Wednesday, October 10, 2007

Antara hamba dan khalifah Allah

Isu ini telah saya bangkitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia pada 27 November lalu ketika membicarakan seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang keperluan memperkasakan sekolah kebangsaan di Malaysia. Hal yang sama juga telah saya sentuh di dalam program khas Al-Kulliyyah secara langsung di TV3 juga pada 27 November 2002 ketika membicarakan tajuk Islam Serba Indah.

Saya melihat bahawa sejak lima belas abad kedatangan Islam ke rantau ini, tekanan dan kefahaman kita tentang Islam adalah tertumpu sebahagian besarnya kepada amalan ritual, ibadat khusus dan fardu ain sahaja. Penumpuan kepada soal ini sememangnya merupakan asas yang penting dan utama bagi setiap individu Islam agar asas utama Islam ini menjadi amalan umat keseluruhannya.

Tetapi yang menjadi masalah ialah apabila asas amalan Islam ini tidak dilanjutkan lagi ke hadapan, iaitu ke satu sasaran yang menjangkaui aspek ibadat khusus dan amalan ritual. Sepatutnya dengan perubahan zaman dan keadaan dan kemajuan manusia yang telah begitu jauh terkehadapan, segala ajaran Islam juga seharusnya telah dapat meliputi segala aspek kehidupan umat Islam.

Kita sering memperkatakan tentang kejadian manusia sebagai makhluk Allah subhanahu wa taala dan fungsi manusia, atau tujuan manusia diciptakan Allah. Mengikut ajaran Islam, manusia dijadikan Allah adalah untuk menjalankan peranannya sebagai hamba Allah, dan dalam masa yang sama menjadi khalifah-Nya untuk mentadbir dan membangunkan dunia ini mengikut perintah dan ajaran Allah dan Rasul-Nya.

Allah berfirman:

Dialah (Allah) yang menjadikan kamu sebagai para khalifah di bumi, dan mengangkat beberapa darjat sesetengah kamu di atas sesetengah (yang lain) agar Dia dapat menguji kamu di atas apa yang kamu lakukan (Al-An'am, ayat 165).

Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa makhluk Allah yang bernama manusia ini telah diamanahkan oleh Allah agar menjadi khalifah untuk mengatur kehidupan di muka bumi sesuai dengan ajaran-Nya. Maka di antara umat manusia itu pula, Allah akan mengangkat darjat mereka sesuai dengan apa yang mereka lakukan dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.

Maka tugas khalifah ialah untuk memakmurkan alam, mengambil manfaat daripada kejadian langit dan bumi, lautan dan daratan, di atas muka bumi dan di dalam perutnya, mentadbir umat manusia supaya dapat berfungsi sebagai umat yang berakhlak dan berkemajuan, bertamadun dan berilmu. Tugas ini merupakan tanggungjawab manusia ketika diberikan amanah untuk mentadbirkan alam ini dengan sebaik-baiknya.

Segala panduan dan dasar pentadbiran ini telah diterangkan oleh Allah dalam kitab suci al-Quran, dan diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sejarah hidupnya dengan perbuatan dan perkataan baginda, serta tingkah laku dan kepimpinan baginda sendiri sepanjang hayat baginda. Di dalam al-Quran terdapat penjelasan umum tentang segala sesuatu yang terdapat di atas muka bumi dan alam sarwajagat ini. Terdapat segala dasar ilmu dunia akhirat yang membuka ruang yang begitu luas tanpa sempadan untuk manusia mengkajinya.

Al-Quran mengajar manusia supaya menjadi umat yang bertamadun, berilmu pengetahuan, menjadi hamba Allah yang dapat berfikir, berperanan sebagai makhluk yang dapat mengambil faedah daripada segala kejadian-Nya, sehingga ruang lingkup rahsia kejadian Allah dan kurniaan-Nya menjelma menjadi bidang ilmu yang seharusnya dikuasai manusia, dan bidang ilmu inilah yang kemudiannya menjelma dalam era maju manusia menjadi ilmu teknologi, pengurusan, ekonomi, kemanusiaan, perusahaan, pembuatan dan sains.

Inilah sebahagian daripada peranan yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini dan seharusnya ditunaikan atas sifatnya sebagai khalifah Allah. Umat yang diamanahkan menjadi khalifah ini seharusnya dapat menjadi pemimpin manusia lain dalam merealisasikan ajaran Allah dan melaksanakannya dalam semua aspek kehidupan mereka sendiri serta memandu manusia yang lain dalam mencipta kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Dalam konteks inilah juga penegasan Allah tentang kebangkitan umat sebagai umat terbaik untuk menyeru kepada makruf dan mencegah mungkar merupakan satu panduan yang perlu dimanifestasikan di dalam kehidupan mereka ketika menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan itu.

Memandangkan realiti umat Islam pada hari ini, nampaknya harapan agar umat Islam menjadi khalifah Allah bagi menjalankan peranannya sebagai pemegang amanah mentadbirkan alam ini menurut ajaran Islam tidak terlaksana, malahan agak jauh terlepas daripada tangan mereka. Umat Islam kini bukan menjadi pemimpin alam, tetapi menjadi umat yang dipimpin dan diheret ke sana ke mari mengikut kuasa pengembala alam yang terdiri daripada manusia dan umat lain yang selama ini telah memanfaatkan segala kejadian Allah dan memainkan peranan mereka untuk menguasai segala ilmu yang membawa kepada kuasa kepimpinannya.

Umat Islam dalam sejarahnya yang panjang hanya dapat mengecap tamadun dan ketinggian peradabannya dalam masa yang agak singkat, iaitu ketika tamadun dan ilmu pengetahuan Islam itu telah memartabatkan umat menjadi pemimpin dunia di Timur dan di Barat dengan tersebarnya tamadun Islam dan ilmu pengetahuannya yang tinggi, sehingga umat Islam pada ketika itu menjadi penyumbang yang besar terhadap tamadun alam ini.

Setelah itu umat Islam mundur ke belakang, dan menjadi umat yang dipimpin oleh penjajahan mental dan fizikal Barat, menjadi umat yang ditindas dan diperlakukan sebagai manusia serba lemah dan mundur.

Maka tidak hairanlah setelah sekian lama kita menerima Islam, termasuk di daerah kita dan alam nusantara ini, kita telah menjadi umat yang keliru dan sempit kefahamannya tentang Islam itu sendiri. Selama berabad-abad lamanya kita nampaknya menumpukan perhatian dan kerja kita memahami ritual dan ibadat dalam skopnya yang terbatas. Kita lebih banyak bertindak untuk memahami peranan kita sebagai hamba Allah dengan menumpukan kefahaman dan amalan kita dalam melakukan ibadat khusus bagi membina hubungan kita dengan Allah.

Pengisian

Sedangkan kita semua memahami tugas kita sebagai hamba dan khalifah Allah. Maka sebahagian besar tugas kita sebagai khalifah untuk mentadbir dan menguasai alam ini dalam aspek yang lebih luas dan bermakna tidak kita periksa dan laksanakan.

Segala saluran pendidikan, formal atau tidak formal nampaknya diisikan dengan ilmu pengetahuan yang amat sempit, dan terlalu lemah untuk mendidik manusia menjadi khalifah di alam ini. Selama berabad-abad penumpuan kita di dalam pendidikan yang dikatakan ``pendidikan Islam'' atau ``pendidikan agama'' itu hanya tertumpu kepada beberapa bidang pengisian yang terhad dan sempit. Yang lebih mendukacitakan pula ialah dalam masa yang sama segala pengisian ilmu pengetahuan ciptaan akal fikiran manusia yang merupakan ilmu peralatan untuk memakmurkan alam ini dikira sebagai ilmu dunia yang terkeluar daripada pembicaraan Islam.

Ketika Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ditubuhkan dulu, banyak negara Islam yang menyatakan pandangannya bahawa UIAM bukanlah merupakan sebuah universiti Islam kerana universiti itu memperkenalkan kursus-kursus profesional seperti ekonomi, undang-undang, kemudiannya seni bina, kejuruteraan dan sebagainya. Kekeliruan ini berlaku kerana skop kefahaman umat Islam tentang universiti Islam ialah sebuah universiti yang menumpukan disiplin ilmunya kepada pengajaran syariah, usuluddin, bahasa Arab dan sebagainya dalam kefahaman tradisional yang menjadi anutan umat Islam selama ini. Maka mana-mana universiti yang menjurus kepada bidang ilmu akli dianggap bukanlah merupakan pusat pengajian yang berbentuk Islam, walaupun falsafah pengajiannya adalah menurut falsafah dan konsep ilmu seperti yang dikehendaki Islam itu sendiri misalnya seperti falsafah penubuhan UIAM.

Kita sepatutnya menyedari bahawa makhluk rohani tidak dapat menjadi khalifah Allah untuk mentadbirkan alam ini. Makhluk seperti manusia yang merangkumi peranan kerohanian, kebendaan, fizikal dan akal inilah yang seharusnya menjadi khalifah Allah. Kerana itulah, pada pandangan saya, ketika para malaikat membantah kehendak Allah agar dilantik manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini atas alasan bahawa merekalah yang selayaknya menjadi khalifah, atas dasar bahawa merekalah yang sentiasa mensucikan Allah, maka Allah memberitahu mereka bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara ini lebih daripada apa yang mereka ketahui.

Hal ini mempunyai hubungan dengan kefahaman dan tanggapan umat Islam pada hari ini tentang skop pendidikan dan agenda mereka untuk menjadi pentadbir alam ini. Kefahaman ini amat mengongkong akal fikiran.

Hal yang sama sebenarnya dapat kita fahami pada masa ini ketika kefahaman kita tentang sekolah agama, pusat pengajian agama dan sebagainya telah disempitkan bidang pengajiannya. Ramai yang merasakan bahawa ``agama'' itu telah terkongkong dalam sempadan yang amat sempit.

Tetapi bila menyebut hal ini, saya tidaklah mempersoalkan tentang bidang pengajian agama yang menjadi asas setiap individu dalam urusan ibadat format dan fardu ain. Malah asas itu perlulah diperkasakan dan diperkuatkan dalam setiap individu Islam di semua peringkat dan institusi.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimanakah perjalanan kita dalam jalan yang sempit dan terhad itu dapat kita panjangkan dan perluaskan lagi agar mencakupi matlamat yang lebih besar dalam kehidupan kita, iaitu kita di samping menjadi hamba Allah yang baik, taat dan patuh kepada Allah dalam amal ibadat, akan juga dapat menjalankan peranan kita sebagai khalifah-Nya yang dapat menguasai alam ini dalam semua ilmu, kecekapan dan kemampuan semasa.

Kalau matlamat ini dapat difahami dan akhirnya dicapai oleh umat Islam, pada masa itu barulah dapat kita laung-laungkan dengan sekeras-keras suara bahawa kita adalah umat yang berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.

No comments: