Wednesday, October 10, 2007

Program harus memberi pendidikan, maklumat serta ilmu - Elak hiburan murahan di TV

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
ISTILAH Islam Hadhari tidak seharusnya menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Islam yang dilaksanakan selama ini di negara kita adalah merupakan Islam dinamik, membangun dan terbuka, iaitu yang merangkumi segala pembangunan jasmani, rohani, fizikal dan spiritual. Islam yang membangun sebagai satu tamadun untuk manusia dan dunia umumnya, adalah merupakan Islam yang membawa rahmat, toleransi dalam sempadan-sempadan yang dibenarkan, membangunkan ilmu yang bermanfaat dan membentuk sahsiah insan sebagai hamba dan khalifah yang seharusnya mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya.

Inilah sebenarnya sebahagian dari pengertian Islam Hadhari yang dimaksudkan itu, iaitu satu gagasan Islam yang selama ini telah dilaksanakan di negara kita. Ciptaan istilah baru ini adalah untuk menarik pemikiran dan fokus kita kepada satu agenda pembangunan Islam yang lebih bertamadun, terlepas dari penggunaan Islam dalam kefahaman yang sempit dan terhad dalam ruang-ruang tertentu sahaja.

Oleh itu Islam Hadhari tidak memfokuskan kepada pembangunan fizikal dan kebendaan semata-mata. Islam Hadhari tidak seharusnya difahami sebagai satu pembangunan manusia dan alam yang hanya terhad kepada pembangunan teknologi dan ekonomi yang terlepas dari komponen akidah, syariah dan akhlak yang menjadi teras Islam itu sendiri.

Saya menyebut hal ini, kerana mungkin terdapat kekeliruan tentang istilah Hadhari, atau Hadharah yang dipinjam dari istilah Arab yang bererti tamadun. Tamadun dalam Islam membawa pengertian yang berbeza dari tamadun dalam istilah Barat. Tamadun dalam Islam bukan hanya membangun fizikal, benda dan dunia semata-mata seperti yang pada umumnya difahamkan dari pengertian tamadun Barat. Tetapi tamadun dari perspektif Islam secara ringkasnya adalah merupakan pembangunan fizikal dan spiritual, jasmani dan rohani, dunia dan akhirat menurut akidah, syariah dan akhlak Islam itu sendiri.

Pembangunan Islam Hadhari tidak harus dipisahkan dari pembangunan akidah, syariah dan akhlak, malah komponen teras Islam inilah yang menjadi asas dan mencorakkan pembangunan Islam secara menyeluruh. Tamadun Barat yang diasaskan di atas dasar pembangunan jasmani dan benda semata-mata akhirnya melahirkan manusia yang rakus dan bernafsu kebendaan melulu sehingga meninggalkan nilai-nilai akhlak dan moral kerohanian. Akibat pembangunan tamadun beginilah, maka manusia menjadi makhluk bersifat kebinatangan - berbunuhan dan bertumpah darah - kerana merebut benda dan tuntutan nafsu seperti yang dapat kita lihat di dalam masyarakat dunia hari ini, yang dikatakan dunia tamadun dan moden.

Oleh itu umat Islam di negara kita haruslah memahami istilah Islam Hadhari ini dengan baik. Jangan menyangka bahawa Islam yang membangun bersama ilmu dan tamadun dalam konteks Islam Hadhari ini akan terlepas dari pembangunan yang diasaskan di atas akidah tauhid. Gagasan dan konsep Islam Hadhari inilah yang seharusnya dilaksanakan di dalam semua pembangunan negara kita, terutamanya dalam pembangunan budaya dan nilai-nilai moral dan akhlak di kalangan rakyat kita umumnya ketika negara ini sedang menuju kepada satu pembangunan bangsa Malaysia yang maju pada tahun 2020.

Dalam konteks pembangunan budaya dan nilai moral yang sihat di kalangan rakyat, khususnya generasi muda, ingin saya fokuskan tulisan ini kepada pembangunan dunia penyiaran kita yang seharusnya membangun sebagai alat yang baik untuk mendidik minda dan jiwa para penonton. Sungguhpun apa yang akan saya sebutkan di bawah mungkin merupakan perkara remeh-temeh pada sesetengah orang, tetapi pandangan yang dikemukakan ini adalah merupakan pandangan peribadi saya yang ikhlas, terutamanya kepada dua orang teman baik saya, menteri dan timbalan menteri di Kementerian Penerangan.

Mutakhir ini tv telah menggunakan para artis untuk mempromosikan beberapa programnya, seperti Bintang RTM, dengan satu penampilan diri dan ucapan ala Amerika. Di dalam promosi tersebut, artis-artis itu menggunakan sapaan ``hai'' menggantikan ucapan selamat di dalam bahasa Melayu. Mereka bersuara ``hai'' di sana ``hai'' di sini, seolah-olah kita termasuk mereka yang berada di ceruk kampung dan pedalaman, sedang berada di negara Amerika.

Maka dalam konteks ini, saya amat bergembira, kerana Menteri Penerangan yang baru, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang saya kenali amat mesra dan prihatin dengan budaya Melayu serta adat tradisi kampung kita, telah membuat kenyataan bahawa beliau mahu menjadikan RTM sebagai media elektronik nombor satu negara.

Kenyataan itu tepat pada masanya.

Menjadikan tv sebagai saluran kelas satu negara tentulah akan merangkumi program yang bermutu dan benar-benar berfungsi mengikut objektif yang menjawab persoalan apakah fungsi media, terutamanya media elektronik, di dalam masyarakat.

Adakah dengan program hiburan Barat yang terlalu menonjolkan nilai negatif dan permisif itu boleh dikategorikan sebagai hiburan cemerlang dan terbilang yang seharusnya dihidangkan kepada masyarakat di negara ini? Atau adakah dengan menayangkan program tempatan yang memencilkan budaya dan bahasa nasional kita juga termasuk di dalam program bermutu tinggi seperti yang dicita-citakan itu? Apakah kita selama-lamanya akan terpaksa menonton program perbincangan atau lakonan drama dan lawak jenaka, malah program agama sendiri, yang merendah-rendahkan pemikiran dan mentaliti penonton yang diterbitkan semata-mata untuk memenuhi kuota masa dan ruang program tempatan?

Fungsi media, seperti tv, yang mungkin diketahui umum, merangkumi tiga perkara penting, iaitu hiburan, maklumat dan pendidikan. Saya percaya yang berhormat menteri dan para petugas tv, amat mengetahui apakah jenis hiburan yang sihat dan berinformasi, seperti yang sering dinyatakan di dalam tv itu sendiri.

Hiburan bagaimana yang benar-benar membangunkan pemikiran dan minda para penonton, termasuk emosi dan perasaan semua lapisan dan golongan yang menonton tv.

Apakah dengan drama dan lakonan yang separuh matang, atau dialog bahasa campuran atau ``rojak'', tema dan plotnya yang tidak masuk akal itu akan termasuk di dalam hiburan yang membina dan mendidik? Malah lebih dari itu apakah dengan pengucapan ``hai'' di sana ``hai'' di sini, kita benar-benar telah memasuki gerbang kemajuan seperti kemajuan negara Amerika ?

Kadir dan timbalannya, Datuk Zainuddin Maidin yang kedua-duanya berasal dari negeri yang sama dengan saya, iaitu Kedah Darul Aman, malah orang Melayu umumnya, tentulah amat memahami bahawa menegur orang dengan sapaan ``hai'' atau ``hoi'' adalah dianggap tidak sopan, atau dengan kata-kata lain yang lebih tepat lagi, bahawa orang yang tidak menegur orang lain, sama ada kecil atau dewasa, muda atau tua, lelaki atau perempuan, dengan pengucapan lembut akan dianggap biadab dan tidak tahu bahasa. Oleh itu segala penampilan yang tidak bersesuaian dengan budaya dan adab sopan bangsa kita, terutamanya dari perspektif agama, dan wawasan Islam Hadhari seharusnya dijauhi sama sekali, terutamanya di dalam media tv yang merupakan alat hiburan rakyat di segala ceruk rantau negara kita ini.

Oleh itu konsep media elektronik yang bermatlamatkan hiburan, penerangan dan pendidikan haruslah disepadukan di dalam keseluruhan rancangan dan persembahannya. Atau dalam kata lain segala program hiburan tv haruslah juga mengandungi nilai yang tinggi dalam memberi pendidikan dan maklumat serta ilmu yang bermutu kepada jiwa dan rohani penonton. Hiburan melulu yang mementingkan seks dan keganasan, atau dipersembahkan dalam bentuk yang murahan, haruslah dijauhkan, sama ada program itu merupakan program tempatan atau yang diimport.

Segala kenyataan yang saya sebutkan ini bukanlah semata-mata saya tujukan kepada RTM, malah Kementerian Penerangan mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap semua stesen tv, terutamanya stesen swasta yang semakin bertambah di negara kita ini. Kemunculan sekian banyak stesen tv haruslah merupakan satu pertumbuhan yang sihat, bukan hanya melahirkan persaingan yang tidak sihat sehingga segala programnya mementingkan komersial tanpa bertanggungjawab terhadap pemupukan nilai dan budaya hidup yang murni dan baik.

Semua stesen tv juga seharusnya menyedari bahawa kewujudannya adalah satu kehadiran yang sihat di dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai kontrak sosial terhadap dasar negara, termasuk dasar bahasa, budaya dan sosio politik bangsa Malaysia. Dominasi satu kaum dengan segala unsur budayanya yang tidak dapat diterima sebagai sesuatu yang berakar umbi di bumi kita ini seharusnya dilihat sebagai satu dominasi yang menyeleweng dari dasar persefahaman dan kontrak sosial, budaya dan agama yang telah dipersetujui oleh semua kaum mengikut perlembagaan negara merdeka.

Demikian juga segala penonjolan program yang tidak berbudaya ilmu, gosip, cakap kosong, malah penggunaan ungkapan kasar dan tidak bersopan ketika menyiasat gejala maksiat dan salah laku remaja seperti yang dihidangkan oleh salah sebuah stesen tv swasta. Begitu juga ketika menonjolkan personaliti artis dengan dialog dan bicara yang berbentuk terlalu personal serta penggunaan ungkapan ``aku'' dan `` engkau'' ketika berbual, bercit cat dan sebagainya, tidak seharusnya menjadi bahan penyiaran, kerana tv merupakan alat tontonan semua pihak, kanak-kanak, orang dewasa, terpelajar dan sebagainya.

Islam Hadhari bertujuan mempertingkatkan ilmu dan budaya yang sihat. Warisan bangsa yang sejajar dengan ajaran agama merupakan sesuatu yang seharusnya dipertahankan dengan baik, dan saya rasa dalam konteks ini Datuk Seri Dr. Rais Yatim tentulah sudah pun berkira-kira untuk menggubal dasar warisan bangsa yang seharusnya dipertahankan di negara kita ini. Islam Hadhari di dalam bidang penyiaran haruslah berperanan mencorakkan program, penjadualan, penonjolan manusia, pengisian maklumat dan rancangannya berdasarkan nilai dan etika, elemen pendidikan serta pengetahuan yang sewajarnya.

Ketika majoriti rakyat Malaysia menerima wawasan Islam Hadhari, maka pemerintah pula seharusnya dapatlah menunjukkan komitmennya yang bersungguh-sungguh terhadap wawasan tersebut.

No comments: