Wednesday, October 10, 2007

Masyarakat perlu ubah sikap untuk mendidik mereka yang terlanjur -- Mendekati mangsa HIV/AIDS

SELEPAS pertemuan kali pertama di Kampala, Afrika dua tahun lalu, para pemimpin agama Islam bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur pada 19 hingga 23 Mei lalu. Pertemuan peringkat antarabangsa itu adalah bagi mencari pertemuan pemikiran seterusnya mencuba untuk mencari penyelesaian tentang gejala HIV/AIDS di kalangan orang Islam.

Pertemuan dalam bentuk mencari titik penyatuan pemikiran para pemimpin dan intelektual Islam adalah untuk memahami masalah ini, serta pendekatan yang harus diambil bagi menyelesaikan sebahagian daripada kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat Islam tentang penyakit ini. Ia merupakan satu usaha yang agak serius diambil oleh pihak kerajaan dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia.

Sesungguhnya gejala penyakit maut ini amat banyak menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat Islam tentang hakikatnya dan apa yang harus dilakukan terhadap orang yang dijangkiti penyakit tersebut. Malah kita memahami pendirian sesetengah para agamawan dan pendakwah yang lebih suka mengambil jalan mudah membiarkan persoalan ini dipecahkan oleh para pengamal perubatan dan orang-orang yang bersimpati dengan pesakit ``yang jelas berdosa kerana melakukan perbuatan terkutuk dari perspektif agama'' itu!

Ramai daripada kalangan masyarakat Islam yang meletakkan cemuhan dan kutukan terhadap orang yang dijangkiti penyakit ini. Sebabnya, penyakit ini merupakan manifestasi orang-orang yang melakukan perbuatan haram, berzina dan melakukan perhubungan sejenis di luar tabie yang dilarang oleh Allah. Oleh itu kenapakah kita harus mempedulikan mereka dan mengambil berat tentang penyakit yang mereka hidapi? Masyarakat menyifatkan mereka ini sebenarnya telah menjadi mangsa perbuatan sendiri, dan mereka sedang menerima balasan pedih terhadap maksiat yang mereka lakukan!

Persoalan inilah, di samping beberapa persoalan lain, yang sedang cuba ditangani oleh pihak pengamal perubatan dan para pemimpin agama sejak dari pertemuan pertama di Kampala dulu membawa kepada pertemuan kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini. Namun satu hakikat yang harus diakui, persoalan ini bukanlah satu persoalan yang mudah untuk diselesaikan, atau yang mudah difahami dengan baik oleh para ulama Islam di seluruh dunia, termasuk ulama di negara kita sendiri.

Selagi persoalan ini tidak dapat dipecahkan dengan baik dan difahami secara menyeluruh oleh para pemimpin dan ulama agama, maka selama itulah masyarakat Islam akan menghadapi jalan buntu untuk meraih simpati masyarakat Islam umumnya bagi menyelesaikan banyak masalah tentang penularan penyakit ini dan keadaan para pesakitnya yang kelihatan amat terbiar dalam masyarakat Islam sendiri.

Pesakit-pesakit yang menjadi mangsa jangkitan penyakit berbahaya ini agak tinggi peratusannya di kalangan orang Islam di negara kita. Mereka akan terbiar dan maut sekiranya tidak dibekalkan dengan ubat yang dapat memberi keselesaan hidup kepada mereka dan memanjangkan usia mereka. Mereka akan terus-menerus menyebabkan jangkitan penyakit ini kepada orang lain sekiranya mereka tidak dijaga dan diberi pengetahuan untuk mencegahnya daripada berjangkit.

Dan yang menyedihkan, terdapat di kalangan mangsa penyakit ini seolah-olah bergelimpangan di tengah jalan menanti maut sekiranya tidak ada pihak yang memungut dan melindungi mereka di bawah bumbung dan dinding, sementara menunggu saat-saat kematian. Dalam keadaan inilah, terdapat tangan-tangan yang bersimpati dengan keadaan mereka berusaha memberikan sedikit keselesaan kepada mereka dalam menghadapi mati. Kebanyakannya terdiri daripada kalangan individu atau pertubuhan bukan Islam, walaupun mangsa yang sedang menghadapi kematian itu adalah terdiri daripada orang Islam, yang tentunya memerlukan seseorang untuk mengajar dan mengingatkan untuk mengucap kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Dalam menghadapi kenyataan inilah saya rasa pihak yang benar-benar memahami jiwa raga manusia yang mempunyai kepelbagaian bentuk dan ragam ini, mencuba untuk mendapatkan simpati para pemimpin dan ulama Islam, serta pendakwah dan masyarakat Islam umumnya untuk sama-sama berfikir bagaimanakah hal ini harus dihadapi dan diselesaikan, serta bagaimanakah permasalahan manusia ini perlu ditangani.

Hal ini diperlukan, kerana usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak pengamal perubatan dan mereka yang bertanggungjawab tentang kesihatan umum, nampaknya tidak memberikan hasil yang memuaskan meskipun pihak kerajaan dan pertubuhan sukarela telah bekerja keras dan mengeluarkan perbelanjaan yang amat banyak untuk membendung gejala penyakit ini.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa angka kematian dan pesakit yang dijangkiti penyakit ini di negara kita, telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 1986, ketika penyakit ini mulai dikesan di negara kita, bilangan yang dijangkiti kuman HIV hanyalah tiga orang, dan berkembang menjadi penyakit AIDS seorang. Kematian daripada penyakit ini dalam tahun yang sama hanyalah seorang.

Tetapi dalam tahun 2002 bilangan mangsa yang dijangkiti HIV ialah sebanyak 6,978, dan yang menghidap AIDS ialah 1,193. Jumlah kematian disebabkan penyakit ini dalam tahun yang sama ialah 881 orang. Ringkasnya, mulai dari tahun 1986 sehingga tahun 2002 jumlah jangkitan HIV ialah 51,256, yang menghidap AIDS ialah 7,218, dan kematian dalam jangka waktu yang tersebut ialah 5,424.

Perkembangan mencemaskan inilah, terutama apabila jangkitan ini berlaku kepada isteri dan janin yang akan dilahirkan, yang sebenarnya bukan kerana dosa mereka, dan bukan pula diketahui oleh mereka. Sebaliknya mereka hanya menjadi korban kejahilan pasangan hidup mereka yang telah dijangkiti penyakit maut ini, apalagi sekiranya hal ini berlaku kerana mangsa telah putus asa daripada simpati dan kasih sayang manusia lain yang dekat dan jauh di sekeliling mereka.

Nasihat

Maka kerana situasi inilah pihak berkuasa kesihatan dan perubatan ingin mendapatkan nasihat dan kerjasama kalangan para ahli agama dan ulama bagi menangani masalah yang agak kusut ini, iaitu bagaimanakah cara terbaik untuk menangani masalah ini mengikut ajaran agama dan nilai-nilai kerohanian serta moral agama itu sendiri.

Apakah dengan melemparkan kutukan dan hukuman, kita dapat menyelesaikan masalah gejala yang sedang melanda umat kita ini? Apakah dengan mengecam dan melemparkan kata-kata sinikal yang pedas kepada mangsa penyakit ini, kita berharap bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan dengan mudah? Apakah dengan menyisihkan mereka, kita merasakan bahawa kita sebenarnya telah menjalankan tanggungjawab kita kepada agama dan Allah yang mengajar kita supaya berlaku ihsan dan rahim kepada sesama manusia?

Memanglah diakui bahawa melakukan maksiat dan dosa adalah sesuatu yang terkutuk, dan seharusnya dijauhi oleh semua hamba Allah yang beriman kepada Allah dan ajaran-Nya. Tetapi sikap kita terhadap orang yang melakukan dosa, apalagi yang telah menerima akibat daripada perbuatan itu seharusnya berbeza dari sikap kita terhadap perbuatan keji itu. Mereka yang menjadi mangsa perbuatan jahat itu adalah manusia dan makhluk Allah yang mungkin kerana beberapa keadaan telah terlanjur dan terlajak.

Rasulullah pernah menyebut bahawa semua anak Adam, iaitu manusia adalah bersalah, tetapi orang paling baik di antara orang-orang yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. Maka dalam hal ini, kita mempunyai banyak cara untuk mendidik orang-orang yang menjadi mangsa penyakit tersebut, apalagi sekiranya jangkitan itu dihidapi oleh orang yang tidak melakukan kesalahan itu secara langsung, seperti isteri atau suami yang dijangkiti oleh pasangan masing-masing, atau anak yang tidak berdosa menerima penyakit ini dari darah ibu bapa yang positif membawa kuman HIV.

Mereka ini perlu didekati dan dididik dengan penuh ihsan dan kasih sayang. Mereka perlu disedarkan agar segera menghitung diri mereka dalam menghadapi saki-baki kehidupan dunia yang bergelora ini dan menyedari perbuatan yang melanggar ajaran agama. Mereka tentu akan insaf dan sedar, mereka akan bertaubat dan menjadi manusia yang beriman dalam menghabiskan sisa-sisa hidup mereka. Sebaliknya, jika mereka dibiarkan merempat di tepi jalan dan longkang, mati dalam keadaan begitu, maka mungkin mereka tidak pernah insaf, tidak pernah bertaubat, apalagi menjadi manusia yang bertakwa dan beriman.

Diceritakan bahawa ketika Nabi Ayub menderita kesakitan yang teruk, terdapat di antara para sahabatnya yang mengatakan bahawa inilah akibat dosa beliau, sebab itu mereka menjauhkan diri daripadanya, kecuali isterinya yang amat setia. Malahan tidak lama kemudian, isterinya juga berputus asa melihat penyakit Nabi Ayub, lalu ia pun mendoakan kematiannya. Ketika inilah al-Quran menceritakan tentang doa Nabi Ayub yang amat ringkas dan padat itu, iaitu dalam firman Allah dalam surah al-Anbiya', ayat 83 dan 84:

Sesungguhnya aku ditimpa penderitaan (yang amat sangat), sedangkan Engkau yang terlebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya, keluarganya, dengan sekali ganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

Secebis kisah Nabi Ayub menjadi iktibar kepada kita dalam bersabar menerima ujian, mencari jalan mengatasi masalah, dan bertindak secara yang lebih teliti menjauhkan bala bencana dan mencegah generasi yang akan datang daripada terjebak ke dalam perangkap dosa dan maksiat. Semoga motif dan mesej ini menjadi hikmat dan hidayat daripada pertemuan yang diadakan, dari Kampala ke Kuala Lumpur itu.

No comments: