Wednesday, October 10, 2007

Pemikiran Dr. Mahathir sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri - Ikhlas strategi perjuangan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SAYA menerima maklum balas yang agak banyak terhadap tulisan saya dalam ruangan ini dua minggu lalu (12 Oktober). Malah terdapat pembaca dari luar negara turut menghantar pandangan mereka yang amat baik. Ramai yang memberi komen bahawa sungguhpun Dr. Mahathir seolah-olah dimusuhi oleh pihak pembangkang, tetapi jauh dalam

lubuk hati kebanyakan ahli parti pembangkang, mereka tetap menyanjungi beliau dan menghargai perjuangannya dalam segala aspek untuk pembangunan negara kita.

Saya pun sebenarnya dapat melihat sentimen ini, terutama ketika membaca komen beberapa orang ketua parti pembangkang yang agak positif terhadap Perdana Menteri yang akan bersara. Bagaimanapun, dalam politik kepartian, para pemimpinnya akan sentiasa bersikap double standard ketika berhadapan dengan ahli-ahli mereka supaya nama mereka sentiasa unggul pada pandangan para pengikut masing-masing. Maka kerana sikap inilah orang-orang politik, terutama ketua-ketuanya, sering tidak mahu bersikap jujur dan objektif dalam penilaian terhadap orang lain. Hal inilah juga yang dapat kita lihat dan rasa ketika mereka memberi penilaian terhadap Dr. Mahathir.

Kerana alasan yang sama inilah juga saya beranggapan bahawa para ahli profesional, terutama para sarjana dan ilmuwan yang amat pandai dan tahu membezakan di antara yang putih dan hitam, yang benar dan salah mengikut ukuran ilmu pengetahuan dan pandangan mereka yang rasional, tidak seharusnya turut terjatuh ke dalam perangkap politik sempit yang mengukur dan menilai sesuatu berasaskan sentimen dan emosi melulu, juga berdasarkan taksub dan pendirian yang amat fanatik terhadap sesuatu itu. Ilmu pengetahuan dan kesarjanaan mereka sepatutnya dapat memandu mereka untuk mengambil satu pendirian yang terbuka dan objektif dalam apa saja persoalan dan isu yang berada di hadapan mereka.

Ketika Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ditubuhkan pada tahun 1992, dasar inilah yang dipersetujui oleh Dr. Mahathir, iaitu persetujuan untuk tidak melantik tokoh politik bagi mengetuai IKIM sebagai pengerusi lembaga pengarahnya, walaupun jawatan itu bukanlah jawatan eksekutif. Hal ini saya utarakan kepada beliau supaya IKIM benar-benar menjadi sebuah institusi pemikir yang bebas dan benar-benar berorientasikan ilmu pengetahuan dalam segala aktiviti penerbitan, penyelidikan, persidangan dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun sebagai sebuah institusi yang bergerak di atas landasan intelektual dan ilmu pengetahuan, maka IKIM akan tetap menyokong dasar semasa kerajaan, dengan mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan kedua kepada kerajaan dalam segala dasarnya, walaupun IKIM memahami bahawa segala pandangannya itu tidak semestinya diterima oleh kerajaan.

Dalam konteks inilah saya sering juga menegaskan kepada pihak awam yang mempertikaikan peranan IKIM, bahawa sebagai sebuah badan pemikir, IKIM sentiasa memberikan sumbangan pemikirannya kepada semua pihak, termasuk kerajaan dan para pemimpinnya berdasarkan kajian dan penyelidikan kami. Amatlah tidak tepat sekiranya IKIM dituduh sebagai satu badan yang bisu atau tidak peka dengan masalah negaranya. Cuma dalam menyalurkan pandangannya IKIM sentiasa memelihara adab dan etika dan mengasaskannya di atas pandangan ilmu pengetahuan secara terbuka.

Fungsi ini dapat dijalankan dengan baik dan berkesan, sehingga agenda kefahaman Islam dalam satu tasawur atau world-view yang luas dapat diprojekkan di dalam dan di luar negara dan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk masyarakat antarabangsa yang mulai memahami penghayatan dan pelaksanaan Islam di Malaysia dalam bentuknya yang sederhana dan dinamik. Perdana Menteri sendiri mengakui hal ini ketika beliau melihat dan mendengar sendiri akan sambutan yang positif daripada kalangan masyarakat luar negara yang menyatakan hal ini kepada beliau.

Dengan itu ternyata bahawa Perdana Menteri kita yang akan bersara akhir Oktober ini, benar-benar ingin melihat Islam dalam bentuk dan wajahnya yang indah dan moden, sekali gus menolak segala tohmahan melulu musuh Islam yang melihat Islam sebagai agama yang mundur, lemah dan tidak berkemajuan dan para pengikutnya pula merupakan umat yang emosional, kejam, tidak bertamadun, jahil, miskin dan sebagainya. Atas dasar inilah juga, Malaysia berusaha untuk melahirkan umat Islam yang maju dalam ilmu pengetahuan dan menguasai berbagai-bagai disiplin pengetahuan, sehingga dapat menguasai bidang sains dan teknologi, perindustrian, perdagangan dan sebagainya, agar segala sesuatu yang diprojekkan tentang Islam sebagai agama yang dinamik dan moden dapat dilihat contohnya di dalam masyarakat negara kita sendiri. Ertinya kita bukanlah umat yang hanya pandai beretorika dan menjalankan propaganda kosong, tetapi apa yang kita bicarakan akan tetap kita laksanakan dan segala apa yang kita sifatkan tentang Islam dan umatnya akan dapat kita buktikan dengan contohnya di kalangan umat Islam di sekeliling kita, di negara kita sendiri.

Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa selama saya berada di IKIM selama 10 tahun, Dr. Mahathir tidak pernah memberikan sebarang arahan untuk menjalankan aktiviti untuk kepentingan diri beliau atau parti politik yang beliau ketuai. Kebebasan yang diberikannya kepada IKIM mencerminkan dasar keterbukaannya, termasuk dalam aktiviti yang melibatkan penyertaan parti pembangkang.

Kami sering membuka pintu kepada semua pihak yang ingin menyertai aktiviti kami tanpa mengira latar belakang agama dan kefahaman politik masing-masing. Dalam sesi-sesi dialog yang diadakan dengan Perdana Menteri, para peserta sering bertanyakan beliau tentang isu-isu kontroversi dan sensitif. Peserta dari parti politik pembangkang sering mengemukakan persoalan yang ada kalanya menyentuh corak dan sikap Dr. Mahathir sendiri dalam pemerintahannya atau peribadinya juga.

Forum-forum begini tidak pernah mendapat bantahan Dr. Mahathir, malah kami juga sering menemukan beliau dengan peserta yang sama, atau lebih radikal, di dalam aktiviti kami. Beliau nampaknya tidak menjadi halangan untuk menghadiri program begini, malah pada akhirnya beliau sering berasa puas kerana dapat menjelaskan banyak perkara, terutama tentang isu-isu yang sering ditimbulkan di belakang pengetahuan beliau, atau dihebohkan di dalam media tanpa beliau mendapat peluang yang baik untuk menjelaskan isu-isu berkenaan.

Saya teringat satu peristiwa ketika diadakan sesi dialog dengan Dr. Mahathir ketika beliau merasmikan satu seminar. Di antara para penyoal yang mengemukakan pertanyaan, terdapat seorang peserta dari Pas, iaitu Datuk Mustafa Ali. Beliau mengemukakan satu soalan yang menyentuh dasar kepimpinan dan pentadbiran Dr. Mahathir. Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak menjadikannya satu isu peribadi, malah dengan tenang dan penuh beradab beliau menjelaskan secara panjang lebar tentang isu yang ditimbulkan oleh peserta dari parti lawannya itu. Malah ketika keluar dari dewan, Dr. Mahathir sempat bergurau dengan Mustafa dengan melepaskan satu ``tumbukan'' di belakangnya, kemudian bersalaman dengan mesra.

Gambaran ini merupakan satu perilaku bertamadun yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik masing-masing. IKIM sememangnya berusaha untuk mendekatkan segala jurang perbezaan di antara rakyat yang kelihatan amat berpecah belah akibat sikap yang sempit dan tertutup dalam politik. Kami melihat hal ini sebagai satu halangan yang nyata kepada usaha menyatupadukan matlamat perjuangan bangsa, terutama di kalangan umat Islam sendiri yang ternyata semakin mempunyai rasa sentimen politik melulu dan bersikap taksub yang penuh dengan emosi.

Kami pernah menganjurkan satu perjumpaan di antara parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh orang Islam dengan tujuan mencari satu kesepakatan bagaimana seharusnya orang Islam dapat mengatur satu agenda bersama yang sihat untuk kepentingan bersama tanpa dipengaruhi fahaman politik kepartian yang sempit dan merugikan. Agendanya ialah untuk memberi kefahaman Islam yang dinamik dan ilmiah, strategi yang sihat di dalam pendidikan, sosial, ekonomi, termasuk juga agenda politik yang lebih luas daripada politik kepartian yang agak sempit.

Saya masih ingat bahawa sambutan yang diberikan amatlah baik dengan kehadiran wakil-wakil parti politik UMNO, Pas, Parti Rakyat dan Semangat 46 (yang masih hidup ketika perjumpaan itu) juga wakil NGO seperti ABIM, Persatuan Ulama Malaysia, JIM dan beberapa orang individu jemputan.

Perjumpaan yang dibuat secara tertutup itu diadakan sebanyak dua pusingan, dengan harapan bahawa setelah beberapa pusingan lagi, kami akan mendapat beberapa perakuan dan keputusan bagaimanakah caranya melaksanakan satu usaha bagi menyatupadukan agenda umat Islam untuk membangun dan membina kemajuan melampaui sempadan kefahaman politik kelompok yang merugikan.

Tetapi sayangnya agenda yang baik itu akhirnya tidak dapat diteruskan kerana rupa-rupanya sikap permusuhan yang diwarnai dengan tuduhan dan tohmahan di kalangan orang Islam tidak dapat diatasi dalam perjumpaan tersebut. Sikap keras kepala dan tidak dapat menerima pandangan orang lain turut mendominasikan perjumpaan itu, sehingga akhirnya kami terpaksa menutup sementara pintu perjumpaan itu dengan harapan akan dapat diteruskan kemudian kelak. Tetapi sayang sekali, perjumpaan ini tidak dapat diteruskan lagi, kerana tidak menerima sambutan yang memuaskan. Bahkan terdapat kebocoran yang dilakukan dengan sengaja oleh sikap orang Melayu sendiri, iaitu kebocoran pita rakaman perbincangan yang diedarkan oleh satu pihak bagi tujuan tertentu, yang pertama sekali ingin mencari political mileage untuk parti mereka, dan yang kedua mencari wang hasil jualan pita yang dianggap sensasi itu.

Pengalaman yang terakhir ini mengajar saya bahawa dalam menyusun strategi perjuangan umat Islam, kita amat memerlukan keikhlasan dan kesungguhan. Tanpa niat yang ikhlas daripada semua pihak dan kesungguhan untuk mengatasi masalah sendiri, atau berusaha sambil lewa dan berjuang hanya untuk kepentingan diri atau kumpulan tertentu, maka perjuangan itu tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Pandangan ini saya kongsi dengan Dr. Mahathir, yang sering menekankan hal yang sama dalam perjuangannya dan pemikiran beliau ini saya kemukakan sekali lagi sebagai satu penghormatan saya kepada beliau menjelang hari-hari akhir perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri negara kita.

No comments: