Wednesday, October 10, 2007

Penganut berbeza harus mempunyai rasa hormat kepada agama orang lain - Agama bukan isu peribadi

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SAYA menerima beberapa e-mel yang terus-menerus memberi komen tentang tulisan saya mengenai kebebasan beragama. Bagi saya perbicaraan tentang agama bukanlah boleh dibuat secara sewenang-wenangnya seperti membicarakan tentang persoalan lain yang lebih berbentuk peribadi. Seperti disebutkan oleh seorang profesor dari sebuah institusi pengajian tinggi tempatan melalui e-melnya kepada saya bahawa: ``Dalam kuliah-kuliah saya di merata tempat, saya kerap menegaskan bahawa kebebasan beragama bukan sahaja bermakna kebebasan untuk keluar dari agama yang merupakan salah satu makna kecil dari prinsip ini. Makna teras dari prinsip kebebasan beragama ialah kebebasan untuk mengamalkan sesuatu agama yang ditafsir oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam agama tersebut dalam sesuatu masyarakat. Aspek kedua dari makna ini telah diamalkan sepanjang sejarah Islam termasuk di Malaysia.''

Pandangan ini amat saya setujui kerana agama adalah pegangan hidup yang seharusnya membimbing seseorang itu sepanjang hayatnya. Agama bukanlah merupakan seperti baju dan seluar yang sekian kali dapat ditukar ganti di dalam sehari semalam, atau merupakan sebuah kenderaan yang juga boleh dijual kembali dengan mengambil kenderaan yang lebih baru dan lebih bergaya. Sikap beginilah yang tidak seharusnya wujud bagi seorang manusia berwibawa yang telah meyakini pegangan agamanya.

Atas dasar inilah, agama itu seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah, kerana nabi-nabi yang diutuskan Allah subhanahu wa taala juga telah diajar akan kitab, iaitu ilmu, dan hikmah, iaitu kebijaksanaan memahami sesuatu itu. Kitab dan hikmah inilah yang membawa manusia menjadi makhluk bertamadun dan berperadaban. Maka agama yang dipelajari dengan ilmu mampu menusuk ke dalam hati sanubari dan jiwa raga seseorang penganut agama itu. Sebab itulah, agama harus dipelajari daripada para guru berwibawa, iaitu yang mampu mentafsirkan agama berdasarkan kepelbagaian ilmu di dalam agama tersebut. Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari di tepi-tepi jalan melalui orang-orang yang jahil, seperti membeli ubat-ubat daripada para penjaja yang berkeliaran di merata-merata, sedangkan ubat-ubat itu tidak diketahui mutu dan kualitinya.

Agama dalam bentuk inilah yang menguatkan akidah dan syariah, sistem dan struktur agama tersebut, yang amat sukar difahami oleh orang lain, malah oleh penganut-penganut agama itu sendiri sekiranya mereka mempelajari agama itu tanpa melalui epestemologinya yang sebenar. Seperti disebutkan juga oleh profesor di atas bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain, malah dari kacamata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan, dan yang tidak diiktiraf sebagai ahli oleh masyarakat Islam.

Namun begitu pintu perbincangan umum tetap terbuka dengan seluas-luasnya untuk memberikan pentafsiran di luar bidang akidah dan syariah yang termasuk di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan manusia di dalam dunia yang terus-menerus membangun dan beredar menurut perkembangan akal fikiran dan minda manusia, serta ilmunya yang berubah-ubah. Islam sendiri sentiasa membuka pintu ijtihadnya, tetapi pintu ijtihad bukanlah terbuka untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya mampu berijtihad. Berijtihad di dalam agama, terutama mengenai akidah dan syariahnya, bukanlah seperti tukang ramal dan ahli nujum yang sering mendakwa dirinya sebagai orang yang mampu membaca nasib dan masa hadapan orang lain. Berijtihad di dalam agama mempunyai syarat-syarat dan rukunnya yang ketat bertujuan supaya agama tidak akan menjadi satu komoditi yang boleh dijual beli menurut kemahuan individu yang tertentu.

Berdasarkan hal ini saya tidak dapat menerima kritikan seorang pembaca yang mengirim e-melnya kepada saya dengan mengatakan, ``Saudara sendiri mempunyai kefahaman bahawa tidak boleh ada kebebasan mutlak untuk bersuara, dan tidak boleh ada kebebasan mutlak untuk berhujah, dan tidak boleh kebebasan mutlak untuk beragama kerana saudara takuti menyebabkan huru-hara dalam negara!''

Saya tidak membicarakan kebebasan mutlak ini dalam berhujah atau bersuara, malah dalam beragama. Tetapi yang saya bicarakan ialah hak mutlak untuk mempertikaikan urusan akidah agama lain, juga amal ibadat dan ajaran serta keyakinan yang terdapat pada penganut sesuatu agama itu, kerana akidah dan amalan penganut sesuatu agama itu adalah merupakan teras dan keyakinan mereka kepada agamanya, walaupun perkara itu salah pada pandangan agama lain. Maka di sini benarlah seperti kata penulis e-mel ini bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini bererti seperti memberikan lesen yang murah kepada mereka untuk membuka gelanggang pergaduhan yang boleh membawa kepada huru-hara dan mungkin juga pertumpahan darah.

Tradisi ini tetap menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia, dan tradisi ini haruslah dipertahankan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan. Perbincangan mengenai agama seperti yang saya tegaskan di atas bukanlah seperti kita membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai, siapakah yang seharusnya mengambil giliran meronda, atau siapakah yang seharusnya menggunakan dewan orang ramai tersebut. Tetapi perbincangan mengenai agama adalah perbincangan pegangan hidup yang amat sensitif dan sering terdedah kepada api yang mampu menjadi marak dengan besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Dari satu segi saya bersetuju dengan penulis e-mel yang sama bahawa, ``Orang-orang yang membincangkan hal-hal agama di Malaysia adalah banyak sangat terikat dengan majikannya, partinya, ketuanya, penyokongnya, medianya, jirannya, saudara-maranya dan sebagainya.'' Hal inilah yang cuba diatasi oleh pihak berkuasa agama Islam di negara kita, iaitu cuba membanteras perbicaraan agama yang berasaskan parti politik dan penyokongnya. Dalam konteks Islam, mimbar masjid adalah dilarang untuk digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempromosikan agama ala parti politik atau aliran kefahaman yang berasaskan taksub melulu. Tetapi yang anehnya, larangan inilah yang dilihat oleh pihak yang berkenaan di Amerika Syarikat sebagai satu pencabulan terhadap kebebasan beragama di negara kita. Apakah penulis e-mel ini bersetuju dengan pendirian yang menuduh kita tidak mempunyai kebebasan beragama dengan alasan yang tersebut atau sebaliknya? Namun ternyata dari komennya bahawa dia tidak bersetuju dengan cara tersebut.

Kerana itu, perbincangan tentang agama tidaklah seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik melulu. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan oleh sempadan-sempadannya yang tertentu. Kita melihat banyak contoh di dalam negara-negara tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan, penganut agama lain yang dianggap musuh dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan, serta berbagai-bagai kekacauan yang berlaku yang akhirnya melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.

Yang lebih menyedihkan, terdapat di sesetengah negara yang mengamalkan dasar demokrasi di dalam pemerintahannya, maka rakyat yang taksub ini sering juga memilih parti politik yang taksub untuk menjadi pemerintah. Parti yang radikal, yang mengamalkan diskriminasi agama dan kaum mendapat sokongan rakyat majoriti untuk memegang tampuk pemerintahan. Akibatnya rakyat sendiri yang menjadi korban kezaliman dan ketidakadilan, kerana pada masa itu rakyat yang taksub ini akan diberi perlindungan. Mereka bebas menindas dan melakukan kekejaman kepada musuh agama mereka, kerana pemerintah berada di belakang mereka.

Tetapi hal ini tidak berlaku di negara kita, kerana rakyat Malaysia menolak fahaman dan tindakan pelampau dan golongan fanatik, sama ada pelampau perkauman atau keagamaan. Rakyat majoriti masih menolak aliran ini, dan memilih pemerintah yang bertoleransi. Dengan itu kita tidak terancam dengan pergaduhan agama dan kaum, dan sebaliknya kita dapat menumpukan perhatian kita kepada pembangunan ekonomi, teknologi, pendidikan, dan sosial untuk semua.

Negara-negara yang mengalami kekacauan kaum atau agama sering terbantut pembangunannya. Anak-anak keciciran dalam pelajaran, malah terdapat yang tidak dapat bersekolah, sama ada kerana kemiskinan atau kerana didiskriminasikan oleh golongan tertentu. Rakyat akan mengalami kebuluran, terutama yang ditindas secara rasmi atau tidak rasmi, penyakit akan merebak dengan hebatnya kerana ketiadaan kemudahan kesihatan yang mencukupi. Yang menjadi agenda golongan fanatik itu ialah berjuang dan berkrisis kerana agama dan kaum. Agenda keutamaan mereka telah menyalahi tempatnya di dalam masyarakat manusia yang maju dan bertamadun pada masa kini.

Pendeknya dalam negara demokrasi pun, ada kalanya demokrasi dapat dipergunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan golongannya sendiri pula, seolah-olah demokrasi menjadi tiket untuk menegakkan sikap dan pendirian radikal mereka melalui pemerintah yang radikal.

Bagaimanapun oleh kerana agama bukanlah merupakan soal peribadi yang boleh ditawar menawar, maka para penganut agama yang berbeza-beza haruslah mempunyai rasa hormat kepada agama orang lain. Malah kalau urusan peribadi pun, kita masih dapat menghormati peribadi orang lain, maka apatah lagi isu agama, tentulah kita seharusnya lebih menghormati agama penganut yang lain. Hal ini rata-rata berlaku di dalam masyarakat kita sejak zaman-berzaman. Cuma segelintir manusia saja yang saya rasa mempunyai perasaan permusuhan dan ingin berkonfrontasi dengan orang lain atas nama agama. Hal ini adalah satu kebiasaan di dalam mana-mana masyarakat manusia. Dengan pendidikan yang baik kita akan dapat mengurangkan manusia yang bersikap demikian, dan kita akan terus-menerus mempertahankan kerukunan hidup kita sehingga selama-lamanya.

No comments: