberapa buah negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan pada 26 Disember 2004 yang lalu, telah mengubah permukaan laut dan pantai yang terlibat. Ia juga mengubah persepsi sesetengah manusia tentang kekuasaan Tuhan seterusnya mengubah suasana kehidupan umum yang menyelubungi negara-negara yang dilanda bencana tersebut. Begitu juga kuasa manusia yang dikenakan di dalam negara tertentu juga terpaksa dirombak, seperti yang berlaku ke atas tetangga kita, Aceh.

Kalaulah tidak kerana peristiwa tsunami, tidak ada orang asing yang dapat berkunjung ke Aceh sehingga sekarang. Beberapa tahun sebelum berlakunya bencana tersebut, pemerintah Indonesia telah bertindak mengharamkan kedatangan orang asing ke Aceh di bawah perintah daruratnya, kecuali jika mendapat kebenaran pemerintah.

Setelah berlaku bencana tsunami, larangan itu dimansuhkan, orang asing dibenarkan ke Aceh dengan matlamat utama untuk menghantar sukarelawan dan segala jenis bantuan kepada mangsa tsunami yang berjumlah ratusan ribu orang. Mulai saat itulah pintu negara Aceh yang selama tempoh tersebut tertutup rapat, dibuka semula kepada dunia luar.

Mengambil kesempatan itulah juga saya menyertai satu misi ke Aceh pada 4 Februari lalu dan berada di sana selama empat hari. Misi kami anjuran Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dengan kerjasama ABIM Outreach bertujuan mengambil alih sebuah sekolah pesantren di Banda Aceh dari segi kelengkapan, makan minum, kesihatan dan tempat perlindungan kira-kira 120 orang anak yatim mangsa tsunami bagi ditempatkan di bangunan tersebut.

Bangunan yang serba daif itu, perlu diperbaiki, bilik mandi dan tandasnya perlu ditambah, atapnya yang bocor perlu diganti, pagarnya perlu ditegakkan supaya laman bangunan tersebut tidak lagi menjadi tempat lembu berteduh dan berkeliaran, lalu mengotorkan tempat lapang di sekeliling bangunan.

Selain mengambil alih bangunan tersebut, kami mendapatkan juga tiga buah rumah sewa di Sigli, satu tempat di luar Banda Aceh yang memakan masa kira-kira tiga jam perjalanan dengan kereta melalui jalan yang berliku-liku dan berbukit. Rumah itu juga perlu dilengkapkan dengan katil besi dua tingkat, tilam bantal, dan di pekarangannya dibina semula kemudahan mandi-manda, wuduk dan tandas yang teratur.

Sigli merupakan satu daerah kecil yang juga dilanda tsunami, tetapi akibatnya tidaklah sehebat Banda Aceh. Memang di sana sini kelihatan runtuhan bangunan, pokok yang tumbang dan rumah-rumah yang ranap meninggalkan tanah lapang yang dipenuhi sampah sarap besar dan kecil, tetapi pemandangannya tidaklah seperti di Banda Aceh.

Menurut penduduk tempatan yang sempat kami temui dan pemerhatian kami sendiri, Banda Aceh dengan segala keruntuhannya yang amat dahsyat, yang melonggokkan segala sampah sarap, kayu, simen, besi dan segala jenis perabot serta kenderaan yang musnah, atau kapal kecil dan sederhana yang dihanyutkan ke darat oleh tsunami kira-kira lima kilometer dari laut, kelihatan tidak banyak yang dibersihkan. Sampah sarap dalam bentuk runtuhan bangunan, pokok yang tumbang, atau bangunan yang mendap ke bawah sebanyak dua tingkat ditelan bumi seperti yang berlaku kepada sebuah hotel di tengah Banda Aceh, belum diusahakan untuk dipulihkan. Mengikut kata penduduk Aceh, di bawah runtuhan itu, tentulah masih terdapat mayat yang reput dan hancur, kerana masa yang telah berlalu sejak kejadian tsunami itu telah melebihi 40 hari.

Kami beruntung juga, kerana walaupun bencana tsunami itu telah berlalu begitu lama, kami masih dapat menyaksikan segala kesan yang menyayat hati itu tetap tidak banyak berubah. Tidak kelihatan jentera berat yang bekerja untuk membersihkan kesan runtuhan itu, seperti yang dilakukan di Phuket umpamanya, kecuali hanya beberapa buah sahaja, sedangkan keruntuhan yang menjadikan Banda Aceh seperti padang jarak padang tekukur itu, meliputi kawasan ratusan atau ribuan ekar di sekeliling bandar tersebut. Jika kita berdiri di satu sudut yang dilanda bencana ini, maka di sekelilingnya kelihatan tanah lapang yang dipenuhi kesan runtuhan, sayup mata memandang.

Seorang penduduk Aceh memberitahu kami, bahawa beberapa orang jemaah haji dari Banda Aceh menelefon keluarganya yang selamat bertanyakan keadaan kampungnya di Banda Aceh. Keluarga ini memberitahunya, bahawa sekiranya jemaah tersebut kini berada di Padang Arafah, maka itulah pandangan Banda Aceh selepas ditimpa bala bencana tersebut. Bezanya, kalau di Arafah kelihatan juga pohon-pohon yang menghijau dan tanah lapang yang dipenuhi khemah haji, tetapi di Aceh tanahnya berlumpur hitam, pohon-pohon yang tinggal telah kering dan mati, runtuhan bangunan terlonggok tinggi, dan di sana sini kelihatan bangunan rumah Allah, iaitu masjid, yang tegak berdiri, tidak mengalami kerosakan seperti bangunan lain yang menyembah bumi.

Musnah

Demikianlah pemandangan ngeri yang dapat disaksikan oleh orang yang berkesempatan melihat kesan keruntuhan pascatsunami yang amat hebat itu. Tetapi di celah-celah kisah keruntuhan dan kemusnahan jiwa dan harta manusia, penduduk Aceh yang dilanda bencana ombak besar itu, terdapat pula kisah-kisah misteri yang diceritakan kepada kami. Cerita-cerita misteri itu kami dengar, dan kami mengiakan sahaja, kerana kebenarannya hanyalah diketahui Allah.

Beberapa orang yang terselamat daripada bencana itu menceritakan fenomena tsunami sebagai satu kejadian Allah yang luar biasa. Menurut mereka gelombang besar yang menerpa segala sesuatu yang berada di dalam perjalanannya, adalah merupakan satu lembaga berbentuk kepala beberapa ekor ular tedung raksasa yang bertindak menangkap dan menelan mangsanya dengan pantas. Sesetengah orang menceritakan pula, bahawa ombak besar yang naik ke daratan dan memakan korbannya, kemudian surut meresap ke dalam bumi, tanpa surut kembali ke laut.

Malahan cerita yang lebih menarik lagi ialah tentang beberapa kisah misteri yang menyelubungi masyarakat umum setelah bencana tsunami itu berakhir, seperti kisah yang mengaitkan bencana ini dengan bala bencana Allah kepada manusia yang ingkar dan jahat, dan bagaimana pula kekeramatan sesetengah orang yang telah meninggal itu, telah membuktikan kedudukan roh yang ``keramat'' itu.

Satu hari kami dibawa mengunjungi makam seorang ulama, yang bernama Syiah Kuala, mufti besar kerajaan Aceh sekitar abad ke-16. Kompleks makam ini terletak di satu tempat yang bernama Deah Raya. Bencana tsunami yang menelan korban ratusan ribu jiwa itu kononnya bermula di pantai dekat makam ini, iaitu di muara Sungai Krueng Aceh. Pada malam menjelangnya kejadian tsunami, telah berlangsung satu pesta di kawasan makam ini, dengan segala maksiat seperti arak dan sebagainya.

Kononnya di tengah-tengah pesta yang hingar-bingar dengan alunan organ dan suara manusia, serta minuman keras itu, tiba-tiba muncul seorang yang berjubah putih, yang mengingatkan orang-orang yang sedang berpesta itu supaya tidak meneruskan pesta tersebut, kerana tempat ini adalah tempat suci, tempat makam orang alim yang keramat. Bagaimanapun orang tua berjubah itu telah diusir dengan keras, dan terdapat orang yang mengacu senjatanya ketika menghambat orang tersebut.

Maka mengikut cerita tersebut, pada esoknya itulah bala bencana ombak raksasa sebesar gunung itu melanda Banda Aceh, dimulai dari kawasan ini, dan mengorbankan begitu banyak nyawa dan harta benda, mengatasi korban nyawa manusia di beberapa buah negara lain yang senasib dengannya.

Dalam lawatan itu, memang telah kami saksikan bahawa makam itu tidak banyak yang musnah, meskipun kedudukannya hanya kira-kira 100 meter dari pantai, sedangkan bangunan lain ranap ke bumi. Malah terdapat pula orang yang mengatakan bahawa ketika tsunami berlaku, makam itu turut terapung ke atas air yang begitu tinggi, kemudian turun semula setelah air surut.

Kami memang dapat saksikan bahawa makam ini sahaja yang kelihatan selamat, sedangkan makam-makam lain yang ditempatkan di kawasan seluas 1.6 hektar ini berselerak dengan cebisan batu dan kayu, sehingga kelihatannya amat tidak sempurna. Satu-satunya yang berdiri teguh di sisi makam tersebut ialah anak tangganya yang kelihatan masih kukuh, sedangkan pohon-pohon yang sering menjadi tempat berteduh para pengunjung juga semuanya ranap ke bumi.

Teuku Syiah Kuala adalah gelaran kepada Syeikh Abdul Rauf bin Ali Al-Jawi Al-Singkili. Setelah mendalami ilmu agama di tanah air sendiri, beliau melanjutkan pelajarannya ke Asia Barat pada tahun 1642. Kemampuan ilmu pengetahuannya mendapat pengiktirafan Ratu Safiatuddin (1641-1975) yang melantiknya sebagai mufti besar menggantikan Nuruddin Al-Raniry.

Amat kebetulan pula, selama tinggal di Aceh kami menyewa rumah seorang pensyarah ekonomi sebuah universiti Aceh yang mengambil nama syeikh ini, iaitu Universiti Syiah Kuala, yang didirikan pada tahun 1961.

Ceritanya amat menyedihkan, iaitu universitinya kehilangan kira-kira 80 orang pensyarah, dan 3,000 pelajar, sebagai mangsa tsunami. Ceritanya ini bukanlah cerita misteri, kerana hal ini memang berlaku kepada pensyarah dan pelajar universitinya. Cuma kisah makam Syiah Kuala di atas itulah yang kekal menjadi kisah misteri, dan berpindah dari mulut ke mulut di dalam masyarakat Aceh ini.

Namun apa pun ceritanya, saya rasa tidak banyak yang harus kita akui tentang cerita tersebut. Kuasa Allah boleh berlaku tanpa kita mengetahui sebab dan hikmahnya, tetapi bagi orang awam, seperti yang terbukti dari sejarah lama, mereka tentulah amat gemar membawa cerita misteri ini. Mungkin apa yang diceritakan itu adalah benar, seperti kebenaran yang dapat disaksikan di Banda Aceh, ketika kita melihat begitu banyak bangunan masjid yang masih tegak, tidak menjadi mangsa tsunami yang ganas. Yang pentingnya, kita haruslah mempunyai keyakinan dan keimanan kepada Allah, dan keimanan itu bukanlah kerana cerita misteri atau pelik, yang ada ketikanya mengandungi unsur tahyul dan khurafat, tetapi keimanan ini adalah keluar dari hati kita yang ikhlas dan suci kepada maha Pencipta dan maha berkuasa, dan timbul dari ilmu pengetahuan yang mendalam tentang kekuasaan dan keagungan Allah.

No comments: