Wednesday, October 10, 2007

Orang Islam dihanyutkan oleh arus emosi dan perasaan - Bertindak ganas ketika marah

OLEH DR. ISMAIL IBRAHIM
PERJUMPAAN anjuran Promuda, sebuah pertubuhan profesional muda Malaysia pada 26 Februari lalu merupakan satu manifestasi bagaimana mereka yang bencikan peperangan, terutama anak-anak muda, memberi reaksi yang panas terhadap seorang Islam dari Amerika Syarikat (AS). Lelaki itu bercakap membela segala dasar AS tentang peperangan yang hendak dilancarkan terhadap Iraq, dan kenapa AS menyokong Israel dalam kes Palestin.

Pembicara dari AS yang dijemput pada majlis tersebut telah menetap di sana selama beberapa dekad. Beliau terlalu fanatik mempertahankan dasar AS sehingga pembicaraannya dalam majlis tersebut seolah-olah mewakili Presiden Bush yang sekarang amat ingin melihat darah mengalir di bumi Iraq.

Orang yang dimaksudkan ialah Dr. Malik Hasan, seorang doktor perubatan, yang mengetuai Majlis Persefahaman Islam Amerika (Council of American Muslims for Understanding - CAMU). Menurut beberapa orang hadirin yang memberikan reaksi panas, Dr. Malik tidak sebenarnya memahami kepekaan umat Islam dan umat lain dalam isu yang dihujahkan tentang kewajaran AS menyerang Iraq. Rakyat Iraq seharusnya diberikan kebebasan menentukan dasar dan menyelesaikan permasalahan dalam negara mereka sendiri, bukan dengan campur tangan kuasa besar AS serta sekutunya yang akan melancarkan serangan dan akan memakan korban nyawa manusia yang tidak bersalah.

Saya merasakan bahawa reaksi panas dan marah inilah yang sering membawa kepada tindakan kekerasan di kalangan masyarakat Islam sekarang. Reaksi seperti ini berlaku ketika umat Islam melepaskan perasaan marah, benci dan kehampaan kepada kuasa besar yang telah bertindak ganas terhadap orang-orang yang tidak berdosa. Ini dapat dilihat seperti apa yang berlaku di Afghanistan, Palestin serta Iraq dalam peperangan Teluk 10 tahun yang lalu, dan kini sedang merancang untuk melakukan keganasan itu sekali lagi di bumi Iraq, yang tentunya akan memakan korban yang lebih banyak lagi.

Saya sememangnya di dalam kebanyakan majlis seperti ini sering mengambil sikap yang seimbang di antara mengutuk dasar penjajahan AS dan sekutunya dengan reaksi yang seharusnya dilakukan oleh orang Islam dalam menghadapi cabaran hebat dari kuasa Barat, terutama yang berlaku selepas 11 September. Peristiwa 11 September, Globalisasi dalam bentuknya sekarang dan penjajahan bentuk baru dalam ekonomi, politik, etika dan moral yang melanda masyarakat dunia pada hari ini, merupakan sesuatu yang meninggalkan kesan yang amat negatif kepada negara-negara membangun, khususnya kepada orang Islam sendiri.

Hal ini telah membawa kepada perasaan marah, sedih, dukacita, geram dan hampa kepada masyarakat Islam yang amat lemah dan penuh dengan krisis itu. Tekanan ini semakin menjadi-jadi dengan peredaran masa, dan kemuncaknya ialah penyembelihan yang sedang berlaku secara besar-besaran di Palestin dan bakal pertumpahan darah di Iraq, sekiranya berlaku peperangan yang dicadangkan oleh AS itu.

Namun begitu dalam keadaan ini, persoalannya apakah umat Islam akan terus-menerus mengambil tindakan keras dan ganas sebagai reaksi rasa marah dan geram itu? Apakah perasaan marah ini akan terus-menerus membuatkan umat Islam melancarkan serangan tanpa memilih sasaran yang sebenar?

Inilah di antara pokok persoalan yang saya timbulkan dalam majlis tersebut, tetapi jawapannya tidak kunjung tiba. Sebabnya, pada malam tersebut suasana benci dan marah para peserta, termasuk pembicara yang mengulas pengucapan Dr. Malik, terhadap dasar double standard kerajaan AS yang dipertahankan oleh Dr. Malik lebih memuncak dan meluap-luap memenuhi ruang dewan hotel terkemuka yang ditaja oleh CAMU sendiri.

Saya amat memahami perasaan dan sentimen anak-anak muda serta frustration mereka terhadap pembicara yang kelihatan tidak dapat memahami perasaan hati kecil orang-orang yang bencikan pembunuhan dan peperangan oleh kuasa besar yang mempunyai senjata dan kelengkapan perang yang amat raksasa.

Saya rasa bahawa dalam keadaan marah dan hampa inilah orang Islam sendiri telah dihanyutkan oleh arus emosi dan perasaan yang melahirkan tindakan keras dan ganas terhadap penjajah baru kuasa besar yang menindas manusia yang lemah. Maka pada malam itu, para peserta yang tidak dapat menahan kemarahan mereka terus melakukan serangan terhadap orang yang dianggap berusaha mempertahankan dasar rakus AS dengan memejam matanya terhadap erti nilai moral dan kemanusiaan.

Memang dalam keadaan dunia yang serba gelap dan muram ini, orang Islam berada dalam dilema dan serba salah. Saya timbulkan pada malam itu bahawa umat Islam dilarang berperang dan menyerang orang lain tanpa sebab yang diharuskan oleh agama. Malah menurut pandangan sesetengah para fuqaha bahawa sekiranya musuh datang menyerang orang Islam dan membunuh orang awam, maka orang Islam tidak seharusnya pergi menyerang mereka dan membunuh orang awam mereka.

Tetapi dalam keadaan dunia yang amat ganas dan kejam pada hari ini, nampaknya hanya orang Islam yang terpaksa mencari perdamaian dengan mengikuti lunas-lunas ajaran agama mereka. Orang lain tidak langsung menghormati undang-undang perdamaian, dan tidak lagi menghormati jiwa orang awam yang tidak bersalah. Maka apakah selama-lamanya umat Islam akan menjadi umat yang defensif?

Terdesak

Atas dasar inilah rakyat Palestin tanpa ragu-ragu lagi akan mengorbankan nyawa mereka sendiri dengan melakukan pembunuhan diri dengan bahan letupan yang diikat pada badan dan meletupkannya di tengah-tengah orang yang dianggap musuhnya, iaitu orang Yahudi. Mereka melakukan demikian kerana terlalu terdesak dan berputus asa mencari jalan lain untuk memperjuangkan kes mereka.

Perbuatan ini juga mengikut pandangan sesetengah fuqaha sebagai satu jihad, dan orang yang terbunuh dalam keadaan ini adalah mati syahid. Alasan mereka ialah bahawa semua orang Yahudi di Israel itu adalah musuh Palestin dan semua mereka dianggap sebagai anggota tentera yang pada bila-bila masa sahaja akan dapat dikerah untuk menyerang dan membunuh orang Palestin tanpa mengira orang awam, kanak-kanak, perempuan dan orang tua. Maka dengan itu mereka adalah musuh, dan membunuh musuh adalah satu jihad. Sesiapa yang mati dalam perjuangan ini adalah mati syahid.

Ekoran dari fatwa ini, saya rasa dunia Islam pada hari ini seharusnya dapatlah duduk bersama untuk membincangkan isu ini, atau dengan lebih tegas lagi isu jihad dan mati syahid. Isu jihad menimbulkan perpecahan yang serius dalam masyarakat Islam, termasuk di dalam negara kita sendiri. Orang Barat sengaja ingin menonjolkan jihad dalam pengertian perang suci atau holy war supaya dengan itu mereka dapatlah memprojekkan imej Islam sebagai satu agama yang terlalu ghairah berperang dan menumpahkan darah manusia, ganas dan tidak bertamadun.

Kita sendiri juga kadang-kadang tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa jihad itu sepatutnya dalam keadaan kelemahan umat Islam pada hari ini lebih ditumpukan kepada jihad menentang kemiskinan, kejahilan dan kemunduran dalam serba lapangan kehidupan kita. Ada kalangan yang terlalu marah apabila jihad difokuskan dalam hal ini, seolah-olah dengan itu kita menafikan jihad dalam bentuk peperangan dan mengangkat senjata.

Jihad untuk mengangkat martabat umat dalam ekonomi dan teknologi serta ilmu pengetahuan lain kata mereka tidak terdapat pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Jihad pada zaman baginda adalah jihad menentang musuh dengan berperang. Tetapi fahamkah mereka bila masanya Nabi dibenarkan berperang dan bilakah masanya baginda sendiri bertindak menggunakan kekuatan senjata menentang musuh?

Fahamkah mereka bagaimana baginda bertindak mengangkat kehidupan umatnya dalam kehidupan dunia dan peningkatan ilmu pengetahuan serta tamadunnya? Jelaskah kepada mereka maksud firman Allah agar umat Islam menyediakan segala kekuatan yang terdaya oleh mereka untuk menghadapi musuh-musuh mereka?

Kita sememangnya tidak menafikan kepentingan jihad menggunakan kekuatan fizikal untuk menentang musuh yang mencerobohi kita. Ketika itu jihad menjadi satu tuntutan yang wajib. Namun begitu kita seharusnya juga mempunyai strategi yang tertentu untuk berjihad dalam bentuk itu, dan menyedari akan kelemahan dan kekuatan kita sendiri.

Dalam keadaan dunia Islam yang berpecah-belah ini, amatlah wajar jihad dan usaha kita ditumpukan dalam menyediakan kekuatan kita terlebih dahulu. Di antara puluhan negara Islam, perhatikan saja berapa buahkah negara Islam yang agak maju dalam persaingan ekonomi, teknologi, ilmu pengetahuan, pertahanan, dan lain-lain lagi dengan negara maju? Ibarat kata para perwakilan ke Sidang Kemuncak Ke-13 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) baru-baru ini, berapa buahkah negara Islam yang dapat dijadikan model seperti Malaysia?

Berbalik kepada perjumpaan Promuda dan CAMU pada malam bersejarah itu, saya rasa Promuda juga telah melaksanakan agenda jihad mereka dalam memahami isu-isu antarabangsa yang serba kusut pada hari ini. Cuma agenda perdamaian mereka pada malam itu agak terjejas dengan serangan peribadi yang terkeluar daripada beberapa orang darah muda yang tidak dapat menahan sabar. Namun begitu, pada umumnya, dengan nada-nada yang bercampur inilah yang menjadikan majlis mereka agak berjaya.

No comments: