Wednesday, October 10, 2007

Kestabilan masyarakat yang sentiasa rapuh perlu diperkuatkan - Membina semula tamadun dunia

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
KITA di Malaysia menyambut perayaan Maulidur Rasul kali ini dalam suasana yang biasa, sama seperti tahun-tahun yang lalu sungguhpun terdapat beberapa peristiwa yang agak mengganggu perasaan dan keadaan di kalangan masyarakat seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Pada umumnya kita masih boleh berbicara tentang fardu ain dan fardu kifayah, membina kemajuan dan ketamadunan ummah dan sebagainya. Masyarakat Islam masih dapat berarak dengan aman, duduk dengan aman di dalam stadium, gelak ketawa dan bergembira seperti biasa, kerana tidak ada sesuatu yang dibimbangkan akan berlaku di sekeliling kita, atau di rumah tangga dan di dalam negara kita. Syukurlah, keadaan begini amat menggembirakan kita.

Kuala Lumpur (KL) tidak seperti Baghdad yang telah dibedil dan dibom sehingga bedilan dan bom itu meranapkan banyak bangunan dan membunuh ribuan nyawa yang tidak berdosa. KL juga tidak seperti Riyadh yang baru ditimpa bencana, dan menambah pergolakan dan ketidakstabilan rantau Asia Barat dan negara pelindung tempat-tempat suci, Mekah dan Madinah. KL juga tidak seperti Chechnya yang menyaksikan pembunuhan ke atas orang Islam yang sedang berarak merayakan hari keputeraan Rasulullah s.a.w. KL juga tidak seperti Jakarta dan Acheh yang sedang bertelagah dan mungkin akan menimbulkan konflik berdarah.

Dalam keadaan begini, kita bolehlah berbicara tentang ummah yang membangun, tentang ilmu dan tamadun, tentang kepemimpinan dan kestabilan ekonomi dan politik. Ibu kota yang bergolak dan mengalami krisis, termasuk yang sedang berkonfrontasi agak memanjang waktunya, seperti dua buah ibu kota yang tegang kerana isu Kashmir, isu pergaduhan kaum dan lain-lain, tidak akan dapat berbicara tentang pembangunan ekonomi dan politik, atau pembangunan ilmu dan tamadun, secara yang berkesan. Mereka tentu tidak punya banyak waktu untuk memikirkan soal teknologi dan industri, apalagi memikirkan tentang nasib masa depan negara mereka yang diancam oleh kuasa ekonomi raksasa dunia, penjajahan baru dan seribu satu cabaran lain yang sering dihadapi oleh negara-negara membangun, khususnya negara-negara Islam yang mempunyai berbagai-bagai ragam pemerintah dan golongan rakyatnya.

Kestabilan ekonomi dan politik, kemajuan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, dan kemantapan serta kekuatan nilai moral dan kerohanian merupakan elemen penting bagi dunia Islam membicarakan tentang tamadun dan kemajuan ummah, serta kewibawaan pemerintahannya.

Kalau kita menoleh ke belakang dalam sejarah ummah kita dan pemerintahannya yang kuat, maka kita akan melihat betapa ketika Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, dunia Islam telah pun membangun sebagai dunia yang penuh tamadun, dan ketamadunan ini telah memberikan kesan dan impak yang amat besar kepada Eropah. Kesan tamadun yang disumbangkan oleh Islam kepada Eropah adalah amat besar nilainya di dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan, termasuk di dalam bidang sains. Sejak kelahiran Islam, maka Islam telah maju ke hadapan dengan pesat sekali di dalam bidang ilmu pengetahuan dan sains.

Kota Baghdad, Damascus, Cairo dan Cordoba merupakan pusat tamadun. Dari kota-kota inilah lahirnya para saintis yang telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada dunia dalam bidang sains dari segi teori dan gunaannya, serta cabang-cabang ilmu teknologi. Eropah ketika itu tidak mempunyai prasarana, atau pemerintah pusat yang bersistematik, malah Eropah berada dalam zaman gelap, tidak tersusun dan tidak relevan dengan pembangunan ilmu pengetahuan ketika itu.

Sebab itulah satu institusi yang amat kuat pada ketika itu, iaitu gereja Katolik, telah menjalankan kempen secara besar-besaran untuk meyakinkan Eropah bahawa orang Islam adalah ``kafir'', sehingga mereka berjaya memberi keyakinan ini, dan Eropah segera berfikir bahawa orang Islam adalah lebih rendah dari mereka, dan Eropah tidak akan mendapat sebarang manfaat dari penemuan sains dan teknologi yang dihasilkan di dalam dunia Islam.

Bagaimanapun kota Cordoba yang menjadi ibu kota negara Islam Sepanyol, menjadi pusat yang memancarkan segala cahaya dan ilmu kepada seluruh benua Eropah. Para sarjana dan pelajar yang mencintai ilmu dari seluruh Eropah berhijrah ke kota tersebut untuk menuntut ilmu. Seorang sarjana Barat memberi gambaran tentang kecemerlangan ini dengan mengatakan bahawa dalam kurun yang kesembilan, perpustakaan St. Gall, iaitu perpustakaan yang terbesar di Eropah ketika itu, mempunyai 36 jilid buku, sedangkan perpustakaan di Cordoba mengandungi lebih dari 500,000 jilid!

Bagaimanapun dalam konteks masa kini, kita tentulah tidak seharusnya berbicara tentang sejarah kegemilangan itu, semata-mata kerana ingin mengubat hati kita yang luka, atau mencari sedikit hiburan untuk melegakan perasaan dan keadaan kita yang sedih pilu mengenang nasib malang yang menimpa kita. Kalau berbicara semata-mata kerana hendak bermegah-megah dengan kejayaan zaman silam, maka hal itu tidak akan membawa kita ke mana-mana, terutama apabila kita melihat kepada kenyataan dan realiti umat Islam pada hari ini yang kelihatan amat sukar untuk belajar dari sejarah, dan tidak berminat untuk mengambil iktibar dari sejarah umat sendiri untuk membangun semula menjadi umat unggul seperti yang pernah berlaku di dalam sejarah itu.

Jadi apalah gunanya kita menangisi kejatuhan Baghdad tahun 2003, kemusnahan Kabul tahun 1991, kehilangan kuasa ke atas banyak ibu kota negara Asia Tengah, yang menjadi pusat tamadun Islam satu ketika dulu, kepada kuasa yang tidak percayakan Tuhan, malah tersungkurnya pemerintah moden negara-negara Islam kepada penjajahan baru kuasa besar tunggal dunia.

Peristiwa yang berlaku di Baghdad tahun ini, penyembelihan yang terus-menerus berlaku ke atas rakyat Palestin dan tekanan yang amat kuat yang dikenakan ketika ini ke atas masyarakat dan negara Islam adalah merupakan perangkap maut yang dipasang oleh musuh Islam ke atas masyarakat Islam dan pemerintahannya yang leka dan lalai dari tipu daya pihak penjajah bentuk baru.

Akibatnya berlakulah berbagai-bagai tindakan putus asa yang melampau dari umat Islam, usaha-usaha yang sering menjadi alasan untuk musuh Islam mengambil tindakan yang lebih jahat dan buruk lagi ke atas masyarakat dan negara Islam, sedangkan tindakan yang dilakukan oleh segelintir orang Islam sebenarnya tidak melambangkan kehendak semua umat Islam sendiri.

Saya rasa hal inilah yang sedang cuba diheret ke dalam negara kita, apabila negara kita sering diprovokasi sebagai negara pelindung keganasan, atau yang terakhir ini, apabila Riyadh mengalami kejutan yang dahsyat dengan kejadian serangan yang tidak disangka-sangka oleh sesiapa pun. Maka reaksi Amerika Syarikat seperti yang dapat saya saksikan di dalam ruangan berita Al-Jazeerah, segera memberi amaran kepada rakyatnya di Arab Saudi dan di Malaysia (!) tentang kemungkinan berlakunya serangan ini ke atas rakyat dan kepentingan negara mereka di kedua-dua buah negara tersebut.

Kita tentu tidak hairan dengan amaran kemungkinan berlaku peristiwa serangan ini sekali lagi di Arab Saudi, kerana serangan itu sememangnya telah berlaku dan memakan korbannya. Tetapi mengaitkan Malaysia dengan kejadian tersebut ketika serangan berlaku di negara lain yang jauhnya ribuan kilometer dari negara kita, tentulah merupakan satu kaitan yang sengaja diada-adakan untuk satu tujuan yang kita sendiri tidak mengetahuinya.

Oleh itu dalam keadaan dunia yang amat tidak bertamadun ini, kita sebenarnya yang seharusnya memainkan peranan bagaimana tamadun itu dapat kita binakan di dalam masyarakat kita sendiri, dan di dalam negara kita ini. Kita seharusnya memperkuatkan pembinaan kestabilan masyarakat kita yang sentiasa rapuh sekiranya tidak kita binakan semangat toleransi dan semangat yang berasaskan kontrak sosial kita. Kita juga harus memperkuatkan kestabilan politik dan ekonomi kita yang juga akan runtuh dengan perpecahan kita yang amat diidam-idamkan oleh musuh kita, terutama yang akan memainkan sentimen agama dan akidah kita mengikut corak permainan mereka yang amat tidak ketara pada pandangan mata kasar kita.

Kita semestinya meneruskan usaha menjaga emosi dan sentimen kita supaya tidak memuncak sehingga membinasakan tradisi dan ajaran agama serta nilai-nilai murni moral dan akhlak kita. Kita teruskan kawalan disiplin ketika bertindak, iaitu menjaga etika dan tatasusila, tanpa demonstrasi beremosi yang tidak memberi sebarang manfaat, bertindak ganas yang menghancurkan ketenteraman umum, atau melakukan sebarang tindakan yang tidak bertamadun, tidak menjaga lidah dan bahasa, tidak peka dengan perasaan orang lain dan berbagai-bagai tindakan kuno yang hanya dilakukan oleh orang-orang zaman gelap dan jahiliah.

Sekiranya semua ini dapat kita lakukan, maka sebarang cubaan untuk mengaitkan kita dengan keganasan dan kekasaran, atau tuduhan kononnya kita tidak menghormati hak asasi manusia dan sebagainya, tentu tidak akan berjaya. Dan kita dengan itu telah menyedari bahawa segala taktik yang dilakukan itu adalah merupakan perangkap yang dipasang untuk kita. Sekali kita membuat kesilapan, maka kita akan menerima akibat yang amat parah.

Maka dalam menyambut ulang tahun keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad pada tahun ini, di samping bersyukur akan suasana ketenteraman dan aman damai yang kita alami, maka kita seharusnya sering mengambil iktibar dari kesalahan diri sendiri dan kesalahan orang lain juga. Manifestasi kejatuhan Baghdad di tangan AS, dan serangan berani mati di Riyadh mempunyai pengertian dan wajah yang berbeza-beza. Namun begitu akibatnya adalah ditanggung oleh masyarakat dan dunia Islam sendiri. Dan kita haruslah mengambil iktibar dan pelajaran daripada peristiwa itu.

No comments: