Wednesday, October 10, 2007

Isu penggunaan pembesar suara membabitkan psikologi orang awam - Jangan remehkan simbol agama

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
TULISAN saya minggu lalu dalam ruangan ini mendapat maklum balas yang agak menggalakkan. Isu yang saya kemukakan ialah pemasangan kaset bacaan ayat-ayat suci al-Quran melalui corong pembesar suara masjid dan surau yang amat nyaring dan memakan masa yang agak lama sebelum tibanya waktu sembahyang fardu.

Banyak juga masjid atau surau yang memasang bacaan ayat suci tersebut sebelum setiap sembahyang lima waktu, dan apabila masuk waktu sembahyang, barulah tukang azan akan menyuarakan azan. Tetapi terdapat juga masjid atau surau yang hanya memasangnya sebelum waktu subuh dan maghrib sahaja. Namun kebiasaannya, pembesar suara yang digunakan amatlah nyaring.

Antara mesej yang saya terima, banyak juga yang tidak begitu setuju dengan amalan yang dilakukan. Alasannya bukan kerana tidak setuju dengan bacaan ayat suci itu, atau kerana takut terhadap sungutan masyarakat bukan Islam, tetapi kerana suara bacaan yang tidak lagi dapat dinikmati kemerduannya, atau tidak menentu pula biji butiran bacaan tersebut. Tambahan pula masyarakat Islam tidak dapat mengikuti bacaan itu dengan khusyuk dan mentafsirkan maknanya bagi mereka yang memahami bahasa al-Quran, kerana masanya tidak sesuai, dan pada umumnya anggota masyarakat sibuk dengan aktiviti masing-masing pada waktu tersebut.

Bagaimanapun mereka takut untuk menyuarakan bantahan ini, kerana bimbang dituduh sebagai golongan anti al-Quran atau antiagama. Oleh itu perasaan itu mereka pendamkan sahaja.

Bagaimanapun, daripada mesej yang saya terima, keseluruhan pandangan menyatakan persetujuan bahawa laungan azan tidaklah seharusnya menjadi isu, walau senyaring mana sekalipun dilaungkan ke seluruh kampung dan kawasan perumahan di sekeliling surau atau masjid itu. Ini kerana suara azan tidak mengganggu sesiapa pun disebabkan ia hanya mengambil masa beberapa minit, dan amat diperlukan oleh orang Islam bagi mengingatkan waktu sembahyang yang telah tiba.

Seorang anak Malaysia yang berada di luar negara menyatakan bahawa kenalannya yang beragama Islam sering menyatakan kekaguman mereka apabila berkunjung ke Malaysia dan dapat mendengar suara azan dari setiap surau dan masjid. Di negara mereka tidak terdapat kebebasan ini, dan dengan itu mereka tidak dapat merasai nikmat suara azan seperti di negara kita.

Oleh itu penulis ini meluahkan perasaannya dengan menyatakan bahawa, ``Kita sering mudah sangat berasa jemu dan tidak tahu menghargai apa yang dimiliki. Azan itu adalah salah satu yang kita miliki, mengingatkan kita pada satu tanggungjawab yang amat besar dalam menjalani kehidupan di dunia dan bekalan di akhirat kelak.''

Dengan itu nampaknya, daripada semua pandangan yang saya terima tentang azan yang dipancarkan melalui pembesar suara surau dan masjid, maka saya mendapat kesimpulan bahawa hal ini tidak menimbulkan sebarang masalah seperti yang dibangkitkan di Mesir, khususnya di kota Kaherah. Laungan azan dari surau dan masjid di negara kita haruslah dipertahankan, dan disuarakan seperti biasa.

Tentang pancaran bacaan ayat suci daripada pembesar suara masjid atau surau yang biasanya dilakukan dengan nyaring dan agak lama masanya, maka sebelum membuat sebarang kesimpulan, ingin saya kemukakan beberapa pandangan daripada pembaca seperti berikut:

1. Seorang pembaca dari Johor Bahru telah mengemukakan sebuah petikan daripada kitab Sabilul-Muhtadin karangan Syeikh Muhammad Al-Banjari (halaman 247, juzuk ke-2 baris 5) yang berbunyi, ``Dan haram atas tiap-tiap seorang membaca dengan nyaring di luar sembahyang atau di dalam sembahyang jika sangat memberi tashwish ia akan orang yang sembahyang atau membaca al-Quran atau matlaah kitab atau yang tidur atau sebagainya.''

2. Seorang pembaca lain menulis, ``Kebelakangan ini pula memang terdapat trend siaran langsung sembahyang, termasuk wirid dan doa serta acara-acara seperti belajar membaca kitab suci, bacaan hadis atau ceramah. Bayangkan perkara tersebut berlaku pada full volume sepanjang waktu maghrib hingga isyak atau sepanjang waktu subuh, umat Islam sendiri pun bermasalah untuk berjemaah dengan keluarga di rumah jika tinggal berdekatan dengan surau.''

Pandangan lain yang saya terima menyatakan pendapat yang sama, iaitu masalahnya ialah kerana kawalan bunyi suara (volume suara) sering terlalu tinggi, masa kaset bacaan ayat al-Quran terlalu panjang, ceramah dan program lain juga dipancarkan melalui pembesar suara yang nyaring, maka semua ini menurut pandangan kebanyakan mereka adalah merupakan perkara yang disungutkan oleh anggota masyarakat di sekeliling surau atau masjid itu.

Orang Islam sendiri berasa terganggu seperti yang disuarakan oleh pembaca yang saya siarkan tulisannya di atas, iaitu umpamanya anak-anak yang sedang mengulangkaji pelajaran, anak-anak kecil yang sedang tidur, orang sakit, atau suami yang mengimamkan sembahyang jemaah di rumah kerana tidak berjemaah di surau atau masjid kerana sebab-sebab tertentu, malah menurut petikan surat pertama di atas perbuatan ini dilarang oleh agama kerana menyebabkan tashwish atau gangguan yang menyakitkan hati orang lain.

Pengalaman beberapa orang pembaca yang mengirimkan mesej juga agak mendukacitakan, iaitu apabila ceramah atau kuliah di dalam masjid dipancarkan keluar, maka kadang-kadang terdapat penceramah yang menggunakan ceramah atau kuliahnya untuk mencerca atau mengumpat orang lain secara melulu, atau tanpa segan silu lagi menyebut nama-nama orang tertentu yang dijadikan bahan umpatannya.

Maka cercaannya ini akan didengar di seluruh kampung, dan tanpa pengetahuan mangsanya, namanya tiba-tiba menjadi popular dan masyhur, tetapi popular dan masyhur bukan kerana jasa baktinya, malah kerana label-label keji dan buruk yang dilemparkan kepadanya. Biasanya yang menjadi mangsa ini pula, ialah orang-orang Islam sendiri, maka habis satu kampung atau daerah itu dapat mendengar satu lagi cara orang Islam bergaduh dan berkonflik sesama sendiri, iaitu melalui ceramah atau kuliah agama yang dijalankan di dalam rumah ibadat yang diberkati Allah itu.

Hal ini menurut mereka merupakan salah satu kesan negatif akibat menyalahgunakan corong pembesar suara masjid atau surau yang seharusnya dielakkan.

Selain itu, tentang bacaan ayat-ayat suci melalui kaset yang dipasang, ramai juga yang bersetuju bahawa oleh kerana ketika ayat suci dibaca maka semuanya haruslah mendengar dengan khusyuk dan mengambil iktibar seperti yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran sendiri. Dengan itu mereka berpandangan bahawa bacaan al-Quran, ibadat sembahyang, kuliah dan sebagainya haruslah dihadkan ke dalam bangunan surau atau masjid untuk para jemaah sahaja.

Malah di dalam masjid pun sepatutnya para jemaah tidak diganggu oleh sebarang suara yang tinggi, termasuk bacaan al-Quran sendiri, kerana mereka sedang beriktikaf, atau berdoa, berwirid dan membaca al-Quran secara tenang dan khusyuk. Jemaah seharusnya dibiarkan dalam keadaan aman dengan diri mereka sendiri.

Saya rasa begitulah beberapa kesimpulan yang dapat diambil daripada banyak pandangan masyarakat Islam mengenai isu yang kita bicarakan. Bagaimanapun, sekali lagi ingin saya tegaskan di sini, bahawa isu ini dibangkitkan bukanlah kerana terdapat sebarang perasaan bencikan ayat suci al-Quran, atau anti kepada simbol agama yang seharusnya disemarakkan di seluruh pelosok negeri dengan hebatnya. Tetapi pembicaraan semata-mata untuk mencegah kesan sampingan yang mungkin timbul terhadap usaha murni dakwah Islamiah, dan penyalahgunaan tentang simbol atau ajaran agama itu sendiri dalam keghairahan kita menonjolkan agama kita.

Demikian juga semua pandangan yang diberikan bukanlah merupakan pandangan yang seharusnya diambil, tetapi saya rasa perlu didengar sebagai panduan dan asas perbincangan selanjutnya, terutama oleh pihak yang berautoriti. Haruslah juga diingat bahawa pandangan itu bukanlah kerana tekanan atau pengaruh musuh Islam atau orang luar yang bencikan Islam, malah pandangan itu adalah datangnya daripada masyarakat Islam sendiri, termasuk kalangan yang amat takut untuk menyuarakan perkara ini, kerana bimbang akan disalahertikan tentang pendirian dan niat mereka.

Oleh itu saya rasa pihak jabatan agama negeri, dan semua pihak yang bertanggungjawab tentang pentadbiran agama di negara kita, haruslah membuka perbincangan dan permesyuaratan yang menyeluruh tentang perkara ini, supaya satu amalan yang berkesan serta mengikut lunas-lunas syariah Islam yang sebenarnya dapat dijalankan dengan keredaan semua pihak. Janganlah menganggap perkara ini sebagai remeh-temeh, kerana isu ini membabitkan psikologi dan gambaran umum orang awam, termasuk masyarakat remaja dan belia, terhadap agama kita sendiri.

No comments: