Wednesday, October 10, 2007

Fikirkan maruah Melayu

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


SEPERTI yang telah saya sebutkan di dalam ruangan ini minggu lepas, kita di negara ini amat sering sekali membaca berita sensasi di dalam media kita setiap hari. Maka pada minggu yang lalu, kita membaca kisah pertembungan di antara pemimpin Pas, Datuk Nik Abdul Aziz dengan Pemuda UMNO mengenai satu kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz bahawa Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum yang lalu adalah kerana wang.

Sebagai satu pergerakan muda di dalam UMNO, saya rasa pihak Pemuda UMNO memanglah berhak mempertikaikan kenyataan tersebut, dan seterusnya membawa perkara itu ke muka pengadilan, sekiranya pihak yang menuduh tidak menarik kembali kenyataannya.

Pihak Datuk Nik Aziz pula dalam menyatakan reaksinya kepada ugutan Pemuda UMNO itu menjelaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan kenyataannya itu dengan menyatakan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu kerana menurut beliau, dia mempunyai buktinya.

Jadi, setakat itu kedua-dua belah pihak nampaknya kelihatan cukup bersedia untuk mempersiapkan diri bagi memasuki arena dan mempertahankan kekuatan otot masing-masing dengan harapan bahawa orang ramai akan menyaksikannya dan memberikan sorakan kepada mereka.

Kita yang membaca dan mendengar pertikaian ini, akan ternanti-nantilah apakah perkembangan yang akan berlaku seterusnya, kerana kedua-dua belah pihak telah menyatakan pendiriannya, dan kedua-dua belah pihak itu pula tentulah tidak akan berganjak dari pendirian masing-masing.

Cuma di sebalik keghairahan tersebut, yang seharusnya difikirkan sekarang ini dalam konteks maruah dan kekuatan orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita ini, apakah untungnya pertikaian tersebut kepada rakyat umum negara ini. Selain daripada keuntungan politik yang mungkin diraih oleh kedua-dua parti politik tersebut dengan pertikaian itu, atau pihak individu tertentu yang menimbulkan isu tersebut, apakah faedahnya yang akan diperoleh oleh majoriti umat Melayu di negara kita, terutamanya bagi golongan yang tidak berminat dengan pukulan ombak politik kepartian yang agak melulu dan melampaui batas seperti itu?

Saya rasa pihak Pas dan UMNO amat sedar bahawa bukan semua orang Melayu di negara ini berminat dalam segala pertikaian secara melulu yang disebabkan oleh politik kepartian, dan tidak semua pula mereka yang rasa senang dengan segala krisis dan pertikaian yang sentiasa dicetuskan oleh kedua-dua belah pihak, terutamanya yang melibatkan isu dan kenyataan politik oleh para pemimpin kedua-dua parti Melayu yang tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada kedudukan bangsa dan negara sendiri.

Oleh itu pada pandangan saya para pemimpin parti tersebut tidaklah seharusnya sentiasa berbicara atas nama parti politik masing-masing, dan membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan parti lawan, kerana ramai orang yang mengetahui bahawa pada umumnya para pemimpin parti politik akan bercakap tentang kebaikan parti masing-masing dan memburuk-burukkan parti lawan semata-mata.

Banyak isu bersama untuk kebaikan orang Melayu dan umat Islam serta kepentingan negara yang seharusnya disepakati oleh kedua-dua belah pihak. Tetapi keadaan ini amat jarang timbul dengan menyerlah di dalam masyarakat kita, sedangkan masyarakat kita amat ternanti-nanti untuk melihat kesepakatan itu yang melampaui batas-batas sempadan politik kepartian. Yang banyak dihebohkan di dalam masyarakat kita ialah pertelingkahan dan pertentangan di antara kedua-dua parti itu, yang segala-galanya sering dipolitikkan.

Perdamaian

Sebagai rakyat dan pemimpin sebuah negara yang telah agak lama merdeka, malah bagi pemimpin negara yang menyedari bahawa majoriti rakyat negara kita adalah rata-ratanya terdiri daripada mereka yang terpelajar dan telah banyak terdedah kepada perkembangan dunia politik rantau dan dunia ini umumnya, maka rakyat umum sebenarnya dapat menilai sendiri segala kenyataan politik yang dikeluarkan oleh para pemimpin parti politik tersebut. Malah dengan satu dua kenyataan politik oleh ketua-ketua parti, yang telah dikenali identitinya oleh rakyat umum itu, sebenarnya tidak mampu menarik perhatian orang ramai, apa lagi mempengaruhi mereka sehingga dengan itu parti politik tertentu akan rasa terancam dengan kenyataan tersebut.

Kalangan orang ramai mungkin akan rasa tidak selesa sekiranya semua pertikaian seperti ini akhirnya akan diheret ke mahkamah, kerana kes yang dibawa ke mahkamah biasanya terdiri daripada pertikaian yang tidak dapat diselesaikan sesama sendiri, atau benar-benar melibatkan hal yang kompleks, yang hanya dapat diputuskan oleh mahkamah. Ajaran Islam membuka ruang perdamaian yang agak luas di antara orang yang berkelahi, berebut tanah, berbeza pandangan dan sebagainya yang melibatkan sanak saudara, jiran tetangga, malah saudara seagama dan senegara, atau sesama umat manusia. Maka dalam hal ini sebagai masyarakat yang beragama dan memahami ajaran Allah, keputusan secara perdamaian antara kedua-dua belah pihak adalah merupakan keputusan yang bijak dan amat direstui Allah.

Dalam kes kenyataan Nik Aziz tersebut umpamanya, kes kemenangan Barisan Nasional yang dikaitkan kerana BN menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya yang lalu, adalah merupakan kenyataan politik yang amat simplistik. Kalangan pemerhati politik dan para sarjana kita tentulah mempunyai kesimpulan lain yang lebih konkrit untuk dikemukakan sebagai fakta yang lebih berbentuk kajian dan ilmiah kenapa BN memenangi pilihan raya yang lalu. Malah kadang-kadang analisis orang-orang yang sedang minum kopi di warung-warung di tepi jalan pun secara sedar atau tidak sedar dapat memberi kenyataan yang agak rasional dalam hal ini.

Malah kita juga mempunyai institusi sendiri yang dapat melihat isu ini dari perspektif peraturan dan undang-undang, seperti yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya, bahawa isu seperti penggunaan wang di dalam pilihan raya dapatlah dilaporkan melalui saluran yang betul kepada pihak yang berkuasa di dalam jangka masa yang tertentu selepas pilihan raya itu diadakan.

Oleh itu kenyataan dan tindakan balas yang seharusnya diberikan sebagai reaksi terhadap cakap-cakap politik tersebut juga haruslah dikeluarkan secara rasional dan matang, tanpa berbentuk emosional, kerana seperti yang saya jelaskan di atas, bahawa kenyataan politik, terutamanya yang merupakan pandangan peribadi, sering dinilai oleh orang awam, dan orang awam sendiri dapat mengambil keputusannya sama ada kenyataan itu berbentuk melulu dan emosional, atau sebaliknya. Bahkan Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa kenyataan orang-orang yang tidak tahu (tentang sesuatu perkara itu) tidaklah seharusnya diendahkan, bahkan berilah ucap selamat kepada mereka yang mengeluarkan percakapan tersebut.

Agenda pendidikan

Saya menyebut hal ini, kerana telah memerhati di dalam masyarakat kita orang Melayu, bahawa pertikaian para pemimpin politik Melayu dalam isu-isu yang tidak relevan dengan isu-isu arus perdana Melayu dan Islam, amat memuakkan, memalukan dan sering membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat umum, serta lebih dari itu, menjadi wadah perosak minda mereka, sehingga menimbulkan rasa taksub dan fanatik melulu di kalangan generasi muda dan tua, bahawa politik partisan itu adalah segala-galanya dalam kehidupan mereka, seolah-olah mati hidup mereka adalah kerana parti, ke syurga atau ke neraka adalah kerana parti, kehidupan sosial mereka, termasuk bertegur sapa dan menghormati sanak saudara sendiri, menghadiri majlis kematian atau perkahwinan, adalah kerana parti. Pendeknya parti telah menjadi darah daging yang mengalir di dalam jasad mereka, dan lebih berbahaya lagi, parti politik telah dianggap sebagai agama yang menentukan akidah dan keimanan mereka.

Saya rasa segala krisis yang melanda masyarakat Islam pada masa kini, sama ada di dalam negara, apatah lagi di dunia umumnya, telah amat cukup memberikan rasa gelisah dan buntu kita dalam menghadapi kehidupan masa kini. Kita sebagai umat Islam, telah jenuh mengalami segala macam krisis sesama sendiri, telah diperangkap oleh kuasa penjajahan baru, telah terjebak di dalam kefahaman yang amat sempit tentang agama kita sendiri, telah ditolak ke satu sudut yang amat sempit untuk dipukul-pukul dengan teruknya, dan di sudut itu pula kita bertumbuk sesama sendiri kerana hal yang remeh, maka dunia ini telah menjadi amat sempit untuk kita bangun dan bernafas semula. Apakah dalam keadaan ini kita seharusnya bangun bercakaran sesama kita, tuduh-menuduh, singgung-menyinggung dalam perjuangan yang sepatutnya kita semua bertanggungjawab iaitu memajukan bangsa kita dalam semua arena kebangkitannya?

Yang kita perlukan sekarang bukanlah umat Melayu yang hanya rasa tercabar apabila isu politik domestik dibangkitkan sesama sendiri. Tetapi yang diperlukan ialah umat Melayu dan umat Islam yang rasa tercabar apabila maruahnya dipijak-pijak orang, ekonomi dan ilmunya dijajah, dan mindanya diperkecil-kecilkan. Maka ketika itu, mereka akan berusaha mengatasi cabaran itu dengan ilmu pengetahuan, ketabahan, kerja keras dan bersikap terbuka dalam menghadapi perkembangan dunia global, di samping mempertahankan nilai-nilai dan moral kerohanian agamanya.

Kerana itulah maka hal ini amat perlu diberikan perhatian oleh semua orang, terutamanya ketua-ketua parti politik Melayu yang sememangnya beragama Islam dan komited kepada ajaran serta nilai akhlak Islam itu sendiri. Kalau di dalam dunia Islam lainnya, seperti yang telah saya sebutkan di atas, orang Islam sanggup berbunuh-bunuhan kerana pertikaian sama sendiri, politik atau lainnya, maka apakah kita di negara ini setiap hari seharusnya berperang mulut dan lidah kerana ideologi politik kepartian yang tidak berkesudahan? Apakah pada satu ketika, kita juga akan menumpah darah kerana pertikaian politik kepartian, sekiranya masyarakat anak cucu kita tidak kita didik memahami dan menghayati erti politik yang matang?

Bagaimanapun syukurlah, apabila Ketua Pemuda UMNO mengeluarkan keputusannya bahawa kenyataan politik Nik Aziz itu akan ditentang dengan gerakan politik juga. Saya rasa bahawa Pemuda UMNO dengan ini lebih memberatkan agenda pendidikan untuk mendidik masyarakat daripada mengambil tindakan lain yang hanya merugikan masa dan tenaga. Saya juga berharap bahawa dalam menjalankan agenda ini, adab sopan santun dan nilai suci agama dan bangsa haruslah sentiasa dihormati dengan sebaik-baiknya.

Dalam situasi bangsa dan negara serta agama yang bergolak sekarang, kita juga haruslah berhati-hati dalam tindakan kita. Perjuangkanlah kebenaran umat dan agama dengan ikhlas serta jujur, dan jangan sekali-kali menjadi bangsa yang menang sorak, tetapi kampungnya tergadai.

No comments: