Wednesday, October 10, 2007

Gila perang dan fonografi di UK

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
DALAM perjalanan pulang dari London pada 30 Oktober yang lalu, saya membaca akhbar Malaysia di atas pesawat MAS setelah agak lama tidak membaca akhbar tempatan secara terperinci. Semasa di London kira-kira 10 hari, terlalu banyak berita yang dapat saya baca di dalam akhbar-akhbar di sana, di samping menonton berita TV yang amat sarat dengan segala peristiwa tempatan dan antarabangsa.

Ketika membaca akhbar tempatan di atas pesawat MAS, saya terjumpa beberapa berita yang agak lucu dan menggelikan hati, tetapi sekali gus amat mengecewakan dengan berita tanah air yang disiarkan pada hari itu setelah agak lama terbiasa dengan berita-berita yang disiarkan oleh akhbar Inggeris.

Di bawah satu tajuk berita yang agak besar yang mencuit hati saya ialah berita perbicaraan yang sedang berjalan di tanah air kita tentang seorang penyokong parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil di Kedah tidak lama dulu yang dituduh menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita parti lawan.

Wanita berkenaan ditanya berapa kalikah tertuduh menyelak kainnya sehingga terlihat kemaluannya pada hari itu. Wanita berkenaan menjawab dua kali. Ertinya dua kalilah si wanita malang ini ternampak perkara yang tidak seharusnya dilihat dalam keadaan biasa mengikut penerangannya kepada mahkamah seperti yang diberitakan itu.

Saya berasa geli hati bercampur sedih, kerana berita ini terlalu jauh bezanya dengan berita penting yang seharusnya menjadi siaran media utama di sebuah negara yang dihuni manusia bertamadun pada hari ini.

Bagaimanapun pihak media tentulah dapat mempertahankan dirinya, kerana media hanya memainkan peranannya iaitu menyiarkan segala berita yang seharusnya diketahui umum, termasuk berita yang sedang dibicarakan oleh mahkamah.

Oleh kerana negara kita juga mengamalkan dasar telus dalam perbicaraan di mahkamah, maka sebarang berita mahkamah tentulah akan disiarkan, terutamanya berita sensasi seperti ini, iaitu berita menunjukkan kemaluan kepada orang lain. Tentu ramai pula orang yang ingin tahu tentang perkara yang amat jarang berlaku dalam masyarakat pada masa kini.

Maka terbacalah saya berita tersebut, iaitu berita yang disiarkan di dalam akhbar Inggeris terbitan negara kita. Saya percaya ramai juga pelancong asing yang berada dalam pesawat yang sama akan terbaca berita itu, dan tidak tahulah saya bagaimanakah perasaan mereka ketika membaca berita tersebut yang berlaku di negara Asia, khususnya di negara kita, yang sering diiklankan di luar negara sebagai sebuah negara indah dan cantik, penduduknya yang mesra, bersopan santun serta menghormati orang lain, termasuk para pengunjung dari luar negara. Malah lebih penting dari itu, negara kini dihuni oleh majoriti orang Islam.

Bagaimanapun saya merasakan bahawa berita tersebut merupakan satu bacaan ringan yang menghiburkan, setelah sehari sebelum itu saya membaca dan melihat di dalam TV Inggeris tentang satu tunjuk perasaan secara besar-besaran di London untuk membantah serangan yang dirancangkan oleh pemerintah Inggeris yang diketuai oleh Perdana Menteri Tony Blair ke atas Iraq.

Kira-kira setengah juta manusia membanjiri kota London untuk menyatakan bantahan mereka terhadap serangan yang dirancangkan ke atas Iraq. Mungkin kira-kira 100,000 atau 200,000 daripada penunjuk perasaan itu terdiri daripada masyarakat Islam, sedangkan yang bakinya adalah terdiri daripada rakyat British sendiri yang amat prihatin dengan hak rakyat Iraq, dan yang mempunyai perasaan perikemanusiaan terhadap rakyat biasa Iraq yang terdiri daripada wanita dan orang tua, serta kanak-kanak yang tidak bersalah.

Tetapi semua orang tahu bahawa tunjuk perasaan itu tidak akan menjejaskan niat dan tujuan kerajaan British dalam merangka serangan itu.

Mengikut tinjauan yang dijalankan oleh satu saluran TV, ternyata bahawa peratusan penonton yang menyatakan bahawa tunjuk perasaan itu tidak akan mengubah dasar British terhadap pendiriannya kepada Iraq lebih tinggi daripada suara yang menyatakan bahawa tunjuk perasaan itu akan dapat mengubah sikap kerajaan Inggeris itu.

Kerajaan British yang bersekongkol dengan Presiden George W. Bush di Amerika Syarikat dalam rancangan menyerang Iraq ini sebenarnya sedang mengabaikan pandangan umum rakyat di kedua-dua buah negara tersebut dan pandangan umum kerajaan dunia yang lain.

Kabinet dan Parlimen British sendiri menentang dengan suara terbanyak dasar kekerasan yang dicadangkan akan dilakukan oleh Perdana Menterinya itu.

Malah seorang penulis terkemuka India, Arundhati Roy, menulis di dalam akhbar Guardian pada hari Jumaat 27 September, bahawa motif peperangan yang dicadangkan itu adalah merupakan salah satu tuntutan dasar kapitalisme global, oleh itu peperangan ini yang merupakan satu peperangan minyak petrol adalah menggambarkan satu manipulasi penderitaan rakyat Iraq untuk tujuan ekonomi dari kuasa yang tamak dan gelojoh serta tidak berperikemanusiaan terhadap sesama manusia.

Maka serangan secara kekerasan yang hendak dilakukan itu adalah merupakan satu pencabulan dan kekejaman antara manusia yang tidak ada tolok bandingnya pada zaman moden ini.

Segala analisis tentang peperangan dan isu-isu yang dijadikan alasan oleh pihak golongan penjajah dan kapitalisme dunia ini memenuhi dada akhbar secara bebas di London, dan pandangan yang dikemukakan amat universal.

Tetapi hari itu, dalam penerbangan pulang ke negara sendiri, di atas pesawat MAS, saya membaca beberapa berita ``peperangan'' juga, tetapi peperangan dalaman yang amat remeh.

Selain daripada ``serangan'' menunjuk kemaluan itu, maka serangan peribadi terhadap beberapa orang lain yang dianggap ``musuh politik'' juga telah berlaku, iaitu seperti serangan terhadap seorang lain yang dikatakan tidak pandai baca al-Quran, yang kemudian menjadi tidak pandai berbahasa Arab, sehingga menimbulkan berita besar pula di dalam media tentang bermaaf-maafan, dan beberapa cerita lain seperti ini yang tidak kurang menariknya bagi para pembaca yang ingin membaca berita untuk tujuan hiburan, atau untuk meninjau bagaimanakah caranya orang kita berfikir dan bertindak dalam zaman yang penuh dengan kemajuan ini!

Pendeknya kegilaan yang berlaku di dalam masyarakat kita sekarang ini menunjukkan satu gambaran dan perkembangan minda yang merosot ke belakang, dan mulai kembali ke zaman nenek moyang kita semasa berlakon dalam bangsawan dan cerita-cerita legenda karut-marut, hantu jembalang dan menikam dari belakang, atau fitnah memfitnah untuk tujuan peribadi sendiri.

Fenomena ini mungkin dapat kita namakan fenomena kegilaan perang dan fonografi. Di negara Inggeris fenomena inilah yang sedang melanda masyarakat mereka. Bahan dan pandangan fonografi memenuhi media cetak dan elektronik mereka secara besar-besaran. Bahan-bahan seks dan lucah membanjiri masyarakat mereka secara berleluasa. Semuanya berlaku secara terbuka.

Mungkin kalau ditanya anak-anak kita yang berumur belasan tahun yang sedang belajar di sana, maka mereka sebenarnya adalah amat biasa dengan budaya seks dan fonografi yang dapat dilihat di mana-mana sahaja di negara maju ini.

Seorang penulis yang bernama Alexander Walker menulis di dalam akhbar Guardian keluaran yang sama, iaitu pada hari Jumaat 27 September, bahawa gejala fonografi sedang membanjiri masyarakat Barat dengan cara yang amat terancang dan berstruktur.

Fonografi pada pandangan Barat sekarang ini diibaratkan sebagai satu keindahan, sebagai satu seni, sebab itulah di dalam filem, rencana, dokumentari dan sebagainya, gambaran di atas ranjang tidur dan pandangan perhubungan sepasang manusia lelaki perempuan, telah digambarkan secara terperinci.

Penulis ini menyatakan kebimbangannya akan kesan ini terhadap jiwa dan tingkah laku generasi yang akan datang. Tetapi beliau menyatakan kebimbangannya juga bahawa hal ini tidak dapat diatasi kerana kebebasan menggambarkan pandangan fonografi dan kebebasan seks adalah dilindungi oleh Piagam Eropah tentang Hak Asasi Manusia yang telah diguna pakai oleh kerajaan British baru-baru ini, iaitu yang menjamin kebebasan menyatakan fikiran dan pendapat.

Peruntukan di dalam piagam inilah yang sering dijadikan alasan untuk membenarkan gambaran dan amalan seks bebas ini dilakukan secara terbuka.

Dan kebetulan pula sehari selepas itu, seorang bekas menteri wanita dalam pemerintahan Parti Konservatif, telah membuka pula cerita tentang hubungan sulitnya selama empat tahun dengan bekas Perdana Menteri ketika itu, iaitu John Major. Maka hebohlah cerita ini dibicarakan tidak putus-putus oleh orang awam dan media secara yang amat terbuka juga.

Mengamati senario kegilaan yang berlaku di negara Inggeris tentang kegilaan perang dan seks ini, maka saya masih dapat melihat bahawa kegilaan ini di negara kita masih dalam bentuk kecil-kecilan, dan dalam skop yang berbeza.

Bagaimanapun kegilaan ini dalam kedua-dua bentuknya mempunyai bahaya dan akibat yang serius ke atas masyarakat setempat.

Kita tentulah tidak mahu masyarakat kita dipenuhi peperangan remeh ini menjadi bahan bacaan anak-anak kita, atau sehingga dapat dianggap mereka bahawa gejala ini adalah satu gejala biasa, yang boleh berlaku dan dilakukan oleh sesiapa sahaja. Kalau orang tua boleh menyelak kain menunjukkan kemaluan, mengapa anak muda dan golongan belia tidak seharusnya berkelakuan demikian juga? Kalau orang tua boleh bercakap berbagai-bagai perkara yang tidak sopan, maka mengapa pula anak muda tidak boleh melakukan demikian?

Akhirnya masyarakat kita akan menjadi rosak binasa, dan kita akan kembali ke zaman jahiliah semula. Kita mohon kepada Allah subhanahu wa taala melindungi kita daripada bahaya ini.6/10/2002

No comments: