Wednesday, October 10, 2007

Pilih sekolah berimbang

Oleh Dr. Ismail Ibrahim
Peringatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini tentang keperluan orang Melayu memberi kepercayaan penuh kepada sekolah kebangsaan untuk mendapatkan ilmu dunia akhirat adalah amat tepat pada masanya. Pandangan yang dibangkitkan oleh beliau adalah satu pandangan yang progresif, terutamanya dalam memahami konsep pendidikan agama dan konsep ilmu di dalam Islam.

Pendidikan agama merupakan gabungan pendidikan dunia dan akhirat, iaitu yang merangkumi ilmu agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t., dan ilmu ciptaan akal manusia. Kedua-dua komponen ilmu ini dikenali sebagai ilmu akli dan naqli.

Dengan ilmu naqli seorang pelajar akan dapat mempelajari dan menguasai ilmu ibadat khusus dan fardu ain, membaca dan memahami al-Quran, memahami asas ilmu fikah, tafsir, hadis dan sebagainya.

Ilmu akli pula merangkumi ilmu hisab, sains, sejarah, geografi dan sebagainya. Ilmu akli ini dipelajari untuk melengkapkan seorang pelajar dengan kelengkapan dunia, kerana dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang manusia, dia seharusnya berilmu untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Saya melihat bahawa kedua-dua bidang ilmu ini telah diajar di sekolah kebangsaan. Sukatan pelajaran dan kurikulum baru pelajaran agama telah banyak mengalami perubahan sesuai dengan konsep kesepaduan ilmu mengikut konsep ilmu dalam Islam.

Para pelajar sekolah kebangsaan telah dapat menguasai asas-asas ilmu fardu ain, pengajian al-Quran dan hadis, menguasai tulisan jawi sendiri, satu tulisan yang selama ini diperjuangkan oleh orang Melayu, agar murid sekolah akan dapat membaca al-Quran dengan baik.

Inilah hakikat yang wujud dalam pendidikan sekolah kebangsaan sejak beberapa lama dulu. Semasa saya masih kecil, saya sebenarnya mempelajari agama dan al-Quran di sebelah petang, iaitu ketika sekolah ini dinamakan sekolah Melayu pada zaman penjajahan Inggeris dulu.

Setelah tamat sekolah Melayu, saya melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab, kerana pada waktu itu sekolah menengah yang ada ialah sekolah Inggeris, dan dalam sekolah Inggeris ini tidak diajarkan mata pelajaran agama.

Maka untuk mempelajari agama, saya dan anak-anak Melayu lain terpaksa pergi ke sekolah Arab atau sekolah agama, malahan banyak juga yang pergi belajar ke sekolah pondok, sama ada di dalam negeri, atau ke Acheh dan Pattani. Ramai juga yang pergi ke Mekah atau Mesir.

Tetapi sekarang ini semua mata pelajaran agama telah disepadukan di dalam sekolah kebangsaan, dan telah diberikan waktu yang agak panjang dengan tenaga pengajar yang terlatih serta penyediaan buku teks yang diselenggarakan oleh pihak kerajaan sendiri.

Ertinya sekolah kebangsaan telah memberikan peluang yang cukup untuk seorang pelajar itu mempelajari ilmu untuk dunia dan akhirat di peringkat yang dimaksudkan.

Kalau kita mengambil sedikit waktu mengkaji mata pelajaran agama yang diajar di sekolah kebangsaan sekarang ini, maka kita tentu akan mendapati bahawa isi dan kandungan pelajaran itu lebih daripada mencukupi untuk memberi asas agama kepada para pelajar kita, dan telah pun membuktikan keupayaannya untuk para pelajar mempraktikkan ibadat sembahyang, puasa, membaca al-Quran dengan tafsirnya, demikian juga beberapa petikan hadis dengan maknanya yang dapat memberi pengajaran yang baik kepada para murid.

Di peringkat menengah pula, pelajaran agama meningkat lebih tinggi dan merangkumi lebih banyak mata pelajaran yang bercorak kemasyarakatan dan ketamadunan.

Kalau pun terdapat kelemahan, maka mungkin kerana beberapa faktor lain, seperti kekurangan guru atau pendekatan pengajaran yang kurang memuaskan. Maka semuanya ini perlulah diperbaiki oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Tetapi pada umumnya, pelajaran asas agama di sekolah kebangsaan itu telah disusun sebegitu rupa oleh para ahli pendidikan dan ahli agama yang dirasakan sesuai dengan pertumbuhan akal dan kecekapan berfikir murid itu sendiri, tanpa bergantung kepada hafalan atau membaca dan mengingati sesuatu yang amat maknawi tanpa dapat difahami dan dihayatinya.

Saya amat bersetuju bahawa sekolah kebangsaan menjadi saluran yang penting kepada para murid Melayu untuk mempelajari agama. Biarlah sekolah kebangsaan memainkan peranannya yang penting untuk mengeluarkan murid yang mempunyai maklumat asas yang kuat tentang agama, dan dalam masa yang sama, mereka juga dapat mempraktikkan apa yang dipelajari, termasuk cara berwuduk, bersembahyang, dan membentuk moral dengan pengajaran akhlak berasaskan pelajaran agama itu.

Saya perhatikan bahawa para pentadbir sekolah kebangsaan sekarang ini pun telah banyak mempraktikkan tradisi agama di dalam sekolah masing-masing, seperti memulakan sesi dengan doa, menggalakkan para murid memberi salam, selain menyediakan ruang sembahyang untuk murid lelaki dan perempuan. Malah pakaian para pelajar juga telah memenuhi tuntutan agama kita.

Seperti yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri, memang tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalang para ibu bapa yang ingin menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah agama dari peringkat rendah lagi. Tetapi yang menjadi persoalan ialah tentang kualiti pelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat yang kadangkala agak terkebelakang daripada aliran sekolah kebangsaan, terutamanya untuk menyediakan para pelajar bagi menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Sekiranya sekolah agama rakyat benar-benar dapat menyediakan kemudahan dan pengisian pendidikan yang seimbang dan kukuh dalam aspek pelajaran agama dan akademik lain seperti yang terdapat di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) anjuran Kementerian Pendidikan, maka hal ini tentulah tidak menjadi masalah besar dalam menyediakan para murid yang bermutu.

Tetapi sekiranya sekolah agama swasta atau rakyat yang amat kekurangan kemudahan fizikal dan prasarana pembelajaran yang lain, kekurangan guru dan buku, atau yang lebih banyak menumpukan kepada mata pelajaran agama sahaja, maka hal ini akan menjadi satu masalah bagi masa depan para pelajar itu.

Pada masa ini, saya rasa terdapat ratusan sekolah agama rakyat yang serba kekurangan, sama ada dari segi kemudahan fizikal, seperti bangunan, bilik darjah dan kemudahan komputer, makmal dan saluran pembelajaran lain.

Bilangan sekolah agama yang banyak ini pula melibatkan puluhan ribu pelajar, terutamanya jika diambil kira bilangan sekolah menengah agama rakyat dan bilangan pelajarnya yang mungkin menjangkau ratusan ribu.

Bilangan pelajar yang banyak ini sekiranya tidak mendapat pendidikan asas yang kukuh sejak dari permulaan lagi, maka tentulah mutunya juga akan lemah menjelang tahap yang lebih tinggi. Tambahan pula kita sering mendengar bahawa terdapat ramai juga para pelajar yang tinggi tahap kecerdasan otaknya, dan mendapat keputusan peperiksaan yang baik, telah memilih untuk memasuki sekolah agama rakyat ini.

Saya rasa bahawa kedudukan sekolah kebangsaan dalam memberikan pendidikan agama ini agak mencukupi, terutamanya apabila diambil kira pertumbuhan otak kanak-kanak dan keupayaan mereka untuk menguasai ilmu yang dipelajarinya dengan berkesan.

Namun begitu, sekiranya terdapat masa yang lapang di sebelah pagi atau petang, maka ibu bapa bolehlah menghantarkan anak-anak mereka untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam lagi, dan pelajaran di luar waktu sekolah ini biarlah menjadi pengukuh atau pelengkap kepada pelajaran agama yang dipelajarinya di sekolah kebangsaan.

Kita sering lupa hakikat kejadian manusia di alam ini, sedangkan kita sendiri sering menegaskan bahawa manusia dijadikan Allah s.w.t. ialah untuk beribadat kepada-Nya. Beribadat kepada Allah ialah dengan menjalankan peranan manusia sebagai hamba Allah, dan sebagai khalifah-Nya.

Sebagai hamba Allah kita mestilah menunaikan segala amal ibadat, melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunah, juga dalam hukum-hukum agama yang disepakati oleh ulama.

Hal inilah yang telah kita fahami dan pelajari selama lebih 15 kurun kedatangan Islam, iaitu mempelajari fardu ain, ibadat khusus dan ritual.

Tetapi kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah untuk membangun dan memakmurkan alam ini. Kerana untuk menjadi khalifah Allah bagi mentadbir alam ini dengan berjaya seperti yang dikehendaki oleh Allah mengikut ajaran-Nya yang kita dapati di dalam al-Quran, iaitu dengan menguasai ilmu pengetahuan dunia yang mempunyai kaitan dengan sains dan teknologi, ilmu bintang dan cakerawala, ilmu pemerintahan dan politik, ekonomi dan perdagangan, pertahanan dan kelengkapan senjata, dan segala macam ilmu lain lagi, maka manusia haruslah belajar dan mencapai kejayaan di dalam ilmu pelajaran yang tersebut, iaitu menjangkau lebih jauh kehadapan daripada hanya menumpukan kepada ritual dan ibadat khusus.

Ritual dan ibadat khusus secara asasnya memanglah menjadi kewajipan bagi setiap individu orang Islam mempelajari dan menguasainya. Tetapi orang Islam juga seharusnya menjadi ahli profesional dan ilmuwan yang mencakupi berbagai-bagai bidang ilmu yang tumbuh dengan banyaknya di dunia ini dari semasa ke semasa.

Kalau hal itu tidak kita kuasai, maka bolehkah kita menjadi wakil Allah s.w.t., sebagai khalifah-Nya, bagi mentadbirkan alam ini mengikut ajaran-Nya itu?

Bagi saya, kita seharusnya berusaha keras bagi mengubah corak dan pola pemikiran orang Islam sekarang ini tentang konsep ilmu dan agama mengikut perkembangan dunia baru, tanpa melupakan dasar dan prinsip kefahaman agama itu menurut al-Quran dan Sunah. Kalau tidak maka selama-lamanya kita hanya akan belajar menjadi hamba Allah, sedangkan peranan khalifah Allah kita berikan kepada orang lain.

Sebab itulah seruan Timbalan Perdana Menteri agar diperkuatkan komitmen kita kepada sekolah kebangsaan itu diambil perhatian dengan serius oleh semua pihak.

No comments: