Wednesday, October 10, 2007

Kesucian masjid tidak dihormati

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM


SEBELUM ini kita sering memperkatakan dengan nada yang agak sedih dan hampa tentang penyalahgunaan masjid dan surau di negara kita oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka ini termasuklah yang mengambil kesempatan menggunakan rumah ibadat yang suci itu untuk tujuan peribadi atau kumpulan yang tertentu.

Tetapi kini, masjid di dalam negara Islam dan di Eropah, malah mungkin juga di Amerika Syarikat (AS), telah menjadi rumah sembelihan. Di situ menjadi tempat menyembelih manusia atau menjadi seperti tanah ladang padi atau gandum, yang boleh dipijak-pijak dengan kasut yang berdebu dan kotor. Perbuatan itulah yang dilakukan oleh para tentera dan askar masa kini.

Sehingga ke akhir zaman, pencemaran yang dilakukan oleh para tentera asing ke atas masjid sebagai tempat suci umat Islam akan tercatat dengan tinta hitam di dalam sejarah ketamadunan manusia. Pencemaran itu merupakan satu pencerobohan yang jelas sekali melanggar peradaban manusia pada zaman global ini.

Pencemaran inilah yang telah dan sedang kita saksikan di Iraq. Masjid bersejarah di kota Fallujah dan di kota bersejarah lain di negara tersebut, telah dicemari oleh tentera penceroboh yang diketuai oleh AS. Tempat suci yang kita kenali dengan nama rumah Allah, yang sering kita beriktikaf dan beribadat di dalamnya, tiba-tiba dicemari dengan kasut tentera yang kotor dan cela. Dengan imej bengis, tentera mengacu muncung senjata moden kepada sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Malah tidak lama dulu, kita menyaksikan hal yang sama berlaku di negara jiran kita, ketika orang Islam di selatan Thailand dikejar dan ditembak, termasuk masjid yang menjadi sasarannya. Rumah suci yang tidak sepatutnya dicemari, telah dijadikan sasaran serangan yang amat mengaibkan. Masjid menjadi rosak terkena bedilan, sama sahaja seperti rumah kediaman, kedai dan sekolah yang juga menjadi sasaran bedilan.

Oleh itu kisah sedih dan kejam ini haruslah diteliti dengan sebaik-baiknya, agar rumah ibadat termasuk bukan penganut Islam tetap terpelihara.

Adab berperang yang diamanahkan oleh Islam, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah kepada para pejuang Islam, telah pun menjadi etika sejagat yang seharusnya dihormati iaitu ketika Islam berpesan supaya para pejuang janganlah merosakkan tempat ibadat, jangan memotong pohon yang berbuah dan jangan melakukan kekejaman lain kepada orang tua dan kanak-kanak serta kaum wanita. Semuanya ini merupakan nilai moral kemanusiaan yang seharusnya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, walaupun dalam suasana peperangan.

Disalah guna

Namun begitu, etika ini tidak lagi dihormati, dan tidak lagi mendapat perhatian manusia bertamadun sekarang ini, malah seperti yang saya tegaskan di atas sesetengah kalangan orang Islam sendiri sering kali tidak lagi menjaga kemurnian masjid dan surau sebagai tempat suci agama yang seharusnya dijaga dengan baik dan penuh jujur.

Seperti yang selalu kita perkatakan bahawa kita selama ini sering juga mendengar bagaimana masjid dan surau disalahgunakan oleh orang yang terlalu ghairah untuk mencari keburukan orang lain. Maka mimbar masjid atau ruang kuliah agama itulah yang sering digunakan untuk mencaci atau mengaibkan orang lain, termasuk membawa fitnah yang tidak sahih dan palsu tentang orang lain, padahal kita mengetahui adab-adab ketika bercakap dan berada di dalam rumah ibadat itu. Kita mengetahui perintah Allah agar masjid dibina di atas asas takwa, kerana masjid yang dibina di atas asas takwa itulah sahaja yang berhak digunakan untuk mengingati Allah dan melakukan ibadat di dalamnya untuk Tuhan Maha Pencipta.

Masjid sepatutnya menjadi tempat yang penuh khusyuk dan tawaduk, penuh dengan suasana aman damai dan tenteram. Orang yang beribadat atau beriktikaf di dalamnya adalah merupakan hamba Allah yang cuba untuk mencari ketenangannya sendiri, yang sedang berzikir dan mengingati Tuhannya yang Maha Besar. Hati dan perasaan seharusnya amat tenteram di dalam masjid, gerak laku dan sebarang pengucapan yang dikeluarkan di dalamnya pun seharusnya beradab, bersopan, dengan kata-kata yang suci dan bersih.

Tetapi suasana itu, selain daripada dicemari oleh kita sendiri dengan unsur kekasaran dan pengucapan yang bertentangan dengan adab dan etika, sekarang ini berlarutan amat jauh lebih daripada yang sepatutnya, ketika masjid menjadi sasaran tembakan dan bedilan, orang-orang di dalamnya menjadi korban peluru.

Maka nampaknya umat Islam sendiri, seharusnya juga lebih berhati-hati menjaga kesucian masjid. Janganlah cuba menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan ketika melancarkan serangan atau tindakan ke atas musuh, atau pihak lain yang dianggap sebagai musuh. Orang Islam sendiri haruslah sedar bahawa sejauh mana sekalipun mereka seharusnya melancarkan serangan ke atas orang lain, janganlah masjid dijadikan pangkalan, apalagi menjadikan tempat ibadat itu sebagai kubu untuk berlindung sesudah melancarkan serangan, atau menjadikannya sebagai tempat bersembunyi agar tidak dikesan oleh musuh.

Kita seharusnya dapat membandingkan hal ini dengan pesanan Allah kepada kita dalam hubungan kita dengan orang lain, iaitu ketika Allah menegah kita daripada mencela sembahan orang lain. Allah melarang kita berbuat demikian, kerana ditakuti dengan perbuatan kita mencela sembahan mereka, maka mereka juga akan bertindak mencela atau mencerca Allah, Tuhan kita. Oleh itu sekiranya kita tidak mahu orang mencela Tuhan kita, maka kita sendiri janganlah bertindak mencela Tuhan mereka.

Jadi dalam konteks memelihara kesucian masjid sebagai lambang kesucian agama kita, maka kita sendirilah yang seharusnya terlebih dahulu menghormati tempat ibadat kita itu. Kita tidak seharusnya secara sewenang-wenang mempergunakan masjid untuk sesuatu tujuan yang lain daripada ibadat dan amalan suci untuk kebajikan kita.

Mengecam

Inilah juga yang dipesan oleh orang tua kita, iaitu sekiranya kita mendiami rumah kaca, maka janganlah cuba-cuba melontar batu ke arah rumah orang lain, kerana sekiranya mereka membalas perbuatan kita, tentulah rumah kita akan berkecai.

Oleh itu apa yang berlaku di dalam medan peperangan, di mana-mana sahaja dan di negara mana sekalipun, orang Islam haruslah cuba mengelak daripada menggunakan rumah ibadat kita sebagai tempat yang boleh mengundang musuh untuk masuk mencemarinya dan seterusnya bertindak merosakkannya.

Mereka akan memburu orang Islam di mana-mana sekalipun, termasuk di dalam masjid. Maka ketika itu agak sukar bagi kita untuk mengecam dan mengatakan bahawa mereka telah mencemarkan rumah ibadat kita, kerana kita sendiri menggunakan masjid sebagai tempat perlindungan. Mereka akan menggunakan perbuatan kita untuk menjustifikasikan perlakuan ganas mereka, termasuk menghancurkan tempat suci agama kita itu, kerana mungkin telah terpendam di dalam benak mereka bahawa segala warisan Islam yang suci itu haruslah dimusnahkan, maka mereka telah mendapat peluang keemasan itu akibat daripada perbuatan kita sendiri.

Maka dalam konteks ini dan di dalam zaman yang penuh dengan segala cabaran dan ancaman ini banyak perkara yang seharusnya disedari oleh orang Islam. Cara berfikir dan bertindak orang Islam sendiri haruslah melalui proses baru yang lebih menguntungkan umat Islam, bukan tindakan melulu terutamanya atas nama agama yang akhirnya membawa kerosakan kepada diri sendiri.

Dalam hubungan inilah juga ternyata bahawa generasi baru umat Islam haruslah dididik dengan sebaik-baiknya untuk menggunakan strategi yang berkesan dalam memperjuangkan agenda umat dan agama. Memahami secara berhikmah taktik berjuang dan berjihad, kerana amatlah silap sekali bagi umat Islam berjuang dan berjihad secara gopoh dan tidak berhikmah.

Banyak sekali tindakan yang terkeluar daripada ajaran dan etika agama yang dilakukan oleh umat Islam atas nama jihad dan perjuangan Islam. Perbuatan menculik dan membunuh orang yang tidak berdosa, membunuh sesama sendiri sebagai tanda protes tanpa alasan yang diterima agama dan tindakan kekerasan lain, benar-benar menjatuhkan maruah dan mencemar kesucian agama sendiri.

Jadi dalam konteks inilah saya menyebut di atas bahawa orientasi pendidikan generasi baru Islam perlulah dirombak secara besar-besaran. Kita perlu membentuk generasi baru Islam yang benar-benar memahami Islam dalam tasawwurnya yang betul mengikut inti pati wahyu Allah dan pengajaran Rasul-Nya, bukan berdasarkan pentafsiran sempit kita dan petunjuk emosi atau sentimen kita yang melulu.

Dalam pembicaraan tentang pencemaran masjid sebagai tempat suci umat Islam ini, saya tidaklah bermaksud di sini untuk mengharuskan segala tindakan musuh Islam yang merosakkan segala warisan suci kita termasuk mencemarkan masjid sebagai rumah suci tempat kita beribadat. Tetapi kita sendiri haruslah lebih berhikmah dalam menyusun strategi agar mereka tidak mempunyai sebarang peluang untuk merosakkan tempat ibadat sewenang-wenangnya.

Hati kita berdarah dan perasaan kita amat tersinggung melihat perbuatan kotor mereka yang mencemarkan masjid tetapi di dalam masa yang sama kita sendiri haruslah lebih berhati-hati supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka untuk bertindak kejam terhadap kesucian tempat ibadat dan lambang keagungan agama kita itu, terutamanya hal ini berlaku di depan mata kita dan di negara orang-orang Islam sendiri.

No comments: