Wednesday, October 10, 2007

Gagasan Asia Barat Baru

Oleh Dr. Ismail Ibrahim


BINTANG agung Hollywood, Mel Gibson, penganut Katolik setia, terpaksa memohon maaf di atas kata-katanya ketika marah kerana ditangkap semasa memandu dalam keadaan mabuk. Pemenang anugerah Oscar sebagai pengarah terbaik bagi filemnya Braveheart pada tahun 1995 itu melakukan kesalahan tersebut pada 25 Julai lalu.

Beliau memohon maaf kerana mengeluarkan kata-kata kepada Sheriff yang menangkapnya yang berbunyi “Yahudi adalah bertanggungjawab di atas semua peperangan yang berlaku di dalam dunia ini”.

Dia kemudian bertanya kepada Sheriff itu: “Apakah anda seorang Yahudi?”

Kata-katanya itu disiarkan di laman web hiburan TMZ.com, dan dianggap sebagai kata-kata melampau yang menunjukkan sikapnya sebagai anti Semitik. Pada tahun 2004, beliau pernah dianggap demikian akibat filem bercorak keagamaan arahannya The Passion of the Christ. Dengan itu namanya tetap dikaitkan dengan sikapnya anti Semitik dan akhirnya terpaksa meminta maaf.

Kekuatan gelombang ini juga yang mungkin mempengaruhi Setiausaha Negara Amerika, Condolizzaa Rice untuk mengambil tindakan menghalang sebarang usaha gencatan senjata di Lebanon, bermula daripada pertemuannya dengan para pemimpin Lebanon, sehingga ke persidangan Eropah- Arab di Rome, membawa kepada pertemuan ASEAN di Kuala Lumpur, dan seterusnya ketika kembali ke Timur Tengah semula dan ke Israel dengan pertemuan yang amat mesra dengan Perdana Menteri negara Yahudi itu.

Maka dalam semua sesi dan siri persidangan dan pertemuan ini, Rice tetap dengan sikap diplomasi licinnya, menyokong gencatan senjata dengan segera, tetapi di dalamnya mengandungi mesej tidak dapat diadakan gencatan senjata serta merta kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan dulu. Akibatnya ia tetap dengan golongan Semitic, dan mempertahankan dasar Israel terhadap rakyat dan Kerajaan Lebanon, tidak dapat dilaksanakan cadangan gencatan senjata serta merta. Oleh itu Bush dan Rice mengesahkan sikap mereka pro Semitik.

Keganasan

Kerana gencatan senjata yang tertangguh akibat sikap pro Amerika inilah, maka berlaku keganasan hebat Israel, iaitu pembunuhan kejam oleh tenteranya ke atas 37 orang kanak-kanak dan puluhan ibu atau adik beradik mereka yang semuanya berjumlah lebih daripada 57 orang awam. Serangan ke atas bangunan di sebuah kampung bernama Qana itu berlaku pada waktu subuh 30 Julai lalu.

Qana, juga menyaksikan kekejaman Israel yang hampir sama, iaitu penyembelihan 108 orang awam Lebanon pada tahun 1996. Kini penduduk kampung yang malang itu sekali lagi menyaksikan kekejaman yang sama. Oleh itu media di Asia Barat menyiarkan tajuk berita secara besar-besaran di muka hadapannya bahawa peristiwa 30 Julai itu adalah merupakan tragedi Qana 2.

Rice menekankan banyak perkara ke arah percubaannya untuk tidak diadakan gencatan segera. Pertama ia berulang-ulang kali menegaskan tentang gencatan senjata yang semua keadaan di Lebanon tidak seharusnya kembali kepada kedudukan negara itu sebelum serangan Israel yang lalu. Beliau menekankan tentang perlunya di cipta “Asia Barat Baru” sekarang ini.

Tetapi ramai yang tidak dapat meneka apakah maksudnya Asia Barat Baru itu? Malah ramai rakyat Lebanon yang bertanya dan menempelak Rice “Siapakah dia itu yang hendak memandai-mandai cuba untuk mencorakkan Asia Barat? Apakah dia sebagai orang luar perlu untuk mencampuri urusan Asia Barat dengan melaksanakan konsep dan gagasannya sendiri untuk dipaksakan ke atas negara-negara Asia Barat?”

Selepas 15 tahun berlangsungnya rundingan damai yang dipelopori oleh AS, Simon Peres pernah mengulas rancangan damai itu sebagai usaha untuk menjadikan Israel sebagai pusat politik dan ekonomi bagi Asia Barat, sehingga dengan itu apabila disebut sahaja “Asia Barat” maka pemusatannya ialah kepada negara Israel, dan negara-negara Asia Barat yang lain akan disebut "dan lain-lain", yang bererti bahawa Israellah yang menjadi ketua dan pemimpin bagi negara-negara lain di Asia Barat.

Nampaknya selepas 30 tahun percubaan itu dibuat, Rice sekali lagi membangkitkan gagasan Asia Barat Baru yang tentunya membawa pengertian bahawa Israel haruslah menjadi negara yang menerajui Asia Barat terutamanya dalam politik dan ekonomi, teknologi, ketenteraan dan sebagainya.

Percubaan Israel yang terancang bagi mencipta gagasan inilah yang mendorongnya melancarkan serangan yang memusnahkan segala infrastruktur Lebanon, sehingga Lebanon kembali semula menjadi negara lemah seperti 50 tahun yang lalu. Mengikut kenyataan Perdana Menterinya, hal ini merupakan usaha menuju kepada matlamat melemahkan negara jiran, supaya Israel sahaja yang akan membangun dengan kuat, sama ada dari sudut kekayaan dan ekonominya, pelancongan, infrastruktur, penguasaan ke atas tanah-tanah Arab yang dirampasnya pada tahun 1967 dan kekuatan politiknya yang telah sedia kuat dengan sokongan AS di PBB dan sebagainya.

Palestin sememangnya telah ketinggalan jauh dalam ekonomi, politik, pembangunan, pendidikan dan sebagainya, yang tidak perlu lagi dirisaukan. Palestin telah lumpuh segala-galanya, sehingga terpaksa bergantung kepada orang lain dalam semua bidang perjuangan dan survivalnya.

Inilah agaknya inti pati yang dibicarakan oleh Rice tentang Asia Barat Baru!

Dalam hal inilah nama Israel dan bangsa yang memimpin Israel tidak mungkin diketepikan dalam segala agenda pembangunan negara Asia Barat. Malahan sebarang kenyataan seperti yang dilakukan oleh Gibson itu tidaklah mungkin dapat disuarakan di mana-mana sahaja, kerana hal itu dianggap amat memusuhi konsep dan pandangan umum dunia maju ini.

Jika hendak dibicarakan tentang Asia Barat Baru, kenapa hanya membangkitkan keputusan Majlis Keselamatan PBB tentang melucutkan senjata Hizbullah dan menghantar tentera Lebanon untuk menguasai sempadannya? Sedangkan keputusan PBB supaya Israel berundur daripada tanah Arab yang ditawannya pada tahun 1967 tidak pernah disentuh, tidak oleh Rice, Bush dan Blair, atau para penyokong mereka, dan tidak pernah ditimbulkan oleh sesiapa pun ketika usul serangan Lebanon dibincangkan dalam Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini.

Banyak pandangan yang dikemukakan oleh para penulis akhbar Asia Barat tentang tajuk Asia Barat Baru ini. Diantaranya ada yang menegaskan bahawa untuk berbicara tentang Asia Barat Baru, maka sepatutnya dibicarakan dulu bagaimanakah seharusnya dijelmakan Amerika Syarikat Baru bagi menggantikan AS sekarang.

Kata mereka bahawa AS yang kita kenali pada hari ini amat berbeza daripada AS pada separuh pertama kurun ke-20. AS ketika itu mempunyai prinsip yang berasaskan kepada kebebasan dan hikmah.Tetapi AS sekarang bergantung kepada kekuatan dan rasa sombong. Pada umumnya AS dulu berpegang juga kepada falsafah yang disuarakan oleh Thomas Jefferson bahawa "Tuhan yang menganugerahkan kehidupan kepada kita, maka Dia pada masa yang sama mengurniakan kebebasan".

Semua orang bergantung kepada kekuatan, tetapi falsafah kekuatan adalah bergantung pula kepada moral dan hikmah. Israel dan AS yang mendakwa berdiri bersama-sama dengan Lebanon dalam menghadapi krisis terakhir ini, maka kenapakah Israel seharusnya menghancur dan memusnahkan segala-galanya yang dimiliki oleh rakyat dan negara Lebanon? Apakah salahnya lapangan terbang Beirut, janakuasa elektrik, tangki minyak, tangki takungan air, jalan raya, jambatan, rumah tangga orang, sekolah, kedai dan segala-galanya yang telah diranapkan seperti negara yang dilanda gempa bumi yang paling hebat dan dahsyat sekali?

Inilah pertarungan dan pertentangan perkataan dan pebuatan yang berlaku di dunia yang dikuasai oleh pemikiran yang sakit dan tidak bermoral ini. Kerana hal inilah agaknya, ketika Bush bercakap tentang kebebasan bersuara dan demokrasi di persidangan kemuncak G 8 baru-baru ini, maka Putin menjawab bahawa demokrasi yang dikehendakinya bukanlah seperti demokrasi yang berjalan di Iraq!

Kelucuan

Hal ini amat menyedihkan, dan kadang-kadang amat sinikal yang merendah-rendahkan pemikiran orang yang waras dan matang. Tetapi kadang-kadang melucukan juga, terutamanya apabila diucapkan oleh Bush, dan kerana kelucuan inilah para hadirin dan wartawan yang menghadiri persidangan akhbar Bush dan Putin itu, ketawa berderai-derai ketika Putin menyebut tentang demokrasi di Iraq. Mereka ketawa kerana inilah hakikatnya demokrasi yang diketengahkan oleh negara besar dunia, yang tentunya lebih memahami apakah demokrasi sebenarnya, tetapi melaksanakan sebaliknya.

Israel hingga ke hari ini meranapkan sebuah negara yang indah dan sedang membangun semula daripada kemusnahannya yang dialami selama ini, sedangkan Rice menyebut bahawa inilah usaha mereka untuk memberi kedaulatan dan kebebasan kepada Lebanon. Mungkin inilah satu bentuk “Lebanon Baru” mengikut pandangan Rice dalam rangkanya membina Asia Barat Baru dalam impiannya pada siang hari itu.

Ratusan jiwa orang awam terkorban, hampir sejuta rakyat Lebanon terpaksa merempat lari meninggalkan rumah tangga dan kampung halaman, malah ketika melarikan diri dalam kereta, ambulans, bas atau kenderaan lain, mereka diikuti oleh ledakan roket dan bom Israel.

Tetapi dunia masih menerima permohonan maaf Israel, yang kononnya tidak mensasarkan orang awam. Apakah dengan teknologi canggih yang mereka miliki, mereka tidak dapat membezakan di antara bas, ambulans dan kenderaan awam yang sedang ditumpangi oleh orang awam? Mereka dapat menuju dengan tepat kepada sasaran yang mereka mahu dengan roket mereka, kenapakah mereka masih tersalah tembak, kononnya tidak sengaja?

Mereka menembak mati empat orang pegawai pengaman PBB, juga dengan dakwaan tidak sengaja. Bolehkah diterima akal bahawa satu angkatan bersenjata yang cekap dan berteknologi tinggi tidak dapat mengenal pasti bangunan apakah yang ada di bawah pesawat mereka, tidakkah mereka dapat membaca tanda dan tulisan yang besar dan terang di atas bangunan PBB itu?

Ketika mereka menyerang Qana, tidakkah mereka dapat melakukannya dengan jalan darat sekiranya puak Hizbullah berada di kawasan itu mengikut dakwaan mereka? Kenapakah semuanya harus dilakukan dari udara? Tetapi apabila Hizbullah mengatakan bahawa banyak askar jalan kaki Israel yang cedera dan mati, Israel tidak mahu mengakuinya.

Inilah Israel baru dan Amerika baru yang ada pada hari ini. PBB pun menerimalah permohonan maaf mereka. PBB terima kenyataan wakil Israel bahawa memang senjata Israel yang membunuh ratusan orang awam, tetapi sebenarnya mereka dibunuh oleh Hizbullah secara tidak langsungnya. PBB hanya dukacita, tetapi tidak berupaya memberhentikan serangan Israel.

Dunia seluruhnya tahu mereka ditipu dan tertipu, tetapi dunia juga tidak dapat mengatakannya secara terang. Samalah juga dengan Gibson, yang bercakap ketika mabuk, dan percakapannya ketika mabuk itu mengandungi kebenaran, namun apabila ia sedar semula, dan ketika ia ditekan oleh berbagai-bagai anasir luaran dan dalamannya, maka dia meminta maaf, dan dia tidak maksudkan begitu. Rice juga mungkin merasai perasaan yang sama di dalam hati kecilnya, sebagai wanita, sebagai manusia yang kaumnya pernah ditindas begitu rupa, tetapi seperti orang lain, dia juga tidak dapat berkata yang benar. AS dan kuncu-kuncu Baratnya telah berjaya mempengaruhi dunia seluruhnya supaya tidak memperkatakan sesuatu yang benar dan hakiki.

No comments: