Wednesday, October 10, 2007

Mentaliti serta tahap pemikiran tidak seiring dengan pembangunan -- Sikap dan rakyat negara maju

MINGGU lalu kita menyaksikan berbagai-bagai perkembangan yang memanifestasikan pembangunan negara dan bangsa kita dalam pelbagai bidang. Pembentangan Bajet 2004 dapat memberikan rasa lega dan ria kepada beberapa kalangan rakyat, terutama para pemilik motosikal berkuasa 150cc ke bawah yang jumlahnya begitu besar di negara kita. Kenderaan inilah yang berduyun-duyun berkeliaran di jalan raya kita, termasuklah di kampung, di pusat pendidikan, di kilang, kebun, ladang, sawah, malah di atas bukit dan di dalam hutan tempat manusia mencari rezeki dan rekreasi.

Harapan kita satu sahaja kepada para penunggang motosikal yang cukai jalan dimansuhkan. Mereka mestilah menginsafi diri dengan sentiasa menjaga disiplin dan adab berkenderaan. Dengan menjaga peraturan jalan raya dan berakhlak mulia terhadap diri sendiri dan orang lain, kita tidak akan menyaksikan begitu banyak penunggang motosikal menjadi korban kemalangan, atau mengakibatkan korban kepada pengguna jalan raya yang lain.

Saya rasa orang Islam mengetahui tentang adab dan akhlak yang seharusnya diamal dan dihayati ketika melakukan sebarang kerja dan aktiviti. Adab merupakan asas kehidupan manusia untuk mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, iaitu bagi menjaga keselamatan fizikal, kerohanian, emosi, perasaan, pemikiran dan sebagainya. Kesejahteraan dan ketenteraman hidup sebagai individu dan kelompok masyarakat banyak bergantung kepada bagaimana individu dan kelompok manusia itu bertindak dengan adab dan sopan.

Atas dasar inilah orang Islam tidak pernah malah tidak mungkin melupakan Maha Pencipta, Allah subhanahu wa taala walau sesaat pun dalam kehidupan mereka. Kita sering mendengar anak-anak kecil kita sekarang ini yang menghadiri kelas tadika dan taska membaca doa yang diajarkan kepada mereka, walaupun umur mereka baru setahun jagung, dan walaupun ubun-ubun mereka masih lembut.

Mereka diajar membaca doa sebelum menjamah makanan, selepas makan, ketika hendak masuk rumah, keluar rumah, melihat cermin muka, sebelum memasuki tandas dan selepas keluar tandas, serta pada semua ketika dan sepanjang masa yang lain. Doa ini sebenarnya mengingatkan pengucapnya supaya menghayati apa yang dibaca dan seterusnya bertindak dan berkelakuan menurut semangat dan kehendak doa itu. Maka di antara kandungannya ialah untuk mendidik mereka supaya bersifat syukur dan berwaspada daripada sifat buruk, berhati-hati dalam segala perbuatan dan kelakuan mereka.

Ketika melihat cermin muka umpamanya, kita diajar supaya berdoa, Tuhan kami, sebagaimana Engkau memperelokkan paras kami, maka Engkau perelokkanlah perangai (akhlak) kami. Demikian juga ketika akan makan kita berdoa agar makanan dan rezeki yang dikurniakan kepada kita itu menjadi berkat daripada Allah, iaitu sentiasa merupakan rezeki yang halal, yang diperoleh secara yang betul, malah kita memohon agar makanan itu menjadi penawar yang berkhasiat dan berzat untuk tubuh badan dan jiwa kita.

Implikasi doa-doa seperti ini amat besar kepada jiwa dan minda manusia, sekiranya doa itu tidak hanya dibaca sekadar memenuhi kehendak rutin agama, atau ketika pengucapannya dibuat tanpa sebarang makna dan pengertian yang lebih luas dan mendalam untuk diterjemahkan ke dalam kehidupan kita sepenuhnya.

Doa bukanlah sesuatu yang hanya dibaca tanpa penghayatan. Kerana sekiranya doa dibaca tanpa penghayatan, maka si pembaca hanya akan menjelma menjadi seorang manusia yang bertindak mengulang-ulang segala sesuatu yang diajar kepadanya tanpa kesan yang mendalam ke dalam jiwa dan tingkah lakunya.

Maka dalam konteks inilah juga, orang yang berkenderaan selalu memulakan perjalanannya dengan doa iaitu dengan mengharapkan keselamatan dan kesejahteraan menuju destinasinya, malah tidak ada sebarang gangguan di pertengahan jalan sehingga dia selamat sampai ke tempat yang dituju dengan pertolongan Allah.

Berlagak sombong

Doa ini seharusnya merupakan satu peringatan serius kepada orang yang berkenderaan, terutama yang mengendalikan kenderaan, seperti penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian atau kenderaan awam, kenderaan perdagangan, kapten pesawat terbang, kapal laut dan sebagainya agar mereka berhati-hati dan sentiasa mengingati kandungan doa yang dibaca itu bagi menjaga keselamatan diri dan orang lain.

Tegasnya doa berkenderaan ini tidaklah hanya menjadi satu perkara simbolik dan ritual yang dibaca semata-mata kerana hendak memenuhi ruang dan rutin itu, kemudian si pemandu dan musafir melupakan sahaja apa yang dibacanya dan dengan itu dia akan bertindak liar dan ganas, lupa daratan dan lupa diri, berlagak sombong dan bongkak kerana sesuatu kelebihan yang ada pada dirinya atau kenderaannya, atau kerana mengikut nafsu marahnya ketika menghadapi cabaran dalam perjalanan.

Saya anggap ramai orang yang menggunakan jalan raya, terutama lebuh raya yang amat selesa di negara kita, sering mengalami pengalaman amat mengecewakan sebagai rakyat negara yang pesat membangun untuk menjadi negara maju. Pengalaman peribadi saya di atas lebuh raya umpamanya amat mendukacitakan, iaitu sikap para pemandu kenderaan yang tidak beradab dan tidak berperaturan. Ketika kita memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan, kita sering dipotong oleh kenderaan lain yang lebih kecil, atau yang amat mengejutkan lagi ketika kita dipotong oleh kenderaan awam, iaitu bas yang membawa puluhan nyawa penumpang di dalamnya. Pemandu kenderaan awam ini bersikap mengikut nafsu sendiri dengan memperjudikan nyawa para penumpang yang ramai atas alasan dan sebab yang hanya dia sahaja mengetahuinya.

Selain pemandu kenderaan awam seperti bas dan teksi yang sering memperjudikan nyawa para penumpang, maka amat mengejutkan juga ketika kenderaan perdagangan dengan muatan amat berat atau mudah terbakar, juga memecut di atas jalan raya tanpa peraturan, tanpa belas kasihan kepada diri sendiri dan kepada orang lain.

Hal ini sebenarnya telah banyak ditulis dan menjadi rungutan orang awam yang mempunyai pemikiran waras dan ingin membentuk satu bangsa yang bertamadun, menghormati peraturan dan bertatatertib. Para pelancong yang melawat Malaysia, apabila pulang ke tanah air mereka sering menulis kepada akhbar-akhbar tempatan kita tentang kebiadaban para pemandu kita dan sikap semberono mereka yang membelakangkan adab sopan dan mencerobohi segala peraturan dan undang-undang yang telah digubal dengan baik. Mereka sering melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pemandu kenderaan yang bersikap ganas, kasar, tidak berdisiplin dan tidak menghormati undang-undang.

Kita malu dengan sikap ini. Sekali lagi kita kecewa kerana nampaknya pembangunan negara kita untuk menjadi negara maju telah sampai ke tahap yang amat baik, iaitu dengan segala pembangunan fizikal, sains dan teknologi, ekonomi dan perhubungan antarabangsa yang amat mantap sehingga negara kita dikenali dunia, tetapi sayangnya mentaliti dan sikap serta tahap pemikiran segelintir rakyat kita, seperti pemandu kenderaan yang saya sebutkan itu, masih di peringkat lama, kuno dan tidak menampakkan perubahan sesuai dengan pembangunan negara kita keseluruhannya.

Hal yang sama dapat kita sebutkan kepada para pengguna dan penunggang motosikal yang telah diberi kelonggaran dalam Bajet 2004, iaitu dengan mengecualikan cukai jalan kepada mereka yang menggunakan kenderaan tersebut mengikut kuasa yang tertentu. Para penunggang motosikal inilah yang paling banyak menjadi korban di jalan raya. Mereka kebanyakannya terdiri daripada orang muda, iaitu yang masih belajar, yang sedang bekerja dan terdapat juga di antara mereka para profesional muda yang lebih suka menunggang motosikal daripada kereta.

Kemalangan maut yang menimpa mereka amatlah merugikan tenaga kerja dan sumber manusia negara. Kehilangan seorang operator kilang umpamanya melibatkan tenaga penting dalam sebuah industri. Malah kerugian yang lebih besar akan dialami oleh negara sekiranya yang menjadi korban maut itu adalah seorang pekerja mahir, jurutera, atau ahli profesional muda lain yang telah banyak menyumbang bakti kepada kemakmuran keluarga dan negara sendiri. Pemergian mereka meninggalkan jurang yang amat sukar atau lambat sekali untuk diganti dan merupakan tragedi dan malapetaka yang meninggalkan kesan amat serius kepada kaum keluarga sendiri yang kehilangan sumber rezeki dan kasih sayang yang amat mendalam.

Saya tidak berhasrat untuk membicarakan di sini tentang faktor lain yang menyebabkan hal ini berlaku, kerana saya hanya berbicara dari segi sikap peribadi manusia itu sendiri, sama ada ia sebagai penunggang motosikal atau pemandu kenderaan kecil, kenderaan awam atau kenderaan perdagangan. Sikap manusia inilah yang menjadi faktor utama kepincangan dan ketidaktertiban mereka sehingga menjadikan jalan raya kita sebagai gelanggang menempah maut dan kemusnahan. Mungkin pihak lain juga perlu melakukan sesuatu untuk mendidik manusia yang tidak beradab ini, seperti penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh, tindakan yang lebih konsisten dan berterusan untuk menghukum mereka yang cuai dan bersikap tidak tertib di atas jalan raya dan sebagainya.

Sama seperti hal yang lain, pendidikan yang mementingkan ketertiban ini amat penting, bukan hanya untuk generasi kini, tetapi generasi akan datang yang akan mewarisi tabiat dan tindakan ibu bapa dan orang dewasa lain yang sering menjadi

ikutan mereka dalam sebarang kelakuan dan cara hidup mereka seharian.

Anak-anak yang melihat cara ibu bapa yang memandu kenderaan secara kasar dan tidak beradab, serta sering pula melanggar undang-undang jalan raya, seperti tidak berhenti semasa lampu isyarat merah, akan melakukan perkara yang sama ketika mereka memandu nanti. Pendeknya tabiat buruk dan biadab, tidak menghormati undang-undang, bersikap angkuh dan sebagainya, merupakan sesuatu yang amat mudah diwarisi oleh generasi baru.

Oleh itu sekiranya kita benar-benar mahu berbangga dengan negara maju dan membangun dengan pesat seperti kita alami sekarang, maka rakyat umum mestilah meningkatkan tahap pemikiran dan mentaliti serta tindakan mereka sejajar dengan kemajuan dan ketamadunan negara. Sekiranya hal ini tidak berlaku, maka pembangunan kita selama-lamanya tidak akan seimbang, dan kita akan mengalami krisis kemanusiaan yang besar. Segala doa yang kita ajar kepada anak-anak kita hanya akan tinggal doa yang tidak diamalkan dan tidak dihayati dengan sepenuhnya.

No comments: