Wednesday, October 10, 2007

Kekeliruan dalam memahami Islam

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM
Kesalahfahaman tentang Islam amat memuncak sekali pada hari ini. Kekeliruan untuk memahami Islam itu bukan hanya berlaku di kalangan orang bukan Islam seperti yang biasanya digambarkan umum, tetapi kesalahfahaman daripada orang Islam sendiri amat ketara.

Orang Islam yang keliru tentang kefahaman Islam ini bukanlah merupakan perkara baru kerana Islam telah disalahertikan semenjak kedatangan Islam ke rantau kita berabad-abad yang lalu.

Islam hanya dilihat dari sudut ritual dan ibadat khusus, yang melibatkan diri individu dengan Allah sedangkan bidang kehidupan lain yang merangkumi pendidikan, pembangunan ilmu, teknologi, perindustrian, ekonomi dan sebagainya dilihat sebagai sesuatu yang tidak berkaitan dengan agama, maka semua itu hanyalah merupakan hal-hal keduniaan semata-mata.

Kefahaman begini sebenarnya tidaklah menghairankan sekiranya dianuti oleh generasi lama orang Islam yang mula-mula menerima Islam, tetapi sekiranya hal ini masih dialami oleh generasi sekarang, seperti yang dapat saya lihat dalam seminar dan persidangan yang pernah saya hadiri selama ini, maka ia merupakan sesuatu yang amat aneh.

Apakah selepas ribuan tahun kehadiran Islam kepada manusia ini, kita masih tidak dapat memahami Islam dengan selengkapnya, sedangkan orang yang mengalami kesalahfahaman itu jugalah yang sering membuka mulut bersuara di sana sini dengan mengatakan bahawa Islam itu adalah satu agama yang ``syumul'', agama yang ``lengkap'' dan satu ``sistem hidup yang menyeluruh''?

Ketika membicarakan hal ini dalam satu majlis pemikiran Islam yang diadakan di Terengganu pada 23 Oktober lalu, saya masih dapat melihat kekeliruan ini melalui suara seorang peserta yang menyatakan bahawa segala apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam era pemerintahannya hanyalah merupakan ``perkara-perkara keduniaan'' semata-mata, iaitu terbatas dalam bidang ekonomi, industri dan sebagainya.

Saya mendapat kesan daripada pandangan ini bahawa segala pembangunan negara yang dibuat selama ini seolah-olah semuanya ``tidak kena-mengena dengan Islam'' kerana semua itu hanyalah merupakan pembangunan dunia. Oleh itu pihak yang menyuarakan pandangan tersebut mencadangkan supaya Majlis Fatwa membincangkan hal ini dan mengeluarkan fatwa bahawa Dr. Mahathir Mohamad bukanlah ``pemimpin Islam''!

Mengalami keadaan ini membuatkan saya berasa amat hampa dan dukacita, bukan kerana satu suara ganjil yang menyatakan hal ini, tetapi sebenarnya sepanjang pengalaman saya menghadiri banyak persidangan luar dan dalam negara, kefahaman ini masih bersarang di kepala orang Islam, yang kelihatan amat degil atau sengaja tidak mahu menerima hakikat Islam sebagai agama yang merangkumi segala urusan peraturan dan sistem hidup di dunia ini.

Mereka merasakan bahawa Islam hanyalah untuk sembahyang dan doa, di kala akad nikah dan mati, talak cerai dan mewarisi harta, atau selebih-lebihnya ketika mengucap salam dan bersembahyang. Urusan lain semuanya dianggap urusan dunia dan tidak disuruh oleh Allah.

Hal ini mengingatkan saya ketika Dr. Mahathir memanggil saya sewaktu kerajaan hendak melaksanakan penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam tahun 1991 dulu. Beliau bertegas menekankan tentang kata kunci bagi penamaan institut itu, iaitu kalimah ``kefahaman Islam''. Saya mencadangkan beberapa nama lain yang lebih bermakna, tetapi beliau tetap dengan pandangannya supaya institusi itu dinamakan dengan nama kefahaman Islam.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh orang Islam dan bukan Islam tentang agama Islam ialah kesalahfahaman mereka tentang konsep agama Islam itu sendiri. Orang bukan Islam melihat kepada realiti umat Islam yang mundur dan ketinggalan dalam segala bidang kehidupan dunia, maka mereka melabelkan Islam dan umatnya sebagai agama dan umat yang mundur dan jahil serta ketinggalan zaman. Orang Islam pula memahami agamanya sebagai agama ibadat semata-mata.

Oleh itu beliau menegaskan bahawa kewajipan institut tersebut ialah untuk menjalankan penyelidikan dan segala aktivitinya bagi memberi kefahaman menyeluruh tentang Islam sebagai agama yang lengkap dunia dan akhirat, dengan harapan apabila kefahaman ini dapat dimengerti dengan sebaik-baiknya oleh orang Islam, maka mereka akan merealisasikannya dan menjadikan kefahaman itu sebagai panduan untuk mereka meningkatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Saya diyakinkan oleh Dr. Mahathir bahawa masalah kesalahfahaman ini haruslah diatasi, sebab itulah kita perlu menginstitusikan sebuah badan yang berfungsi untuk mencapai matlamat ini.

Melihat dan mengalami hakikat kekeliruan dan persepsi kabur umat Islam tentang agamanya yang terus berlarutan sehingga sekarang, maka saya rasa bahawa memang betullah apa yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir bahawa Islam adalah satu agama yang amat disalahmengertikan oleh dunia umumnya seperti yang pernah beliau ucapkan di Universiti Oxford satu masa dulu.

Masalah ini sebenarnya menjadi semakin kompleks dan serius, kerana nampaknya persepsi tentang agama ini sering diselewengkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan sendiri atau kumpulan yang diwakilinya. Dasar pelaksanaan Islam dalam bidang perniagaan, ekonomi, teknologi, pendidikan dan sebagainya yang dijalankan selama ini sehingga negara kita mencapai kemajuan yang pesat dalam melaksanakan ajaran dan nilai Islam dalam bidang tersebut sering diusahakan oleh pihak tersebut untuk menafikannya sebagai usaha dan urusan agama.

Apabila persepsi salah ini menjadi kepercayaan dan anutan orang ramai, maka dengan itu akan tercapailah objektif kumpulan ini untuk mengatakan bahawa negara ini tidak melaksanakan ajaran Islam, sebaliknya meminggirkan Islam.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selama sepuluh tahun penubuhannya berfungsi memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat di negara kita dan masyarakat antarabangsa. Ia sebenarnya telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan diakui bahawa program yang dijalankannya selama ini telah dapat memberikan kefahaman yang jelas tentang konsep dan hakikat agama Islam sebagai agama dunia akhirat, yang sesuai dengan proses perubahan dunia dalam era globalisasi dan modenisasi ini.

Agenda agama

Kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendidik masyarakat yang terdiri daripada pegawai kerajaan, tokoh korporat, ahli akademik, remaja, wanita dan sebagainya untuk mendapat ilmu yang cukup bagi melihat Islam dengan pandangan global dan terbuka.

Kita percaya bahawa dengan ilmu yang menyeluruh, orang Islam akan dapat melihat arah tujuan dan agenda agama dalam semua pembangunan umat dan manusia di alam maya ini. Tanpa ilmu, persepsi manusia akan kabur dan gelap, sama seperti kelirunya orang-orang jakun terhadap peralatan moden yang telah diciptakan dengan begitu banyak di dunia pada hari ini.

Orang Islam tidak akan dapat hidup seperti umat yang lain sekiranya mereka masih dibelenggu kejahilan, sehinggakan untuk memahami konsep agamanya yang selama ini dikenali sebagai addin itu pun mereka nampaknya masih keliru dan kabur, apalagi untuk melaksanakan agenda agama dalam bidang-bidang keduniaan yang lebih canggih dan mencabar pada hari ini.

Di samping itu kita tidaklah menafikan akan keperluan memahami ajaran dan prinsip asas tentang agama yang merangkumi soal ibadat khusus dan ritual, serta hubungan di antara manusia dengan Tuhan. Hal itu memanglah merupakan perkara asas dan teras yang semestinya difahami oleh setiap individu Islam. Hal itu menjadi syarat penting kehidupan umat Islam di atas muka bumi ini.

Tetapi yang menjadi masalah ialah ketika umat Islam akan berhenti sekadar itu sahaja dalam perjalanan kehidupan, mereka seolah-olah telah sampai ke penghujung jalan dalam amalan agama mereka.

Yang diperlukan ialah umat Islam perlu sampai ke destinasi itu, dan seterusnya akan meneruskan perjalanan sehingga ke satu destinasi yang lebih jauh, kerana sifat manusia Muslim seperti yang diajar oleh Rasulullah ialah berusaha mencari ilmu sepanjang hayat, iaitu menuntut ilmu mulai dari dalam buaian sehingga ke liang lahad.

Perjalanan yang diteruskan inilah yang bakal menemukan umat Islam dengan segala penciptaan baru, perubahan zaman dan keadaan yang dapat membuka ufuk pemikiran umat kepada dunia yang lebih luas.

Kepentingan inilah yang seharusnya dihubungkan oleh umat Islam ketika membicarakan masalah agama, iaitu satu tasawwur dan world-view yang sebenarnya tentang agama Islam. Tasawwurnya haruslah jelas dalam memperjuangkan kes umat Islam dan agamanya, terutama ketika kita menghadapi berbagai-bagai serangan daripada musuh kita pada hari ini.

Persoalan yang harus diselesaikan oleh setiap individu umat Islam sekarang ialah apakah kerja profesional, penubuhan institusi pendidikan, perekonomian, perdagangan, menyediakan kemudahan kehidupan untuk rakyat, dan kerja-kerja lain lagi itu tidak ``islamik''?

Mengertikah kita tentang konsep amal soleh dan fardu kifayah yang ditekankan dalam agama kita itu?

Apakah kita akan terus-menerus ketinggalan zaman, ditekan dan dimusuhi, diserang dan dihina, semata-mata kerana kita tidak mahu menerima kenyataan dan hakikat sebenar tentang agama kita yang merupakan agama yang lengkap dan sempurna itu? Apakah juga kerana kepentingan politik partisan maka kita sanggup menolak kenyataan dan kefahaman agama kita, sedangkan kita memahami dan mengerti konsep Islam yang sebenarnya.

Kalau demikianlah keadaannya, maka umat Islam akan terus menjadi umat Pak Kadok yang menang sorak, tetapi kalah dalam perjuangan. Apakah kita mahu terus-menerus menjadi begitu?

No comments: