Wednesday, October 10, 2007

Azan bergema di masjid baru, di tengah-tengah kota Sepanyol -- Granada simbol tamadun Islam

SELEPAS 500 tahun menunggu, akhirnya pada 10 Julai 2003 yang lalu, masyarakat Islam di Sepanyol berjaya menyaksikan masjid mereka dirasmikan di tengah-tengah kota Granada, tidak jauh dari istana Al-Hambra yang menjadi simbol pemerintahan Islam di Eropah lebih lima abad yang lalu.

Perasmian masjid Granada ini penuh dengan acara simbolik dan disaksikan oleh perwakilan dari seluruh masyarakat Islam dunia. Ia juga mendapat liputan media antarabangsa yang seolah-olah sama-sama merayakan kembalinya Islam ke tengah-tengah kota Sepanyol yang masih mewarisi tradisi dan kesan Islam yang nyata. Tetapi kembalinya Islam kali ini adalah dalam bentuk kehadiran komuniti Islam untuk beribadat dan menghidupkan syiar Islam, sambil memasuki masyarakat Sepanyol dalam suasana baru di alaf yang ketiga ini.

Azan dilaungkan buat pertama kalinya dalam acara itu oleh tukang azan Sepanyol yang memecahkan kesunyian angkasa bandar Granada selepas setengah milinium suara panggilan solat itu tidak kedengaran di angkasa Granada. Bagi kami yang menghadiri upacara penuh simbolik itu amat terasa kebesaran suara azan, seolah-olah suara yang amat sering disuarakan di tempat-tempat lain itu merupakan satu suara ajaib yang belum pernah kami dengar.

Saya dapat melihat bagaimana suara keramat itu berjaya membangkitkan emosi para hadirin yang dengan sendirinya mengalirkan air mata kerana terharu mungkin, dan juga rasa bangga dan gembira, kerana dalam kepupusan dan terhapusnya pemerintahan Islam di Sepanyol lima ratus tahun yang lalu, maka kini Islam kembali semula dalam bentuk masjid ini, kembali semula ke tanah yang pernah menjadi mercu tanda tamadun dan kebesaran Islam lima abad yang lalu.

Masyarakat Islam di Granada yang berjumlah kira-kira 500 orang, sebenarnya telah lama bercita-cita untuk mendirikan sebuah masjid di kota Granada ini sebagai pusat pendidikan dan perpaduan mereka. Tetapi rasa permusuhan yang masih terpendam di dalam sebahagian masyarakat bukan Islam Sepanyol, terutamanya ketika menyingkap kembali sejarah persengketaan di antara masyarakat Islam dan Kristian Sepanyol ketika berlaku pergelutan untuk menguasai Granada dulu, maka penentangan terhadap cita-cita untuk mendirikan sebuah pusat Islam ini menjadi agak sengit. Maklumat yang saya terima menyatakan bahawa pihak berkuasa Granada mengambil masa selama 22 tahun untuk memberikan kebenaran kepada rakyat asalnya itu mendirikan masjid di kota ini.

Bagaimanapun dengan kebijaksanaan pihak penganjur, dibantu pula oleh sokongan dari dunia Islam, terutamanya pihak Amir Sharjah UAE yang banyak membiayai kos pembinaan masjid ini, serta jaminan dari masyarakat Islam bahawa masjid ini akan kembali ke kota Granada sebagai pusat ibadat dan kesatuan Islam yang akan mengintegrasikan dirinya di dalam masyarakat bukan Islam dengan penuh harmoni dan toleransi, maka akhirnya pada tahun 1996 kebenaran telah diperoleh untuk memulakan pembinaan masjid ini, iaitu dengan berlangsungnya peletakan batu asas dalam bulan April tahun tersebut.

Maka pada 10 Julai 2003 berlangsunglah peristiwa bersejarah, iaitu upacara perasmian masjid tersebut yang dilakukan oleh Amir Sharjah dan dihadiri bersama oleh Datuk Bandar Granada yang beragama Kristian serta wakil Kerajaan Turki. Para pesertanya terdiri daripada tetamu-tetamu jemputan dari seluruh dunia Islam dan Barat, mewakili keseluruhan penduduk dunia bagi menyaksikan detik yang amat bersejarah ini.

Satu gambaran toleransi pihak yang menganjurkan pembinaan masjid ini dimanifestasikan di dalam beberapa aspek pembangunan asalnya yang telah mengalami perubahan dari segi struktur dan ketinggian bangunan, khususnya menara masjid ini.

Pihak berkuasa Sepanyol telah membantah pelan asal menara masjid ini yang dicadangkan akan meningkat tinggi ke tahap 45 kaki. Pihak masyarakat Islam menerima cadangan balas ini, malah pihak masjid juga mengamalkan dasar pintu terbuka, iaitu dengan membuka pintunya untuk masyarakat Sepanyol, khususnya para tetangga dan jiran sekeliling untuk datang melawat ke kawasan dan ke dalam bangunannya bagi menyaksikan segala aktiviti yang berlaku di dalam masjid ini.

Maka aktivitinya adalah aktiviti kerohanian dan ilmu pengetahuan, tidak kelihatan pedang, tombak atau senapang dan bom tangan yang dipamerkan.

Dengan itu masyarakat bukan Islam tidak lagi berasa bimbang atau takut dengan kembalinya masjid ke dalam masyarakat mereka. Seorang pegawai masjid tersebut memberitahu saya bahawa ia sering menekankan kepada para penduduk di sekitar masjid ini bahawa masjid ini kembali ke dalam masyarakat Andalusia bukanlah seperti kembalinya semangat Bin Laden dan seumpamanya, tetapi kembalinya adalah untuk menghidupkan semula warisan negara Sepanyol ini sendiri, apatah lagi masjid ini terdiri di atas sebuah kawasan yang tinggi dan dari sebuah sudut anjungnya akan terlihat panorama istana Al-Hambra yang menjadi simbol kedatangan tamadun Islam ke Granada dan Eropah beberapa abad yang lalu.

Hal ini ditegaskan juga oleh seorang saudara Muslim dari negara Jerman yang membentangkan kertas kerjanya di dalam seminar yang diadakan tentang Islam di Eropah sempena perasmian masjid Granada, iaitu saudara Abu Bakar Rieger, seorang peguam dan penerbit akhbar di Jerman.

Beliau menegaskan bahawa dalam konteks pembicaraan tentang Islam di Eropah, maka perkara yang seharusnya ditekankan ialah ketinggian tamadun Islam yang pernah diwarisi dan seharusnya diteruskan penerangannya kepada masyarakat di Eropah, malah ketinggian ilmu dan pengetahuan seharusnya sentiasa ditonjolkan di dalam masyarakat Eropah sama seperti tradisi Islam dan para ahli falsafahnya yang telah merantau dan menawan hati para penduduk Eropah, seperti Granada yang dikuasai oleh orang Islam mulai tahun 711 Masihi, iaitu pada kurun pertengahan, ketika Eropah masih ketinggalan di belakang.

Perkembangan Islam dan penonjolan imej dan amalannya tidaklah seharusnya dirosakkan oleh agenda yang berbau emosi melulu, apa lagi mengagung-agungkan kekerasan dan keganasan. Beliau menegaskan bahawa tanda pertama kejatuhan Islam di Andalusia ialah apabila masyarakat Islam mulai berpecah di bawah kuasa-kuasa yang tertentu, termasuk kuasa politik dan ketenteraan, dan mulai mengalami perbezaan dari segi budaya dan bahasa mereka.

Keadaan ini menimbulkan persaingan yang hebat di antara mereka dan membawa kepada kelemahan dan keruntuhan mereka, dan ketika inilah pihak musuh mengambil kesempatan mengalahkan mereka. Hal yang sama sedang berlaku di dalam masyarakat moden Islam masa kini, iaitu umat Islam telah kehilangan asas perpaduan dari segi kesatuan budaya, nilai dan ajaran agamanya yang sebenar untuk menjadi satu umat yang berpadu, maka masing-masing akan berusaha memperkuatkan kumpulan sendiri.

Masjid ini merupakan satu simbol tamadun Islam yang pernah menguasai Andalusia selama lebih dari 800 tahun, iaitu dengan berakhirnya pemerintahan Islam di selatan negara Sepanyol kira-kira pada tahun 1492 Masihi. Kerajaan Sepanyol merampas negara ini dari tangan orang Islam dengan kekerasan, dan terus melupakan janji-janji mereka untuk mengamalkan sikap toleransi terhadap orang Islam, maka akhirnya berlakulah ombak gerakan yang memaksa orang Islam menukar agamanya, orang Islam yang diusir dari rumah tangga dan kampung halamannya, malah dibunuh dan diperlakukan seperti hamba abdi dan haiwan.

Banyak masjid yang diroboh dan dimusnahkan, dan di tapak yang sama gereja-gereja dibangunkan. Kita mengetahui bagaimana masjid bersejarah di Qurduba telah dijadikan gereja sehingga melupuskan sama sekali identiti masjid itu.

Mungkin sejarah peperangan yang panjang dan pertelagahan ini masih tersemat di kepala orang Sepanyol yang menentang pembinaan masjid ini. Mungkin mereka merasakan bahawa kembalinya Islam ke Granada ini khususnya akan membawa semula sejarah lama, iaitu sejarah penentangan di antara Islam dan Kristian.

Sebab itulah pihak masyarakat Islam telah berusaha meyakinkan penduduk Granada dan kerajaannya, bahawa kembalinya Islam kali ini adalah untuk tujuan perdamaian sesuai dengan kehidupan abad baru dan alaf baru yang menuntut penduduk dunia hidup di dalam aman dan harmoni.

Malah kalau dikembalikan sejarah silam sekalipun, ternyata bahawa pemerintah Islam ketika itu lebih banyak mengamalkan sifat toleransi dan kehidupan bersama secara aman damai, tanpa paksaan beragama.

Saya telah menulis di dalam ruangan ini dua minggu yang lalu tentang kepentingan kita mengkaji dunia dan bangsa Eropah untuk mengkaji sejarah dan perkembangan agama kita sendiri, serta merangka strategi perjuangan kita untuk menegakkan imej Islam yang lebih positif di kalangan masyarakat antarabangsa, termasuk memperkembangkan ajaran Islam yang sebenarnya kepada penduduk Eropah itu.

Maka saya rasa kajian tentang sejarah klasik Islam seperti di Sepanyol, khususnya Granada, Qurduba dan Andalusia umumnya, malah kajian moden tentang Islam di Bosnia, serta pusat-pusat dan ibu kota yang menyimpan sejarah sebagai tapak Islam di Eropah seharusnya menjadi subjek yang penting di dalam institusi pengajian di dunia Islam pada hari ini. Pendekatan kajian itu tentulah dari sudut tamadun dan ilmu pengetahuannya, bukan dari segi keruntuhan moral dan sifat kebendaan melulu para pemerintah Islam itu sendiri yang membawa kepada kejatuhannya. Malah kajian sejarah ini akan dapat membuka jalan kepada kita untuk mengetahui asal usul perjuangan Islam dan ufuk pemikiran para sarjana dan pemerintah Islam yang bijaksana dalam zaman kegemilangannya itu.

Mengkaji sejarah dan bangsa Eropah, bukanlah meninggalkan kajian al-Quran dan sunah seperti yang difahami oleh seorang dua penulis Internet Malaysia yang sempit pemikirannya. Malah kajian itu sebenarnya adalah untuk meningkatkan pengajaran al-Quran dan sunah, dan memartabatkan Islam sebagai agama universal, dan umat Islam sebagai umat pilihan. Apakah hal ini tidak bererti mengkaji ajaran al-Quran dan sunah. Saya juga suka mencadangkan kepada umat Islam di Malaysia agar mengkaji sejarah Islam di Sepanyol, malah kalau berkesempatan silalah melawat ke sana untuk membuka mata dan minda kita dengan sebaik-baiknya, bahawa Islam ini sebenarnya adalah satu agama tamadun, toleransi, terbuka dan penuh ilmu pengetahuan. Kita tidak seharusnya bersikap seperti katak di bawah tempurung.

No comments: