Wednesday, October 10, 2007

Tentangan bukan ditujukan kepada rakyat tetapi dasar dan tindakan AS - Tidak ada permusuhan agama

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SURAT terbuka saya kepada Duta Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, Puan Yang Terutama (PYT) Marrie T. Huhtala yang disiarkan di dalam ruangan ini minggu lalu telah mendapat jawapan seperti yang disiarkan di dalam ruangan Pendapat Utusan Malaysia Jumaat 12 Disember 2003. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PYT yang menjawabnya dengan nada yang amat memberangsangkan. Bagaimanapun saya akan cuba memberikan pendapat saya terus kepada beliau dan mendapatkan komen PYT terhadap beberapa perkara yang masih memerlukan tindakan positif kerajaan AS dengan segera sebelum lebih banyak lagi orang yang tidak berdosa menjadi korban tindakan ketenteraan.

Satu perkara lain yang ingin saya paparkan bahawa surat saya itu telah menimbulkan beberapa komen yang pro dan kontra. Terdapat komen yang menyokong sepenuhnya segala sesuatu yang dipaparkan di dalam tulisan tersebut. Sebaliknya terdapat juga beberapa persoalan yang dikemukakan tentang perkara yang ditimbulkan, iaitu yang seolah-olah menimbulkan sedikit perselisihan di antara pandangan orang Islam dan bukan Islam, khususnya Yahudi dan Kristian, apabila dibicarakan tentang isu Iraq, Palestin dan Afghanistan.

Oleh itu saya merasakan bahawa beberapa perkara yang telah ditimbulkan di dalam tulisan tersebut perlu diberikan penjelasan lanjut, khususnya kepada para pembaca yang terkeliru tentang pendirian Islam terhadap orang bukan Islam, sehingga dianggap bahawa Islam selama-lamanya akan bermusuh dengan bukan Islam, dan terus-menerus akan menganggapnya sebagai musuh.

Isu yang timbul sekarang ini bukanlah isu akidah orang Yahudi dan Kristian tentang ibadat dan kepercayaan mereka kepada agama masing-masing. Orang Islam, khususnya di Malaysia, tidak pernah menimbulkan isu kepercayaan dan ibadat orang Kristian untuk dijadikan asas permusuhan. Malah Islam amat toleran terhadap kepercayaan para penganut agama lain, dan tidak akan mempersoalkan cara mereka beribadat dalam merealisasikan kepercayaan mereka itu. Hal ini dijamin di dalam Perlembagaan Negara, dan dihayati sepenuhnya oleh semua rakyat kita. Kerana itulah kita selama ini dapat melihat kebebasan beragama dan beribadat secara yang amat anjal di negara kita dan dapat pula hidup bersama secara yang amat harmoni dan damai.

Kritikan dan peringatan yang diberikan kepada kerajaan AS dan Israel selama ini oleh masyarakat dan umat Islam bukanlah berdasarkan kepercayaan agama yang mereka anuti. Malahan segala teguran dan peringatan yang diberikan kepada kedua-dua buah kerajaan tersebut ialah kerana dasar politik mereka, iaitu dasar luar AS dan dasar penjajahan yang diamalkan oleh kerajaan Israel terhadap rakyat umum di negara yang menjadi sasaran penindasan mereka, dan secara kebetulan pula, orang-orang yang ditindas itu majoritinya adalah terdiri daripada orang Islam.

Dalam konteks ini dasar politik yang tidak adil dan kadang-kadang dasar diskriminasi bangsa dan agama yang terang-terang mencabul hak asasi kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa itulah yang ditentang. Malah tentangan ini tidak hanya lahir daripada masyarakat Islam semata-mata kerana dalam jangka masa yang terakhir ini, rakyat AS, British, Eropah, Jepun, Korea dan warganegara lain yang tidak beragama Islam pun bangun menganjurkan begitu banyak tunjuk perasaan yang melibatkan jutaan orang menentang dasar yang dilihat tidak adil dan bersifat kejam itu.

Pertubuhan antarabangsa seperti Amnesty pernah menuduh tentera AS bertindak di luar batas-batas peri kemanusiaan di Iraq dan Afghanistan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap layanan buruk yang diberikan kepada tawanan perang dan rakyat biasa di negara tersebut dan di Palestin. Tindakan terakhir kerajaan Israel mendirikan pagar keselamatan di negara Palestin sendiri telah dilihat sebagai satu pencabulan hak rakyat Palestin untuk bergerak bebas di negara mereka sehingga dibantah oleh satu resolusi PBB yang tidak dihiraukan oleh Israel.

Sebaliknya sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam atau kerajaan Islam yang telah berkembang pesat pada zaman permulaannya tidak pernah melanggar negara lain dan memaksa rakyatnya untuk memeluk agama Islam. Apabila sesebuah negara dibuka oleh Islam, maka rakyatnya diberi pilihan untuk menganut Islam, atau sekiranya mereka tidak mahu menganut agama Islam, maka mereka diberi pilihan untuk membayar cukai kepada kerajaan Islam. Akhirnya apabila berlaku kekerasan dari masyarakat tersebut, maka pada ketika itu orang Islam haruslah bertindak mempertahankan diri mereka termasuk dengan cara kekerasan seperti yang dilakukan terhadap mereka.

Di samping itu umat Islam seperti yang diterangkan di dalam al-Quran tidak seharusnya mencela atau memaki hamun sembahan orang lain, kerana ditakuti bahawa dengan berbuat demikian, orang lain juga akan mencela dan mengeji Allah Subhanahu Wa Taala. Maka untuk menjaga ketenteraman bersama tanpa menimbulkan sebarang ketegangan, umat Islam tidak seharusnya mempersoalkan tentang cara sembahan dan ibadat orang lain. Islam mementingkan keamanan dan perdamaian di antara semua penganut agama tanpa sebarang rasa permusuhan dan perbuatan zalim terhadap orang bukan Islam yang bebas menjalankan ibadat dan ritual mereka selama mana mereka juga menghormati Islam dan umatnya. (Surah Al-An'am (6) ayat 108).

Tetapi tindakan pembunuhan secara membuta-tuli tanpa mengira sama ada mangsa yang dibunuh itu terdiri daripada tentera atau orang awam, orang dewasa atau kanak-kanak, wanita atau lelaki, tua atau muda, berdosa atau tidak berdosa, seperti yang berlaku sekarang di Asia Barat atas alasan memerangi keganasan, maka tindakan inilah yang mengundang tindak balas daripada pihak yang ditindas dalam apa saja bentuknya seperti yang dapat dilihat di negara-negara yang bergolak akibat penaklukan oleh AS dan kekejaman dasar pemerintah Israel sekarang ini.

Hal ini menyentuh nyawa dan jiwa manusia dan menyentuh juga ketenteraman dan kesejahteraan rakyat yang ditindas itu. Mereka sentiasa berada di dalam ketakutan, sentiasa terdedah kepada bedilan peluru dan roket, nyawa mereka menjadi terlalu murah pada anggapan penjajah yang menjajah mereka, malah dalam kebanyakan peristiwa yang berlaku, nyawa mereka kelihatan lebih murah daripada nyawa unggas dan semut yang melata di atas muka bumi, dan tentunya lebih murah daripada nyawa anjing dan kura-kura yang menjadi binatang pemeliharaan mereka di rumah.

Betapa tidaknya, pada hari yang sama tersiarnya surat terbuka saya kepada Duta AS di KL, kita membaca berita bahawa sembilan orang kanak-kanak mati di Afghanistan akibat bedilan dan serangan AS. Pada hari Khamis, 11 Disember, tersiar pula berita tentang kematian enam orang lagi kanak-kanak di Afghanistan akibat perbuatan tentera AS dengan alasan yang sama, iaitu ``menyerang pemberontak Taliban dan Al-Qaeda'' kononnya. Kenapakah tentera AS yang begitu canggih dengan teknologi peperangan itu, masih mendakwa kononnya mereka telah tersilap mengebom dan menyerang sehingga tersalah sasaran dan membunuh kanak-kanak yang ramai bilangannya itu ?

Dasar dan tindakan inilah yang ditentang oleh semua manusia di dunia ini seperti yang dapat dilihat pada masa-masa yang terakhir ini. Tentangan ini tidak merupakan tentangan kerana agama dan kaum. Tentangan ini tidak ditujukan kepada rakyat AS, British atau Yahudi yang cintakan perdamaian dan mempunyai rasa simpati kepada mangsa kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan mereka. Malah kalau dilihat kepada kajian yang dilakukan secara rasmi atau tidak rasmi, ternyata bahawa peratusan yang tinggi suara rakyat dari negara-negara yang melakukan tindakan kejam terhadap mangsanya yang tidak berdaya itu, tidak bersetuju dengan ketua negara mereka sendiri di atas tindakan tersebut. Rakyat AS yang menentang serangan kerajaan mereka terhadap Iraq semakin meningkat bilangannya dari semasa ke semasa, demikian juga dengan rakyat British yang menentang dasar Perdana Menterinya yang menyokong AS memerangi Iraq.

Oleh itu tidak timbul sama sekali isu permusuhan agama dalam hal ini. Orang Islam sebenarnya tidak memusuhi penganut Kristian ketika mereka mempunyai kepercayaan bahawa Nabi Isa alaihissalam itu adalah anak Tuhan, pada hal di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menafikan hal ini (Lihat umpamanya ayat 73 Surah (5) Al-Maidah). Namun begitu umat Islam tidak seharusnya bertindak memusuhi atau mengganggu umat Kristian kerana kepercayaan itu, sebaliknya umat Islam akan lebih berusaha mencari titik persamaan dengan penganut agama lain daripada mencari titik-titik perbezaan di antara mereka yang boleh membawa kepada ketegangan dan kekacauan sesama sendiri. Islam lebih mementingkan keamanan sejagat daripada menimbulkan rasa taksub dan fanatik yang boleh mengganggu ketenteraman masyarakat keseluruhannya.

Pengalaman Malaysia sendiri menunjukkan bahawa umat Islam di sini tidak pernah mempersoalkan cara beribadat mengikut kepercayaan berbagai-bagai kaum seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya. Sebaliknya masing-masing mempunyai kebebasan untuk mengamalkan warisan tradisi dan agama mereka tanpa menimbulkan permusuhan sesama rakyat negara ini. Oleh itu apabila umat Islam bangun menentang tindakan AS di Iraq dan Afghanistan, dan tindakan Israel di Palestin, maka bantahan dan tentangan itu bukanlah merupakan tentangan terhadap Kristian atau Yahudi, tetapi tentangan terhadap perbuatan kejam mereka yang akibatnya menimbulkan pula tindak balas rakyat negara-negara tersebut secara ganas.

Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa Allah boleh mencipta semua umat manusia seluruhnya sebagai umat yang satu sekiranya Ia kehendaki (Surah Hud (11) ayat 118) dan (Surah Al-Nahl (16) ayat 93) tetapi kerana kemaslahatan dan kebajikan manusia itu sendiri supaya mempunyai kepelbagaian pandangan dan isu sendiri yang seharusnya diselesaikan bersama secara yang baik, maka Allah mencipta manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum, bangsa dan puak, serta lelaki dan perempuan, supaya mereka semuanya dapat hidup dalam satu dunia sendiri yang seharusnya ditadbir dengan baik sesama mereka.

Tegasnya, segala bantahan, teguran, protes, tentangan, termasuk apa yang saya kemukakan di dalam ``surat'' saya kepada Duta AS minggu lalu, adalah berdasarkan rasa kemanusiaan, nilai moral dan akhlak, norma-norma tamadun tinggi dalam dunia teknologi canggih ini yang seharusnya dihormati oleh semua manusia dan kerajaan, termasuk kuasa besar dan negara maju yang mendabik dada memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan bagi semua manusia.

No comments: