Wednesday, October 10, 2007

Surat terbuka kepada duta AS

PUAN Yang Terutama (PYT) Puan Marie T. Huhtala, Duta Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur.

Saya sedar bahawa sebagai rakyat biasa Malaysia pada masa kini, suara saya mungkin tidak memberi erti dan kesan apa-apa kepada Puan Yang Terutama. Hal ini saya sebutkan, kerana kadang-kadang terdapat kuasa besar dunia, atau kerajaan negara yang tertentu, yang tidak pernah pun menghiraukan sebarang suara lain, sama ada yang datang daripada rakyatnya, atau daripada bukan rakyatnya, untuk mengubah atau meminda dasarnya yang telah diputuskan bagi sesuatu perkara atau tindakan yang diambilnya. Malah terdapat negara yang tidak sedikitpun menghiraukan keputusan lain yang dibuat untuk menentang dasarnya yang dianggap menceroboh undang-undang antarabangsa dan mencabul hak asasi manusia sejagat, termasuk keputusan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri yang mewakili seluruh kerajaan di dunia ini. Dalam situasi ini, pada hari ini, telah dapat kita saksikan sebilangan keputusan PBB, tidak pernah dilaksanakan oleh negara-negara yang tertentu, tanpa ada sesiapa pun yang dapat berbuat sesuatu bagi menguatkuasakannya. Jadi, dengan itu, suara saya mungkin hanya merupakan satu suara sumbang saja pada kerajaan yang PYT wakili. Namun begitu, sebagai manusia biasa, yang mempunyai perasaan yang sama dengan manusia lain di dunia ini, maka saya merasakan bahawa saya patut menyuarakan perasaan itu kepada semua orang, termasuk kepada PYT. Walaupun suara ini hanya akan berbunyi seperti kata pepatah Melayu, bagai anjing menyalak bukit.

Semasa saya masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), kita pernah bertemu dan mengadakan dialog secara bersama daripada kedua-dua belah pihak tentang beberapa isu dan dasar kerajaan PYT terhadap negara-negara membangun, khususnya negara Islam. Saya masih ingat lagi, bahawa salah satu isu yang disentuh pada ketika itu ialah dasar kerajaan PYT terhadap Afghanistan. Kami menghormati pandangan PYT terhadap isu tersebut, iaitu bagaimana pihak kerajaan PYT akan berusaha mewujudkan keamanan di Afghanistan dan menstabilkan kedudukan di dalam negara tersebut, agar rakyat negara itu akan dapat membangunkan kehidupan mereka sendiri tanpa campur tangan dari kerajaan PYT. Cuma yang terlintas di dalam pemikiran saya sekarang, sejauh manakah dasar itu telah terlaksana di negara tersebut semenjak PYT menemui kami lebih dari dua tahun yang lalu? Apakah rakyat di sana benar-benar telah berjaya mencapai objektif penubuhan kerajaan baru mereka sehingga mereka telah dapat menikmati kekayaan dan peluang pendidikan serta hal-hal yang lain sebagai rakyat yang benar-benar merdeka dan bebas ?

Bagaimanapun, saya terdorong untuk menulis surat ini kepada PYT adalah sebagai ekoran dari tulisan saya di dalam ruangan ini seminggu dua yang lalu. Tulisan saya yang lalu menyentuh tentang keganasan dan kekerasan, kematian orang-orang yang tidak berdosa, dan perbuatan membalas dendam yang melulu, yang dilakukan oleh manusia pada masa kini, yang saya anggap telah menjadi amat ganas dan radikal. Keganasan dan perlakuan manusia yang membunuh itu adalah sama saja, sama ada dilakukan oleh orang awam dan individu yang tertentu, atau yang dilakukan oleh sebuah kerajaan yang sah, atau oleh kuasa lain yang bertindak menduduki atau menjajah sebuah negara orang lain atas apa saja alasannya.

Telah saya perkatakan dalam ruangan ini, bahawa, bagi orang Islam seluruh dunia, bulan Ramadan yang suci, dan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, nampaknya telah banyak dicemarkan oleh perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut supaya seluruh umat manusia hidup dalam harmoni dan aman damai, menghormati jiwa dan nyawa manusia yang lain, dan bersikap rahmat sesama mereka. Namun begitu, nampaknya ramai orang yang tidak menghormati bulan suci dan mulia itu, dan ramai pula yang tidak mempunyai sebarang rasa simpati dengan orang Islam yang ingin berpuasa dan beraya dalam suasana aman dan damai. Sebaliknya mereka diperlakukan dengan tindakan kejam ketika mereka berpuasa dan beraya dengan pembunuhan, pencerobohan ke atas tempat kediaman dan rumah mereka, diheret di atas jalan-jalan raya dengan kasar dan bengis, diganggu keluarga dan anak-anak mereka pada waktu tengah malam dan dinihari, dan berbagai-bagai perlakuan yang dilakukan ke atas mereka, tanpa memberi perhitungan lagi bilakah ketika dan masanya.

Pengalaman inilah yang dilalui dengan penuh ngeri dan takut oleh rakyat Iraq yang masih di bawah pentadbiran kerajaan PYT, dan rakyat Palestin yang diduduki oleh Israel, sebuah kerajaan yang disokong oleh kerajaan PYT. Kekejaman terakhir yang dilalui oleh rakyat Palestin menjelang bulan puasa dan bulan raya ini nampaknya telah sampai ke kemuncaknya, iaitu yang mungkin tidak akan terdapat sebarang umat manusia lain di dunia ini yang ditekan dan perlakukan dengan kejam sekali seperti yang dialami oleh rakyat Palestin di bumi milik mereka sendiri. Kerajaan inilah yang nampaknya telah banyak sekali mengabaikan keputusan PBB, termasuk keputusannya yang terakhir untuk mendirikan apa yang mereka namakan ``pagar keselamatan'' di negara Palestin sendiri.

Saya tidak berniat untuk membela perbuatan ganas dan kejam yang sering dilakukan oleh rakyat yang ditindas dan dizalimi itu, dan hal ini telah banyak saya perkatakan di dalam tulisan saya di ruangan ini, tetapi hairankah kita sekiranya golongan yang ditindas dan dizalimi itu akhirnya akan bangun bertindak balas dengan kejam dan ganas juga? Apakah kita mengharapkan bahawa orang yang kita zalimi itu akan hanya memberi senyuman dan sujud kepada kita selama-lamanya?

Saya yakin PYT tentulah memahami sikap dan pendirian majoriti rakyat Malaysia dalam soal ini, terutamanya pendirian rasmi kerajaan Malaysia tentang isu keganasan ini. Malah PYT sendiri selama beberapa tahun tinggal di negara ini tentulah telah dapat menyaksikan cara hidup masyarakat Malaysia yang penuh toleran dan hormat-menghormati di antara satu dengan lain. Saya yakin PYT sendiri dapat melihat perbezaan ini jika dibandingkan dengan negara lain, termasuk negara-negara maju sendiri yang kehidupan mereka agak berbeza dari kehidupan di Malaysia dari segi integrasi kaum dan agama. Saya juga yakin bahawa PYT tentulah telah mengkaji apakah formula Malaysia dalam mewujudkan masyarakat sepadu ini dalam politik, ekonomi, budaya, sosial dan sebagainya yang telah memberi hak yang adil dan sama rata kepada semua golongan dan etnik, tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan kaum masing-masing. Semuanya ini tentulah telah berada dalam pengetahuan PYT, dan PYT sendiri telah dapat melihat kejayaan formula ini dalam membentuk sebuah masyarakat majmuk yang dinamik. Persoalannya, apakah pengalaman ini dapat difahami oleh kerajaan PYT untuk dilaksanakan di negara-negara yang sedang dipulihkan seperti Iraq dan Afghanistan, terutamanya dalam berkongsi kuasa, pengagihan kekayaan, peluang pendidikan, penghapusan kemiskinan dan pembangunan infrastruktur yang mencukupi untuk semua rakyat.

Dorongan utama saya menulis surat ini juga adalah kerana hati saya, dan saya percaya hati umat manusia yang menghormati tamadun dan peri kemanusiaan, akan berasa amat sedih terhadap pembunuhan terakhir yang berlaku di Iraq pada 30 November ketika 54 orang, termasuk rakyat awam, dibunuh oleh tentera Amerika. Saya percaya bahawa semua orang tidak akan berasa dukacita sekiranya pihak tentera Amerika membunuh orang-orang yang menyerangnya atas dasar mempertahankan diri. Tetapi membunuh secara keterlaluan dengan membedil rumah kediaman dan tempat perlindungan mereka dengan senjata berat secara membuta tuli, menembak dengan senjata canggih tanpa membezakan mangsa sama ada mereka terdiri daripada askar fidayeen atau orang awam, adalah merupakan satu tindakan yang melampaui sempadan dan etika serta peradaban peperangan bagi mempertahankan diri. Cara tembakan rambang tanpa mengira siapakah mangsa sebenarnya adalah lebih banyak merupakan satu tindakan membalas dendam yang melulu oleh pihak tentera Amerika yang sememangnya lengkap bersenjata canggih dan berkenderaan perang yang perkasa. Apakah dalam keadaan tembakan senjata ringan yang dilepaskan terhadap mereka, akan dibalas dengan tembakan dan bedilan senjata berat sehingga dapat meranap dan merosakkan begitu banyak tempat kediaman orang awam?

Saya rasa PYT tentu bersetuju bahawa perbuatan melampaui batas-batas mempertahankan diri adalah satu perbuatan yang seharusnya diberhentikan dengan serta-merta, terutamanya di bumi yang amat bergolak dan penuh dengan rasa benci dari rakyat awam terhadap kuasa yang menjajah mereka. Mereka sebenarnya akan lebih menyimpan rasa marah dan benci, maka akibatnya mereka akan lebih nekad untuk bertindak balas dengan cara yang lebih kejam lagi. Tindakan melulu terhadap mereka lebih merupakan dorongan untuk mereka bertindak melakukan tindakan berani mati, iaitu dengan meletupkan diri mereka untuk membunuh orang lain yang mereka anggap sebagai musuh mereka. Seorang awam Iraq yang kematian saudaranya akibat pertempuran itu telah bersumpah akan mengambil tindakan membalas dendam. Dia dengan nada marah menyatakan bahawa sekiranya dia mati, maka anak-anaknya pula akan menuntut bela dalam bentuk yang sama. Maka sekiranya keadaan ini berterusan, sampai bilakah agaknya dunia ini akan aman damai ? Dan dalam keadaan ini juga maka siapakah yang hendak kita persalahkan?

Saya telah membicarakan isu tindakan berani mati dengan melakukan pengeboman diri sendiri ini di dalam tulisan saya yang lalu. Telah saya katakan bahawa tindakan ini adalah satu tindakan yang dilakukan mereka untuk membalas dendam terhadap kematian keluarga, kemusnahan tempat tinggal, tanah air yang dijajah, kehilangan nafkah pencarian, dan kehampaan mereka kerana tidak mendapat pembelaan dunia terhadap nasib mereka. Tanpa terdapat sebarang niat untuk menjustifikasikan perbuatan mereka, maka masyarakat manusia yang bertamadun pada masa ini termasuk kerajaan PYT yang amat berkuasa itu, haruslah segera memahami perasaan dan isi hati rakyat yang tertindas, yang dirampas bumi dan rumah tangga mereka, dan segeralah bertindak dan berusaha untuk melayani mereka dengan adil dan saksama, bukan memerangi mereka dengan kekuatan senjata.

Kita semua mengetahui bahawa orang yang menemui jalan buntu, terutamanya orang yang kehilangan anggota keluarga yang mereka sayangi, atau rumah mereka yang menjadi tempat berlindung dan berteduh, juga negara mereka yang menjadi pertaruhan kehidupan mereka untuk generasi yang akan datang, maka mereka akan bertindak sesuka hati tanpa perhitungan. Mereka tidak akan menyayangi lagi nyawa mereka sendiri, apalagi nyawa orang lain yang mereka anggap sebagai musuh mereka. Tindakan mereka tentunya tidak akan diwarnai oleh sebarang unsur tamadun lagi.

Oleh itu saya rasa, pihak kerajaan PYT wajarlah bersikap telus dan adil. Pembunuhan yang berlaku di Iraq seperti yang saya sebutkan, haruslah disiasat secara teliti oleh badan bebas, agar peristiwa yang menyayat hati itu dapat diketahui kedudukannya yang sebenar oleh masyarakat dunia. Berita-berita menyebut dan menayangkan gambar orang awam, kanak-kanak dan wanita yang menjadi korban, mati dan cedera. Apakah mereka juga merupakan tentera penyokong Saddam seperti yang didakwakan itu ?

PYT, penutupnya, saya berharap bahawa PYT sendiri yang tentunya mempunyai perasaan dan emosi serta naluri kemanusiaan, akan dapat memahami sendiri perasaan dan isi hati manusia lain, walau di mana sekali pun mereka berada. Mereka adalah manusia seperti kita, mereka juga mempunyai perasaan, emosi dan naluri kemanusiaan yang biasa, mereka perlu berkeluarga, bernegara, mempunyai tempat kediaman yang damai, dan menginginkan kehidupan yang tenteram. Apakah dasar luar negara PYT benar-benar dapat menjamin kehadiran umat manusia seperti yang disebutkan itu?

Sampaikanlah hal ini kepada pucuk pimpinan kerajaan PYT di Washington. Biarlah rasa kemanusiaan dan pembinaan tamadun dunia yang lebih mantap dan adil dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh kuasa besar dunia, iaitu negara PYT. Kerajaan yang bertamadun tentulah tidak seharusnya mempunyai sikap dan dasar yang dianggap berat sebelah dan zalim.

1 comment:

mfrstudio said...

Duta AS jawab Pengerusi Majlis Fatwa

SAYA membaca dengan penuh minat terhadap surat terbuka Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia kepada saya di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 6 Disember 2003, saya percaya ia adalah wajar untuk membincangkannya secara terbuka, seperti mana yang kita lakukan sewaktu kali pertama bertemu sebaik sahaja saya tiba di Malaysia.

Penolakan Datuk terhadap keganasan sebagai satu langkah penyelesaian masalah di Timur Tengah adalah dialu-alukan. Keamanan tidak akan dicapai di antara Israel dan Palestin sekiranya keganasan terus berlaku pada kedua-dua belah pihak.

Malangnya, beberapa tindakan kerajaan Israel baru-baru ini telah mengancam proses damai, begitu juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti Hamas dan Jihad Islami yang telah diumumkan di Kaherah bahawa mereka akan terus menjadikan orang awam sebagai sasaran mereka termasuk wanita dan kanak-kanak bagi mencapai matlamat mereka.

Saya yakin Datuk akan bersetuju dengan saya bahawa langkah-langkah tersebut adalah bercanggah dengan hukum Islam serta pendirian antarabangsa yang lain.

Lebih cepat tindakan keganasan oleh kedua-dua pihak berakhir, maka lebih cepat kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk mencapai matlamat mereka bagi melihat keamanan di Timur Tengah apabila sebuah negara Palestin yang demokrasi dan selamat berjiran dengan negara Israel yang sama-sama demokrasi dan selamat.

Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha keras, bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan lain-lain lagi bagi memastikan matlamat tersebut berjaya melalui Pelan Proses Damai.

Dengan sepenuh hati, saya turut bersetuju dengan Datuk bahawa pengalaman Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama dalam aspek toleransi mempunyai pengajaran yang amat penting di Iraq.

Kami mengalu-alukan sebarang bentuk peranan yang diambil oleh Malaysia dalam membangunkan semula Iraq, sebuah negara yang telah menderita bukan sahaja hasil daripada konflik yang berlaku pada tahun lepas malahan hasil daripada taktik pemerintahan diktator, penindasan dan peperangan di bawah kuasa Saddam Hussein.

Saya berbangga dengan Mercy Malaysia yang telah memberi bantuan dengan jayanya di Iraq pada tahun lepas.

Pasukan Mercy Malaysia gigih berusaha membantu membangunkan hospital-hospital di Iraq walaupun sentiasa diancam serangan dari pihak yang mahu membunuh bukan sahaja pasukan Pakatan, malah juga anggota PBB dan pekerja kemanusiaan yang lain, dalam usaha mereka untuk mengembalikan Iraq kepada kezaliman.

Dalam pada situasi sukar di Iraq buat masa ini, kami sentiasa berharap agar penyerahan semula tangungjawab untuk meneraju negara ini kepada rakyat Iraq sendiri, pembentukan perlembagaan baru, dan kejayaan dalam perjalanan pilihan raya bebas akan memastikan masa depan Iraq di tangan rakyat mereka sendiri, sekali gus memimpin rakyatnya ke arah kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.

Ya, kami masih berhadapan dengan pelbagai cabaran di Timur Tengah, Afghanistan dan serata tempat. Seperti yang Datuk nyatakan, bulan Ramadan yang lepas bukan merupakan satu bulan yang aman seperti mana yang diharapkan.

Lebih daripada 230 orang terkorban diseluruh dunia manakala beratus yang lain cedera dalam kegiatan pengganas terbaru bulan lalu, termasuk umat Islam yang menjadi mangsa dalam kejadian letupan bom Al-Qaeda di Arab Saudi dan Turki.

Beberapa bulan lepas, pengganas di Iraq telah membunuh ramai umat Islam sewaktu mereka sedang beribadat di masjid-masjid, seperti mana yang telah mereka lakukan dengan membunuh ramai diplomat dan negara-negara luar, pekerja bantuan serta rakyat Iraq sendiri.

Kami berdukacita terhadap mangsa-mangsa tersebut, kami turut berdukacita terhadap mana-mana orang awam yang terbunuh hasil daripada tindakan AS menentang kumpulan pengganas serta musuh di perbatasan.

Perlu dinyatakan di sini perbezaan ketara ialah kerajaan AS tidak pernah dengan sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran, dan pihak tentera AS berusaha dengan kuasa yang mereka miliki untuk menghalang daripada berlakunya sebarang keburukan ke atas orang awam.

Bertentangan dengan Al-Qaeda, mereka dengan bangga mengakui peranan mereka dalam serangan-serangan yang membunuh wanita, kanak-kanak serta mereka yang berhampiran - walaupun sesama umat Islam.

Tentunya sekarang bahawa semasa pemerintahan Saddam, lebih daripada 300,000 umat Islam warga Iraq telah dibunuh oleh rejim beliau, tidak termasuk beratus ribu yang lain terbunuh sewaktu peperangan beliau sesama umat Islam di Kuwait dan Iran.

Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mereka hidup secara demokrasi dalam keadaan aman makmur, berbilang bangsa dan etnik kaum.

Dengan adanya bantuan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, serta masyarakat dunia yang mempunyai pemikiran sehaluan, kami akan terus berusaha untuk mewujudkan rejim yang sama-sama aman makmur dan saling bertoleransi di Afghanistan, Iraq dan Palestin yang telah lama menderita. Ñ MARRIE T. HUHTALA, Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Kuala Lumpur.