Wednesday, October 10, 2007

Menyelami perasaan dan pengalaman dua generasi - Hayati semangat korban

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
MENJELANG Hari Raya Korban tiga hari akan datang, kita boleh bertanya, siapakah di antara manusia yang hidup dalam zaman penuh persaingan dan keakuan ini sanggup melakukan pengorbanan seperti yang akan dilakukan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam ketika baginda diperintahkan oleh Allah subhanahu wa taala agar mengorbankan anaknya Ismail?

Manusia pada masa kini terlalu ramai yang bukan hanya sekadar tidak mempunyai kesanggupan untuk melakukan pengorbanan, malah ramai di antaranya yang akan bertindak menindas dan menganiaya orang lain. Persaingan yang dihadapi manusia pada zaman moden ini amat menjatuhkan maruah umat manusia sebagai makhluk sempurna kejadian Allah, iaitu manusia yang seharusnya mempunyai harga diri, bermoral serta berperibadi mulia.

Sesungguhnya ketika menyingkap kembali sejarah agung Nabi Allah Ibrahim yang penuh dengan pengajaran dan hikmah itu, perlulah kita fahami dengan sebaik-baiknya firman Allah kepadanya:

Maka tatkala anak itu sampai (pada usia sanggup) berusaha bersama Ibrahim, Ibrahim berkata: ``Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu.'' Ismail menjawab: ``Wahai ayahanda, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk (di kalangan) orang-orang yang sabar'' - surah al-Saffat, ayat 102.

Perintah Allah itu adalah merupakan satu ujian yang amat besar kepada hamba-Nya, untuk menduga apakah hamba Allah akan sanggup melakukan satu pengorbanan yang begitu besar dalam kehidupan mereka untuk Tuhannya. Malah dalam melakukan pengorbanan itu apakah manusia masih boleh berunding dan berbincang seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan anaknya, Ismail?

Alangkah baiknya dalam menyambut dan mengingati sejarah pengorbanan agung ini, andainya kita dapat menghayati semangatnya, walau pun dalam bentuk yang amat kecil sekalipun. Apakah dalam saat kita bersaing dan berlumba-lumba mengejar kuasa dan nama, pangkat dan harta kekayaan, kita sanggup berkorban sedikit perasaan keakuan dan kebendaan melampau yang sedang melanda masyarakat kita sekarang ini?

Pengorbanan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya yang diselamatkan oleh Allah melambangkan satu pengajaran kepada umat manusia, bahawa dalam mengharungi kehidupan ini, manusia haruslah sanggup mengorbankan sifat-sifat kebinatangan yang ada dalam diri mereka, seperti sifat tamak haloba, dendam kesumat, berdendam dan membenci sesama sendiri, dan tidak mempunyai nilai-nilai moral kerohanian yang baik.

Peristiwa korban ini merupakan satu detik kejadian yang dapat difahami oleh semua manusia dari semua peringkat dan latar belakang ilmu pengetahuan mereka. Orang dewasa dan para ibu bapa akan mengerti perasaan Nabi Ibrahim sebagai bapa yang seharusnya menyembelih anaknya kerana perintah Allah, dan orang muda serta anak-anak akan dapat pula memahami perasaan Nabi Ismail sebagai anak yang bakal dikorbankan oleh bapanya sendiri.

Hal ini melambangkan dua generasi manusia yang mempunyai perasaan dan pengalaman yang berbeza, tetapi ketika menerima perintah Allah maka kedua-duanya mempunyai persefahaman yang sama, dan kerana itu mereka sanggup menerima serta melakukan satu pengorbanan yang amat besar itu.

Dalam realiti kehidupan kita pada hari ini apakah ramai orang yang akan berunding serta berbincang dengan orang lain, apalagi di antara generasi tua dengan generasi muda? Apakah generasi tua akan sanggup berkongsi pengalaman dengan generasi muda? Kalau hal ini sememangnya wujud dalam masyarakat kita pada hari ini, maka hal itu telah menunjukkan petanda baik bahawa kita pada hari ini telah dapat menghayati pengajaran yang diambil daripada kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Islmail ketika Nabi Ibrahim bertanya anaknya tentang pandangannya untuk bapa melakukan pengorbanan terhadap anaknya.

Saya melihat dalam masyarakat kita pada hari ini lebih banyak orang yang suka bertelagah dan bermusuh. Atas sebab ekonomi dan politik, atau ada kalanya atas sebab mencari nama dan kemasyhuran, manusia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai objektifnya. Manusia membunuh, menindas, menipu, memfitnah, mengadu domba dan seribu satu cara liar lagi yang dilakukan ketika bersaing dan berusaha untuk mencari sesuatu dalam kehidupannya. Manusia menjadi terlalu bersifat keakuan atau individualistik, dan kebendaan atau materialistik, dan kedua-dua sifat ini pula menjelma dalam keadaan yang melulu dan melampaui sempadan nilai akhlak yang direstui agama.

Kita seharusnya mencari jalan bagaimanakah mengenal pasti sifat gelojoh dan bebal manusia kini, dan mengapakah ia berleluasa sehingga manusia menjadi makhluk nafsu kebinatangan yang mengatasi sifat-sifat mulia kemalaikatannya. Masalah ini haruslah dikenal pasti dengan sebaik-baiknya serta haruslah dicari punca-puncanya, agar dengan itu kita akan dapat mengkaji pula bagaimanakah cara-cara untuk mengatasinya.

Saya fikir para intelektual dan ilmuwan tidak seharusnya berpeluk tubuh dan mengharapkan orang lain untuk menjalankan tugas menyelamatkan generasi baru dan generasi yang akan datang. Malah dalam menceritakan semula peristiwa besar seperti peristiwa korban ini, kita tidaklah seharusnya mengulang-ulangkan fakta dan peristiwanya seperti burung kakaktua, tanpa mendalami falsafah dan mengambil iktibar daripada kisah al-Quran itu, dan kisah yang dialami oleh Nabi Allah yang terbilang, iaitu Nabi Ibrahim.

Amat mendukacitakan bahawa dalam masyarakat kita pada hari ini minat dan kecenderungan kepada ilmu pengetahuan telah dipesongkan oleh sesetengah kalangan anggota masyarakat yang sedang asyik mencari keuntungan diri dan konco-konconya. Para ilmuwan sering menyepikan diri kerana tidak mahu terlibat dalam konflik yang melanda masyarakat Islam di negara kita ini, iaitu konflik politik kepartian.

Hal ini berlaku kerana hampir tidak ada satu perdebatan dalam masyarakat kita pada hari ini yang tidak diheret menjadi debat politik kepartian di antara orang Melayu yang terlalu ghairah berbicara tentang politik parti, dan politik untuk memenangi pilihan raya. Ambil saja contoh perdebatan tentang pendidikan, iaitu tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik, juga isu sekolah agama rakyat (SAR). Maka dalam hal ini berapa keratkah para sarjana kita yang sanggup mengeluarkan pandangan secara jujur dan saintifik dalam memberikan analisisnya yang objektif dalam isu ini.

Saya pernah menyebut bahawa dalam isu SAR umpamanya, kita tidak seharusnya menjadikan isu itu sebagai isu emosional politik sempit kepartian, malahan ia haruslah juga dilihat dari sudut yang lebih global, iaitu sebagai isu ilmu pengetahuan dan masa hadapan bagi generasi kita yang akan datang untuk bersaing dalam kehidupan dunia moden yang serba mencabar. Kita memerlukan kekuatan dunia dan akhirat dalam menghadapi penindasan musuh kita yang berada di ambang pintu kita dan di seberang lautan. Kita sering diintai dan diperhatikan oleh mereka, malah dilakukan seribu satu macam helah untuk melemahkan kita umat Islam ini.

Apakah dalam isu ini kita akan seterusnya menganggap bahawa isu itu adalah isu hitam putih di antara parti yang memerintah dan parti yang membangkang? Hal yang sama sedang dipergunakan oleh pejuang-pejuang politik tentang isu beras dan padi, kelapa sawit dan lain-lain, termasuk isu pembangunan dan ekonomi, isu sosial dan agama sendiri, maka semuanya ditarik begitu rupa ke dalam lembah politik kepartian.

Oleh itu sesiapa sahaja yang akan berbicara isu-isu itu, maka ia akan dihukum dengan hukuman politik kepartian, iaitu sama ada ia menyebelahi parti kerajaan atau parti pembangkang. Sekiranya ia dianggap sebagai penyokong parti kerajaan, maka ia akan dituduh menjadi kuda tunggangan yang murah harganya, dan sekiranya ia seorang yang berlatarbelakangkan agama, maka ia akan dicap sebagai ulama upahan yang bekerja kerana mencari nafkah dan sara hidup, atau sebagai ulama yang tidak bermaruah.

Maka dengan itu polemik pemikiran akan terus menjadi polemik politik, dan para sarjana serta ilmuwan tidak akan mahu bersuara secara terang, malah suaranya tidak mahu didengar oleh orang lain, kerana mereka lebih senang berdiam diri daripada terheret ke dalam kancah politik.

Alangkah baiknya dalam mempelajari sejarah korban, kita belajar memahami konsep politik berilmu pengetahuan dan bertakwa, beradab dan beretika serta menghayati nilai-nilai murni akhlak Islam yang sebenar. Pada hari ini juga kita seharusnya membangkitkan semangat keterbukaan minda dan akal, jauh dari sifat taksub dan fanatik melulu. Nabi Ibrahim dan Ismail mengajar kita beradab dan bermesra, berdialog dan berunding, dan Allah menguji kita agar sanggup mengatasi sifat buruk dan keji, kerana kita semua adalah manusia yang diberi amanah untuk mewarisi dan membangunkan alam ini dengan sebaik-baiknya. Bagaimanakah kita akan dapat membangunkan umat dan bumi ini sekiranya kita sering mempunyai perasaan prejudis dan buruk sangka terhadap sesama kita?

No comments: