Wednesday, October 10, 2007

Pertukaran orang tidak merupakan perubahan dasar dan kedudukan negara - Bersama wawasan Dr. Mahathir

Cetuasan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SEPERTI yang telah saya nyatakan di dalam salah satu tulisan saya yang lalu, bulan Oktober 2003 merupakan satu bulan penuh makna dalam catatan sejarah negara kita, kerana seorang yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, mula mengundurkan diri dari jawatannya pada akhir bulan lalu.

Menjelang hari Jumaat 31 Oktober, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, telah meninggalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan posisinya diambil alih oleh seorang lain yang bernama Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Pengunduran diri Dr. Mahathir dan penampilan Abdullah pada tarikh yang tersebut merupakan satu peralihan sejarah dari segi pertukaran orang dan watak dan tentunya tidak akan merupakan satu perubahan dasar dan kedudukan negara kita, kerana kita telah pun berada di atas landasan yang betul dan licin di dalam segala bentuk pembangunan dan kemajuan kita.

Banyak perkara yang berlaku di dalam dunia ini sebenarnya didorongkan oleh Allah subhanahu wataala dengan penuh hikmah. Pengunduran diri Dr. Mahathir menjelang akhir Oktober merupakan sesuatu yang ditakdirkan Allah, tidak pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO yang lalu ketika beliau tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bersara ketika itu. Kebijaksanaan dan keberanian Dr. Mahathir yang penuh pengalaman itu, merupakan sesuatu yang diperlukan oleh dua persidangan antarabangsa yang diadakan di negara kita sebelum persaraan beliau, iaitu Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Dr. Mahathir muncul sebagai wira dan jurucakap dunia ketiga dan dunia Islam ketika pemimpin lain dari kedua-dua pertubuhan tersebut agak kelu dan kaku untuk memperkatakan segala sesuatu yang dibicarakan oleh beliau. Dr. Mahathir boleh berbicara dengan terus terang dan penuh lantang, ketika pemimpin lain lebih suka membisu dan memendam rasa sendiri, maka dengan itu Dr. Mahathir seolah-olah telah memberanikan diri menghulurkan lehernya untuk disembelih oleh sesiapa sahaja yang ingin menyembelihnya seperti yang terbukti dari kecaman yang ditujukan kepadanya ekoran dari ucapan beliau di dalam persidangan OIC tempoh hari.

Bagaimanapun saya rasa Dr. Mahathir bukanlah seorang yang memberanikan diri secara buta tuli, atau berlagak seperti segelintir pemimpin dunia lain yang lebih bersifat keras secara melulu semata-mata kerana ingin menunjukkan lagak dan permusuhan terhadap orang lain tanpa fakta dan hakikat yang sebenarnya. Sebaliknya beliau boleh berbicara demikian kerana telah pun menyediakan segala persiapan untuk menjadi pemimpin yang bebas, menyediakan pembangunan negara yang agak selesa tanpa bergantung kepada pengaruh kuasa lain dan yang pentingnya menyediakan minda rakyat Malaysia yang dapat berfikir sebagai bangsa yang merdeka, mencintai perdamaian dan keadilan, bertoleransi, berketerampilan dalam bidang ilmu pengetahuan, menguasai teknologi dan ekonomi. Kekuatan ini merupakan satu aset beliau yang kukuh ketika berbicara sesuatu, kerana tanpa latar belakang ini beliau mungkin akan dianggap sebagai seorang pemidato retorika tanpa makna kerana berbicara sesuatu seperti tong kosong yang bunyinya sahaja membelah dunia, tetapi isinya tidak seberapa, atau hanya kosong tanpa berisi.

Maka falsafah dan dasar inilah yang ingin ditonjolkan oleh Dr. Mahathir agar dilaksanakan oleh para pemerintah negara Islam, khususnya negara Islam yang dikurniakan Allah dengan segala kekayaan alamnya yang begitu besar, tetapi masih bergantung kepada kuasa Barat untuk membangun negara masing-masing dan mendapatkan ahli sains dan teknologinya tanpa dapat berusaha sendiri. Sikap inilah yang dilihat sebagai sikap rendah diri melampau negara Islam dan para pemimpinnya, sehingga mereka menjadi kaku dan bisu, menjadi pak turut dan abdi kepada kuasa besar yang sedia dan sentiasa mencari peluang untuk menelan mereka.

Sebab itulah Dr. Mahathir kelihatan amat pedas dalam kritikannya terhadap sesetengah negara Islam dan umatnya, malah terpaksa berterus terang tentang siapakah musuh Islam yang sebenarnya sehingga beliau dikecam hebat oleh media dan para pemimpin Barat yang berasa tersinggung dengan kecamannya itu.

Kini bulan Oktober telah pun berlalu tetapi segala kenangan tentang Dr. Mahathir tentulah tidak akan berlalu dan dilupakan begitu sahaja, kerana pengganti beliau, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang baru telah pun memberi komitmennya untuk terus melaksanakan dasar-dasar negara seperti yang telah digariskan oleh Dr. Mahathir, malah wawasan Dr. Mahathir akan menjadi wawasan Abdullah, agenda kerja dan pelaksanaannya akan menjadi agenda PM yang baru. Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa pemergian PM yang lalu dan penggantian tempatnya oleh PM yang baru adalah merupakan pertukaran watak dan personaliti, tanpa menjejaskan dasar dan wawasan negara dan bangsa Malaysia.

Cara Dr. Mahathir menjalankan pentadbiran negara mengagumkan banyak pihak. Ketegasan beliau dan pendiriannya yang kelihatan keras mendapat sanjungan ramai orang, termasuk para pemerintah dan ketua kerajaan asing terutamanya dalam hal yang mempunyai kaitan dengan dasar antarabangsa. Namun cara inilah juga yang ada kalanya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sesetengah orang yang berasa dirinya tidak perlu ditegur atau dikritik sebegitu rupa, termasuk di pihak tertentu di dalam masyarakat di negara kita sendiri.

Hal ini tentulah tidak menghairankan, kerana kepimpinan yang tegas biasanya akan menjadikan seorang pemimpin itu tidak popular di kalangan mereka yang tidak biasa dengan disiplin kerja yang ketat. Anggota sesebuah organisasi yang telah biasa dengan budaya kerja yang longgar dan kadang-kadang sehingga tidak lagi berdisiplin, malah amat lemah di dalam segala etika dan peraturan kerjanya, tentulah tidak akan menyukai seorang ketua yang tegas dan berdisiplin.

Gaya pentadbiran beginilah yang saya rasa telah dijalankan oleh Dr. Mahathir sehingga beliau dilabelkan oleh beberapa kalangan sebagai seorang yang tidak demokratik, kuku besi, diktator dan sebagainya kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi tuntutan kepimpinan beliau dalam merealisasikan objektif pembangunan berdasarkan kerja keras, berdisiplin, dedikasi dan penuh disiplin. Tabiat manusia sememangnya amat suka berehat, bersenang-senang dan mengharapkan rezeki datang bergolek tanpa perlu banyak berusaha, seperti yang pernah ditegaskan oleh salah seorang khalifah yang empat yang menggesa umat Islam bekerja keras kerana katanya bahawa langit ini tidak akan menurunkan hujan emas atau perak. Jadi tanpa kerja dan usaha yang bersungguh-sungguh manusia tidak akan berjaya untuk memiliki emas atau perak, kerana harta benda dan kekayaan ini tidak akan turun dari langit seperti turunnya hujan.

Maka dalam menjalankan pemerintahan negara yang bernama Malaysia dengan segala keunikannya, terutamanya dari segi penduduknya yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama dengan segala ragamnya yang keseluruhannya amat sensitif, tentulah memerlukan tangan pemerintah yang mempunyai kepelbagaian cara dan tektik untuk menangani dan menyelesaikan keseluruhan isu dan masalah antara kaum, agama, budaya dan isu lainnya termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Dalam keadaan ini negara memerlukan pemimpin yang bijak dan seimbang, yang bijak membuat pertimbangan bilakah ketegasan yang agak keras harus digunakan dan bilakah dasar berlembut perlu diamalkan, iaitu yang tahu mengambil peluang berdasarkan masa, keadaan, sentimen, emosi dan perasaan sesuatu kaum dalam menangani dan menyelesaikan isu mereka.

Dalam keadaan begini, seorang pemimpin tidak seharusnya mengambil sikap selamat agar dia menjadi popular dan disukai sepanjang masa, sedangkan sikap itu mungkin akan merosakkan keseluruhan bangsa dan negaranya dalam jangka panjangnya. Pemimpin yang bijak akan memikirkan masa depan bangsa dan negara secara keseluruhannya daripada hanya cuba mempopularkan dirinya untuk menjaga masa depan politik peribadinya semata-mata, walaupun dalam keadaan itu ia membawa bangsa dan negaranya kepada kehancuran.

Dalam situasi inilah Dr. Mahathir memandu negara Malaysia dengan segala keunikannya ini dan tidak hairanlah dengan itu beliau sering menerima kecaman dan label yang berbagai-bagai oleh pihak yang tertentu. Malah semakin dekat menjelangnya tempoh persaraan beliau sebagai PM tempoh hari, kita membaca dan mendengar suara-suara sumbang tentang peribadi dan gaya pemerintahan beliau yang disuarakan begitu lantang seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah besar di dalam dunia ini. Sekali lagi saya melihat bahawa kecaman yang ditujukan kepada beliau merupakan kecaman yang berdasarkan kepada dendam peribadi dan kebencian melulu tanpa asas dan tidak dapat dijustifikasikan secara rasional. Saya tetap percaya bahawa sekiranya kita memilih untuk mengecam seseorang secara peribadi, maka semua manusia di dalam dunia ini akan dapat kita kecam secara melulu, kerana sebagai manusia biasa, tidak ada seorang pun yang tidak mempunyai kelemahan dan kesilapan sepanjang hidupnya.

Saya mendengar dengan penuh minat kenyataan Dr. Mahathir semasa menjawab persoalan media yang dikemukakan dalam wawancaranya dengan media Indonesia baru-baru ini, iaitu ketika beliau ditanya tentang cita-cita beliau selepas bersara untuk menulis pengalamannya. Jika tidak salah pendengaran saya beliau di antara lain menjawab bahawa beliau akan menulis kesilapan yang pernah beliau lakukan, supaya kesilapan itu tidak akan diulangi lagi oleh orang yang akan datang. Maka kesanggupan beliau untuk menulis sesuatu yang beliau anggap sebagai ``kesilapan'' atau ``kesalahan'' pada masa yang lalu, merupakan satu pengakuan jujur yang amat jarang sekali mahu disuarakan oleh seorang manusia, terutamanya oleh pemimpin yang dikagumi dunia seperti Dr. Mahathir.

Mungkin inilah sikap yang mahu ditransformasikan oleh beliau supaya menjadi sikap orang Melayu dan Islam, iaitu mengakui kesilapan dan kelemahan sendiri agar kesilapan dan kelemahan itu dapat diperbaiki pada masa yang akan datang sama ada oleh generasi ini atau generasi masa muka. Seorang hukamak Islam memesan bahawa ``Rujuk kepada kebenaran adalah lebih baik dari terus menerus bergelumang di dalam kesalahan.'' Tetapi hasrat beliau ini sering disalah anggap oleh orang Melayu sendiri, sebab itulah segala apa yang mereka lihat pada diri Dr. Mahathir, seolah-olah sesuatu yang buruk sahaja, meskipun anggapan ini terbitnya dari hanya beberapa orang yang boleh dibilang dengan jari sahaja.

Kini Dr. Mahathir tidak lagi menjadi PM Malaysia, tetapi pemikiran dan wawasannya akan tetap bersama kita. Saya percaya pada masa ini semakin ramai orang yang dapat memahami siapakah beliau sebenarnya dan semakin ramai lagi orang yang benar-benar mahu menghargai jasa dan khidmat beliau. Pendirian ini merupakan pendirian lumrah sebahagian besar kita, iaitu apabila seseorang itu tidak lagi bersama kita, maka pada masa itu barulah kita akan mengenangnya sebagai seorang yang berharga, walau pun hal ini sebenarnya tidak berlaku kepada Dr. Mahathir, kerana bagi beliau, semakin hampir era persaraannya, maka semakin ramai orang yang menghargainya dan memerlukannya.

Secara peribadi saya mengucapkan selamat bersara kepada Dr. Mahathir, dan kepada Perdana Menteri yang baru, selamat datang ke persada perjuangan yang terbuka luas di hadapanmu, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pemergian Dr. Mahathir dilepaskan dengan segala berat hati, tetapi kedatangan Abdullah diterima dengan penuh hati, seperti yang ditegaskan oleh Allah bahawa demikianlah Allah memperedarkan hari-hari (dan masa) di antara manusia silih berganti. Maka sebagai hamba-Nya kita haruslah menerima giliran dan peredaran zaman seperti yang telah ditakdirkan oleh-Nya, terutamanya peredaran ini berlaku pada bulan yang mulia dan berkat, iaitu bulan suci Ramadan almubarak ini.

No comments: