Wednesday, October 10, 2007

Bukan terjemahan perjuangan berdasarkan emosi melulu -- Jihad perlu kepada strategi

KETIKA berlaku keganasan di negara jiran kita, maka kita juga turut berasa gawat dan bimbang, terutama apabila diberitakan bahawa rakyat kita juga terlibat dalam kejadian ganas dan membunuh orang yang tidak berdosa. Sungguhpun kita memahami bahawa kes ini berlaku adalah kerana membalas dendam dan marah di atas perlakuan pihak ``musuh'' dan ``penjajah baru'' yang ingin menguasai pemikiran dan fizikal umat yang lemah, termasuk umat Islam sendiri, tetapi membalas dendam dan menunjukkan rasa marah dan hampa dengan perbuatan seperti ini merupakan satu tindakan yang seharusnya dielakkan oleh umat Islam.

Musuh Islam amat mengharapkan supaya umat Islam akan sentiasa bertindak ganas, tidak rasional, tidak berdasarkan akal fikiran, jauh daripada berkelakuan secara bertamadun, terpisah daripada ilmu pengetahuan dan teknologi semasa dan dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang terasing daripada masyarakat dunia, atau akan disisihkan daripada pembangunan moden manusia sejagat, terkeluar daripada arus perdana pembangunan politik, ekonomi, ilmu pengetahuan dan sebagainya yang sedang dibina oleh masyarakat bukan Islam.

Malah lebih daripada itu masyarakat Islam juga diharap akan selama-lamanya berada dalam kemunduran supaya mereka akan terus-menerus bergantung kepada umat lain yang lebih maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, lebih kuat pembangunan ekonominya dan lebih disegani oleh dunia. Maka umat yang maju dan disegani itu adalah umat Amerika dan Eropah, lalu umat Islam pun diharapkan akan menjadi umat yang bergantung kepada dunia maju ini.

Di antara kelainan reaksi yang harus kita tunjukkan kepada dunia dalam menghadapi permusuhan terhadap Islam dan negara Islam itu ialah dengan mengelakkan diri daripada tindakan ganas dan merusuh di jalan-jalan raya, menggunakan bom dan senjata untuk merosakkan tempat awam, membunuh diri dengan tujuan membunuh orang lain, malah merancang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dan sebagainya

Satu contoh yang biasa sahaja dapat kita jadikan iktibar dalam konteks ini, iaitu kecenderungan para penunjuk perasaan untuk mengadakan rusuhan di jalan raya dan di bandar. Para perusuh dan penunjuk perasaan begini biasanya akan menghadapi pertempuran dengan polis, tercedera dan tidak kurang pula nyawa yang melayang akibat tembakan sama ada oleh perusuh atau polis dan anggota keselamatan, atau oleh para perusuh sendiri yang sering membawa senjata.

Yang menyedihkan dalam hal ini, manusia yang menjadi korban itu adalah mangsa sesama sendiri, iaitu mangsa yang tercedera atau terkorban ialah daripada kalangan sesama warganegara sendiri, tanpa menjejaskan sedikit pun pihak musuh dan lawan, kerana rusuhan dan kekacauan ini biasanya berlaku di dalam negara sendiri.

Apakah faedahnya bertempur sesama sendiri sehingga boleh memakan korban nyawa, harta benda dan sebagainya?

Oleh itu dalam mengemukakan bantahan dan protes kita terhadap permusuhan yang dilakukan ke atas umat Islam atau negara Islam yang lain, maka ia hendaklah dilakukan melalui jalan-jalan lain yang lebih berkesan, tersusun, mengikut undang-undang dan peraturan, serta dapat disampaikan kepada golongan sasaran kita secara lebih bertamadun.

Satu reaksi berbeza yang amat ketara ditunjukkan oleh masyarakat Islam terhadap peristiwa serangan ke atas negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Iraq ialah seruan jihad yang dilaung-laungkan di seluruh dunia Islam.

Memang tidak sesiapa pun dapat menafikan kewajipan berjihad ke atas seluruh umat Islam dalam menghadapi permusuhan ke atas saudara sesama Islam di mana saja mereka berada.

Tetapi dalam hal ini apakah umat Islam mempunyai persiapan yang cukup untuk menghadapi musuh kita dengan kekuatan senjata? Apakah kita mempunyai teknologi yang cukup untuk bersaing dengan kuasa besar dalam persenjataan, pengangkutan peperangan, perhubungan yang canggih dan kemampuan yang sama dengan musuh kita dalam semua aspek persiapan perang?

Persiapan rapi

Kita boleh mengangkat senjata melawan musuh dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan oleh agama. Tetapi sekiranya seorang muda yang sedang panas darahnya bermotosikal menuju Afghanistan untuk sama-sama berjihad mengangkat senjata menentang askar Amerika seperti pernah berlaku dalam tahun 2001 yang lalu ketika AS menyerang Afghanistan, sedangkan dia sendiri tidak pernah memegang senjata seumur hidup, apakah terdapat hikmah dalam tindakannya untuk berjihad ini?

Kita mengetahui daripada ajaran al-Quran bahawa dalam menghadapi musuh kita mestilah membuat persiapan yang rapi, menjadi umat yang kuat dan digeruni oleh musuh kita dan musuh Allah. Kita dibenarkan berperang dalam keadaan yang tertentu iaitu untuk mempertahankan akidah dan negara kita, namun dalam kebenaran berperang itu pun Allah mengingatkan kita supaya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada, maka sebab itulah Allah menerangkan tentang cara bersembahyang ketika dalam peperangan.

Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hendak menunaikan sembahyang bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (sembahyang) bersertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang bersembahyang denganmu) sujud, maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata - surah al-Nisa' 102.

Orang Islam diingatkan walaupun terkorban dalam perang jihad merupakan satu kematian yang amat mulia, tetapi mereka haruslah sentiasa menjaga jiwa mereka agar tidak terkorban. Ayat di atas menjelaskan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh para pejuang Islam ketika bersembahyang dalam masa perang agar musuh tidak mengambil kesempatan ketika umat Islam sedang menunaikan ibadat sembahyang itu. Jika dilihat kepada peringatan al-Quran ini maka saya fikir amat tidak wajar bagi pemuda yang tidak pernah menerima latihan perang, apalagi tanpa senjata, untuk pergi berjuang atas nama jihad.

Bagaimanapun di negara kita nampaknya rata-rata umat Islam telah memahami makna jihad dan peranan kita dalam membantu saudara-saudara kita di Afghanistan, Bosnia, Iraq dan negara-negara Islam lain yang ditindas dan dizalimi oleh pihak musuh. Kita tidak pergi berjihad ke negara-negara tersebut dengan membawa senjata atau kelengkapan perang.

Jihad kita ialah jihad yang lebih luas maknanya, iaitu dengan memberi bantuan perubatan, kewangan, pakaian dan sebagainya kepada mereka yang dizalimi, dan yang menjadi mangsa kekejaman pihak penyerang dan penjajah atau tali barut kuasa zionisme dunia yang sentiasa menaruh sifat dan sikap permusuhan terhadap umat Islam.

Jihad kita ialah membantu mereka mengatasi kesakitan dan penderitaan fizikal dan kejiwaan yang sedang mereka alami. Bagi kita yang tidak dapat pergi membantu mereka di sana, maka jihad kita ialah menghulurkan bantuan melalui organisasi yang menguruskannya. Inilah jihad yang besar bagi kita terhadap penderitaan saudara seagama

Malah sekiranya jihad ini dapat kita anggap sebagai jihad jangka pendek dan langkah sementara yang perlu kita ambil sekarang, maka jihad kita yang lebih besar ialah mempersiapkan umat kita dengan kepelbagaian ilmu pengetahuan. Kita memerlukan umat yang kuat dalam segala bidang ilmu dan segala cabang sains dan teknologi. Kita perlukan umat yang kuat dan perkasa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik antarabangsa.

Kekuatan sains dan teknologi, ekonomi dan pertahanan merupakan satu senjata yang amat penting bagi mana-mana umat. Maka umat Islam yang ketinggalan dalam bidang ini seharusnya berusaha memperkuatkan diri mereka terlebih dahulu dalam mengatasi kejahilan, kemiskinan dan berusaha mengangkat maruah serta imej umat ini supaya disegani dan dihormati oleh dunia lain.

Dalam hal inilah saya melihat bahawa umat Islam di negara kita sedang berusaha untuk mempertingkatkan kemajuan dan prestasi umat ini dalam jumlah umat Islam yang kecil di negara kita. Usaha besar yang dilakukan dalam pendidikan merupakan satu usaha penting untuk mengangkat martabat umat kita seperti dituntut oleh agama kita. Pendidikan merupakan satu tanaman modal yang besar untuk menebus maruah dan kehormatan diri umat Islam yang telah tercemar dengan hebatnya selama ini.

Kita harus akui akan peranan negara kita yang amat hebat memperjuangkan kebebasan umat Islam daripada cengkaman imperialis Barat dan gerakan zionisme antarabangsa yang amat terancang dan teratur untuk memusnahkan umat kita. Perjuangan untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan musuh terhadap umat Islam walau di mana sahaja mereka berada merupakan satu jihad yang amat besar dan bermakna. Jihad ini akan mengambil masa yang lama dan akan menghadapi berbagai-bagai cabaran yang sukar, tetapi semua ini haruslah dilakukan oleh umat Islam dan negara-negara Islam seluruhnya dengan bersungguh-sungguh.

Jihad bukanlah merupakan slogan kosong dan simbolik sahaja, apalagi jihad bukanlah satu terjemahan perjuangan yang hanya berdasarkan emosi melulu. Jihad mestilah dirancang dan dilaksanakan dengan penuh strategi dan ilmu pengetahuan.

No comments: