Wednesday, October 10, 2007

Rasa hormat Ramadan hilang ekoran pengeboman di Riyadh, Istanbul -- Sambut Hari Raya tanpa erti

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM


MENJELANG Hari Raya dalam masa dua tiga hari yang akan datang, banyak kenangan yang dirasakan oleh setiap individu di dalam masyarakat kita, sama ada kenangan manis ataupun pahit. Namun pada umumnya, keseluruhan umat Islam di Malaysia, akan tetap mempunyai kenangan yang manis, bahawa kita di sini tidak pernah mengalami sesuatu tragedi berdarah dalam bentuk peperangan atau pergaduhan yang menumpahkan darah pada setiap kali menjelangnya Hari Raya. Kita seharusnya bersyukur kepada Allah subhanahu wa taala bahawa pada tahun ini juga kita insya-Allah akan dapat menyambut hari mulia itu dalam suasana aman dan damai, tenteram dan harmoni.

Kita mungkin dapat membayangkan bagaimana pilu dan sayu, sedih dan dukacitanya saudara-saudara kita orang Islam di Iraq dan Palestin, ataupun di Afghanistan menyambut ketibaan Hari Raya setelah ketenteraman mereka dirampas, rumah tangga mereka diroboh atau dimusnahkan, orang-orang tersayang dibunuh atau dipenjarakan dengan kejam, malah negara mereka keseluruhannya dijajah sebegitu rupa, sehingga mereka menjadi seperti hamba di negara sendiri.

Di dalam bulan Ramadan yang suci, pihak musuh dan penjajah yang bertopengkan perjuangan untuk kemanusiaan dan keamanan kononnya, tidak pernah menunjukkan sebarang tanda hormat kepada bulan yang mulia itu. Dalam bulan yang penuh rahmah itulah mereka semakin mengganas dengan buasnya, maka di dalam bulan inilah mereka semakin rancak membunuh dan memusnahkan harta benda orang yang tidak berdosa seperti dapat disaksikan di Palestin dan Iraq. Tidak kira siang atau malam di dalam bulan Ramadan ini, mereka menangkap, menyeksa dan membunuh serta memusnahkan segala harta benda dan rumah tangga orang-orang Islam dengan sewenang-wenangnya.

Namun begitu orang Islam rata-ratanya di seluruh dunia hanya mampu membisu seribu bahasa, atau kalaupun timbul suara-suara menentang, maka suara itu akan segera dipadamkan dengan tuduhan yang berbagai-bagai rupa, atau ugutan yang boleh menakutkan semua orang, seperti yang kita alami ketika mantan Perdana Menteri kita menyuarakan teguran dan kritikan kepada kuasa Yahudi dan konco-konconya yang merampas segala rasa aman dan damai daripada jiwa orang-orang Islam di negara orang Islam itu sendiri. Kita semua menjadi seperti anjing menyalak bukit, kerana bukit itu tidak pernah dapat kita kuasai disebabkan kelemahan dan ketidakmampuan kita untuk mendaki bukit yang tinggi itu, maka kita juga menjadi seperti si Luncai terjun dengan labu-labunya. Akibatnya tidak ada sesiapa pun yang menghormati kita, apalagi berasa gerun dengan kita. Maka dengan itu mereka akan terus melakukan apa sahaja ke atas orang Islam.

Amat mendukacitakan lagi, seandainya betul bahawa kumpulan ``pengganas'' Islam yang melakukan pengeboman berani mati di Riyadh, dan dua kali di Istanbul baru-baru ini, maka nampaknya orang-orang Islam yang menjadi anggota kumpulan itu juga tidak mempunyai sebarang rasa hormat kepada bulan baik, hari baik, bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Pengeboman yang dilakukan di dua buah negara Islam di dalam bulan puasa ini memakan korban yang banyak, di antaranya termasuklah orang awam yang tidak berdosa, orang tua, wanita, kanak-kanak dan manusia lain yang tidak seharusnya dibunuh begitu sahaja.

Maka nampaknya bulan Ramadan pada tahun ini menyaksikan banyak pembunuhan ke atas manusia sesama umat manusia yang dilarang keras oleh Allah. Pembunuhan juga khabarnya berlaku sehingga ke tanah suci, iaitu tempat tertegaknya Masjidilharam dan Kaabah yang menjadi tumpuan jutaan umat Islam dalam bulan mulia ini. Hal ini merupakan satu sejarah hitam yang mengundang perhatian serius umat Islam untuk mengkajinya dan memberikan jawapan kenapakah perkara ini sampai berlaku di tanah suci yang sepatutnya menjadi satu tempat yang paling aman di dalam dunia ini? Kenapa tiba-tiba bumi suci Mekah itu yang menjadi sasaran keganasan?

Bagaimanapun tanpa bertujuan mempertahankan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan Islam yang tertentu, maka angkara ini sebenarnya berlaku adalah kerana sebab dan dorongan yang tertentu pula. Kumpulan ini menjadi ganas dan bertindak di luar batas-batas kemanusiaan tentunya berbuat demikian atas nama perjuangan mereka sebagai tindak balas terhadap kekejaman yang telah dilakukan dengan begitu buas sekali oleh kuasa atau kerajaan penjajah yang memusuhi orang-orang Islam.

Kekejaman yang dilakukan oleh imperialis Barat dan Amerika, ditambah lagi oleh tindakan yang tidak berperi kemanusiaan yang dilakukan oleh gerakan Zionisme Yahudi antarabangsa terhadap orang awam Islam, telah dilihat sebagai satu perbuatan melampau yang telah mendorong kumpulan-kumpulan ``militan'' Islam untuk mengambil tindakan di luar sempadan kemanusiaan dan undang-undang.

Mereka melihat bahawa sekiranya pihak penjajah Barat boleh menyerang dan menduduki negara Islam secara kekerasan dan kekuatan tentera seperti berlaku ke atas Afghanistan dan Iraq pada tahun 1990 dan 2003, dan sekiranya Israel pula dapat bermaharajalela mengganas dan menceroboh negara Palestin, kenapa umat yang tidak terbela ini tidak dapat melakukan tindakan yang serupa ? Maka bagi mereka tindakan kekejaman yang dilakukan terhadap para penceroboh itu adalah satu tindakan yang mereka anggap sebagai wajar, malah wajib dilakukan.

Maka mengikut hukum logik yang mudah, nampaknya pihak imperialis Barat dan Zionisme itulah yang menyebabkan manusia dan kumpulan lain menjadi jahat dan ganas. Merekalah yang sebenarnya yang menjadikan manusia amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan pada hari ini. Caranya amat mudah, iaitu mereka melakukan tindakan yang menyebabkan kemarahan dan kehampaan orang lain, dan dalam konteks ini, mereka membuat berbagai-bagai angkara yang berbentuk ganas dan kejam terhadap orang Islam, maka orang Islam akan berasa marah dan kecewa kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada masyarakat dunia, maka orang Islam akan bertindak di luar undang-undang untuk menuntut bela dan membalas dendam. Sebab itulah pada beberapa tahun yang akhir ini kita dapat melihat bahawa sasaran keganasan kumpulan militan Islam ialah kepentingan Amerika dan yang terakhirnya di Istanbul ialah kepentingan British, termasuk bank HSBC dan Konsulat British. Manakala sasaran yang telah lama ditujukan oleh pejuang Palestin pula tentulah rakyat dan negara Israel.

Hal ini sudah sepatutnya telah dapat memberi jawapan kenapakah segelintir kumpulan Islam itu mengganas dan bertindak liar. Tetapi sayangnya oleh kerana pihak Barat dan kuasa besar Amerika yang menguasai politik dan ekonomi dunia sehingga dapat memperalatkan PBB sendiri, maka akhirnya tindakan orang Islam inilah yang dilihat sebagai tindakan keganasan, dan orang-orang Islam itu sahaja yang digelar ``pengganas'' sehingga membolehkan mereka mengenakan tekanan dan tindakan yang lebih hebat kepada orang Islam yang mereka musuhi. Malah segala tindakan mereka yang teratur dan penuh kekejaman itu akan disokong dan dianggap sebagai satu tindakan yang wajar untuk menghapuskan keganasan sejagat dan membebaskan dunia moden dari ancaman pengganas antarabangsa atas nama menegakkan hak asasi manusia, menegakkan tamadun dan peradaban manusia dan berbagai-bagai topeng lagi yang mereka pakai untuk melindungi kekejaman mereka yang amat hebat itu.

Taktik dan strategi inilah yang mereka lakukan sekarang, iaitu menjadikan umat Islam marah dan benci kepada mereka, dan apabila umat Islam berasa kecewa yang teramat sangat, maka terdapatlah kumpulan mereka yang tidak sabar dan akan bertindak secara ganas, kerana itulah satu-satunya cara yang dapat mereka lakukan disebabkan suara umat Islam tidak pernah didengar oleh masyarakat dunia, malah terdapat negara Islam sendiri yang lebih suka menjadi tanah jajahan pihak kuasa penjajah itu.

Allahyarham P. Ramlee pernah menggambarkan hal ini di dalam sebuah filem komedinya, iaitu apabila watak utama yang dilakonkannya sendiri membuat peraturan bahawa di dalam rumah mereka tidak boleh sesiapa pun marah, kerana sesiapa yang marah, ia akan dijual menjadi hamba abdi. Oleh itu dia pun melakukanlah berbagai-bagai angkara sehingga menimbulkan kemarahan orang, dan akhirnya orang yang marah-marah ini telah dijual sebagai hamba. Kedudukan orang Islam pada hari ini juga mungkin dapat dibandingkan begitu, iaitu pada sepanjang masa kita sentiasa diperlakukan dengan berbagai-bagai penindasan dan tekanan yang kejam, sehingga kita menjadi marah, dan kerana kemarahan itu, kita lalu mengambil tindakan yang tidak berasaskan pemikiran lagi.

Ketika kuasa besar Amerika diimbangi oleh kuasa besar Soviet Union sebelum berakhirnya perang dingin dulu, tidak ada kuasa besar yang dapat melakukan tindakan sembarangan, kerana apabila timbul ancaman dari satu kuasa besar umpamanya, maka kuasa besar yang satu lagi akan mengugut untuk mengambil tindak balas. Di Asia Barat umpamanya, kuasa besar Amerika tidak mampu memenangi hati kebanyakan negara Arab, kerana kuasa besar Soviet Union sentiasa melindungi negara-negara tersebut. Maka perimbangan kuasa ini menjadikan dunia lebih aman, dan manusia lebih bersopan serta menghormati undang-undang. Tetapi apabila berakhirnya kuasa Soviet Union, maka kuasa besar Amerika telah dapat bermaharajalela mengikut sesuka hatinya, lalu berlakulah angkara dan musibah dunia pada hari ini yang keseluruhannya ditujukan untuk melemahkan satu umat yang mempunyai potensi untuk bangun di dunia ini, iaitu umat Islam.

Sesungguhnya puasa Ramadan mengajar kita lebih berhikmah dan bersabar, dan bertindak mengikut peraturan dan rukun yang tertentu. Oleh itu, umat Islam dalam menyusun strategi perjuangan mereka dalam dunia yang cemar ini seharusnya juga dapat bertindak dengan penuh pemikiran. Walaupun kita berasa marah, hampa, kecewa dan seribu perasaan lain yang boleh memanaskan darah dan memuncaknya emosi, maka saya rasa kita perlu lebih berhati-hati dalam melakukan segala tindakan kita, termasuk tindakan melawan kekejaman orang lain.

Saya tidak fikir bahawa tindakan pengebom berani mati dan pembunuhan rambang terhadap orang awam akan dapat mengubah sesuatu nasib yang kita alami sekarang ini. Saya rasa kita tidak dapat mempertahankan pembunuhan yang dilakukan terhadap orang yang tidak berdosa, apalagi kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Islam tidak membenarkan mengambil cara yang salah untuk memperjuangkan sesuatu matlamat yang baik.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa puasa dan Hari Raya kita pada tahun ini mungkin tidak banyak memberi hikmah kepada kita orang-orang Islam kerana kejadian dan tragedi yang dilakukan oleh segelintir orang Islam sendiri. Kita tentu boleh melakukan cara yang lain, walaupun orang lain mengambil jalan ganas untuk menindas kita, kerana kita tidak sepatutnya bertindak balas secara melulu untuk membalas keganasan mereka. Islam mengajar kita banyak cara untuk berperang dan membalas serangan musuh kita secara adil dan diredai oleh Allah. Tindakan yang tidak diredai Allah, tidak akan mendapat keberkatan.

Bagaimanapun, kita di Malaysia, masih boleh berbangga dan bersyukur, kerana Hari Raya yang kita rayakan masih banyak memberi erti dan hikmah kepada kita berkat tindakan dan pemikiran kita yang masih rasional dan bertamadun serta menjunjung syariah Allah yang maha berkuasa. Selamat Hari Raya, semoga diberkati Allah sepanjang masa sehingga menjelangnya tahun hadapan, insya-Allah.

No comments: