Friday, June 8, 2007

Manfaatkan anugerah yang disediakan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KADANG-kadang manusia hanya mempunyai peluang untuk seketika sahaja dalam hidupnya. Oleh itu apabila peluang terbuka itu tidak dipergunakan dengan sebaik-baiknya, maka mungkin ia akan terus terlepas. Sebab itulah al-Quran banyak sekali memberikan peringatan kepada kita tentang segala kemudahan daripada kejadian yang disiapkan untuk kita oleh Allah s.w.t. supaya kita sentiasa memanfaatkannya.

Satu perkataan penting yang sering dipergunakan di dalam al-Quran yang menjurus ke arah hal ini ialah sakhkhara. Kata kerja sakhkhara ini sering diterjemahkan sebagai memudahkan atau menundukkan dan sebagainya. Ia membawa pengertian bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan sesuatu untuk dipergunakan oleh manusia. Allah s.w.t. menjelaskan tentang segala kemudahan dan nikmat yang disediakan-Nya untuk dimanfaatkan oleh manusia dengan sebaik-baiknya.

Kalau kita perhatikan dengan teliti maka di dalam surah Ibrahim sahaja terdapat beberapa ayat, iaitu ayat 32 dan 33, kemudian di dalam surah al-Nahl ayat 12 dan 14 dan di dalam surah-surah lain, di mana Allah s.w.t. menjelaskan tentang hal ini, iaitu bagaimana Allah s.w.t. telah menjadikan alam ini yang terdiri daripada sungai, matahari, bulan, malam, siang, lautan, bukit bukau, langit dan bumi, dan sebagainya. Semuanya ini merupakan kejadian buana untuk manusia mengambil manfaat dan menambahkan ilmu pengetahuan dengan mengkajinya, seterusnya manusia akan menjadi lebih beriman dengan kekuasaan dan kebesaran Allah hasil daripada ilmu pengetahuan yang diperolehnya itu.

Mesej al-Quran dalam hal ini ialah mengingatkan manusia agar sentiasa mengambil sikap yang menyahut segala sesuatu yang berada di sekelilingnya, yang tersedia untuk diperiksa dan dipergunakannya untuk kebaikan mereka sendiri.

Mesej inilah yang tercetus ketika saya menghadiri dan mengambil bahagian dalam Seminar Pembangunan Ummah yang dilangsungkan di Johor Bahru pada 19 dan 20 Mei lalu. Seminar tersebut antara lain mendengar bahawa segala prasarana dan kemudahan dalam pelbagai bidang yang disediakan kepada rakyat negara kita amatlah banyak sekali, termasuk dalam konteks pembangunan agama dan umatnya. Maka peluang dan kemudahan ini seharusnyalah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, kerana peluang seperti ini mungkin tidak akan terbuka lama.

Prasarana teknologi maklumat dan komunikasi, peningkatan ekonomi dan kehidupan material, kemudahan berdakwah dan beribadah, pendidikan dan bidang ilmu pengetahuan, agenda menghapuskan kemiskinan dan buta huruf, dan berbagai-bagai peluang dan kemudahan lain amat luas terbuka di hadapan kita untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak. Maka yang diperlukan ketika ini ialah bagaimana seharusnya kita memahami dan merebut peluang daripada kemudahan itu dengan bersungguh-sungguh. Keterbukaan minda dan sikap yang positif amatlah penting ketika ini, supaya segala yang terhidang itu tidak dipandang dengan minda yang tertutup dan sikap yang negatif.

Prasarana teknologi maklumat dan komunikasi yang disediakan dalam Koridor Raya Multi Media (MSC) merupakan peluang keemasan yang terbuka luas di hadapan orang Islam dalam merangka dan menyebar luaskan maklumat dan ilmu pengetahuan Islam kepada dunia seluruhnya.

Peluang ini tentulah boleh dipergunakan untuk memprojekkan ajaran dan nilai Islam untuk seluruh umat manusia secara amat berkesan sekali. Tetapi yang dipergunakan oleh segelintir umat kita daripada kemudahan ini nampaknya lebih menuju kepada pandangan yang negatif tentang agama dan umatnya.

Dalam seminar tersebut timbul juga isu pendidikan dengan segala permasalahannya di kalangan pelajar Islam mulai daripada kualiti kesarjanaannya sehingga ke persoalan pinjaman pendidikan yang dirasakan amat membebankan. Dalam konteks ini banyak perkara yang sebenarnya tidak difahami tentang persoalan yang dibicarakan itu. Seperti yang dijelaskan oleh seorang pembentang di seminar tersebut, bahawa persoalan sekarang adalah sikap dan tanggungjawab pelajar terhadap masa depannya sendiri dan peluang yang seharusnya direbut dengan cepat.

Kemudahan untuk belajar amat banyak disediakan. Pertolongan kewangan dan bantuan lain telah dihulurkan dengan agak mewah kepada mereka. Kemudahan prasarana dan bangunan fizikal dan sumber tenaga manusia untuk mengendalikan institusi pendidikan itu telah dibangunkan dengan sebaik-baiknya. Malah dari peringkat rendah dan menengah, perhatian yang amat besar telah diberikan kepada para pelajar, khususnya dari luar bandar yang cuba dibawakan ke bandar, ke dalam asrama yang disediakan dengan segala kemudahan yang wajar.

Perbelanjaan untuk seorang pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menelan ribuan ringgit bagi setahun, malah pelajar sains dan teknologi, perubatan dan kejuruteraan, perbelanjaannya berlipat ganda, mungkin hampir ratusan ribu dibelanjakan untuk mengeluarkan seorang siswazah dalam bidang yang mahal ini. Namun seorang pelajar IPT khususnya IPTA hanya membayar kadar yang amat minimum setiap tahun. Setiap orang pelajar IPTA boleh bertanya diri sendiri berapa banyakkah wang yang dibayarnya pada setiap tahun sebagai yuran pengajian dan peperiksaan. Maka, sekiranya belanja keseluruhan pelajaran mereka di universiti menjangkau puluhan ribu maka siapakah yang menanggung baki bayarannya itu?

Bagaimanapun hal ini tidaklah perlu dipertikaikan, kerana sememangnya telah menjadi kewajipan pemerintah untuk menjamin bahawa rakyatnya berpeluang mendapat pendidikan yang baik. Cuma yang harus dipersoalkan dalam konteks ini bagaimanakah sikap kita dalam merebut peluang yang telah terbuka dengan luasnya ini untuk kita manfaatkan, khususnya para pelajar Melayu yang telah dimanjakan sebegitu rupa selama ini.

Apakah kita benar-benar menyedari bahawa peluang ini benar-benar wujud di hadapan kita? Dan apakah kita sedar bahawa peluang ini mungkin tidak akan bertahan lama sekiranya tidak kita rebut sekarang ini? Kajilah kesan positif Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) kepada para pelajar Melayu. Renungkan juga dasar pemberian biasiswa dan kuota kemasukan ke IPTA yang dijalankan selama ini. Semuanya ini untuk siapa?

Isu ini merupakan satu isu sahaja bagaimana peluang yang telah terbuka di hadapan kita seharusnya kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Seperti peluang pendidikan, maka demikian juga peluang dalam MSC, bidang perniagaan, agenda agama, bahasa, pertanian, perumahan, pekerjaan dan sebagainya.

Semuanya ini merupakan penyediaan prasarana dan kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan oleh kita semua. Hanya kita sahaja yang dapat menentukan sikap dan agenda kita untuk merebut peluang dan kemudahan yang telah disediakan itu. Pihak yang menyediakan kemudahan dan peluang tentunya tidak akan cuba mengajar kita lagi bagaimana kita seharusnya menyusun program dan langkah untuk merebut peluang itu.

Rasulullah s.a.w. pun telah mengingatkan kita tentang lima perkara yang harus direbut sebelum tiba lima perkara lain yang akan melenyapkan segala harapan untuk merebut peluang yang disediakan itu. Isunya sekarang sampai bilakah kita orang Melayu dan orang Islam harus menunggu untuk merebut segala kemudahan dan peluang yang ada di hadapan kita? Adakah kita akan menunggu sehingga ke hari kiamat?

Toleransi ada batas-batasnya

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BERIKUTAN daripada tulisan saya di dalam ruangan ini minggu lalu, terdapat beberapa orang pembaca yang beranggapan seolah-olah Islam tidak dapat bertoleransi di dalam beberapa aspek yang tertentu, sedangkan pada dasarnya Islam adalah satu agama yang penuh dengan sifat toleransi dan bertolak ansur.

Memanglah saya bersetuju bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur. Bagaimanapun Islam dapat bertoleransi selagi ia dapat difahami dengan baik tentang sempadan-sempadan yang tertentu dalam soal-soal dasar agama itu.

Islam malah dari awal lagi memberi jaminan kepada kebebasan manusia memilih agama masing-masing seperti yang ditegaskan di dalam surah al-Kafirun bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

Menurut para pentafsir, surah ini diturunkan Allah s.w.t ketika orang Musyrikin cuba membuka dialog dengan Rasulullah s.a.w agar mengambil jalan tengah dalam beribadat kepada Tuhan. Mereka meminta baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun, kemudian mereka pula akan menyembah Allah s.w.t selama setahun juga. Lalu turunlah ayat-ayat yang menegah baginda melakukan demikian pada masa itu dan pada masa-masa yang akan datang.

Isu menyembah Tuhan adalah isu pokok akidah dan tidak dapat dipermain-mainkan, kerana itulah baginda Rasulullah s.a.w tidak dapat sama sekali bertolak ansur dalam soal dasar ini.

Malah masing-masing boleh memilih jalannya sendiri dalam soal ibadah yang mempunyai hubungan rapat dengan akidah ini. Kalau masih mahu berada di dalam syirik maka boleh terus syirik, demikian jugalah sebaliknya, iaitu sekiranya telah beriman kepada Allah s.w.t maka seorang itu haruslah terus beriman.

Pendeknya, isu akidah bukanlah satu perkara yang dapat dikompromi dengan mudah sekali seperti soal-soal keduniaan dan kemanusiaan yang tidak melibatkan keimanan. Inilah sebenarnya konsep toleransi dalam agama yang dilihat oleh Islam.

Malah di dalam al-Quran juga ditegaskan dengan jelas sekali agar orang-orang yang beriman tidak mencela sembahan-sembahan orang lain, supaya orang lain juga tidak akan bertindak mencela Allah s.w.t. Maksudnya dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing, maka Islam memberi kebebasan penuh bagi manusia dalam mempraktikkannya dan tidak dibenarkan sebarang penganut agama mempersoalkan cara orang lain beribadat.

Demikianlah juga dalam persefahaman kita di negara kita, iaitu setiap pemeluk agama dan kepercayaan yang tertentu adalah bebas untuk mempraktikkan agama masing-masing dengan syarat ia dilaksanakan di dalam keadaan aman dan harmoni.

Untuk menjaga keharmonian inilah telah saya berikan contohnya di dalam tulisan saya yang lalu bahawa ceramah pendakwah Ahmad Deedat dirasakan tidak sesuai dilakukan di negara kita ketika beliau memberikan hujah untuk membuktikan kebatilan ajaran agama lain kerana dirasakan bahawa hujah tersebut merupakan satu sikap konfrontasi secara terbuka yang tidak seharusnya menjadi tajuk perdebatan umum.

Penjelasan dan analisis begitu mungkin hanya sesuai dibicarakan secara ilmiah di dalam masyarakat yang tertentu , atau di dalam majlis yang tertutup sahaja. Inilah sikap hikmah dan bijaksana yang seharusnya menjadi wadah pembicaraan isu-isu sensitif bagi sesuatu masyarakat, sama ada isu-isu agama, bahasa, budaya dan sebagainya, apa lagi isu-isu sensitif bagi kepelbagaian kaum dan etnik seperti negara kita.

Maka dalam konteks ini isu-isu agama yang dibentangkan di dalam tuntutan-tuntutan tertentu di negara kita tidak seharusnya dibicarakan secara terbuka dan menyinggung perasaan kalangan yang tertentu.

Inilah sebenarnya konsep toleransi dan bertolak ansur menurut pandangan Islam iaitu yang bertujuan mencari perdamaian dan keharmonian masyarakat. Namun begitu dalam bertoleransi, Islam juga sentiasa berwaspada dan sering mengingatkan penganutnya tentang taktik musuh-musuhnya yang mungkin mengambil kesempatan daripada kelembutannya itu. Sebab itulah al-Quran juga di dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9 menegaskan bahawa Allah s.w.t tidak menegah kita orang Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak menunjukkan permusuhan kepada kita kerana kita beragama Islam, dan tidak pula mengusir kita dari negeri kita, kerana Allah s.w.t amat mencintai orang yang berlaku adil.

Ayat ini seterusnya memberikan perincian dalam konteks yang sama, iaitu Allah s.w.t menegah kita daripada berbuat baik kepada orang-orang yang memusuhi kita kerana agama, atau mengusir kita dari negara kita, atau pun yang memainkan peranan menolong kalangan lain yang sedang berusaha untuk mengusir kita dari negara kita.

Ayat sependek ini sudah agak mencukupi untuk memberikan panduan kepada kita tentang siapakah musuh kita yang sebenarnya yang tidak seharusnya dipandang ringan dan dibiarkan bermaharajalela melaksanakan agenda permusuhannya dengan orang Islam. Peristiwa yang berlaku di Palestin dan di Bosnia umpamanya jelas membayangkan permusuhan terhadap orang Islam di dalam kedua-dua aspek yang dikemukakan oleh ayat-ayat yang tersebut iaitu memusuhi umat Islam kerana mereka beragama Islam dan umat Islam diusir dari rumah tangga dan negara mereka secara yang amat kejam.

Maka pada ketika ini umat Islam tidak harus berdiam diri, malah seharusnya dapat bertindak mempertahankan hak mereka, bukan menyerah kalah atas nama toleransi dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w dalam mengamalkan sifat toleransi kepada semua orang, termasuk masyarakat bukan Islam, telah memeteraikan perjanjian damai yang mengandungi ciri-ciri hidup bersama secara rukun dan damai, termasuk hak perlindungan di sisi undang-undang dan kewajipan bersama untuk mempertahankan negara.

Tetapi apabila kaum Yahudi Bani Nadir bertindak mengkhianati perjanjian ini, yang merupakan kontrak sosial di antara baginda dengan kaum tersebut, maka Baginda telah mengambil keputusan yang tegas dengan mengeluarkan mereka dari bumi Madinah iaitu dengan memberi masa selama sepuluh hari kepada mereka untuk meninggalkan negeri Madinah.

Tindakan baginda telah dilakukan sebegitu tegas kerana kewujudan mereka di dalam negara boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan umum. Jadi, di samping sifat bertolak ansur dan bertoleransi di dalam banyak perkara, maka terdapat kes-kes yang tertentu yang menuntut tindakan tegas dan drastik dilakukan demi kepentingan umum dan kesejahteraan negara.

Demikianlah sebenarnya konsep toleransi Islam yang memberikan kesempatan dan peluang yang banyak kepada setiap individu dan masyarakat menikmati hak masing-masing.

Tetapi toleransi ini juga mempunyai sempadan dan had yang tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Dua perkara yang telah disebutkan di dalam ayat di atas jelas memberi amaran kepada orang Islam bahawa permusuhan terhadap orang Islam akan sentiasa lahir kerana mereka beragama Islam, dan mereka akan sentiasa terdedah kepada kumpulan musuh yang akan cuba merampas hak mereka, termasuk rumah tangga dan negara mereka juga. Maka dalam keadaan ini Islam tidak dapat lagi bertoleransi, malah seharusnya bertindak tegas dan keras.

Tazkirah politik cemarkan tarawih

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BULAN Ramadan telah berlalu dengan pantas sekali. Hari ini kita telah menunaikan ibadat puasa selama sebelas hari. Tetapi kita tidak pasti apakah amalan berpuasa ini benar-benar telah meninggalkan kesan yang baik terhadap diri kita dari segi pertuturan, tingkah laku, peningkatan kerohanian dan sebagainya.

Hanya individu itu sendiri yang dapat menilai dan merasakannya. Yang amat diharapkan bahawa ibadat ini akan meninggalkan kesan yang baik dan positif kepada kaum Muslimin semua.

Satu perkara yang jelas bertentangan dengan hikmah dan ajaran ibadah puasa mungkin telah berlaku ketika pilihan raya kecil di Lunas tempoh hari. Sekurang-kurangnya para penceramah dan penyokong parti-parti yang bertanding di dalam pilihan raya itu telah berusaha bermati-matian untuk memenangkan calonnya. Dan untuk mencapai kemenangan itu maka para pengundi haruslah dipengaruhi.

Untuk mempengaruhi para pengundi pula maka masing-masing tentulah akan membuka keburukan pihak lawan dan menonjolkan kebaikan sendiri, walaupun dalam kedua-dua aspek itu ada yang terdesak untuk berbohong dan berpura-pura malah mungkin sehingga mengeluarkan fitnah dan hasutan.

Pendeknya kempen pilihan raya telah menjadi satu permainan yang seolah-olah dilukis dalam warna hitam putih, tidak ada lagi warna lain. Yang putih kepunyaan kita semuanya dan lawan kita pula semuanya hitam, tak berguna, jahat dan sebagainya. Maka dari sudut ini nampaknya Ramadan tahun ini menyaksikan tingkah laku, tutur kata dan perilaku sesetengah pendukung dan penyokong parti politik yang keterlaluan, agresif, tidak beretika, tidak beradab sopan, dan yang lebih bahaya lagi ialah tindakan kekerasan yang hampir-hampir mencetuskan kekacauan di antara dua golongan umat yang sama-sama menunaikan ibadat puasa pada bulan yang mulia ini.

Namun begitu hal ini tidak bermakna bahawa dalam bulan puasa kita harus menangguhkan semua aktiviti kita keseluruhannya. Saya tidak berpandangan begitu, malah apa saja aktiviti yang boleh dijalankan pada bulan ini, maka aktiviti itu seharusnya dijalankan juga di dalam bulan puasa.

Cuma yang dikesalkan ialah sikap manusia yang dipengaruhi oleh sentimen, emosi keterlaluan dan fanatik melulu yang mencemarkan etika dan ajaran agama ketika berusaha menegakkan pendirian masing-masing. Hal inilah yang amat mencemarkan nama baik dan maruah orang Islam, terutamanya dalam menegakkan hujah yang palsu.

Bagaimanapun pilihan raya itu telah selesai, dan kini semuanya kembali tenang dan aman untuk kita meneruskan ibadat pada bulan mulia ini. Namun begitu, kita tidak selamanya beranggapan demikian, kerana dari amalan sesetengah kalangan orang Islam, ternyata bahawa bulan puasa tidak memberikan kesan untuk mereka menjaga adab pertuturan dan etika Islam ketika membicarakan isu-isu tertentu.

Seperti pada bulan puasa yang lepas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saban malam di masjid dan surau tertentu terdapat para penceramah yang memberikan peringatan atau tazkirah kepada para jemaah yang sedang menunaikan sembahyang tarawih.

Tazkirah mereka memanglah baik pada dasarnya iaitu untuk memberi nasihat dan peringatan sesuai dengan pesanan Allah s.w.t supaya saling ingat mengingatkan sesama insan kerana peringatan itu mungkin memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Tetapi tazkirah itu akan memberi manfaat untuk semua sekiranya isu yang dibicarakan berbentuk objektif dan terlepas dari ungkapan yang menyinggung pihak-pihak lain, atau mengandungi prasangka dan teori yang penceramah itu sendiri kadang-kadang tidak memahaminya.

Para jemaah yang datang ke surau atau ke masjid telah memasang niat yang suci, iaitu untuk datang menunaikan sembahyang tarawih, yang hanya dapat dilakukan setahun sekali.

Para jemaah itu pula terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan, pengetahuan, status sosial, dan termasuk fahaman politik yang berbeza mengikut selera masing-masing.

Orang begini tentulah tidak merasa selesa sekiranya mereka dipaksa untuk mendengar tazkirah, apa lagi apabila tazkirah itu disampaikan secara yang berat sebelah, tidak sesuai dengan pendirian dan ilmu pengetahuan mereka umpamanya, apa lagi jika dipenuhi pula dengan kata-kata yang berunsur mengumpat dan mempersendakan orang lain.

Akhirnya tazkirah yang seharusnya bermotifkan nasihat dan pesanan yang suci kerana Allah s.w.t menjadi ceramah politik yang dipenuhi oleh pandangan-pandangan individu penceramah yang tidak menyenangkan orang yang mendengarnya.

Saya akur dengan pandangan bahawa umat Islam harus berpolitik. Tetapi yang harus difahami dalam konteks ini ialah konsep dan pengertian politik dalam erti kata yang sebenarnya. Apakah politik kepartian sempit yang mengandungi kepelbagaian racun dan dosa itu harus diamalkan oleh orang Islam? Apakah bentuk ceramah pilihan raya yang dilaungkan dengan penuh emosi dan sentimen itu boleh diketengahkan sepanjang masa sehingga boleh dibawakan ke dalam masjid dan surau?

Oleh itu pada pandangan saya kita harus memahami apakah makna politik yang dibenarkan ialah akhlak dan ajaran Islam supaya dengan itu kita dapat membezakan di antara politik yang dapat membawa manfaat kepada umat kita dengan politik yang hanya memudaratkan keseluruhan umat kita.

Bulan Ramadan kini telah memasuki pertengahan jalan. Kita semua memahami hikmah dan rahsia puasa seperti yang dikehendaki agama kita. Kita mengetahui bahawa puasa adalah ibadat untuk Allah s.w.t, maka Dialah yang mengetahui amalan kita dan akan memberikan ganjarannya. Malah kita mengetahui bahawa puasa bererti mengawal semua aspek diri kita dari segi pertuturan, perbuatan, tindakan, sehinggakan perasaan hati dan niat kita semuanya haruslah berada di bawah kawalan kita sendiri.

Allah s.w.t tidak menilaikan ibadat puasa berdasarkan orang yang berpuasa, iaitu sama ada dia orang lelaki atau perempuan, tua atau muda, berilmu atau jahil, alim atau tidak alim. Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita bahawa Allah s.w.t tidak melihat kepada rupa paras dan imej seseorang, tetapi Allah s.w.t melihat kepada amalan kita untuk diberikan ganjarannya.

Maka dalam bulan puasa ini pun tidak ada orang yang merasakan ibadatnya akan terus diterima Allah s.w.t kerana sesuatu sebab yang tertentu. Semua kita adalah sama di hadapan Allah, oleh itu jagalah ibadat ini di peringkat individu masing-masing. Bulan Ramadan akan hampir meninggalkan kita, eloklah kita sedar dan insaf, agar kita tidak termasuk di dalam kalangan manusia yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat sesuatu pun kecuali lapar dan dahaga. Lapar dan dahaga itulah yang dialami, yang lain-lain tidaklah diketahui lagi.

Ramadan menawarkan perubahan radikal

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SATU perkara penting yang dibawa Ramadan setiap tahun ialah perubahan radikal yang berlaku kepada beberapa sistem kehidupan manusia. Ketibaan bulan puasa mengubah peraturan makan minum, jadual tidur, beribadat sunat dan sistem lain, termasuk sistem penghadaman dan pencemaran yang melibatkan sistem biologi manusia.

Sistem ini, atau sekurang-kurangnya beberapa aspek tertentu tentang peraturan ini, mengalami perubahan setibanya bulan puasa bagi orang Islam yang benar-benar mahu mengerjakan ibadat puasa dengan sempurna.

Perubahan ini pada pandangan saya adalah sesuatu yang perlu berlaku di dalam kehidupan seseorang. Allah swt mewajibkan masa sebulan dalam setahun mungkin membawa rahsia ini, iaitu memaksa manusia supaya keluar dari sistem rutin hidup mereka yang statik kepada satu sistem baru yang boleh mendidiknya menerima perubahan yang perlu.

Manusia berkualiti pada pandangan agama, jika ditaksirkan dari sudut ini, bukanlah manusia yang hanya menghayati rutin dan kebiasaan seharian dalam kehidupan tanpa perlu melakukan perubahan-perubahan tertentu.

Manusia pada umumya agak sukar menerima perubahan yang baru, terutamanya perubahan yang boleh merosakkan kebiasaan dan tradisi hidupnya sekian lama, apa lagi yang dianggapnya bertentangan dengan keselesaan dan kesenangan hidupnya dari segi jasmani, kebendaan, kerehatan dan sebagainya. Mereka akan menolak perubahan itu dan lebih mengutamakan tradisi dan adat istiadat hidup lama yang telah biasa dengan cara hidup mereka.

Maka ibadat puasa memaksa mereka yang beriman melawan kehendak tabii dan rutin hidup mereka seharian. Mereka tidak boleh makan minum dan bersama suami isteri ketika menjalani ibadat puasa pada siang hari. Bukankah hal ini bercanggah sama sekali dengan fitrah manusia?

Kenapakah pula makanan yang halal itu pun menjadi haram ketika berpuasa? Maka ibadat puasa menjawab persoalan ini iaitu bagi orang-orang yang beriman mereka harus menerima perubahan hukum ini dan mereka mestilah menerima hakikat bahawa keinginan fitrah itu tidak selamanya harus diikuti tanpa peraturan dan kawalan. Samalah juga halnya dengan kebebasan naluri dan emosi itu tidak selama merupakan kebebasan mutlak tanpa peraturan undang-undang yang tertentu. Mereka harus berperaturan dan tahu mengawal dan kerana manusia ini sebenarnya dijadikan Allah swt lengkap dengan daya kawalan dan ketahanan diri yang cukup kuat. Maka ibadat puasa sesungguhnya membantu dan melatih mereka untuk menguatkan daya ketahanan diri ini semaksimum mungkin.

Kerana hal yang tersebut maka puasa mempunyai matlamat yang amat besar ke arah mendidik rohani dan hati manusia supaya menjadi lebih ikhlas, sabar dan tegas. Dengan itu, puasa lebih mendekati kepada amalan hati, kerana dari segi lahirnya manusia boleh berpura-pura, manusia boleh menipu orang lain tetapi sekiranya hatinya baik maka ia tidak akan bertindak menipu dirinya sendiri.

Dalam ibadat puasalah pada umumnya manusia tidak bertindak menipu dirinya sendiri dengan berpura-pura menunaikan ibadat puasa. Maka di sinilah kelihatan manusia telah mendidik hati dan jiwanya supaya berlaku jujur dan bertanggungjawab kepada dirinya sendiri untuk berlaku jujur dan mentaati tanggungjawabnya kepada Allah swt.

Dari sudut keikhlasan hati inilah kita mengalami banyak pada masa kini. Manusia telah terjerumus ke lembah penipuan, ketidakjujuran, hasad dengki, tohmah dan fitrah sesama sendiri, serta berbagai-bagai tingkah laku yang menjelma dan berterusan di dalam masyarakat akibat dari hati dan jiwa yang sakit.

Allah swt berulangkali memperingatkan manusia supaya berhikmah, sabar, ikhlas, dan sebagainya melalui ayat-ayat yang banyak di dalam al-Quran. Manusia yang pandai berbicara dan bercakap, tetapi tidak melaksanakannya merupakan satu kategori manusia yang amat dimurkai Allah swt. Manusia yang tahu benar, tetapi berusaha menyembunyikannya merupakan satu lagi jenis makhluk yang diberi amaran keras oleh Allah swt. Jadi dalam persoalan ini ibadat puasa menepati matlamat untuk mengajar manusia supaya berlaku jujur dan ikhlas. Malah manusia yang perlu diajar itu pula bukanlah hanya manusia biasa, yang tidak berpendidikan atau yang jahil, tetapi termasuk manusia yang berilmu dan berpengalaman. Merekalah yang tahu apa yang benar, tetapi mereka menyembunyikannya yang tentunya mempunyai motif dan sebab-sebab tertentu. Oleh itu sekiranya puasa dapat mendidik mereka ini, maka pastilah mereka tidak akan bertindak demikian.

Perhatikan ayat-ayat yang berikut untuk renungan selanjutnya:

ifDan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui! (Al-Baqarah, ayat 42).

ifOrang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran, pada hal mereka mengetahui (Al-Baqarah ayat 146).

Inilah kerja hati manusia yang baik dan sihat, iaitu di antaranya mencampur-adukkan yang hak dan batil semata-mata kerana menyembunyikan hakikat kebenaran kerana mempunyai matlamat yang buruk ini. Dan sikap dan sihat inilah timbulnya justifikasi yang tidak wajar untuk orang bermusuhan sesama sendiri, malah lebih jauh lagi dari itu mengkafirkan sesama orang Islam umpamanya. Membenarkan perbuatan ini jelas bertentangan dengan kebenaran yang dibawa oleh ajaran agama tetapi kebijaksanaan orang-orang yang berilmu kadang-kadang dapat menutup kebenaran ini sehingga orang-orang yang tidak berilmu akan menganggap kebatilan itu satu kebenaran.

Dari asas sama inilah juga timbulnya kebenaran untuk mencerca dan memfitnah sesama sendiri. Mencerca dan memfitnah adalah satu perbuatan batil, tetapi akhirnya kerana kebijaksanaan orang-orang yang menyembunyikan kebenaran, maka fitnah dan tohmah menjadi perbuatan yang benar pula, dengan itu maka masjid mimbar, kuliah, Forum agama sering menjadi medan fitnah dan mengumpat malah menjadi di arena untuk menyembunyikan kebenaran dan hakikat dengan mendedahkan sesuatu yang dusta dan tidak benar.

Maka puasa Ramadan perlulah dihayati dengan bersungguh-sungguh agar ia menjadi cara terbaik membetulkan keseluruhan aspek kehidupan manusia yang semakin kafir dan gawat sekarang ini, termasuklah para bijak pandai yang tidak amanah dengan ilmu, terutamanya ilmu Allah s.w.t.

Rasuah amalan manusia gelojoh

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMAKIN berusia dunia ini, maka manusia di dalamnya merasa semakin resah dan gelisah. Segala krisis moral dan kerohanian, fizikal mental manusia yang berlaku hari ini pada umumnya adalah disebabkan manusia akhir zaman yang kelihatan semakin gawat dan resah. Manusia berebut pangkat dan benda dengan penuh gelojoh dan tamak, sehingga sanggup mengorbankan nilai-nilai moral kerohanian dan akhlak. Inilah sifat manusia yang digambarkan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma'aarij ayat 19-21 yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.

Perasaan resah gelisah manusia menjadi dorongan yang kuat kepadanya untuk bertindak zalim mengikut perasaan dan emosinya dengan mengetepikan pemikiran yang rasional dan nilai-nilai kehidupan yang murni menurut ajaran agama dan budaya bangsanya.

Mungkin inilah yang ditangiskan oleh Perdana Menteri ketika memberi ucapannya di dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO baru-baru ini. Beliau mungkin dapat melihat dengan jelas sifat gelojoh dan tamak haloba sesetengah anggota partinya yang sanggup menggadaikan maruah dengan mengamalkan rasuah dan politik wang untuk mencapai matlamat mendapatkan pangkat dan kuasa.

Malah beliau amatlah benar ketika mengingatkan bangsa Melayu khususnya bahawa mereka haruslah mengubah sikap sekiranya mereka mahu menjadi tuan di dalam negara sendiri, dan maju ke hadapan setaraf dengan orang lain.

Ayat-ayat Allah yang diperturunkan di atas menyatakan manusia mempunyai pilihan untuk bertindak dengan kekuasaan yang diberikan kepada mereka dalam batas-batasnya yang terhad. Manusia yang tersilap menggunakan kebebasan tertentu itulah yang menjadikan mereka lemah sehingga sanggup bertindak mengikut nafsu secara panik dan tergopoh-gapah. Manusia yang bersikap sombong dan tamak haloba juga sebenarnya berfikir secara terburu-buru sehingga melupakan nilai hidup yang murni dan suci.

Dalam hal ini manusia sebenarnya boleh bertindak mengekang dan menghalang nafsunya sekiranya mereka mahu berbuat demikian demi mematuhi nilai-nilai agama, moral dan fitrah kejadiannya yang dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai makhluk yang paling istimewa.

Saya teringat satu kisah yang pernah saya baca di dalam sebuah buku teks bahasa Arab tentang seorang raja yang didorong oleh nafsu sehingga sanggup mengorbankan arkiteknya sendiri dengan amat kejam. Kisah itu menceritakan bahawa arkitek tersebut yang bernama Sinimmar telah mereka cipta sebuah istana yang amat indah bagi raja itu.

Setelah bangunan istana itu siap maka raja itu merasa amat kagum dan gembira lalu mengajak arkitek tersebut menemaninya untuk melihat seni binanya yang amat menarik dan menikmati pandangan di luarnya yang sungguh indah kerana istana itu terletak di atas sebuah bukit. Ketika raja tersebut bertanya Sinimmar apakah terdapat sebuah istana lain seindah itu, maka ia menjawab bahawa mengikut pengetahuannya tidak terdapat sebuah istana pun secantik dan semegah itu. Raja itu bertanya lagi apakah terdapat seorang arkitek lain yang mampu mereka cipta istana seindah darinya.

Ia menjawab tak mungkin ada orang lain yang sama dengannya. Maka ketika inilah terlintas di fikiran raja bahawa sekiranya dibiarkan arkitek ini hidup maka mungkin ia akan mereka cipta istana yang lebih indah untuk orang lain.

Maka raja pun memerintahkan para pengiringnya supaya menolak arkritek yang malang ini keluar bangunan yang tinggi itu, dan terkorbanlah Sinimmar akibat gelojoh dan sikap sombong bongkak raja tersebut yang tidak mahu melihat seorang lain mempunyai kedudukan yang sama apa lagi melebihinya.

Inilah sebenarnya kelemahan manusia yang singkat dan yang hanya mementingkan dirinya sendiri sehingga sanggup membunuh seorang yang amat berjasa kepadanya.

Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, beliau bukan hanya sekali dua mengingatkan anggota partinya supaya menjauhi salah laku dan tindakan menyeleweng berdoa, maka kali ini dengan meminda perlembagaan parti pula. Saya percaya beliau sendiri pun bingung selepas ini apakah pula yang hendak dilakukan sekiranya keadaan tidak berubah.

Saya percaya ramai di antara para hadirin yang mendengar ucapan beliau itu bersetuju dan akur dengannya, iaitu memandang kepada sambutan, tepukan tangan dan sorak-sorai yang menyokongnya. Tetapi yang tidak dipastikan berapa ramai pula yang akan benar-benar bertindak untuk memperbetulkan tindakan dan salah laku yang diamalkan selama berjaya disembunyikan selama ini? Malah berapa ramaikah yang benar-benar sanggup merealisasikan konsep dan amalan kepimpinan melalui teladan sekiranya dapat diandaikan bahawa salah laku dan politik wang ini diamalkan di peringkat pimpinan di atas?

Peringatan Perdana Menteri ini sebenarnya bukanlah ditunjukan kepada segelintir manusia sahaja, malah saya percaya ia ditujukan kepada semua rakyat dan orang Melayu khususnya yang sekarang ini kelihatan termasuk di dalam mesej Allah s.w.t. tentang kegopohan, kemelut, gelojoh dan bersifat untuk itu. Inilah sikap manusia generasi yang akan datang, anak cucu kita.

Bagi orang yang biasa dengan tulisan Alvin Toffler, maka sifat generasi gelojoh sekarang ini termasuklah juga sifat manusia baru yang kehilangan nilai murni dan akhlaknya, iaitu manusia liar dan gelojoh di dalam Gelombang Ketiga atau Third Wave. Sifat ini juga yang mungkin sedang melanda arena politik Amerika Syarikat di dalam kekecohan pemilihan presidennya yang baru satu proses yang kacau bilau yang sering dilabelkan kepada dunia ketiga sahaja.

Amerika Syarikat yang merasa dirinya termaju di dalam dunia, tetapi di dalam hal ini tidak dapat menyembunyikan keaibannya yang amat memalukan.

Pendeknya apa yang disebutkan Allah s.w.t. tentang sifat manusia ini sebenarnya bukan hanya untuk sekelompok sahaja, tetapi untuk semua orang tidak kira sama ada mereka berada di Barat atau di Timur, di negara maju atau membangun.

Manusia tetaplah manusia, sombong dan gelabah tamak dan haloba. Maka manusia sendirilah yang seharusnya bertindak mengatasi sifat buruknya.

Teladani akhlak Rasulullah

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BANYAK perkara yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang meninggalkan kesan negatif kepada generasi muda.

Satu perkara yang telah saya sentuh di dalam tulisan ini dua minggu lalu ialah teladan buruk yang berlaku di kalangan Ahli Parlimen ketika Menteri Kewangan mengemukakan ucapan Belanjawan 2000.

Beliau diejek dan disorak serta dilemparkan dengan kata-kata kesat yang amat tidak wajar dikeluarkan di dewan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan secara profesional dan penuh hikmah.

Sayangnya keadaan menjadi lebih serius lagi selepas itu ketika terdapat ahli-ahli Yang Berhormat itu bertindak melampaui kata-kata kesat dan tidak bersopan, iaitu ketika terdapat ahli-ahli yang cabar mencabar untuk beradu kekuatan fizikal di luar dewan.

Hal-hal yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara kita nampaknya mulai diketengahkan oleh generasi dewasa kini.

Oleh itu seperti yang telah saya timbulkan dulu bahawa kesan negatifnya mungkin tidak dirasakan oleh mereka yang terlibat secara langsung sekarang ini, tetapi kesan buruknya yang seharusnya dipertanggungjawabkan kepada mereka ialah segala tindakan yang mereka ambil ini akan menjadi satu norma hidup dan tindakan, atau satu budaya dan gaya hidup yang bakal diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Segala apa yang dilakukan itu, terutamanya yang timbul dari kalangan orang yang dihormati dan dipuja oleh generasi muda yang tertentu, akan dianggap sebagai nilai dan normal hidup yang dapat diterima sebagai satu budaya bangsa yang tabii.

Selama ini pun kita sering mendengar dan membaca tentang tindakan generasi lama yang telah bertindak di luar batas-batas kesusilaan, iaitu dengan percubaan-percubaan menanamkan rasa benci kepada sesama bangsa, khususnya kepada orang-orang yang mereka benci secara melulu, seperti para pemimpin negara, iaitu yang berlaku di pusat-pusat pendidikan mulai dari tadika hingga ke pusat-pusat pengajian tinggi di mana generasi baru yang telah diracuni pemikiran untuk turut sama-sama membenci orang-orang tertentu atas alasan-alasan yang hanya difahami mengikut tanggapan orang-orang dewasa itu sahaja.

Kita telah lama mendengar tentang ceramah-ceramah, kuliah, pengajaran di dalam kelas, cara membentuk soalan ujian dan peperiksaan di sekolah, ditambah pula oleh penyebaran berita-berita dan artikel yang tidak bertanggungjawab melalui surat elektronik dan Internet.

Maka semuanya ini merupakan satu penyebaran maklumat dan bahan pemikiran negatif yang boleh mengubah nilai-nilai hidup generasi baru dan seterusnya menjadi budaya bangsa untuk beberapa lama yang akan datang.

Nabi Allah Ibrahim dan Yaakob seperti yang dikisahkan oleh al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 132 dan 133 telah menunjukkan contoh terbaik dalam hal ini iaitu dengan meninggalkan pesanan yang baik untuk anak-anak mereka supaya meneruskan perjuangan generasi lama, iaitu terus menerus berpegang kepada amalan yang diamalkan oleh generasi bapa mereka.

Ayat-ayat tersebut bermaksud begini:

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga Nabi Yaakob berwasiat kepada anak-anaknya). Katanya, Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini (Islam) menjadi ikatan kamu, janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan Islam.

Seterusnya di dalam ayat 133, Nabi Yaakob segera menafikan kaum Yahudi bahawa baginda telah mewasiatkan kepada anak-anaknya supaya berpegang dengan agama Yahudi. Malah baginda sebelumnya berwasiat kepada anak-anak dan keturunannya supaya berpegang teguh kepada agama Allah yang satu, iaitu Islam, yang telah diwahyukan kepada sekalian Nabi-Nya dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.

Inilah semangat dan ajaran agama kita iaitu memperturunkan ajaran dan nilai yang mulia yang menjadi pegangan kita sebagai ibu bapa, pendidik, pemimpin, tok guru, tok imam, khatib, penceramah dan sebagainya kepada semua golongan di bawah tanggungjawab dan pimpinan masing-masing iaitu anak-anak, para murid dan pelajar, ahli jemaah dan lain-lain lagi yang sentiasa bersedia merebut percakapan dan meniru segala perilaku dan tindakan kita.

Orang-orang yang mendapat nikmat dan keistimewaan kurniaan Allah s.w.t ini seharusnya bersyukur dengan keistimewaan dan kebolehan mereka dan salah satu cara bersyukur ialah dengan bertutur dan bertindak secara ikhlas dan amanah demi kepentingan agama dan akhlaknya yang mulia.

Inilah juga semangat dan konsep kepimpinan melalui teladan yang seharusnya dihayati dan dipraktikkan oleh semua orang dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan inilah yang bakal membentuk jati diri dan nilai hidup anak-anak kita dan generasi mereka yang akan datang.

Penanaman nilai negatif dan cara hidup kasar serta tidak bersopan yang amat berleluasa pada hari ini telah memperlihatkan gejala-gejala negatif dan krisis sosial yang agak serius di kalangan generasi baru kita. Keadaan ini pula sering mengundang tuduhan liar dan sikap salah menyalahkan sesama sendiri, malah ramai yang mengambil sikap mudah, iaitu ketika membicarakan tentang salah laku dan krisis moral di kalangan anak muda maka mereka hanya akan menuding jari kepada pihak lain.

Yang mereka nampak hanyalah kesalahan orang lain, sedangkan mereka sendiri banyak melakukan kesilapan yang tidak mahu mereka akui.

Untuk menempa sejarah cemerlang bangsa dan umat akan datang, saya rasa eloklah kita renungkan peristiwa sejarah Nabi-Nabi seperti yang kita teliti di atas yang telah benar-benar menunjukkan kepimpinan melalui teladan. Itulah akhlak Islam yang sebenarnya. Dan ini akhlak yang mulia itulah yang dimaksudkan oleh Khadijah a.s ketika menjelaskan tentang akhlak Rasulullah s.a.w bahawa ''Akhlaknya ialah al-Quran''. Yang menjadi persoalannya ialah apakah kita benar-benar memahami kata-kata keramat yang sering kita ulang-ulangkan itu?

Agama menghalang menderhaka pada negara

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SIKAP menderhaka negara sendiri adalah sifat yang bertentangan dengan ajaran agama Nabi Allah Ibrahim a.s. seperti yang diterangkan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 126 berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud; Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata ''Tuhanku, jadikanlah negaraku ini sebuah negara yang aman, dan kurniakanlah rezeki kepada penghuninya dengan buah-buahan iaitu bagi mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. di sini memohon Allah SWT memberikan keamanan dan kedamaian kepada negaranya dan memakmurkan penduduknya dengan rezeki yang banyak seperti kesuburan tanah yang menghasilkan buah-buahan untuk dimakan.

Doanya ialah agar negara aman dan makmur, supaya dengan itu penduduknya menjadi manusia yang beriman dan bersyukur, beramal dan beribadat serta berbakti sesama mereka.

Inilah doa seorang nabi yang prihatin terhadap orang lain dan terhadap masa hadapan zuriat dan keturunannya. Semangatnya apabila negara aman dan makmur, maka kehidupan generasinya dan generasi yang akan datang juga menjadi produktif dan sejahtera.

Semangat dan kisah cintakan negara dan keturunan ini bertentangan sama sekali dengan berita yang mengejutkan di negara kita baru-baru ini iaitu yang memberitakan bahawa terdapat kalangan anak watan kita sendiri yang telah menjalankan gerakan di luar negara untuk merosakkan ketenteraman dan kemakmuran negara.

Negara ini kalau boleh hendak dihancurkan dari sudut politik dan ekonominya, biar semua orang menderita dan merasa terseksa, dengan harapan bahawa pada ketika itu sesuatu perubahan akan berlaku dengan pertolongan pihak luar yang menolong mengucar-ngacirkan kesejahteraan negara ini.

Perbuatan ini sebenarnya amat bertentangan dengan tatasusila umat dan agama kita. Dalam kehidupan kita di dunia ini, agama kita sering memberi panduan untuk mencari penyelesaian berdasarkan syura dan hikmah, kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT mengajar kita melalui ayat yang tersebut di atas agar mencintai negara sendiri dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kemakmurannya, maka apakah kita harus mengambil tindakan sebaliknya, iaitu berusaha menghancurkan negara sendiri dan mendabik dada dengan penuh kesombongan agar negara sendiri menjadi kancah segala krisis, pertelagahan dan dilanda kemiskinan?

Amat wajar sekali kisah Nabi Ibrahim a.s. itu kita renungkan seterusnya, iaitu ketika baginda akan dilantik untuk menjadi ketua bagi memimpin manusia, maka baginda bertanya kepada Allah SWT apakah zuriatnya juga akan dilantik untuk memimpin manusia seperti dirinya sendiri, maka terhadap pertanyaan inilah Allah SWT menjawab bahawa janji Allah untuk baginda bukanlah janji yang menyeluruh, itu janji Allah untuk baginda menjadi ketua tidak akan dirasai oleh keturunannya yang zalim dan tidak berlaku adil.

Hal ini tersebut di dalam surah al-Baqarah ayat 124, yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah, lalu ia menyempurnakannya, (dan) Dia berfirman: ''Sesungguhnya Aku jadikan kamu ketua bagi manusia'' maka ia (Nabi Ibrahim) bertanya; Dari keturunanku (juga)? Dia (Allah) menjawab ''Perjanjianku tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.''

Ayat ini menjelaskan tentang keprihatinan Nabi Ibrahim terhadap keturunan dan anak cucunya pada masa yang akan datang iaitu setelah baginda akan dilantik sebagai ketua pemerintah apakah anak cucunya dan keturunannya juga akan diberikan kemuliaan ini. Bagi mendapat jawapan yang memberikannya pengajaran yang baik, iaitu tidak semuanya akan menjadi pemimpin, kerana Allah akan memberikan keistimewaan ini kepada anak cucunya yang adil sahaja.

Dalam konteks tulisan ini, Nabi Allah Ibrahim telah menunjukkan satu sifat mulia manusia yang beriman kepada Allah, iaitu keprihatinan terhadap keturunan dan generasi yang akan datang. Baginda mahukan nikmat yang dirasainya itu dan dirasai juga oleh keturunannya yang akan datang. Tetapi perbuatan orang yang merancang untuk merosakkan negara sendiri, iaitu agar negara-negara luar, terutamanya negara yang terkena dengan sifat penjajahannya yang bersifat menindas dan kufur, bertindak memulau produk negara dan mencekik pintu rezeki penduduknya maka perbuatan ini dengan sendirinya bererti membuka jerat untuk menjerut leher sendiri dan keturunan yang akan datang.

Mangsa tekanan dan penjajahan ini tentunya akan terdiri daripada semua golongan rakyat dari semua generasi, bukannya beberapa orang yang dibencinya itu.

Inilah sebenarnya pengajaran dan nilai akhlak Islam yang ditunjukkan oleh secebis kisah Nabi Allah Ibrahim, iaitu semangat cintakan tanah air dan keturunan sendiri yang seharusnya menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita di dalam menghadapi apa sahaja situasi dan keadaan yang timbul. Naib Ibrahim tidak menyuruh kita menggadaikan negara ketika kita lemah untuk menghadapi cabaran. Baginda juga tidak menyuruh kita mengorbankan kesejahteraan dan kemakmuran negara kerana berputus asa dan menghadapi jalan buntu dalam sebarang perjuangan, apa lagi perjuangan yang sia-sia. Jauh daripada itu, Nabi Ibrahim tidak menunjukkan sifat benci sehingga sanggup menggadaikan masa hadapan zuriat dan keturunan sendiri.

Peristiwa-peristiwa begini yang berlaku kepada teman-teman seagama kita amatlah menyedihkan. Perbuatan ini tidak dapat sama sekali dijustifikasikan atas sebarang alasan sekalipun. Dan amat malang lagi, bahawa dalam gelagat dan sepak terajang yang merupakan tragedi bangsa ini pun terdapat orang-orang yang menyokongnya secara semberono sahaja.

Umat Islam dan rakyat umumnya haruslah ingat akan ajaran agama dan nilai serta budaya bangsanya. Negara ini bukan milik orang yang tertentu, apa lagi orang-orang yang bermain politik sempit dan yang ingin meruntuhkan segala-galanya. Untuk mencapai cita-cita politik persendirian janganlah semua institusi yang wujud hendak diruntuhkan. Perbuatan tersebut sebenarnya merupakan satu usaha untuk meruntuhkan institusi keluarga, budaya, bangsa, tatasusila, moral, dan agama sendiri.

Kita harus berfikir bersungguh-sungguh bagaimana kita dapat mengatasi kemelut pemikiran yang mengakibatkan tindakan liar itu. Semua rakyat yang cintakan negara dan bangsa ini haruslah bertindak dengan cara masing-masing demi mempertahankan maruah kita dan keturunan seperti yang diperintahkan agama kita.

Ke mana lupusnya adab sopan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMASA kecil dulu kita diajar oleh emak bapa supaya bersopan santun. Jangan menyampuk cakap orang, jangan meninggikan suara ketika bercakap.

Dari segi tingkah laku pula kita diajar supaya jangan berjalan di belakang orang yang sedang duduk apa lagi jika tetamu yang datang itu adalah orang-orang tua, tetamu yang dihormati dan sebagainya.

Tetapi melihat kepada apa yang berlaku di dalam Parlimen pada hari Jumaat yang lepas, ketika belanjawan negara sedang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, saya merasakan bahawa pelajaran dan nasihat yang pernah dihamburkan kepada kita ketika kita masih kecil dulu perlu dihidupkan semula.

Kita nampaknya lebih memerlukan pengajaran adab sopan itu lebih dari masa-masa yang silam, kerana kita pada masa kini sedang membicarakan isu tamadun, K-ekonomi, kemajuan sains dan teknologi, soal bangsa dan negara maju, adab dan susila Islam, kembali kepada al-Quran dan hadis, menghayati ad-din sebagai cara hidup yang sempurna, insan kamil dan beribu macam simbol dan slogan yang amat sibuk kita memperkatakannya dalam zaman moden, zaman global ini.

Nampaknya simbol, slogan dan idealisme hidup yang amat unggul yang kita bicarakan itu tidak memberi erti apa-apa sekiranya untuk bersabar dan bersopan di dalam Dewan Parlimen dan bertindak secara bertamadun itu pun tidak dapat kita mengerti dan jauh sekali daripada menghayatinya.

Terlepas daripada persoalan siapa yang salah dan benar, siapa yang terangsang sesiapa, perbuatan menjerit-jerit, memekik, melolong melepaskan geram, disulam pula dengan kata-kata yang tidak beradab yang kedengaran dari pihak-pihak tertentu, sesungguhnya mencemarkan adab sopan dan etika sama ada dipandang daripada nilai etika bangsa atau nilai akhlak agama, malah cara hidup orang bertamadun, semuanya tercemar dan amat memalukan.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, manusia memanglah boleh bertindak liar dan agresif, terutamanya apabila terdapat sesuatu yang menyinggung perasaan dan dianggapnya tidak sesuai dengan dirinya. Tetapi biasanya hal ini boleh berlaku di kedai-kedai kopi atau di warung-warung di tepi jalan, malah sering berlaku di kelab-kelab malam ketika orang terlalu banyak meminum minuman keras dan menjadi mabuk, maka orang mabuk akan bertindak di luar batas-batas kemanusiaan, kerana ia hilang akal dan tidak sedar tentang sesuatu tindakan atau perkataannya.

Kerana hakikat tabiat manusia yang cenderung bertindak liar dan lupa diri inilah maka al-Quran sering menekankan tentang keperluan manusia bersabar.

Banyak sekali ayat yang mengingatkan manusia supaya bersabar. Bersabar ertinya menahan marah dan mengawal nafsu dan perasaan ketika marah, ketika susah, ketika ditimpa kemalangan, dan ketika senang juga.

Semua situasi ini memerlukan kesabaran, kerana manusia sebagai makhluk sempurna dan unggul tidak seharusnya bertindak seperti haiwan, malah manusia seharusnya bertindak secara rasional dan sentiasa menghormati batas-batas moral dan adab, bertindak secara bijaksana, apa lagi jika manusia itu seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. Kombinasi sifat sabar, bijaksana, iman dan tawaduk menjadikan seorang itu insan kamil, insan yang ideal dan unggul yang sering dibicarakan oleh tokoh-tokoh guru dan para penceramah kita yang bijaksana.

Kekecohan yang berlaku, yang terang-terang bertentangan dengan adab dan nilai moral yang murni ini sekali gus menunjukkan contoh yang buruk kepada masyarakat yang menontonnya secara langsung. Masyarakat semua peringkat, termasuk kanak-kanak sekolah, akan melihatnya sebagai sesuatu yang jijik, atau terdapat tiga kalangan tertentu yang melihatnya sebagai satu contoh baik dan tingkah laku yang boleh ditirunya. Golongan kanak-kanak yang menontonnya mungkin melihatnya sebagai satu contoh yang harus diikuti kerana ia dilakukan oleh orang-orang dewasa yang ''terpilih'' dan mendapat kepercayaan umum sehingga membolehkan orang-orang itu menduduki kerusi Parlimen.

Kalau orang-orang yang bijaksana itu boleh bertindak demikian, maka kenapa pula orang lain tidak boleh meniru mereka? Bukankah mereka wakil-wakil kita dan mereka mempunyai kelebihan dari kita? Mungkin inilah yang menjadi bahan pemikiran anak-anak kita sekiranya mereka menonton gelagat yang berlaku di dalam Dewan itu.

Kita perlu menghidupkan semula ajaran ibu bapa kita zaman dulu yang menekankan tentang sopan santun dan akhlak walaupun mereka sebenarnya tidak pun mengenal erti tamadun, kemajuan, ilmu pengetahuan saintifik, apa lagi istilah-istilah baru globalisasi, modenisasi, teknologi dan sebagainya.

Yang mereka tahu ialah mendidik anak-anak supaya menjadi manusia iaitu manusia yang tahu bercakap dengan baik, tahu menghormati orang lain, tahu makan dan minum cara bersopan dan tahu menghargai diri dan bertindak sesuai dengan keadaan di sekeliling seperti pesanan mereka di mana bumi dipijak maka di situlah langit dijunjung. Oleh itu sebagai orang berilmu dan bertamadun kita haruslah tahu di manakah kita berada, di tepi jalan, di warung kopi atau di dalam Parlimen yang menjadi tumpuan jutaan orang di luar sana.

Kejutan-kejutan begini, termasuk kejutan terakhir yang mendedahkan gelagat rakyat kita yang menjadi petualang di luar negara untuk menghancurkan diri sendiri dan menghancurkan keturunannya juga, merupakan satu perolahan sejarah tindakan kemanusiaan yang amat radikal dan penuh tragis.

Apa yang berlaku ini merupakan satu tragedi yang sedang menimpa umat kita abad dan alaf ini. Kalau tindakan askar Jepun dari pasukan berani mati dan sering juga dilakukan oleh pejuang-pejuang Palestin sekarang ini dianggap sebagai tindakan membunuh diri, tetapi mereka membunuh diri kerana memperjuangkan maruah dan kehormatan bangsa dan negara mereka.

Tetapi tindakan golongan rakyat kita yang memburuk-burukkan negara sendiri sebaliknya merupakan tindakan membunuh diri dan membunuh anak cucu dan bangsa sendiri, malah menggadai negara sendiri. Orang-orang begini merupakan orang fantasi dalam cerita si Luncai, atau orang yang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Apakah yang dia dapat?

Umat dan bangsa kita umumnya tidaklah harus membiarkan perkembangan melulu ini terus berlaku di dalam masyarakat tanpa pemeriksaan rapi dan tapisan yang teliti. Kalau dibiarkan maka ia akan menjadi fenomena sosial yang lumrah dan tradisi bangsa yang biasa, maka akhirnya akan menjadi gaya hidup dan adat yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Kita memerlukan pendidikan bangsa yang lebih menekankan kepada tatasusila dan adab sopan yang sebenarnya berdasarkan akhlak bangsa dan agama yang kita junjung. Kita memerlukan kesedaran mendadak sekarang ini terhadap fenomena yang tidak sihat itu supaya dapat pula kejutkan masyarakat tentang bahayanya yang besar, bukan hanya kepada kita sekarang tapi kepada generasi yang akan datang.

Dua aliran ekstrem ganggu kemajuan umat

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MASALAH orang Melayu sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh masalah agama yang dianuti oleh mereka.

Agama Islam menjadi anutan keseluruhan orang Melayu mengalami pelbagai penafsiran yang mengelirukan, oleh itu orang Melayu juga turut menjadi umat yang terkeliru.

Isu wanita, sistem pemerintahan, ideologi dan kepercayaan, ilmu kebatinan, antara adat dan ajaran agama, dan berbagai-bagai isu lainnya amat mengelirukan orang-orang Melayu, sekurang-kurangnya sejak dua tiga dekad yang terakhir ini.

Ajaran agama mempunyai tujuan dan matlamat yang murni, iaitu untuk membentuk kesatuan umat, memberikan kebahagiaan kepada mereka dunia dan akhirat, membangunkan jalan tengah yang berupaya dipikul oleh mereka dalam beribadat dan membangunkan aktiviti mereka di dalam keluarga, masyarakat dan kehidupan sejagat.

Semuanya ini telah digariskan oleh al-Quran sebagai dasar dan prinsip kehidupan mereka yang menyeluruh, malah contoh teladan dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w lebih memperincikan cara hidup dan amal bakti yang harus mereka kerjakan untuk kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Bagaimanapun oleh kerana Islam merangkumi sistem kehidupan yang luas dan anjal bagi setiap masa dan keadaan, maka ia telah membuka peluang untuk ditafsirkan oleh generasi demi generasi, dan dalam keadaan ini maka lahirlah berbagai-bagai pentafsiran yang berbeza-beza menurut persepsi berbagai-bagai kalangan dan oleh kerana umat Islam sering mengalami perpecahan maka amatlah sukar sekali untuk mendapatkan kata sepakat di dalam banyak isu yang dihadapi secara bersama walaupun isunya sama dan penyelesaiannya juga sama tidak dikira mana sahaja umat itu berada.

Kalau ditinjau pada zaman awalan Islam, umat Islam tidak mengalami banyak kekeliruan dan pertikaian, kerana skop perbincangan Islam ketika itu lebih banyak berkisar di sekitar fardu ain dan ibadat khusus.

Bidang ini tidak banyak mengalami perbincangan yang melibatkan pentafsiran akli kerana banyak nas daripada al-Quran dan Hadis yang menjelaskan tentang prinsip-prinsip amalan ini.

Pentafsiran yang dibuat oleh imam-imam mazhab yang empat pun tidak menyentuh asas yang menjadi prinsip amalan itu, malah yang berlaku perbezaan pun hanyalah tentang perkara cabang dan perinciannya sahaja.

Pentafsiran-pentafsiran yang lain sungguh pun muncul dan menjelma ketika itu, tetapi ia ternyata tidak mendapat tempat di kalangan umat Islam arus perdana.

Kita di negara ini pun tidak banyak mengalami pertikaian tentang amalan ibadat khusus dan persoalan fardu ain ini kerana hal itu amat jelas diamalkan di dalam masyarakat kita dan telah diterima oleh masyarakat Islam umumnya sebagai ajaran dan hukum yang mantap sejak turun temurun.

Sembahyang lima waktu di dalam waktu-waktu yang tertentu serta cara-cara bersembahyang umpamanya tidak pernah dipersoalkan atau ditafsirkan semula mengikut sebarang 'ijtihad'' baru, kerana segala hukum-hakam dan perincian rukun Islam ini telah pun mengalami proses wahyu dan ijtihad yang cukup matang dan menyeluruh sebelum ini.

Dari sudut pandangan Islam, persoalan ibadat khusus iaitu merangkumi Rukun Islam yang lima, dan komponen Rukun Iman yang enam, tidak menimbulkan sebarang keraguan atau pentafsiran baru tentang prinsip dan rukun terasnya.

Mungkin kalau diperlukan fatwa terbaru ialah tentang perkembangan terbaru yang berlaku dan memerlukan ijtihad baru, atau perlu dirumuskan hukum mengikut hukum yang telah sedia ada, seperti fatwa yang membolehkan pesakit buah pinggang yang mendapat rawatan mencuci darah mengumpulkan dua sembahyang seperti hukum yang diamalkan oleh orang-orang yang musafir.

Hal ini merupakan satu cabang dari dasar sembahyang yang boleh dijamak atau dikumpulkan oleh para pengembara yang tertentu, maka oleh kerana pesakit buah pinggang terpaksa berada di dalam bilik rawatan dalam masa yang lama sehingga mengakibatkan lupusnya satu waktu sembahyang yang tertentu, maka ia boleh diberikan kemudahan untuk menjamakkan sembahyangnya iaitu sembahyang Maghrib dan Isyak, atau Zuhur dan Asar secara taqdim atau ta'khir.

Bagaimanapun, apabila Islam mengalami kebangkitan yang menyeluruh sejak beberapa dekad yang terakhir ini, iaitu melalui kesedaran untuk mengisi sistem ekonomi sains, teknologi, pendidikan, sosial, politik, seni, budaya dan semua aspek kehidupan manusia di dunia ini dengan nilai dan ajaran Islam maka timbullah pelbagai pentafsiran baru yang melibatkan soal konsep dan amalan yang tertentu, cara hidup didasarkan kepada budaya dan nilai yang ditakrifkan sebagai Islam atau tidak dan berbagai-bagai pandangan baru yang timbul di kalangan orang Islam yang cuba memanifestasikan kebangkitan Islam dan keperluan umat Islam untuk menghayatinya di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan mereka.

Secara umumnya, isu pelaksanaan Islam di dalam pelbagai bidang kehidupan ini tidak menimbulkan masalah yang besar sekiranya umat Islam sanggup bersabar dan berusaha menambahkan ilmu pengetahuan yang cukup melalui pembelajaran yang melibatkan perubahan sistem pendidikan Islam menggiatkan pembangunan dan penyelidikan tentang berbagai-bagai disiplin ilmu pengetahuan Islam yang mempunyai hubungan dengan perkembangan ilmu semasa, dan bersikap jujur untuk mempertingkatkan kehidupan umat Islam sesuai dengan perkembangan dan kemajuan dunia baru.

Maka dalam konteks inilah nampaknya negara kita telah berada di atas landasan yang amat baik untuk menuju matlamat penghayatan Islam yang menyeluruh bagi umat kita di dalam pelbagai aspek pembangunan kehidupan kita.

Kita telah menunjukkan kemajuan yang baik dalam pembangunan ekonomi, pengurusan, pendidikan, budaya dan sains teknologi yang berprinsipkan Islam dalam bentuk ijtihad dan ilmuan yang mantap.

Proses ini seterusnya mengalami perkembangan yang amat pesat dan mempunyai prestasi yang cemerlang di kalangan negara-negara Islam lazimnya dan di persada antarabangsa.

Bagaimanapun, terdapat dua aliran ekstrem yang kelihatan mengganggu dan membantut proses ini, iaitu pertama aliran yang cuba mentafsir Islam secara teramat sempit dan yang kedua ialah yang berkecenderungan mentafsirkan Islam secara yang amat luas dan li-beral.

Aliran yang pertama sering menimbulkan isu-isu yang dipetik sebegitu rupa sehingga kita mendapat kesan bahawa dalam setiap kumpulan masyarakat Islam pasti terdapat golongan yang Islam dan yang murtad atau terkeluar agama, yang tercemar akidahnya serta pelbagai hukum yang dikaitkan dengan golongan yang tertentu, sehingga dengan itu permusuhan yang berlaku di kalangan umat Islam ini akan menafikan apa sahaja yang dilakukan orang lain yang dianggap musuhnya dan musuh agama.

Aliran yang kedua pula sering mempersoalkan sistem yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan sunah, termasuk persoalan sembahyang dan waktu serta cara-caranya yang telah sedia ada dan diamalkan oleh orang Islam, juga sistem kekeluargaan seperti soal poligami dan pembahagian harta pusaka dan sebagainya.

Golongan ini sering mencampur-adukkan di antara sistem yang baru dengan pelaksanaan yang menyeleweng atau penyalahgunaan sistem tersebut oleh kalangan-kalangan yang tertentu, sehingga dengan itu timbullah persoalan sama ada sistem itu masih dapat digunakan lagi pada masa kini.

Oleh itu agenda meningkatkan ilmu pengetahuan yang betul dan cekap serta keinginan untuk menghayati Islam secara menyeluruh haruslah dipertimbangkan di kalangan masyarakat Islam sekarang ini sekiranya kita benar-benar ingin melaksanakan penghayatan Islam yang menyeluruh di dalam semua aspek kehidupan kita, termasuk prgram-program pembangunan negara kita ini.

Biarlah terdapat sedikit perbezaan tentang pembangunan dan kemajuan orang Melayu kerana mereka beragama Islam kerana kita menjadi orang Melayu yang beragama Islam.

Tiada kekuatan untuk bantu Palestin

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMASA berada di London beberapa hari yang lepas saya berpeluang membaca dan melihat pandangan sejagat, terutamanya pandangan orang Islam dari Eropah dan dunia Arab, tentang perkembangan berdarah yang berlaku di Palestin.

Terdapat dua tiga saluran televisyen yang dipancarkan dari London, Dubai dan Qatar dalam bahasa Arab yang secara langsung menyiarkan suara dan pandangan pembicara dan penonton tentang isu tersebut.

Saya mendapat kesan dari pembicaraan yang telah diadakan dengan disertai oleh ahli-ahli panel dan pandangan penonton melalui telefon daripada hampir keseluruhan negara Arab, isu ini dibicarakan dengan penuh semangat dan emosi.

Kebanyakan yang berbicara dan menyatakan pandangan melalui telefon telah membawa fakta sejarah tentang hak orang Islam ke atas Baitulmaqdis dan sifat rakus serta permusuhan kaum Yahudi. Ramai di antara para penonton yang menuntut kesatuan di antara umat Arab dan Islam untuk memperjuangkan kedaulatan orang Islam ke atas Baitulmaqdis.

Melihat dan meneliti pandangan yang dikeluarkan itu, apalagi melihat kepada pengorbanan para belia Palestin yang bersenjatakan batu melawan tentera rejim Israel yang bersenjatakan peluru, maka saya merasa kagum dengan semangat dan keberanian para belia tersebut yang sanggup menggadaikan nyawa mereka di hadapan musuh yang tidak mengenal belas kasihan itu.

Dan sememangnya pun pengorbanan itu telah memakan diri rakyat Palestin dengan kematian kira-kira seratus orang, termasuk tragedi ngeri yang menimpa anak kecil Jamal Al-Durra yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba bapanya akibat peluru tentera musuh yang tidak mengenal tamadun itu.

Kematian dan kekejaman yang dialami oleh rakyat Palestin disaksikan oleh jutaan umat manusia melalui kaca televisyen, tetapi semuanya ini tidak berjaya menarik perhatian dan tindakan masyarakat antarabangsa sehingga tersebar berita penculikan tiga orang tentera rejim Israel oleh kumpulan Hamas, maka pada saat itu barulah terdengar teriakan seluruh dunia menuntut keadilan dan menuding jari kepada rakyat Palestin sebagai manusia kejam dan ganas, termasuk suara kepala negara polis antarabangsa yang selama ini memang menyokong anak didiknya yang bertindak memusuhi rakyat Palestin.

Seorang pengulas politik Timur Tengah menyatakan kesalnya terhadap sifat berat sebelah dunia umumnya terhadap isu ini iaitu dengan menyatakan bahawa keadaan yang berlaku sekarang ini seolah-olah Palestin yang menjajah Israel sehingga banyak sekali suara yang berpengaruh di Barat menuntut supaya rakyat Palestin menghentikan keganasan dan bukannya menuntut tentera Israel menghentikan pencerobohan dan tembakan mereka ke atas rakyat Palestin yang bertindak mempertahankan maruah dan negara mereka.

Pengulas ini juga menyatakan kehairanannya kenapakah kes Timor Timur yang melibatkan isu kemanusiaan yang tidak sehebat dan sekejam apa yang dialami oleh rakyat Palestin mendapat perhatian Amerika, Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa lain yang bangun serentak dengan amat cepat sekali menyelesaikan isu ini?

Seorang penonton dari sebuah negara Arab menelefon sebuah stesyen televisyen satelit Arab menuntut supaya saluran itu dan saluran televisyen Arab lainnya jangan lagi menyiarkan gambar-gambar para pemimpin Amerika terutamanya Setiausaha Negaranya, Madeleine Albright kerana umat Arab amat muak melihat kelibat mereka di kaca televisyen disebabkan sikap mereka yang berat sebelah dan berpura-pura selama ini.

Saya melihat rakyat umumnya mempunyai pelbagai pandangan dalam menjayakan perjuangan rakyat Palestin untuk menubuhkan negara dan kerajaan mereka yang merdeka dan berdaulat. Semangat dan kesediaan mereka untuk berkorban nampaknya amat tinggi dan meluap-luap. Bagaimanapun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sesi dialog dengan para peserta yang menghadiri pertemuan beliau dengan para intelek Islam di London pada 3 Oktober sebagai menjawab satu pertanyaan dari hadirin, bahawa negara Islam hanya dapat menyatakan simpati dan sedih dengan apa yang dialami oleh rakyat Palestin dalam perjuangan dan pengorbanan mereka itu.

Perasaan simpati ini tidak memberi kesan apa-apa kerana dalam dunia canggih pada hari ini tidak terdapat sebuah pun negara Islam yang kuat dan termasuk di dalam kumpulan negara maju yang sebenarnya. Dengan itu negara Islam tidak dapat bersaing apa lagi melawan kuasa lain yang kuat dan maju, malah negara Islam tetap dipandang rendah dan hina.

Sebenarnya hakikat inilah yang dapat saya kesan dari semua suara dan pandangan yang dikeluarkan oleh rakyat dari dunia Islam dan dunia Arab melalui akhbar dan siaran televisyen selama saya berada di London.

Kita amat kaya dengan semangat dan retorika, amat pandai dengan teori dan falsafah untuk berjuang dan berjaya dalam perjuangan itu. Tetapi sayangnya kita amat kekurangan kuasa, terutamanya kuasa politik yang dapat mencorakkan cara politik antarabangsa. Politik negara Islam masih tidak merdeka, masih bergantung kepada kuasa luar, termasuk kuasa besar dari Barat.

Hal ini juga sebenarnya yang dapat kita saksikan ketika berlaku peperangan Teluk beberapa tahun dulu, iaitu akibat dari permusuhan sesama negara Islam, maka dunia Islam sendiri yang menerima hukuman dari kuasa penjajah Barat yang mengakibatkan kemusnahan dan kesengsaraan umat Islam sendiri. Malah di dalam krisis itu kita dapat menyaksikan bagaimana negara Islam sendiri yang memberi laluan dan pangkalan kepada pesawat-pesawat musuh untuk mengebom dan memusnahkan negara Islam yang berjiran dengannya.

Keadaan ini jelas menunjukkan kemelut perpecahan yang berlaku di kalangan negara-negara Islam, dan pergantungan sesetengah negara Islam kepada kuasa Barat untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Maka dalam isu Palestin ini pun, nampaknya rakyat Palestin sendiri yang akan menjadi korban yang dalam jangka masa berpanjangan, sedangkan negara-negara Islam lainnya tidak dapat berbuat apa-apa, dan mungkin juga mengelak diri daripada melakukan sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan orang lain.

Amat sayang sekali negara-negara yang kaya dengan anugerah Allah s.w.t. dalam perut bumi mereka yang dinamakan emas hitam atau petrol tidak mahu menggunakan kekayaan mereka ini sebagai senjata untuk melawan penjajahan Barat yang selama ini memperkotak-katikkan umat Islam, termasuk rakyat Palestin yang penuh malang itu.

Bagi saya selagi dunia Islam masih bercakaran, mundur, tidak merdeka sepenuhnya, tidak bermaruah dan masih hanya beretorika dan berteori, maka selama itulah umat Islam seluruhnya akan mengalami nasib gelap, ditindas, dihina dan kematian rakyat yang tidak berdosa seperti yang ditimbulkan oleh pengorbanan Jamal Al-Durra itu tidak akan terbela.

Kita hanya akan dapat mengucapkan ''kasihan'' dan ''kasihan'' sahaja, atau berteriak dengan sekuat-kuatnya ke seluruh dunia, namun tiada siapa pun yang dapat mendengar suara kita.

Kekuatan fizikal dan mental ummah penting

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
PERHATIAN dunia yang tertumpu ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney sekarang ini dengan sendirinya dapat menilai prestasi negara-negara yang mempunyai kekuatan untuk mendapatkan pingat.

Melalui temasya sukan empat tahun sekali itu seluruh penduduk dunia dapat mengenali negara-negara asing, terutamanya negara-negara kecil yang tidak banyak menonjol di mata dunia, iaitu melalui acara sukan yang disertainya, terutamanya apabila negara itu berjaya merangkul pingat.

Kita percaya bahawa negara kita juga dapat dikenali oleh penduduk dunia melalui acara sukan yang disertainya walaupun dalam semua acara yang disertai itu, negara kita tidak mendapat sebarang pingat.

Dari sudut ini saya rasa negara kita perlulah menyusun strategi kesukanan yang lebih rapi dan latihan yang bersungguh-sungguh supaya dalam masa empat tahun yang akan datang negara kita sekurang-kurangnya akan dapat menyaingi negara-negara yang sama taraf dengan kita seperti Jepun, Korea dan China.

Ketika Khalifah Umar memesan supaya anak-anak dilatih dan diajar kemahiran memanah, berkuda dan berenang, maka pada saat itu tentulah tidak timbul idea persaingan untuk bersukan seperti temasya sukan moden Olimpik atau Sukan Komanwel yang pernah kita anjurkan pada tahun 1998 yang lalu.

Pesanan dan bimbingan yang dikeluarkan Khalifah Umar ini semata-mata untuk menganjurkan supaya pendidikan kemahiran haruslah dimulai dari zaman kanak-kanak dan kemahiran itu pula seharusnya tertumpu kepada kemahiran yang melatih pembangunan fizikal, mental dan fikiran yang tajam.

Pendidikan berkuda, berenang dan memanah sememangnya memerlukan penumpuan fikiran secara mantap kepada aktiviti yang dilakukan itu.

Disamping itu aktiviti tersebut juga memerlukan ketekunan, kesabaran, daya ketahanan jiwa dan mental yang kuat, kesungguhan dan sebagainya.

Tanpa kesungguhan, kekuatan jiwa dan mental, orang mungkin tidak dapat mencapai kecemerlangan di dalam sekurang-kurangnya tiga cabang aktiviti tersebut.

Oleh kerana Khalifah Umar sebenarnya belum merancang persaingan di antara bangsa di dalam aktiviti yang disebutkan itu, maka boleh disimpulkan bahawa apa yang disebutkannya itu adalah ditujukan kepada generasi umat Islam pada zamannya dalam menyediakan golongan umat yang akan datang.

Generasi baru berdasarkan pesanan tersebut tentulah seharusnya menjadi generasi yang mahir, kuat, mantap dan cekap. Berenang, berkuda dan memanah juga merupakan kemahiran manusia yang bukan hanya untuk rekreasi, malah merupakan tektik manusia untuk bidang pertahanan, peperangan dan melawan musuh.

Oleh itu al-Quran memerintah umat Islam supaya bersiap sedia dalam menghadapi musuh mereka dengan segala kekuatan yang perlu, dan di antara persiapan itu ialah pasukan berkuda yang sentiasa awas.

Ayat yang mengisyaratkan tentang perkara ini ialah ayat 60, surah al-Anfal yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari diri pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah, dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.

Ayat ini menjadi dalil tentang kewajipan umat menyediakan diri dengan segala kelengkapan dan kekuatan termasuk peralatan senjata dan kekuatan peperangan untuk menghadapi musuh yang menceroboh dan bertindak zalim.

Walaupun ayat ini menyebut persediaan tentang pasukan berkuda, namun ia tidak menafikan persediaan-persediaan lain, kerana persediaan-persediaan ini bergantung ke atas persediaan semasa sesuai dengan perkembangan teknologi terbaru umpamanya.

Namun begitu yang menjadi keprihatinan kita dalam konteks ini ialah penekanan al-Quran tentang kekuatan dan peralatan yang sekali gus juga menyentuh persiapan mental dan fizikal yang tinggi dan berkualiti.

Temasya sukan besar atau kecil sehingga ke hari ini jika dilihat kepada acara-acaranya yang besar ternyata menumpukan kepada jenis kemahiran yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta pemusatan dan konsentrasi minda yang mantap, termasuk sukan yang melibatkan berenang, berkuda dan memanah.

Untuk berjaya di dalam sukan juga seorang peserta memerlukan kesabaran, ketekunan, bekerja keras, ketahanan jiwa, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi untuk berjaya.

Pendeknya untuk menghadapai sebarang aktiviti bagi mencapai kejayaan, dan kejayaan itu pula bukanlah hanya setakat kejayaan biasa, malah kejayaan yang cemerlang dan luar biasa, maka seseorang itu hendaklah mempunyai fizikal, mental dan kejiwaan yang besar dan tinggi.

Kejayaan tidak mungkin dicapai dengan persediaan yang lemah dan tidak kesampaian, atau penumpuan minda yang tumpul, tidak mempunyai keyakinan diri, dan tidak sanggup berkorban menghadapi sebarangan cabaran dan rintangan.

Orang-orang lemah begini tentulah akan berakhir dengan kegagalan semata-mata.

Tradisi kekuatan bersepadu dan holistik beginilah yang ditanamkan oleh tradisi agama kita di dalam jiwa penganutnya, iaitu melalui pendidikan fizikal, akal dan roh.

Pendidikan fizikal bertujuan untuk melahirkan tubuh badan dan jasmani yang kuat dan sihat. Pendidikan akal untuk mengasah minda supaya dapat berfikir dengan baik dan tajam, dan pendidikan roh ialah untuk melahirkan jiwa, semangat dan rohani yang kuat, termasuklah iman yang mendalam, tidak mudah digugat dan dicabar oleh sebarang anasir luaran dan dalaman insan itu sendiri.

Tegasnya bahawa pesanan untuk anak-anak mempunyai kemahiran berkuda, memanah dan berenang, dan penegasan al-Quran agar umat bersedia dengan segala kekuatan dalam menghadapi ancaman musuh yang bertindak menceroboh dan melakukan kezaliman, menuntut umat supaya mempunyai kekuatan fizikal dan material, ketajaman minda dan pemikiran serta kekuatan iman dan azam serta tekad untuk mengatasi segala kelemahan sendiri dan mencapai kemenangan dan kejayaan di dalam segala persaingan.

Mungkin kekuatan secara sepadu dan holistik seperti ini masih belum mencukupi untuk ahli sukan kita dalam mengharungi persaingan di temasya sukan yang besar seperti Sukan Olimpik ini.

Kalau diberikan alasan bahawa kita orang Tenggara Asia masih belum cukup persediaan tentang saiz badan dan sebagainya, maka kenapa pula orang-orang China, Jepun dan Korea dapat mencapai kejayaan yang baik dan dapat pula bersaing hebat dengan orang-orang lain yang mempunyai tubuh badan yang lebih besar seperti orang Amerika dan Eropah? Apakah bezanya saiz tubuh badan orang Jepun dan Korea dibandingkan dengan kita orang Malaysia.

Mungkin inspirasi agama tentang kekuatan fizikal dan kerohanian, kekuatan mental dan fikiran serta kesepaduan semua kekuatan itu boleh kita ambil kira sebagai satu kriteria yang penting dalam melahirkan umat dan rakyat kita yang kuat dan cemerlang, termasuk juga dalam bersukan bagi memenangi pingat dan mengangkat maruah bangsa dan negara kita.

Ajaran sesat didorong nafsu seks

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KOLEJ Universiti Islam Malaysia (KUIM) menerusi seminarnya pada 15 dan 16 September lalu memilih tajuk Ke Arah Pembasmian Kebatilan Dalam Ajaran Kebatinan sebagai temanya.

Puluhan ajaran sesat telah dibicarakan, termasuk ajaran sesat yang berlaku di Singapura, Indonesia dan Brunei.

Perbincangan tertumpu kepada penyelewengan akidah yang jelas dan terang. Ajaran sesat itu benar-benar bercanggah dengan akidah Islam dan membawa kepada syirik sekiranya diamalkan.

Penyelewengan akidah yang membawa kepada syirik itu memanglah seharusnya dibicarakan secara berterusan, kerana nampaknya daripada pendedahan yang dibuat di dalam seminar ini ternyata bahawa orang Melayu di rantau kita ini amat mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran agama yang sebenarnya.

Timbul sahaja sebarang ajaran yang menyimpang daripada ajaran agama yang sebenarnya, maka akan terdapatlah pengikutnya, walaupun kadang-kadang ajaran sesat itu amat dangkal dan amat mencabar minda serta pemikiran manusia.

Dalam konteks inilah nampaknya betapa kejahilan dan sentimen manusia sering memainkan peranan yang amat besar yang membawanya kepada mempercayai sesuatu yang karut dan tidak masuk akal.

Kalau orang Islam mempunyai ilmu dan dapat berfikir dengan secara rasional pula, maka saya fikir orang-orang seperti ini tidak akan mudah disesatkan oleh sesiapa.

Ketiadaan ilmu dan ketidakmampuan berfikir inilah yang mendorong wujudnya ajaran-ajaran sesat dan timbulnya jaguh-jaguh yang sering mendakwa boleh memberikan ilmu kebal, membuka pintu syurga secara cepat dan mudah, menyembuhkan segala penyakit dengan hanya membaca jampi serapah dan sebagainya.

Saya mendapat kesan bahawa ajaran sesat sering juga dihubungkan dengan sifat tamak haloba kebendaan dan nafsu seks manusia. Para pengajar dan pengembang ilmu kebatinan yang menyeleweng sering mengaut keuntungan wang dan benda yang banyak. Para pengikut setianya yang merasa selamat dan dilindungi oleh wira-wira pujaannya akan bersedia berkorban wang dan harta untuk para gurunya itu.

Mereka akan menjadi amat pemurah dengan janji-janji yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani mereka, iaitu mereka berada di dalam satu kumpulan yang suci dan kudus.

Di samping itu terdapat para guru yang mendapatkan balasan seks daripada para pelajarnya, atau mereka ramai-ramai berkongsi menyahut kegemaran jantina ini setelah lupa diri dan lalai dalam zikir dan ratib sesat mereka secara bercampur lelaki dan perempuan.

Dorongan kebendaan dan nafsu jantina ini tentulah merupakan ajakan-ajakan yang amat besar pengaruhnya kepada manusia biasa yang sememangnya mengintai peluang untuk bersukaria dan menikmati kehidupan kebendaan yang mewah.

Bagaimanapun, saya rasa pandangan pembentang kertas kerja dari Singapura mempunyai kebenarannya, iaitu cabaran sebenarnya yang dihadapi oleh orang Islam, terutama di negaranya sendiri, ialah cabaran ideologi yang meresap masuk ke dalam pemikiran umat Islam sehingga mengelirukan kefahaman mereka tentang Islam sebagai sistem hidup lengkap, iaitu yang menyentuh tasawwur atau world view mereka tentang ajaran Islam di dalam ibadat, akidah dan nilai akhlaknya.

Memang cabaran semasa yang berlaku dengan pesatnya di dalam dunia moden dan global ini benar-benar merupakan ombak besar yang sedang melanda masyarakat manusia, termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia.

Kegiatan serangan pemikiran melalui propaganda yang memperkecil-kecilkan ajaran agama Islam dan memomokkan segala nilai moral kerohaniannya, atau yang berusaha mengubah cara hidup Islam dan budayanya yang murni telah banyak meninggalkan kesan yang negatif di dalam masyarakat Islam golongan muda dan dewasa.

Kita mungkin dapat memberikan pelajaran agama kepada setiap orang pelajar Islam yang bersekolah. Tetapi banyak negara, terutamanya negara yang penduduk Islamnya merupakan rakyat minoriti, tidak mendapat peluang untuk memberikan pendidikan agama di sekolah.

Pendidikan agama hanya terserah kepada ibu bapa dan komuniti Islam sendiri yang menanggungnya, maka akibatnya peratusan anak-anak yang mendapat pendidikan agama tentulah agak kecil, dan yang lain-lainnya sentiasa terdedah kepada penyelewengan budaya dan akidah, termasuk cabaran-cabaran masyarakat moden yang menggugat cara hidup beragama dan nilai-nilai akhlaknya.

Dari sudut yang lain di samping ajaran-ajaran sesat yang konvensional dan terang-terang merosakkan akidah umat Islam yang sebenarnya, maka umat Islam kini juga banyak menghadapi cabaran kekalutan pentafsiran agama yang dibuat oleh sesetengah kalangan secara emosi dan sentimen sempit kerana sebab-sebab yang tertentu.

Yang membimbangkan kita dalam hal ini bahawa keadaan ini amat mengelirukan orang awam, terutamanya aliran-aliran ini juga mempunyai jaguh-jaguh dan wiranya yang tersendiri.

Sekali lagi kita berhadapan dengan kemelut kejahilan dan sifat fanatik melulu sebahagian umat Islam yang amat mudah terpengaruh dengan propaganda begitu.

Pendeknya ajaran sesat dan pengaruh moden yang dikembangkan di dalam masyarakat kita dari dahulu hingga sekarang membawa akibat buruk dan amat merugikan masyarakat Islam.

Pengaruh itu amat mudah memecahbelahkan masyarakat dan mengalih pandangan serta usaha umat Islam kepada soal-soal kebatinan dan isu-isu sampingan yang tidak termasuk ke dalam arus perdana ajaran Islam yang sebenarnya.

Penceramah dari Singapura, Brunei dan Indonesia juga Malaysia menekankan tentang kepentingan penjelasan umum dan pendidikan di semua peringkat pengajian sebagai saluran yang amat baik untuk menghapuskan pengaruh ajaran sesat ini.

Bagi saya ajaran sesat cara lama dan penyebaran fahaman sempit tentang agama seperti yang berlaku sekarang, terutamanya yang didorong oleh fahaman kepartian dan politik sempit adalah sama bahayanya.

Kesannya mengelirukan pemikiran umat, mempersendakan intelek dan menyempitkan pandangan umat Islam keseluruhannya, dan dalam jangka panjangnya akan membawa umat Islam kembali kepada kehidupan kuno dan jumud.

Kedua-dua aliran ini seharusnya dapatlah dilihat kesan dan akibatnya secara mendalam, lalu dapatlah diambil tindakan untuk merawatnya secara bersungguh-sungguh.

Rawatannya bukanlah hanya terserah kepada pemerintah dan ibu bapa, malahan semua anggota masyarakat dan para guru adalah bertanggungjawab bagi membetulkan keadaan ini dengan penuh rasional dan komited kepada nilai-nilai ajaran dan akhlak Islam yang sebenarnya.

Fenomena kemerdekaan zaman global

MENJELANG akhir-akhir bulan kemerdekaan negara kita, maka eloklah diperhatikan beberapa fenomena sosial dan politik serta ekonomi yang mengancam kemerdekaan kita yang sebenarnya pada zaman global dan teknologi komunikasi dan maklumat kini.

Proses globalisasi membawa bersama-samanya penjajahan bentuk baru di dalam budaya dan cara hidup yang didominasikan oleh negara-negara Barat dan Amerika: Budaya coca-cola dan jeans telah membawa bersama-samanya segala gejala pergantungan kepada cara hidup Barat itu, ditambah pula dengan aliran makanan segera dengan segala macam rasa dan rencahnya. Bagaimanapun kita tidak seharusnya memusuhi gejala jeans dan makanan segera yang sebenarnya banyak memberi kemudahan kepada para ibu bapa khususnya dalam melayani selera dan cita rasa anak-anak mereka kini.

Tetapi yang harus kita perangi ialah perjalanan pemikiran dan budaya hidup permisif yang dibawa dari Barat dan Amerika, terutamanya melalui dasar langit terbuka yang memberi peluang yang amat luas kepada kita untuk merasai dan menikmati nilai dan cara hidup dari dunia lain itu.

Penjajahan bentuk lama dan baru sama sahaja bahayanya kepada fizikal dan mental kita. Proses penjajahan juga sebenarnya telah mengalami beberapa peringkat yang jika ditinjau telah memakan masa yang lama.

Malahan bentuk penjajahan baru juga sedang berkembang dan akan memakan masa yang agak lama untuk menakluki dunia sekali lagi.

Fenomena penjajahan dan proses implimentasinya dapatlah disaksikan di dalam peringkat-peringkat berikut, iaitu berdasarkan kepada pengalaman penjajahan Barat dan Amerika:

(1) Fenomena penghapusan bangsa secara fizikal dan etnik seperti yang berlaku di Amerika dengan penghapusan penduduk asli red Indian sehingga ke akar umbinya dan menghapuskan nama etnik itu keseluruhannya dari bumi Amerika.

Hal ini diikuti oleh puak Serb di Bosnia yang bertindak menghapuskan kalangan etnik Bosnia Islam dari muka bumi Yugoslavia. Sejarah penjajahan kuno di Amerika itu nampaknya cuba diulangi di Eropah di bumi Bosnia Herzergovina, dan kali ini orang-orang Islam di negara tersebut ingin dihapuskan nama dan jasadnya secara menyeluruh agar mereka menerima nasib yang sama seperti orang-orang red Indian di negara Amerika.

(2) Fenomena penjajahan sesama manusia telah menjelma sekian lama dalam masyarakat yang memperdagangkan manusia sebagai hamba abdi. Amerika membawa masuk hamba abdi daripada kalangan masyarakat kulit hitam dari negara Afrika dan menjadikan mereka abdi dalam makna yang sebenarnya.

Pengabdian ini berlarutan sehingga berkurun-kurun lamanya dengan segala derita dan keseksaan yang ditanggung oleh manusia-manusia yang bergelar hamba abdi itu.

Negara Denmark hanya baru mengharamkan perdagangan hamba abdi sejak tahun 1972. Britain pada tahun 1802, Perancis pada tahun 1848, Amerika Syarikat pada tahun 1868.

Kedatangan Islam menyaksikan perhambaan yang berleluasa, maka Islam telah bertindak menyempitkan pintu perhambaan, sekali gus membuka luas pintu kemerdekaan sehingga akhirnya tidak ada lagi perhambaan di dalam Islam.( Hal ini telah saya bincangkan di dalam tulisan di ruangan ini pada 31 Ogos 2000)

(3) Fenomena penjajahan bermula sama ketikanya dengan penjajahan fizikal dan pemikiran oleh pihak penjajah, iaitu dengan meluaskan jajahan takluk ke negara-negara mundur, tetapi kaya dengan hasil bumi kurniaan Tuhan.

Kekayaan negara yang dijajah telah dikikis dan diangkut oleh penjajah ke negara mereka dengan amat mudah sebagai balasan terhadap pentadbiran mereka ke atas rakyat negara-negara yang dijajah.

Hal ini sebenarnya masih berlaku dengan cara moden dan akan terus menerus berlaku, terutamanya terhadap negara-negara membangun dan negara-negara Islam yang kaya sebagai balasan terhadap sumbangan para teknologis dan saintis dari negara Eropah dan Amerika Rakyat di negara yang 'terjajah' ini amat merasa sering berkongsi kekayaan dengan pihak penjajah, walaupun habuannya terlalu kecil sekali.

(4) Fenomena yang amat merbahaya dan mengancam jati diri negara-negara membangun sekarang ini ialah penjajahan mental dan rohani yang bertindak mengubah budaya dan nilai hidup setempat yang positif menjadi nilai hidup global yang tidak beridentitikan cara hidup setempat dan rencah keperibadian agama dan etnik rakyat yang dijajah itu.

Rakyat yang 'terjajah' akan melihat kepada 'tuan' mereka dengan penuh bangga dan mulia sebagai 'model' pejuang hak asasi dan keadilan yang akan menghancurkan sistem negara sendiri yang 'zalim' dan 'kuku besi'.

Penjajahan ini berjaya mengubahkan persepsi mereka yang terjajah dan pandangan hidupnya kerana sesuatu matlamat peribadi dan kelompok yang tertentu, dan mereka menjelma menjadi 'hero' dan 'pejuang' yang mendapat bantuan moral dan kebendaan daripada 'tuan' mereka penjajah dan hulubalang dari luar.

Mungkin kita sedang mengalami keadaan dan mentaliti rakyat yang sedang dijajah di dalam bentuk baru yang terakhir ini. Penjajahan inilah yang amat sukar dihapuskan dari muka bumi ini, kerana manusia sering dapat melihat perdagangan hamba abdi sccara fizikal dan secara lahir, dan dapat melihat juga penjajahan kekayaan yang dikaut keluar oleh orang lain, tetapi manusia amat sukar untuk menyedari bahawa mental dan fikiran mereka sedang dicucuk oleh jarum penjajahan, kerana penjajahan dalam bentuk ini amat halus dan sukar dikesan, sehingga para abdi yang dijajah itu itu merasakan bahawa mereka sebenarnya adalah wira dan pahlawan bangsa.

Semoga menjelang hari-hari akhir perayaan kemerdekaan ini, rakyat kita keseluruhannya akan menyedar erti kemerdekaan yang sebenarnya dan berusaha membebaskan diri dari segala bentuk penjajahan baru dan lama.

Saidina Umar Ibn Khattab berkata, ''Bilakah anda mempertahankan sesama manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu mereka sebagai orang yang bebas dan merdeka''.

Bebas dan merdeka di sini tentulah tidak dimaksudkan hanya bebas fizikal dan jasad daripada cengkaman politik pemerintahan penjajah, tetapi ia merangkumi kebebasan daripada penjajahan pemikiran dan nilai, bebas daripada penjajahan akhlak dan agama, merdeka daripada kejahilan dan kedangkalan cara berfikir, merdeka daripada gaya hidup permisif dan tidak beragama.

Semoga keadaan akan menjadi lebih baik menjelang tahun-tahun kemerdekaan yang akan datang.

Jangan rumitkan pemahaman Islam

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA saya membicarakan tentang Islam di dalam Perlembagaan Malaysia di ruangan ini pada 17 Ogos 2000, maka tujuan saya ialah untuk memberikan gambaran tentang pentafsiran positif bagi peruntukan perlembagaan itu berdasarkan pelaksanaan dan amalan yang telah dijalankan di negara kita dalam pembangunan Islam dan komitmen kerajaan terhadap agama negara selama ini.

Saya memetik penjelasan Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim tentang hal ini, yang sekali gus menolak pentafsiran sempit tentang peruntukan Islam di dalam perlembagaan itu seperti yang ditafsirkan oleh Ketua Hakim Negara dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan pendakwa raya di Mahkamah Persekutuan (2MLJ 55) 1988, juga kes Teoh Eng Kuat lawan Kadhi Pasir Mas dan seorang lagi (2MLJ 301) 1990.

Menurut Prof. Ahmad Ibrahim bahawa cara pentafsiran negatif tentang Islam yang diperuntukkan di dalam perlembagaan itu ''telah merujuk kepada makna yang diberi oleh penjajah British pada masa-masa penjajahan dan sebelum perlembagaan itu diadakan.

Dengan pengaruh British itu dan cara pemerintahan mereka yang telah menyekat kuasa raja-raja dan menggunakan institusi-institusi pemerintahan sekular undang-undang Islam telah disempitkan kepada undang-undang keluarga, perkahwinan, perceraian dan warisan, dan itu pun dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja'' (Rujuk buku Prinsip-prinsip Perlembagaan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia terbitan IKIM 1999).

Tulisan saya agak mudah difahami dan membawa mesej secara langsung bahawa perlembagaan dengan itu dapat ditafsirkan secara meluas tanpa terikat dengan makna yang sempit, malahan perkembangan Islam di Malaysia yang semakin meningkat, dan peruntukan kewangan yang telah dibelanjakan di dalam sektor agama di bidang ekonomi, kewangan, pendidikan, fardu ain dan sebagainya, juga penglibatan perancangan Islam yang dilakukan di dalam kepelbagaian pembangunan negara, juga penglibatan para ahli agama di dalam arus perdana pentadbiran negara serta komitmen pemerintah dalam segala aspek aktiviti dan pengurusan agama, dengan sendirinya menunjukkan bahawa selama ini semua proses dan pelaksanaan Islam di negara kita dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara kita.

Hal inilah yang cuba saya hubungkan dengan pentafsiran luas peruntukan perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama negara.

Saya menerima banyak komen yang menyokong pandangan dan hakikat ini di samping beberapa komen yang menafikan pentafsiran positif itu, termasuk tulisan di dalam akhbar secara terbuka dengan menyatakan pandangan penulisnya secara peribadi tentang tajuk ini.

Saya merasakan bahawa semua komen yang diberikan mempunyai pandangannya tersendiri, malahan pelajar dari Taiwan yang menulis pendapatnya di dalam akhbar ini telah menyahut pelawaan saya supaya dapat berdialog seterusnya apabila beliau kembali ke Malaysia ketika cuti Tahun Baru Cina nanti.

Di dalam tulisan saya kali ini saya ingin membawa kembali ingatan kita kepada beberapa peruntukan di dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah s.a.w, agar dengan itu kita dapat melihat sendiri bagaimana peruntukan-peruntukan di dalam piagam tersebut merupakan peruntukan yang berbentuk Islam dan dapat dilaksanakan dengan meluas di dalam semua pembangunan negara, walaupun tidak mengisytiharkan kerajaan Islam atau perlembagaan Islam.

Intipati piagam tersebut yang dirumuskan oleh Ibn Hisham seperti yang dipetik oleh Dr. Yusuf al-Siba'i melalui bukunya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, adalah seperti berikut:

* Kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan;

* Membangun satu masyarakat dalam satu sistem yang sebaik-baiknya, selurus-lurusnya dan sekukuh-kukuhnya.

* Melawan orang-orang yang memusuhi negara dan membangkang, tanpa boleh memberikan bantuan kepada mereka;

* Melindungi setiap orang yang ingin hidup berdampingan dengan kaum muslimin dan tidak boleh berbuat zalim atau aniaya terhadapnya;

* Umat yang di luar Islam bebas melaksanakan agamanya. Mereka tidak boleh dipaksa masuk Islam dan tidak boleh diganggu harta bendanya;

* Umat yang di luar Islam harus ambil bahagian dalam membiayai negara seperti umat Islam sendiri;

* Negara melindungi semua warganegara, baik yang Muslim mahu pun bukan Muslim;

* Umat Islam dan bukan Islam tidak boleh melindungi musuh negara dan orang-orang yang membantu musuh negara;

* Apabila satu perjanjian akan membawa kebaikan kepada masyarakat, maka semua warganegara baik Muslim mahupun bukan Muslim harus rela menerimanya.

Ternyata bahawa beberapa rumusan yang tersebut merupakan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang mencukupi untuk membangun negara dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam dan nilai kerohaniannya yang bersifat sejagat untuk semua manusia walaupun tanpa disebut tentang status agama rasminya.

Saya mendapat kesan bahawa kalangan yang ingin mentafsirkan perlembagaan negara kita secara sempit dan terhad tentang Islam sebagai agama rasmi negara itu selain daripada dipengaruhi oleh pentafsiran agama secara tafsiran sekular yang disebutkan oleh Prof. Ahmad Ibrahim, maka mereka juga mungkin dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran lain, terutamanya yang berbentuk falsafah yang ingin mencipta beberapa kekeliruan di dalam minda masyarakat, khususnya di dalam pembicaraan tentang sesuatu konsep yang tertentu.

Memasukkan jarum syak wasangka, persoalan konsep yang dihubungkan pula dengan beberapa realiti di dalam masyarakat seperti salah laku, penyelewengan, atau yang dikatakan penindasan dan perhambaan orang lain, semuanya ini boleh menjadikan satu isu yang mudah dan straight forward (langsung) amat complicated (rumit) sehingga ramai orang yang akan merasa keliru dan ragu-ragu tentang hal tersebut. Inilah motif yang saya rasa ingin disemaikan oleh beberapa golongan yang tertentu di dalam masyarakat kita.

Malah terdapat kalangan tersebut yang mungkin agak berkecamuk pemikirannya dengan isu yang lain, iaitu dengan memberi komen bagaimanakah Islam di dalam perlembagaan itu dapat ditafsirkan secara positif, sedangkan masih banyak pindaan dan pengubahsuaian harus dilakukan kepada undang-undang negara.

Pembicaraan mengenai dua isu ini nampaknya sering dicampur-adukkan untuk memberikan justifikasi kepada pandangan negatif yang tertentu.

Kaedah agama kita menegaskan bahawa apa yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya, mungkin sama jugalah dengan pepatah Melayu yang mengatakan marahkan nyamuk janganlah pula kelambu yang mahu dibakar!

Memang banyak lagi perubahan dan pindaan yang harus dilakukan, tetapi hal itu tidak pula membawa kepada peranan pesimistik sehingga tidak mahu lagi mengiktiraf dan menghargai apa yang telah dilakukan selama ini.

Malaysia yang sempurna dan agung bukanlah boleh dibangunkan dalam masa satu hari sahaja.

Kemerdekaan dan perhambaan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
EMPAT puluh tiga tahun negara mencapai kemerdekaan tidak semestinya menjamin bahawa rakyat kita keseluruhannya telah merdeka sepenuhnya dari segi pemikiran, hawa nafsu dan gejala-gejala perhambaan lainnya yang melanda umat manusia ini.

Serangan yang dibawa oleh ejen-ejen penjajahan bentuk baru melalui teknologi maklumat dan komunikasi serta aliran globalisasi tajaan Barat yang mendominasikan dunia pada hari ini banyak sekali meninggalkan kesan perhambaan di dalam pemikiran dan tindakan rakyat di negara-negara membangun, termasuk rakyat negara kita.

Kemelut perpecahan umat, gejala sosial di dalam masyarakat muda dan tua, kebekuan pemikiran orang-orang yang berilmu dan profesional, sifat fanatik dan taksub melulu, pemujaan individu dan tokoh tertentu tanpa pertimbangan adalah merupakan ciri-ciri perhambaan manusia walaupun pada lahirnya negaranya telah merdeka daripada penjajahan.

Di negara kita sendiri ramai orang yang memuja media asing dengan laporan-laporannya yang penuh dengan agenda penjajahan bentuk baru, iaitu yang ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menimbulkan ketegangan di dalam negara semata-mata kerana negara ini ingin menegakkan identiti dan jati dirinya sendiri dan ingin bebas daripada pergantungan melulu kepada kuasa asing.

Tindakan negara merdeka yang ingin melepaskan dirinya daripada penjajahan bentuk baru dan mengisikan kemerdekaannya sendiri dalam erti kata yang sebenarnya telah menimbulkan kemarahan bekas penjajah Barat. Dengan itu penjajah Barat akan berusaha supaya negara yang merdeka ini menjadi kacau bilau dan sentiasa berada dalam ketegangan di antara rakyat dengan pemerintah supaya dengan itu dapatlah mereka memuaskan jarum penjajahannya dengan baik.

Pemujaan media Barat inilah yang mendorong para pemujanya berbicara dengan media asing itu, membenarkan dirinya diwawancara dengan segala komen dan kritikan negatif terhadap negara sendiri, sehingga dengan itu akan lahirlah ke mata dunia seolah-olah dialah pejuang demokrasi dan keadilan negara yang ingin melihat perubahan. Orang-orang begini sebenarnya tidak mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat umum dan di dalam negara sendiri.

Generasi baru yang tidak mengalami sendiri perjuangan rakyat dan negara semasa zaman penjajahan untuk memerdekakan negara mungkin tidak dapat menghayati dan merasakan pahit getir kehidupan pada zaman penjajahan.

Pengalaman itu hanya tertera di dalam tulisan di sana sini yang mungkin tidak dapat dibaca dan dimengertikan dengan baik oleh generasi selepas kemerdekaan. Bagaimanapun perjuangan itu telah berlalu dan tanggungjawab mencapai kemerdekaan negara tidaklah tertanggung ke atas bahu mereka lagi.

Namun yang perlu bagi generasi baru ialah mengisikan kemerdekaan negara dengan melengkapkan diri mereka menjadi anak-anak negara merdeka yang sebenarnya.

Kemerdekaan negara tidak memberi sebarang erti sekiranya kita masih belum mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup di dalam segala bidang kehidupan kita. Demikian juga keupayaan kita di dalam bidang ilmu pengetahuan dan profesionalisme yang tinggi masih belum bererti sekiranya pemikiran kita masih diselubungi oleh pemikiran penjajah dan nilai hidup mereka yang masih terbelenggu dengan hawa nafsu.

Apa ertinya berilmu pengetahuan yang tinggi kalau kita masih terpengaruh dengan cerita-cerita palsu Internet tentang negara kita dan masyarakat. Apa ertinya profesional sekiranya kita masih terperangkap dengan taktik luar yang ingin mengharu-birukan masyarakat kita.

Apa ertinya kemerdekaan negara sekiranya kita masih belum merdeka daripada gejala keruntuhan moral dan kehakisan nilai-nilai murni keagamaan dan kerohanian?

Kalau Islam telah berjaya melaksanakan perancangan yang amat rapi untuk menghapuskan perhambaan sesama manusia dalam bentuk kuno sebelum masyarakat Barat bertindak menghapuskannya, maka kenapakah perhambaan bentuk baru ini terlalu banyak menyerang negara-negara Islam sekarang tanpa tentangan, malah banyak sekali negara Islam dan orang-orang Islam yang sanggup menerima perhambaan ini dengan rela hati?

Salah seorang Khalifah Islam memberi amaran dengan kata-kata hikmatnya; Bilakah kamu memperhambakan sesama manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka? Islam daripada awal lagi telah menyempitkan pintu perhambaan dan membuka luas pintu untuk membebaskan manusia daripada perhambaan, sehingga dengan itu manusia menjadi merdeka dan bebas daripada kezaliman dan penindasan, atau penganiayaan terhadap jiwa raga, harta benda dan maruah serta kehormatan mereka.

Agenda inilah yang dilaksanakan oleh Islam dalam memberikan kemerdekaan kepada manusia dan melepaskan diri mereka dari perhambaan.

Tetapi setelah perhambaan bentuk kuno itu telah pupus dari muka bumi ini, kenapakah ada manusia yang sanggup diperhambakan dalam bentuk baru sehingga sanggup mengkhianati negara dan tanah air sendiri?

Kenapakah manusia sanggup memperhambakan dirinya kepada hawa nafsu keduniaan dengan menggadaikan agama dan nilai-nilai murni kehidupannya?

Apakah kerana soal-soal peribadi dan kelompok tertentu kita sanggup mempertaruhkan maruah dan kehormatan kita sendiri kepada kuasa lain yang ingin memperhambakan kita?

Semoga negara merdeka yang memasuki ke tahun empat puluhan ini akan mulai menampakkan kemerdekaan sebenar dalam pemikiran sikap, tindakan dan wawasan rakyat kita keseluruhannya. Kalau kita berpegang kepada kata-kata hikmah bahawa hidup itu bermula pada umur empat puluh tahun, malah Nabi Muhammad s.a.w. juga dilantik menjadi Rasul kepada umat manusia ketika berumur empat puluh tahun maka masanya telah tiba untuk melatih negara kita sebagai negara yang matang dan maju kerana negara kita telah merdeka lebih dari empat puluh tahun.