Wednesday, October 10, 2007

Kita mengalami kemerosotan dan kehakisan pengetahuan - Mengulamakan ulama agama

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
BAHAGIAN terakhir tulisan saya minggu lalu di ruangan ini menarik perhatian beberapa orang pembaca yang memberi komen yang berbeza-beza. Bahagian yang saya maksudkan itu ialah ketika saya menegaskan bahawa satu agenda penting bagi kita di negara ini dan dunia Islam umumnya, ialah agenda mengulamakan para ulama Islam sendiri agar mereka menjadi ulama besar, menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama dan peka serta terbuka kepada ilmu moden serta perkembangannya di dalam kepelbagaian bidang yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka seharusnya menguasai bidang pengkhususan mereka secara mendalam dan ilmu asas agama yang lain secara penuh intelek, serta dapat pula menghubungkannya dengan segala perkembangan ilmu dunia yang berlaku dan berkembang dari masa ke masa di sekeliling mereka.

Pertama sekali ingin saya jelaskan bahawa saya menggunakan istilah ulama untuk ulama agama berdasarkan konsep istilah tersebut mengikut latar belakang budaya dan bahasa kita, iaitu dalam konteks bahasa Melayu sesuatu kata pinjaman dari bahasa asing akan mengalami perubahan konsep dan struktur kalimat apabila dijadikan istilah atau kata pinjaman ke dalam bahasa Melayu. Kemasukan agama Islam ke dalam alam Melayu membawa bersama-samanya kata-kata pinjaman dari bahasa Arab, terutamanya di dalam bidang keagamaan, maka kata-kata itu telah menjadi kata bahasa Melayu dengan konotasinya sendiri tanpa melibatkan makna asal kata pinjaman tersebut di dalam bahasa asalnya.

Maka istilah ulama juga sungguhpun di dalam pengertian asal bahasa Arab bermakna ilmuwan dan cendekiawan, tetapi orang Melayu telah mengambil istilah itu untuk memanggil orang yang berilmu agama, iaitu orang yang mempelajari agama dan me-ngajar agama. Amat janggal sekali sekiranya kita akan menggunakan istilah ulama itu untuk orang yang menguasai ilmu teknologi umpamanya, atau bidang ilmu lain yang tidak termasuk di dalam bidang agama.

Tetapi apabila saya mengemukakan isu mengulamakan ulama sebagai tajuk perbicaraan, maka bukanlah bermakna saya memperkecilkan kebolehan dan kemampuan ulama kita. Malah dalam beberapa hal saya sebenarnya amat menghargai dan memandang tinggi kepada ulama Malaysia yang sebenarnya telah menunjukkan keupayaan mereka dalam mempertingkatkan bidang agama dan ilmunya di negara kita, dan mampu pula menguasai bidang ilmu lain yang mempunyai kaitan dengan segala persoalan agama dan aktivitinya dalam pembangunan negara kita ini.

Kita dapat melihat bagaimana para ulama kita yang telah membantu pembangunan ilmu dan pengetahuan di dalam pendidikan kebangsaan di dalam berbagai-bagai bidang, terutamanya di institusi pengajian tinggi. Kita juga dapat melihat bagaimana para ulama kita telah memberi sumbangan yang amat besar ertinya kepada pembangunan institusi ekonomi, perbankan, takaful dan sebagainya, yang membantu pembangunan ekonomi dan kewangan negara ini. Malah dalam bidang teknologi, alam sekitar, perubatan, perundangan, seni bina dan lain-lain lagi, sumbangan para ulama kita juga amat besar.

Maka dengan itu saya sebenarnya tidak menafikan kemampuan mereka dalam kepelbagaian bidang ilmu pengetahuan, apa lagi memandang ringan kepada ilmu mereka.

Tetapi yang perlu diambil perhatian berat dalam hal ini ialah kehakisan ilmu dan para ulama itu di dalam masyarakat kita. Pada masa kini kita hampir dapat mengenal pasti dan membilang dengan jari siapakah ulama kita yang berkemampuan itu. Kita hanya dapat melihat segelintir mereka sahaja yang menganggotai badan penasihat syariah di institusi kewangan dan perbankan umpamanya, dan mereka inilah juga yang dilantik oleh mana-mana bank untuk menganggotai panel syariah mereka. Pihak bank dan institusi kewangan tersebut amat sukar untuk mendapatkan calon lain yang berwibawa.

Secara kasar sahaja dapat dilihat bahawa dalam sebarang kegiatan keagamaan dan sumbangan keilmuan kepada masyarakat umumnya, maka segelintir para ulama inilah juga yang sering ditonjolkan di sana sini, dan masyarakat hampir dapat melihat wajah yang sama berpusing keliling negara kita untuk menyampaikan ilmunya secara berkesan dan dapat diterima oleh masyarakat.

Satu perkara yang harus diingat bahawa masyarakat kita sekarang telah meningkat ilmu pengetahuannya. Rakyat Malaysia telah menguasai berbagai-bagai bidang kemahiran dan ilmu pengetahuan moden, terutamanya yang menekankan tentang pemikiran dan intelek manusia serta cara berfikir yang mendalam. Maka dalam perkembangan ini masyarakat tidak dapat lagi menerima ulama yang cetek ilmu pengetahuannya, atau yang hanya pandai mengulang-ulang segala apa yang telah disebutkan oleh orang lain sejak dari generasi lampau hingga ke zaman moden dan canggih ini.

Dalam situasi ini orang yang mendengar ceramah dan pengajaran ulama itu umpamanya akan dapat menelah dan menduga terlebih dahulu apa yang akan disebutkan oleh para penceramah tersebut, kerana ulama ini tentunya akan mengulang segala butiran dan ayat serta hadis yang pernah diucapkan berulang kali di dalam masyarakat kita tanpa dapat membangkitkan satu pemikiran baru dan menyentuh isu intelektual manusia, terutamanya yang mempunyai kaitan dengan perubahan dan peningkatan ilmu pengetahuan moden dan perubahan dunia yang sering berkembang pesat pada hari ini.

Kelemahan ini tidak hanya berlaku dalam hubungan ilmu agama dengan dunia dan pemikiran moden, malah dalam isu intelektual keagamaan sendiri kita mengalami kemerosotan dan kehakisan pengetahuan yang amat ketara di kalangan para ulama kita. Kita mengalami kelemahan yang nyata ketika membicarakan sejarah pemikiran dan tamadun Islam, latar belakang perkembangan ilmu pengetahuan dan pemikiran ulama-ulama besar Islam dalam sejarah kegemilangan Islam dan ilmu pengetahuannya. Kita berasa lemah ketika berdebat tentang krisis kepemimpinan yang berlaku di dalam sejarah perkembangan Islam dari abad ke abad, termasuk dari sejarah pertumbuhan berbagai-bagai mazhab fikah dan politik Islam. Kita mungkin lemah juga ketika berbicara tentang sejarah pertumbuhan dan keintelektualan para ulama Ahli Sunah Waljamaah dibandingkan dengan pertumbuhan aliran mazhab politik dan agama dalam aliran Syiah dan Khawarij umpamanya.

Akibat dari kelemahan ilmu pengetahuan yang dapat membangkitkan intelek dan pemikiran masyarakat kita yang jelas tentang agama dan falsafah pengajaran dan pemikirannya, maka rakyat kita amat ketandusan konsep dan tasawur agama atau world-view yang jelas tentang agama, malah tidak dapat membezakan di antara ajaran Islam yang berbentuk ritual dan agama sebagai satu sistem hidup yang lengkap.

Maka dalam kesempatan dan kekosongan inilah, orang Islam di negara kita lebih suka mempelajari agama daripada guru-guru agama yang berceramah politik di mana-mana sahaja mereka berpeluang mendengar ceramah dan pengajaran tersebut. Kepetahan orang politik berceramah agama, dan kemampuan mereka membawakan isu-isu semasa, walaupun secara yang tidak jujur dan tidak tepat, lebih menarik perhatian para pendengar untuk mengikutinya dan mempercayai segala apa yang diper-katakan di dalam majlis tersebut walaupun orang yang berceramah itu tidak pun sebenarnya mempunyai pengetahuan agama yang cukup, kerana latar belakang pengajiannya tidak juga dalam bidang agama. Hal ini menjadi lebih bahaya sekiranya ceramah atau pengajaran politik Islam itu akan menyentuh soal akidah dan fatwa yang akan meresap masuk ke dalam benak dan hati pendengar sebagai satu fatwa yang sebenarnya.

Maka dalam konteks inilah saya rasa kita haruslah memulakan satu perancangan pendidikan agama yang lebih luas dan menyentuh isu yang lebih relevan dengan perkembangan masyarakat setempat dan antarabangsa mulai dari peringkat pendidikan rendah atau menengah membawa kepada pendidikan yang lebih mendalam di peringkat pengajian tinggi.

Kita mempunyai banyak institusi pengajian agama di segala peringkat dan di semua negeri, juga di peringkat pusat sekarang ini. Semuanya bersaing dan berlumba untuk mendapatkan pelajar, terutamanya pusat-pusat pengajian agama swasta. Tetapi mungkin kita terlepas pandangan tentang susunan dan struktur serta pengisian pengajaran dan pendidikan institusi pendidikan itu dari segi membentuk manusia yang berilmu dan yang dapat berfikir dengan menggunakan daya intelek dan pemikirannya yang matang, bukan hanya mengulang dan menyebut semula segala apa yang telah dibicarakan tentang agama dalam masyarakat sejak berabad-abad yang lalu.

Saya mungkin agak keterlaluan pada anggapan sesetengah orang sekiranya saya katakan bahawa pengajian Islam secara yang luas ini sebenarnya dapat kita lakukan dengan menggabungkan pengajian Islam yang dilakukan di dunia Islam dan di dunia Barat. Pengajian Islam secara tradisi dan asli perlu diperoleh dari institusi yang berwibawa di dunia Islam sendiri. Tetapi dalam menjana pemikiran dan penyelidikan ilmiah secara serius tentang Islam, maka terdapat para penyelidik dan institusi di Barat yang telah menunjukkan kemampuan dalam bidang ini.

Mungkin para ulama moden dari negara kita perlu memikirkan untuk mendapatkan dua tiga ijazah tinggi dalam bidang agama dari berbagai-bagai institusi di Timur dan Barat. Kita tentu tidak akan berasa bimbang bahawa mereka yang mempelajari Islam di Barat akan menjadi orientalis yang mempunyai sikap anti-Islam atau menyeleweng akidahnya, atau sesat umpamanya, kerana pengajian asas mereka tentang Islam amat kuat di negara kita dan di institusi di dunia Islam sendiri. Biasanya orang akan berasa takut tentang hal ini sekiranya ia tidak mengetahui apakah yang diajar di Barat tentang Islam. Kebebasan berfikir dan menjana intelek sebagai pelajar dan pengkaji adalah amat terbuka dan terserahlah kepada pelajar dan pengkaji itu sendiri untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuannya.

Mungkin apa yang saya kemukakan ini hanya merupakan sebahagian kecil sahaja strategi kita untuk mengulamakan ulama kita, kerana medan perbincangan ini amat luas dan tidak terhad.

No comments: