Wednesday, October 10, 2007

Peperangan: Perdagangan menguntungkan

Oleh Dr. Ismail Ibrahim (Riyadh)

MELIHAT keranda yang digunakan oleh orang Iraq untuk membawa mayat ke tanah perkuburan sudah cukup memberikan gambaran yang jelas bahawa mayat yang dibawa itu amat ``murah'' dan seolah-olah tidak berharga. Kerandanya merupakan sebuah peti kayu reput, tidak berketam dan berpaku rapi, apa lagi akan kelihatan licin berkilat seperti yang sering kita gunakan.

Kain yang digunakan untuk menutup keranda juga amat usang dan koyak-rabak, hanya sekadar menutup kayu-kayu yang agak berlubang-lubang.

Tetapi apakah yang dapat dilakukan oleh mereka dalam suasana perang dan kacau-bilau yang serba menghimpit dan menekan masyarakat mereka sekian lama ini?

Puluhan manusia pada setiap hari menjadi korban perang yang dianjurkan oleh penjajah asing, atau yang diledakkan oleh kereta yang sarat diisi dengan bahan letupan, dengan pejuangnya yang membalut dirinya sendiri dengan bahan letupan dan meletupkan semuanya sekali gus di tengah-tengah kumpulan orang ramai tanpa amaran.

Nyawa manusia menjadi terlalu murah, mungkin lebih murah daripada nyawa semut dan unggas yang melata di atas tanah, dan nyawa itu tidak kira sama ada nyawa orang besar, kenamaan atau rakyat biasa, orang Amerika atau orang Arab, kanak-kanak yang masih lembut ubun-ubunnya, atau ibu malang yang sedang sarat mengandung. Semuanya akan menjadi korban, apabila senjata meletup, atau kereta meledak, malah ketika seorang manusia meletupkan dirinya di tengah-tengah orang ramai yang sedang berjalan, sedang menikmati jamuan, sedang bersembahyang dan di mana-mana sahaja, tidak kira sama ada di rumah-rumah kediaman yang nyaman dan aman, di kedai atau warung kopi, malah di masjid ketika orang beribadat, atau sedang keluar dari menunaikan sembahyang Jumaat.

Rakus

Maka dalam keadaan ini, hairankah kita sekiranya kita melihat mayat dimandi dan dikapan secara tergesa-gesa dengan mencapai apa saja kain yang menjadi kain kapannya? Dan hairankah kita sekiranya dalam keadaan tersepit ini, apa saja bahan yang bernama kayu dan papan akan terus saja digunakan sebagai keranda mayat? Tentu tidak menghairankan, dan tentulah hal ini tidak lagi merupakan satu amalan ganjil bagi masyarakat Islam di negara yang amat bersejarah dengan tamadun itu, tetapi kini menjadi pusat penyembelihan manusia yang amat aktif.

Menjelang tahun demi tahun, berlalu sudah tahun Masihi 2005, dan kini akan berlalu pula tahun Hijrah 1426, manusia kelihatan menjadi bertambah rakus dan ganas, manusia tak punya sebarang prinsip hidup dan nilai lagi, malah manusia sebaliknya menjadi makhluk haiwan yang buas, berpandukan undang-undang hutan, siapa yang kuat, maka dialah yang berkuasa.

Tidak banyak orang yang dapat memahami apakah masalah sebenarnya yang menyebabkan bumi Iraq begitu bergolak, bermandikan darah dan menjadi tempat untuk manusia berbunuh-bunuhan, yang kadang-kadang tidak dapat lagi dikenal pasti siapa yang melawan siapa, atau siapa yang memusuhi siapa.

Bagi Amerika yang memulakan pembunuhan di Iraq, maksudnya amat jelas dan terang. Seorang peserta persidangan Globalisasi dan Peperangan yang berlangsung pada bulan Disember 2005 di Kuala Lumpur, wartawan Pratap Chatterjee, menegaskan bahawa hasil peperangan ini memberikan keuntungan kepada para kontraktor Amerika. Kerja pembangunan semula Iraq, malah kerja-kerja yang mempunyai hubungan dengan bala tentera Amerika di sana, seperti memasak makanan, mencuci jamban dan menghantar surat setiap hari yang dilakukan di negara Iraq itu oleh sebuah syarikat sahaja, melibatkan berbilion dolar.

Peserta persidangan ini mendedahkan keuntungan kewangan yang dipungut dari hasil kekayaan negara Iraq sendiri, iaitu hasil minyaknya. Oleh itu tidak sia-sialah membunuh orang dan menghancurkan rumah dan bangunan rakyat Iraq.

Seorang aktivis antiperang Daniel Ellsberg memberitahu persidangan yang sama, bahawa sandiwara yang dimainkan oleh media Amerika, bahawa Amerika akan memendekkan pendudukannya di Iraq hanyalah untuk mengabui mata dunia. Amerika mungkin tidak akan keluar dari Iraq untuk 20, 30 atau mungkin 50 tahun lagi.

Sayang sekali, negara yang mewah dan kaya dengan minyak, akhirnya mengundang padah dengan kehadiran Amerika yang sering mengidam-idamkan kekayaan dunia Islam. Dunia Islam terpaksa berdiam diri.

Dengan berpandukan undang-undang rimba, siapa yang kuat, sama ada Amerika atau Israel, bolehlah memulakan peperangan dan pembunuhan, kerana peperangan dan pembunuhan dalam zaman ini menjadi satu bidang perdagangan yang amat menguntungkan. Kekayaan harta benda, pemilikan tanah, hasil bumi kurniaan Allah kepada umat-Nya, semuanya akan dapat dikaut dan dimonopoli dengan peperangan.

Yang lemahnya, dan yang miskin dan fakirnya, ialah kita, umat Islam dan negara Islam yang ``kaya'', sehingga kitalah yang banyak terbunuh dan mati, yang menjadi amat murah nyawa dan maruahnya, sehinggakan keranda mayat dan kain kapan pun tidak terhormat lagi

Kita memerhati mayat penceroboh dibawa penuh hormat dengan balutan bendera pahlawan, menaiki pesawat mewah atau kereta Roll Royce, sedangkan mayat kita berkeranda papan usang, menaiki kereta kaldai, atau basikal lama roda tiga.

Inilah antara perayaan kita dalam menyambut tahun baru Hijrah kali ini, dan tidaklah diketahui lagi, apakah sambutan yang sama menanti kita untuk tahun-tahun hijrah yang akan datang. Hanya Allah sahajalah yang tahu.

No comments: