Wednesday, October 10, 2007

Mengutamakan kepentingan umum, bukan peribadi atau diri sendiri - Pemimpin berilmu dan berhikmah

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
ALHAMDULILLAH , seperti kata seorang penulis yang menghantar e-mel kepada saya, bahawa peralihan kuasa yang berlaku di dalam bulan Ramadan yang penuh berkat, pada hari Jumaat 31 Oktober yang lalu, telah berlalu dengan licin dan selamat, tanpa sebarang gangguan dan halangan.

Dengan pertolongan Allah subhanahu wataala pertukaran tangan pemimpin itu berjalan dalam keadaan aman dan tenteram. Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerah kuasa dan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menerimanya, maka berlakulah pertukaran Perdana Menteri Malaysia.

Dengan itu awal November 2003 menyaksikan kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang kelima, satu peristiwa yang bakal tercatat di dalam buku sejarah negara sebagai peristiwa penting yang seharusnya dipelajari dan difahami oleh semua golongan rakyat, terutamanya generasi muda, untuk menilai sendiri erti tamadun dan kemajuan negara kita dalam menghadapi cabaran dan percaturan dunia moden pada hari ini.

Memang benarlah hakikat yang ditekankan di dalam Al-Quran tentang kepentingan ilmu pengetahuan di dalam segala bidang dan cabangnya, kerana pada hari ini kita dapat melihat sendiri bagaimana ilmu pengetahuan telah berkembang dan membangun dengan pesat di dalam dunia yang kelihatan amat pantas bergerak ke hadapan. Maka dalam konteks ini pemimpin dunia, termasuk pemimpin kita juga, haruslah terdiri daripada orang yang berilmu dan bijaksana.

Manusia kini semakin berilmu, bijaksana, menguasai segala bidang pengetahuan dan dapat pula berfikir dengan lebih tajam. Maka dalam situasi ini, pemimpin tentunya lebih memerlukan ilmu pengetahuan dan dapat pula berfikir dengan lebih jauh dari orang ramai yang dipimpinnya.

Maka kita dapat berbangga bahawa para pemimpin kita, termasuk Perdana Menteri yang baru, merupakan pemimpin yang berilmu pengetahuan dan dapat pula berfikir dengan tajam untuk membangunkan negara dalam semua pembangunannya dengan baik. Di samping pembangunan politik, ekonomi dan teknologi, maka rakyat kita dibangunkan minda dan pemikirannya supaya menjadi insan yang berguna untuk dirinya dan untuk orang lain juga, dan dapat berfikir tentang harga diri dan maruahnya, mempunyai azam untuk menjadi bangsa yang kuat dan kental, bebas dan tidak menjadi pengemis yang sering mengharapkan simpati orang lain.

Ciri-ciri ini amat penting kepada manusia pada hari ini, terutamanya bagi rakyat negara membangun dan kecil yang selama ini sering dilanda wabak penyakit rendah diri dan berasa amat kerdil dalam menghadapi arus perdana dan pentas dunia moden dan maju yang telah melangkah begitu jauh meninggalkan mereka. Maka semangat percaya dan yakin kepada diri sendiri, serta kemampuan berdiri di atas kaki sendiri dengan segala usaha dan kerja sendiri, akan dapat membangkitkan semangat bangsa yang kecil dan membangun itu agar menjadi bangsa besar, bermaruah dan berketerampilan.

Semangat dan kemampuan ini yang saya rasa akan ditiupkan dengan sekuat-kuatnya oleh Perdana Menteri kita yang baru, seperti yang dapat kita dengar dari ucapan beliau di dalam Parlimen baru-baru ini ketika mengusulkan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, iaitu pengakuannya untuk meneruskan semangat Wawasan 2020 dan mencapai objektifnya. Hal inilah juga yang telah saya tegaskan di dalam tulisan saya yang lalu, bahawa pertukaran pemimpin yang kita alami kini, tidak akan mengubah dasar dan lebuh raya pemerintahan negara kita sekarang, kerana perubahan watak pemimpin tidak bererti perubahan dasar asasi negara kita yang telah pun berada di atas landasan yang betul menuju kemajuan dan tamadun yang lebih mantap pada masa yang akan datang.

Dr. Mahathir, seperti yang dipetik oleh berita TV, dalam ucapannya yang terakhir kepada ahli UMNO, menambah satu kriteria lain yang amat penting diperjuangkan oleh pemimpin, iaitu aspek moral. Beliau menegaskan bahawa pemimpin tidaklah hanya memperjuangkan politik, tetapi mestilah memasukkan agenda moral di dalam perjuangan mereka. Hal ini beliau tekankan kerana pada masa kini, agenda moral seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia keseluruhannya, tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pemimpin negara, malah pemimpin sendiri sering terjebak ke dalam krisis moral yang serius.

Saya percaya, Perdana Menteri yang baru, telah mengambil perhatian yang berat tentang agenda moral dalam menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Di peringkat peribadi, kita dapat melihat bagaimana beliau menunjukkan contoh terbaik tentang perhubungan mesra dengan ibu sendiri dan isteri serta anggota keluarganya. Ibunya, yang telah meningkat usia menjadi warga emas, masih dapat berfikir dan memberi nasihat kepada anaknya agar tidak berasa bongkak dan melupakan orang bawahan. Nasihat ini juga saya percaya telah berjaya menerjah masuk ke dalam hati sanubari Perdana Menteri kita di samping nasihat lain yang tentu banyak dihamburkan oleh ibunya ketika mereka berbuka puasa bersama di Kepala Batas.

Di peringkat rakyat, ketika berucap secara ringkas di lapangan terbang Bayan Lepas, beliau telah memperingatkan semua orang, bahawa mereka seharusnya sama-sama bekerja dengan pemimpin, bukannya bekerja untuk pemimpin. Ungkapan ringkas ini mungkin membawa mesej yang amat bermakna supaya orang ramai lebih bersikap ikhlas dalam segala tindakan mereka, iaitu dalam bertindak dan bekerja, kepentingan umum haruslah diberikan keutamaan, bukan kepentingan peribadi pemimpin itu sendiri atau kepentingan diri sendiri. Beliau mungkin telah dapat melihat di sekelilingnya selama ini bahawa ramai orang yang bekerja untuk kepentingan diri sendiri, atau semata-mata untuk mencari nama di mata pemimpin tertinggi negara sedangkan di dalam hati sendiri tidak tersemat sebarang rasa ikhlas dan jujur. Maka hal inilah yang seharusnya diubah, iaitu dalam membangun bangsa dan negara semua orang, sama ada pemimpin atau orang ramai, haruslah berusaha bersama-sama, berganding bahu dengan niat yang ikhlas dan hati yang jujur. Semuanya ini haruslah dilakukan demi kepentingan umum, bukan kerana kepentingan peribadi atau kelompok yang tertentu.

Saya dapat juga mencium semangat ini ketika beliau menyeru kepada kesepaduan semua pemimpin rakyat dari kalangan kerajaan dan pembangkang, dan dijelmakan di dalam perjumpaan dengan semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik yang diadakan baru-baru ini. Secara rasionalnya pun, dalam menghadapi isu bersama, semua orang seharusnya dapat bertindak secara bersama dan sepadu, mempunyai sikap dan pendirian yang sama, terutamanya ketika menghadapi musuh bersama yang menyerang dan mengecam kita atas sifat negara Malaysia dan rakyat Malaysia. Kenapa kita tidak seharusnya menentang mereka juga atas nama rakyat dan pemimpin Malaysia ?

Berdasarkan perkara inilah saya merasakan bahawa pemimpin sekarang mestilah merupakan seorang yang intelek, bijaksana dan berhikmah. Mungkin dalam dua tiga dekad yang lalu, pemimpin negara hanya memerlukan kebijaksanaan tentang cara pemerintahan negara berdasarkan kebijaksanaannya dalam politik semata-mata. Tetapi dalam zaman moden ini ketika rakyat telah menjadi rakyat yang intelek, yang dapat berfikir dengan lebih rasional dan lebih terkehadapan, maka pemimpin juga seharusnya terdiri daripada orang yang dapat berfikir secara terkehadapan. Di sinilah saya rasa terletaknya ciri-ciri kepimpinan pemimpin negara kita selama ini, iaitu bijak merancang dan bertindak sesuai dengan perkembangan pemikiran rakyat sendiri.

Perdana Menteri kita yang baru sebenarnya mewarisi sebuah negara yang utuh dan kukuh dari segi pembangunan fizikal, infrastruktur dan ilmu pengetahuan dalam segala cabangnya. Hampir semua pembangunan fizikal dan kebendaan telah mencapai kemuncak kemajuannya jika kita mengukurnya dengan pembangunan ekonomi, teknologi, industri dan sebagainya. Malah dalam pembangunan pendidikan sehingga ke peringkat tingginya, kita telah melangkah agak jauh ke hadapan dengan tertubuhnya institusi pengajian tinggi dua tiga kali ganda dari zaman permulaan kita mencapai kemerdekaan. Cuma yang mungkin menjadi persoalan sekarang ini, apakah dengan kemajuan dan pencapaian yang tinggi itu, kita telah dapat melihat pula kemajuan berfikir manusia-manusia yang menjadi anak Malaysia kini, termasuk yang telah melepasi peringkat pengajian universiti dengan memperoleh segulung ijazahnya ?

Oleh itu saya beranggapan bahawa hal ini akan menjadi agenda utama wawasan negara, iaitu mencipta bangsa Malaysia yang bukan hanya maju dalam bidang ekonomi dan perindustrian, tetapi maju juga dalam cara berfikir mereka dalam dunia baru yang berubah-ubah ini. Untuk tujuan inilah terdapat banyak pakar dan sarjana yang mencadangkan agar sistem pendidikan kebangsaan dikaji semula secara besar-besaran, dan kalau perlu merombak banyak perkara di dalam sistem tersebut agar kita akan benar-benar dapat mengeluarkan manusia-manusia yang dapat menggunakan minda mereka dengan baik, dan mempunyai mentaliti yang sama majunya dengan kemajuan negara dalam bidang pembangunan fizikal dan kebendaannya.

Saya rasa bahawa sasaran inilah juga yang disasarkan oleh bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir apabila beliau menyeru para pemimpin supaya tidak hanya memikirkan tentang politik, tetapi memikirkan juga tentang moral rakyat yang kini kelihatan semakin amat merosot. Maka dalam konteks ini, saya fikir Perdana Menteri yang baru seharusnya akan dapat mengkaji warisan `taman' yang berada dalam genggamannya sekarang agar segala pohon dan tanaman yang diwarisinya akan berhasil dan berbuah dengan baik di samping berusaha memusnahkan segala musuh dan serangga yang akan merosakkan segala pohon dan tanaman yang berkembang subur di dalam taman itu.

Tegasnya dalam memelihara pembangunan yang telah ada maka segala unsur yang akan merosakkan negara dan rakyat haruslah dihapuskan. Ibarat menanam sepohon benih yang subur, maka pohon itu haruslah dibajai dan disiram dengan baik, segala duri-duri lain yang tumbuh di sisinya haruslah dicabut dan dimusnahkan, malah segala serangga yang akan menyerang pohon itu haruslah diracun supaya pohon yang ditanam itu benar-benar akan dapat membesar dan memberikan hasil yang baik.

Sistem pendidikan negara merupakan baja dan air bagi taman kita, maka sistem pendidikan itu haruslah disesuaikan dengan pembangunan semasa dan dunia kini yang amat pesat mengalami perubahan. Pendidikan agama khususnya, haruslah mendapat perhatian Perdana Menteri kita yang baru, kerana pendidikan ini merupakan nadi dan jantung pembangunan umat Islam di negara kita, khususnya dalam percaturan dan cabaran dunia sekarang yang mengancam penerusan warisan ilmu dan pemikiran Islam yang mampu membentuk tamadun umat Islam sendiri.

Kejayaan menyelesaikan isu Sekolah Agama Rakyat merupakan satu langkah pertama ke arah menyelesaikan begitu banyak masalah di dalam pendidikan agama di negara kita. Perhatian mungkin perlu diberikan sekarang kepada institusi pengajian Islam dari segala peringkat yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan di segala pelosok negara kita. Malah kerajaan negeri sendiri berlumba-lumba membangunkan sekolah dan kolej agama sendiri dengan sistem dan kurikulum yang berbeza-beza, dan pihak swasta pula berusaha mendirikan institusi dan kolej agama mereka sendiri dengan kebanyakannya berunsurkan komersial ketika para ibu bapa sedang mencari-cari peluang untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan agama dalam masyarakat yang penuh ``kerosakan'' dan ``keruntuhan moral'' ini.

Tetapi sayangnya di dalam segala persaingan dan perlumbaan mendirikan pusat pengajian agama ini, pendidikan agama menjadi satu medan yang samar-samar, tidak ketahuan matlamat dan objektifnya, tidak jelas apakah jenis manusia yang akan dikeluarkannya, dan tidak pula dapat ditentukan apakah peranan mereka dalam negara yang sedang menuju negara maju ini. Malah di sini timbullah persoalan yang dibangkitkan di atas iaitu apakah negara kita yang hampir mencapai tahap negara maju ini juga akan melahirkan manusia yang mempunyai mentaliti dan cara berfikir seperti manusia yang hidup di dalam negara maju, atau apakah mereka masih ketinggalan amat jauh dalam hal ini.

Dalam persidangan OIC baru-baru ini telah ditimbulkan isu kelemahan umat Islam dalam menyusun strategi perjuangan kerana umat Islam umumnya kurang mampu berfikir dalam melaksanakan agenda perjuangannya. Mereka selalu menjadi umat yang gopoh dan gelabah, melakukan sesuatu secara adhoc dan tanpa berfikir, malah kadang-kadang penuh dengan emosi. Dengan itu mereka selama-lamanya tidak akan dapat melihat hakikat diri mereka, sebaliknya akan hanya menuding jari menyalahkan orang lain kerana kelemahan yang mereka alami.

Maka bagi saya pendidikan pada umumnya, dan pendidikan agama khususnya, haruslah mengalami perubahan yang drastik dan radikal, dan hal ini seharusnya juga dimulai di negara kita tanpa perlu melihat model-model lain di negara Islam yang lain. Kita seharusnya dapat mengumpul para sarjana pendidikan dan pemikir kita sendiri untuk mengkaji hal ini dan merancang pembangunan pendidikan agama yang sesuai dengan konsep ilmu dan pendidikan Islam itu sendiri, di samping memberi jiwa baru yang sesuai dengan perubahan latar belakang ilmu dan pengetahuan moden serta perkembangan politik dan ekonomi dunia sekarang yang amat mencabar itu.

Allah ketika mengutuskan para Nabi dan Rasul bagi menjalankan amanah mereka bagi memakmurkan alam dan menguruskan manusia, sering mengajar mereka ilmu dan hikmah. Ilmu untuk memberi pengetahuan yang banyak kepada manusia tentang segala-segalanya yang berada di sekeliling mereka, dan hikmah untuk mengajar mereka nilai-nilai moral dan akhlak serta cara berfikir manusia dalam menggunakan ilmunya itu. Pendidikan agama sekarang ini amat kurang memberikan ilmu, dan amat kurang pula memberikan hikmah kepada anak-anak kita. Maka ketika inilah kita amat memerlukan pemimpin kita yang berilmu dan berhikmah. Insya-Allah kita akan dapat mempunyai para pemimpin yang memenuhi syarat ini di negara kita sendiri.

No comments: