Wednesday, October 10, 2007

Bumi ini hanya dapat diwarisi oleh umat manusia yang soleh - Iraq dan harapan umat Islam

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SESUNGGUHNYA setiap detik dan ketika, umat Islam pada hari ini meratapi kehancuran yang sedang dilakukan oleh pihak penceroboh terhadap bumi para nabi, iaitu negara Iraq yang diserang dan dimusnahkan oleh penceroboh Amerika Syarikat (AS) dan penyokong kuatnya Britain. Nama-nama kota bersejarah dalam tamadun Islam dan perkembangan ilmu pengetahuannya seperti Basrah, Karbala, Najaf dan Baghdad menjadi sasaran bom dan peluru berpandu berkuasa tinggi dan canggih oleh musuh yang diibaratkan seperti talam dua muka dan gunting dalam lipatan.

Bumi para nabi bermandi darah bersama-sama penduduknya yang mewarisi bumi suci dan bersejarah itu. Di bumi ini sejarah menyaksikan kelahiran para sarjana dan ilmuwan Islam, berkembangnya tamadun manusia yang berpaksikan tauhid dan kesucian agama Islam. Kerajaan Abbasiah muncul dengan cemerlang sebagai pusat pembangunan ilmu dan sains, teknologi dan seni bina, yang memberi sumbangan besar terhadap kemajuan ilmu manusia seluruhnya.

Kini, bumi ini menyaksikan pencerobohan yang paling kejam dan zalim pada abad ke-21, dan alaf ketiga dunia, ketika dunia semuanya berbicara tentang keadilan hidup, kesaksamaan di antara manusia, hak asasi dan kedaulatan undang-undang. Kuasa besar yang membicarakan slogan-slogan yang besar itulah yang sebenarnya sedang melakukan kezaliman kepada manusia dan kerosakan kepada bumi ini.

Kita umat Islam hampir tidak sampai hati lagi menyaksikan liputan berita di TV, kerana berita-berita perang yang disiarkan amat menyayat hati dan menyedihkan. Mayat mangsa serangan yang tidak berdosa hancur dan busuk, kanak-kanak yang cedera meraung kesakitan dan kepedihan, ibu dan isteri meratapi kematian anak dan suami serta sanak saudara, dan berbagai-bagai pandangan ngeri lain yang memberi gambaran bahawa peperangan yang dilancarkan terhadap Iraq sebenarnya adalah peperangan untuk membunuh dan memusnahkan seberapa ramai penduduk Iraq tanpa berperikemanusiaan untuk mencapai tujuan jahat penceroboh bagi menakluki negara Iraq.

Didorong oleh tujuan jahat inilah AS dan sekutunya berusaha sedaya upaya untuk memusnahkan semua bangunan dan tempat kediaman, pasar dan pejabat serta prasarana lainnya sehingga rakyat akan kebuluran dan kehausan kerana terputusnya bekalan makanan dan minuman, bekalan air dan api. Umat Islam berasa amat terhina dan sedih, marah dan geram, dan dalam masa yang sama berasa amat hampa dengan kelemahan sendiri. Umat Islam seluruh dunia berdiri sebagai penonton yang kaku menyaksikan saudaranya di Iraq diperlakukan sebagai haiwan dan hamba.

Sahabat saya rakyat Iraq yang menetap di London menghantar mesej kepada saya dengan menyatakan bahawa rakyat Asia Barat keseluruhannya amat marah kepada kerajaan mereka yang membantu AS dan sekutunya mencerobohi bumi Iraq. Mereka mengagumi pendirian Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang bangun dengan suara yang lantang menentang kekejaman ini. Tetapi apakan daya, para pemerintah di Asia Barat sendiri tidak dapat bersatu hati untuk menyuarakan sebarang bantahan terhadap kekejaman yang sedang dilakukan oleh pihak penceroboh itu, apatah lagi mengambil tindakan yang realistik untuk menggagalkan pencerobohan itu.

Dalam konteks ini, umat Islam sendiri pada hari ini seharusnya dapatlah menganalisis tindakan mereka terhadap amanah yang diberikan Allah kepada mereka untuk mewarisi dan mentadbirkan bumi ini. Hal ini menjadi lebih penting dan utama kepada para pewaris bumi para nabi Allah, kerana selain dari Iraq, maka Palestin dan Baitulmaqdis, kiblat pertama umat Islam, juga mengalami tindakan kemusnahan dan gerakan kehancuran yang besar sejak sekian lama di tangan kaum Yahudi Zionis yang angkuh dan sombong itu.

Amerika dan Barat, disertai oleh gerakan Zionis dunia, sedang melakar dan melaksanakan agenda mereka untuk merobah peta dan kedudukan bumi para nabi itu, dan menimpakan bencana kepada umat Islam dengan kuasa penjajahan mereka, juga untuk menguasai kekayaan kurniaan Allah kepada bumi umat Islam yang kaya itu. Malah dalam keadaan ini, sekali lagi, kita umat Islam juga menjadi penonton yang dungu, malah sering ketawa mengilai di atas kebodohan sendiri.

Allah berfirman di dalam surah al-Anbia, ayat 105, maksudnya:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya di luh mahfuz ``bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.''

Mengikut para pentafsir, maksud bumi di sini ialah bumi syurga. Tetapi terdapat sesetengah ahli tafsir yang memahami bahawa bumi yang dimaksudkan itu adalah bumi kita ini, iaitu yang membawa makna bahawa bumi ini akan diwarisi oleh kaum yang layak memakmurkannya, iaitu hamba-hamba Allah yang soleh.

Berdasarkan tafsiran ini, maka dapatlah difahami bahawa semua cakerawala dan alam semesta ini diamanahkan oleh Allah kepada manusia yang sanggup dan mampu mentadbirkannya secara baik dan bijaksana. Maka untuk melakukan tugas ini, manusia seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas dan menyeluruh, beragama dan berakhlak, menguasai segala mekanisme pembangunan dan pentadbiran alam, kerana dalam sifat-sifat inilah, manusia akan lahir sebagai manusia yang soleh.

Allah mewariskan bumi ini untuk ditadbirkan oleh umat-Nya yang soleh, maka orang yang beriman kepada kekuasaan-Nya, yang mengambil agama-Nya sebagai pegangan hidup mereka, maka seharusnya merekalah yang akan termasuk ke dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.

Tetapi dalam keadaan ini, apakah kita umat Islam pada hari ini benar-benar memahami konsep hamba yang soleh itu? Fahamkah kita maksud hamba Allah yang benar-benar mampu dan tahu memanfaatkan bumi warisan Allah ini? Mengertikah kita cara mentadbirkan alam ini dalam konsep memakmurkannya untuk semua manusia dalam semua aspek kehidupan dan kebahagiaan dunia dan akhirat?

Kita sepatutnya dapat bertanya soalan-soalan ini kepada hamba-hamba Allah yang mewarisi alam maya dan universe ini, terutama hamba-hamba Allah yang mewarisi bumi para nabi, iaitu ketika memegang amanah mewarisi bumi nabi-nabi itu apakah yang telah mereka lakukan untuk mentadbir negara mereka bagi menepati perintah Allah supaya mereka menjadi hamba-Nya yang soleh. Berjayakah mereka membangunkan bumi yang mereka warisi itu untuk meningkatkan umat dan agama Allah dengan sebaik-baiknya sekiranya mereka adalah termasuk di dalam golongan ``hamba-hamba Allah yang soleh''?

Apakah konsep hamba yang soleh itu amat sempit pengertiannya, iaitu yang hanya komited untuk mengerjakan ritual dan fardu ain sahaja, atau merangkumi bidang yang lebih luas yang seharusnya wujud dalam masyarakat umat yang mewarisi bumi Allah ini?

Dalam konteks serangan penceroboh ke atas bumi para nabi Allah ini, kita seharusnya sekali lagi dapat menilai firman Allah yang saya sebutkan di atas, iaitu yang menegaskan bahawa bumi ini hanya dapat diwarisi oleh hamba yang soleh. Hamba yang solehkah namanya yang sedang mentadbir negara-negara di bumi para nabi Allah sekarang ini? Tahukah kita bahawa dasar pemerintahan yang berbagai-bagai bentuk dan warna itu sebenarnya mempunyai kepelbagaian wajah yang amat jauh menyimpang daripada kehendak Allah agar bumi ini ditadbir dan dibangunkan dengan baik, iaitu dengan memanfaatkan segala kekayaan dan kelebihannya untuk Allah, bukan untuk manusia asing yang bertujuan melemahkan agama dan penganutnya di daerah yang kaya-raya dan makmur itu.

Kita boleh menyalahkan penceroboh, menyalahkan AS dan Britain, dan seterusnya menyalahkan golongan yang sering kita labelkan sebagai anti-Islam dan umat Islam. Tetapi kita juga mengetahui siapakah musuh kita, dan siapakah musuh agama Islam dan umatnya. Dalam pergolakan dunia pada abad 21 dan alaf ketiga ini kita dapat melihat dengan jelas percaturan kuasa-kuasa dunia, terutamanya strategi kuasa besar tunggal yang menguasai seluruh negara dunia. Mereka boleh melakukan apa saja dengan berbagai-bagai cara. Tetapi apakah selama-lamanya kita harus tunduk menjadi mangsa mereka tanpa menunjukkan sebarang usaha untuk menjadi umat yang kuat, bebas dan merdeka?

Baghdad dan seluruh negara Iraq kini tunduk di bawah telapak kaki AS dan sekutunya. Sejarah mengulangi kisahnya ketika Baghdad jatuh dan kecemerlangannya mulai hilang dari sejarah tamadun manusia. Tapi sedarkah kita bahawa sebahagian daripada perbuatan dan tingkah laku pemerintahan Islam juga yang menyumbang kepada kejatuhan ini? Siapakah yang menolong AS dan Britain menjatuhkan Baghdad, Basrah, Karbala, dan tempat-tempat suci yang lain dalam pencerobohan yang paling hitam sejarahnya dalam dunia moden ini?

Saya rasa bahawa dalam mempelajari al-Quran dan tafsirannya, satu fokus khusus hendaklah dilakukan sekarang ini dalam mentafsir dan menganalisis ayat yang saya kemukakan di atas, iaitu yang menegaskan bahawa bumi Allah ini hanyalah diwarisi oleh hamba Allah yang soleh. Ayat yang sependek ini membawa pengertian yang amat mendalam, terutama bagi umat yang mengalami berbagai-bagai krisis identiti dan jati diri pada hari ini.

Sekurang-kurangnya selepas tragedi pencerobohan yang amat besar ini, para pemerintah bumi Allah, khususnya bumi para nabi Allah itu akan mempelajari satu pelajaran yang amat baik, dan akan dapat mengubah dasar pemerintahannya. Hal ini merupakan satu harapan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bagaimanapun ia tentulah merupakan satu harapan yang amat tinggi dan ideal, tetapi lambat laun diharapkan ia menjadi kenyataan, walaupun memakan masa sehingga ke beberapa generasi yang akan datang, iaitu generasi yang sebenar-benarnya termasuk ke dalam golongan hamba Allah yang soleh dan benar-benar mampu mentadbirkan bumi Allah ini, khususnya bumi para nabi yang amat suci dan mulia itu.

No comments: