Wednesday, October 10, 2007

Mendalami bidang tugas mereka serta agama dengan baik -- Ulama dan ahli profesional

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM


DALAM kehidupan ini kita sering bercita-cita untuk menjadi manusia yang ideal, yang unggul dan sempurna segala-galanya. Kita ingin menjadi manusia yang tidak punya sebarang cacat cela, malah semuanya baik. Tetapi sebenarnya tidak ada manusia yang akan sampai ke tahap itu sepenuhnya. Yang sempurna, yang lengkap segala-galanya hanya Allah subhanahu wataala. Selagi manusia bernama manusia, maka selama itulah akan terdapat kekurangan dan kelemahan pada dirinya.

Demikianlah halnya ketika kita ingin menjadi manusia Muslim yang sempurna, maka kita akan dapat berbicara tentang manusia Muslim yang ideal dan manusia Muslim yang baik dalam keseluruhan kehidupannya. Konsep Muslim ideal ini akhirnya akan menjadi sesuatu yang amat subjektif dan nisbi, iaitu bergantung kepada orang yang memberi takrif Muslim yang ideal itu.

Baru-baru ini timbul perbincangan tentang ahli profesional Islam yang hendak kita lahirkan di tanah air kita. Konsepnya memanglah amat baik, iaitu ahli profesional Islam itu hendaklah seorang yang komited kepada ajaran agama, memahami selok-belok agama dan yang menghafal kitab suci al-Quran.

Konsep ini amat baik dan kita akan menjadi umat yang amat berbahagia sekiranya kita dapat melahirkan ahli profesional kita yang dapat memenuhi syarat yang diletakkan itu. Mereka akan mendalami bidang mereka dengan baik, mendalami bidang agama, mengetahui segala hukum hakam agama, menghafal dan memahami al-Quran dengan sepenuhnya. Tetapi dalam konteks sekarang maka ahli profesional Islam yang hendak kita lahirkan dengan segala syarat dan kriteria itu adalah merupakan satu harapan yang amat ideal, yang sekiranya dilihat kepada realiti masyarakat dan manusia pada hari ini, maka kita mungkin hanya akan dapat melahirkan manusia yang begitu dalam kadar yang amat kecil dan mungkin hanya boleh dibilang dengan jari.

Ahli profesional Islam sekarang ini ialah manusia yang menceburi dalam kepelbagaian bidang ilmu dan profesion. Mereka ialah ahli korporat, sains dan teknologi, perubatan dan kejuruteraan, kehakiman dan undang-undang, tenaga dan petroleum, angkasawan dan ilmu cakerawala, dan bidang-bidang yang lain, dan dalam bidang yang besar itu pula, mereka berpecah kepada berbagai-bagai bidang yang lebih khusus. Ahli perubatan umpamanya mengkhusus di dalam bidang yang tertentu mengikut penyakit yang dihidapi manusia, dan mengenai berbagai-bagai organ yang ada di dalam tubuh manusia, malah terlibat juga di dalam penggunaan dan penganalisisan mesin-mesin perubatan yang berbagai-bagai, seperti x-ray, ultra sound, CT scan, MRI dan lain-lain. Teknologi baru sering menuntut mereka mengikuti perkembangan terbaru untuk mengenali dan merawat penyakit yang lama dan baru di dalam dunia ini dan mempelajari kaedah merawatnya yang melibatkan ilmu baru dan kepakaran baru. Semuanya ini memerlukan masa dan tenaga yang banyak, usaha dan kerja yang tidak putus-putus sekiranya seorang ahli perubatan itu ingin menjadi seorang pakar yang cekap dan mahir. Hal yang sama dapat dibicarakan tentang ahli profesional yang lain, iaitu yang memerlukan mereka menumpukan sepenuh masa kepada memperbaharui ilmu dan kemahiran mereka mengikut perkembangan penyelidikan dan penemuan yang baru dalam ilmu pengetahuan manusia pada masa kini.

Keseluruhan bidang umum dan khusus ini memerlukan masa pembelajaran dan kajian serta amalan yang amat berat dan lama. Perhatian mereka bukan hanya untuk mempelajari apa yang ada di dalam buku, malah dalam hal ini pun mereka akan terpaksa memerah otak dengan amat perit sekali, tetapi di samping itu mereka perlu menjalankan kajian dan penyelidikan, mencari penemuan-penemuan yang baru, bertukar-tukar kepakaran dan ilmu, berbincang dan melakukan berbagai-bagai eksperimen yang berat dan memakan masa dan tenaga yang banyak.

Atas dasar inilah kita melihat bahawa ilmu itu sentiasa berkembang dan membangun. Ahli-ahli profesional Barat sering mengemukakan penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru di dalam berbagai-bagai bidang ilmu ciptaan mereka sekarang ini. Maka ahli profesional kita juga perlu mempelajarinya dan menggunakannya di dalam masyarakat kita sendiri sekiranya kita benar-benar mahu melahirkan ahli profesional kita yang bertaraf dunia dan terkini.

Ilmu baru

Maka dalam usaha menjadikan mereka ulama dalam erti kata menjadikan mereka sebagai ahli agama yang mengetahui segala-segalanya tentang agama, malah menjadikan mereka para hafiz yang dapat menghafal tiga puluh juzuk al-Quran, dan mungkin juga kita mahu mereka memahami isi kandungan al-Quran tiga puluh juzuk itu, adalah merupakan satu cita-cita yang amat ideal dan amat sukar untuk direalisasikan di dalam dunia yang serba mencabar pada hari ini.

Saya tidak mempunyai sebarang prasangka terhadap cita-cita menjadikan ahli profesional kita sebagai ulama agama, malah saya tetap bersama-sama mengharapkan agar usaha ini dapat kita laksanakan, kerana inilah satu matlamat yang amat baik dalam mengintegrasikan segala ilmu dunia dan akhirat yang dikurniakan Allah kepada kita.

Hanya dalam usaha kita mengulamakan ahli profesional kita itu, kita tidaklah seharusnya mengharapkan suatu mukjizat akan berlaku, dan sesuatu yang luar biasa dapat kita ciptakan. Kita tidak hanya dapat berslogan dan bermain dengan kata-kata retorika untuk menggambarkan cita-cita dan idealisme kita yang amat tinggi itu.

Kita seharusnya menjadi lebih praktikal dalam merealisasikan idea ini, dan mengatur strategi bagi mencapai matlamat kita agar para ahli profesional kita menghayati nilai dan ajaran Islam di dalam bidang masing-masing, dan dalam masa yang sama lahir sebagai manusia Muslim yang dapat menghayati nilai akhlak kerohanian Islam yang menjadi dasar kehidupan seorang manusia. Mereka seharusnya cemerlang dan terkemuka sebagai ahli profesional di dalam bidang mereka, dan dalam masa yang sama cemerlang dalam keperibadian mereka sebagai seorang insan Muslim yang beriman, bertakwa, ihsan dan mempunyai ilmu dasar Islam yang mencukupi.

Para ahli pendidikan Islam seluruh dunia sebenarnya pernah membicarakan isu integrasi ilmu dunia dan akhirat ini dalam persidangan yang dimulai pada tahun 1977 dan disusuli dengan beberapa persidangan dan bengkel lain selepas itu. Mereka telah meletakkan falsafah dan dasar yang amat komprehensif tentang strategi menyepadukan ilmu dan kepakaran orang Islam dalam satu acuan yang konkrit, agar para ilmuwan Islam dalam segala bidang akan dapat memahami falsafah pendidikan dan ilmu Islam dan lahir sebagai seorang Islam yang berakhlak dan berkeperibadian Muslim yang beriman dan bertakwa dan seterusnya membangunkan ilmu dan umat Islam sebagai satu umat yang kuat, maju, bertamadun dan dapat menguasai segala bidang ilmu dalam dunia moden ini.

Kurikulum dan rangka pendidikan inilah yang telah mereka cadangkan dan lahirkan melalui berbagai-bagai pertemuan dan seminar serta bengkel yang diadakan secara berterusan dalam tahun 1970-an itu. Dan hasil dari strategi itulah lahirnya idea menubuhkan institusi pendidikan tinggi Islam yang berperanan menggabungkan di antara ilmu wahyu dan ilmu akli manusia di dalam satu bentuk pendidikan yang integrasi dan sepadu. Hal inilah yang dilaksanakan oleh kerajaan kita ketika menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Oleh itu saya rasa dalam usaha mengulamakan para ahli profesional kita, maka model yang sedia ada dalam bidang pendidikan kita di negara ini seharusnya diteliti dan diberi nafas baru sekiranya perlu untuk dipertingkatkan pelaksanaannya agar kita benar-benar akan dapat mencapai matlamat dan konsep serta falsafah pendidikan Islam ke arah melahirkan generasi baru Islam yang cemerlang untuk dunia dan akhirat.

Para cendekiawan Islam yang merangka falsafah dan pendidikan Islam secara bersepadu itu memang telah menekankan tentang pengajian al-Quran dan sunah, tetapi penekanan mereka ialah untuk memahami dasar dan teras agama tauhid yang amat penting untuk membentuk ilmu dan jiwa generasi baru Islam, dan memahami falsafah hukum dan akidah serta syariah Islam untuk dihayati sebagai individu dan anggota masyarakat Islam. Maka dalam hal ini tidak timbul isu menghafal atau tidak menghafal al-Quran, kerana yang pentingnya ialah ilmu dasar al-Quran itu dapat difahami dengan sebaik-baiknya, terutamanya yang mempunyai kaitan dengan bidang kepakaran ahli profesional kita. Keimanan dan ketakwaannya, serta keperibadian dan akhlaknya.

Namun sekali lagi dapat saya tegaskan di sini bahawa sekiranya kita dapat mencipta dan melahirkan generasi baru yang semuanya dapat menghafal dan memahami keseluruhan isi kandungan al-Quran, maka hal itulah yang menjadi cita-cita kita yang paling utama dan unggul. Dan sekiranya kita mempunyai strategi ini maka kita perlulah mengkaji dan merangka dasar dan kurikulum pendidikan kita yang lain bagi mencapai cita-cita itu. Persoalannya apakah kita benar-benar akan mencapai kejayaan yang diharap-harapkan? Apakah kita akan dapat membentuk seorang manusia menjadi ahli serba boleh dalam hidupnya yang penuh mencabar, terutamanya memandangkan kepada perkembangan ilmu pengetahuan yang amat pesat pada hari ini?

Bagi saya, satu program mengulamakan ulama kita sekarang ini mungkin dapat difikirkan dengan secara serius. Menjadi ulama agama yang unggul dan mahir dengan gelaran seorang ulama pakar agama bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan. Ulama besar agama bukan hanya setakat mengetahui perkara-perkara dasar agama, dengan penguasaan sedikit sebanyak bahasa Arab dan cabang ilmu Islam maka ia terus dapat dianggap sebagai ulama besar Islam.

Zaman ini menuntut kepakaran dan penguasaan ilmu yang mendalam dalam semua bidang termasuk bidang agama. Bidang agama amatlah luas. Apakah kita dapat menemui seorang ulama yang benar-benar menguasai semua ilmu agama dengan mendalam dan cekap? Dalam bidang pengajian al-Quran dan hadis umpamanya, berapa ramaikah ulama kita yang benar-benar menguasai ilmu al-Quran dan hadis secara terperinci, yang dapat menguasai ilmu tafsir dengan baik, memahami semua kandungan kitab-kitab tafsir dan ilmu hadis yang terkemuka, apa lagi yang dapat mentafsir al-Quran berdasarkan kepelbagaian ilmu baru yang timbul di dalam masyarakat manusia dari masa ke masa.

Oleh itu kita seharusnya juga menganggap bahawa bidang pendidikan agama dan pembelajarannya adalah sama dengan bidang profesionalisme yang lain, iaitu yang memerlukan kajian dan penyelidikan, yang ilmu dan bidangnya perlu sentiasa diperbaharui dan ditingkatkan dalam dunia yang berubah-ubah ini untuk menegakkan kebenaran agama, bukan untuk mengharamkan yang halal, atau menghalalkan yang haram.

Maka dalam hal ini marilah kita menghadapi realiti hidup yang berada di hadapan kita pada masa ini daripada berangan-angan akan sesuatu yang tidak dapat kita capai dalam kenyataannya. Hadapilah alam dunia dan akhirat dengan penuh waspada dan bijaksana.

No comments: