Wednesday, October 10, 2007

Peratusan program hiburan dan pendidikan tidak seimbang - TV punca penyakit sosial

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PENDEDAHAN demi pendedahan dibuat tentang penyakit atau gejala sosial di negara kita. Media massa saban hari penuh dengan berita dan penemuan pihak tertentu tentang gejala rogol, bunuh, samseng dan rompakan. Sejak mutakhir ini pula, orang muda yang sepatutnya berkahwin, tetapi tidak berkahwin. Malah lebih sensasi lagi, kemunculan undang-undang untuk mengawasi muda-mudi di taman dan tempat awam yang berpegangan tangan, bercumbuan dan berkelakuan sumbang.

Bagi doktor perubatan yang menjalankan ujian dan pemeriksaan untuk menentukan penyakit pesakit tertentu, dia sering memulakannya dengan bertanyakan tanda penyakit, atau simptom penyakit, kemudian akan menjalankan ujian mengenal pasti penyakit yang sebenarnya.

Kita juga tidak pasti apakah gejala sosial yang melanda masyarakat kita pada waktu ini merupakan penyakit hakiki, atau hanyalah simptom bagi penyakit yang lain. Kalau penyakit hakiki maka harus dicari ubatnya yang mujarab. Tetapi sekiranya gejala itu adalah merupakan tanda penyakit, atau simptom penyakit yang tertentu, maka mengubati simptomnya tidaklah memadai. Ubat yang seharusnya diusahakan ialah ubat untuk penyakit yang sebenarnya dihidapi oleh pesakit-pesakit itu.

Gejala rogol, bunuh, rompak, tak kahwin, atau bercumbu di taman mungkin hanya merupakan tanda penyakit atau simptom bagi penyakit lain yang tidak kita ketahui. Media massa atau persatuan dan organisasi tertentu sememangnya amat cenderung menonjolkan penemuan tentang gejala sosial ini, tetapi jarang sekali mengemukakan punca masalah bagi gejala yang tidak sihat itu. Oleh itu masyarakat sering meratapi gejala sosial ini, dan menjadikannya satu isu sensasi untuk dibesar-besarkan, sedangkan penyelesaian masalahnya tidak diketengahkan.

Akibatnya kita sering `menembak' sasaran yang salah, atau kita berusaha mengubati tanda penyakit atau simptomnya itu, tanpa mengetahui bagaimanakah caranya untuk mengubat penyakit yang sebenar? Hal ini samalah dengan tindakan seseorang yang menelan Panadol bagi mengubat demamnya sedangkan demam itu mungkin hanyalah satu tanda penyakit bagi penyakit hakiki yang lain.

Demikian juga gejala rogol, samseng, bunuh dan sebagainya yang kelihatan semakin meningkat. Gejala itu mungkin merupakan amaran dan loceng kecemasan untuk memberi isyarat kepada kita tentang beberapa perkembangan tidak sihat yang sedang berlaku di dalam sistem tertentu di dalam masyarakat kita kini.

Masyarakat yang dilanda wabak nafsu syahwat seks di dalam berbagai-bagai salurannya secara teratur boleh mengakibatkan kelahiran warganegara yang bernafsu seks melampau, dan mengakibatkan kejadian rogol. Pembangunan jiwa manusia yang amat terpengaruh dengan kebendaan melulu, sehingga semua gerak-geri dan aktivitinya dihubungkan dengan wang dan benda mungkin akan melahirkan ramai manusia yang gelojoh, tamak haloba dan ingin menjadi kaya-raya dalam sekelip mata. Maka untuk mencapai matlamat itu, manusia akan merompak, membunuh dan melakukan berbagai-bagai perkara yang salah, sama ada pada hukum undang-undang, nilai sosial dan budaya, atau nilai moral kerohanian agama.

Masyarakat yang terbangun tanpa nilai murni yang baik, sebaliknya sering terpengaruh dengan perkembangan masyarakat asing yang permisif, mungkin akan menggalakkan jenayah dan maksiat yang berleluasa di kalangan anggota masyarakat yang kehakisan nilai-nilai moral kerohaniannya. Malah masyarakat yang sering terdedah kepada keganasan di sekelilingnya, atau mempunyai tanggapan bahawa keganasan dan kekerasan adalah perkara biasa hari ini, akan membangun sebagai masyarakat yang tidak berperikemanusiaan dan bertimbang rasa atau berbudi kepada orang lain.

Hal ini merupakan beberapa andaian yang menyebabkan lahirnya penyakit masyarakat hakiki yang sedang kita hadapi dalam membangun warganegara dan bangsa kita pada hari ini. Penyakit masyarakat inilah yang mengakibatkan munculnya kepelbagaian gejala sosial dari yang kecil hingga ke peringkat jenayah berat dan serius yang belum pernah berlaku selama ini.

Proses modenisasi dan urbanisasi yang dibangunkan tanpa hati-hati akan mengakibatkan kesan sampingan yang teruk kepada manusia yang sedang kita bangunkan di dalam negara yang pesat berkembang menuju matlamat negara maju. Maka di dalam cabaran Wawasan 2020 pun telah disediakan satu amaran keras tentang cabaran yang akan kita hadapi dalam proses menuju negara maju ini, iaitu bagaimanakah kita seharusnya mampu membangunkan bangsa Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai moral, etika dan agama.

Kita berbicara tentang pendidikan formal, sehingga telah diwujudkan dua buah kementerian yang berasingan untuk mengurus pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Tetapi dalam masa yang sama kita mungkin tidak dapat mengawal pendidikan tidak formal yang seharusnya dimainkan oleh rumah tangga melalui ibu bapa. Begitu juga dengan media cetak dan elektronik, institusi hiburan yang seharusnya mementingkan hiburan yang sihat dan dapat membangunkan minda yang sihat pula. Demikian juga institusi kesenian dan kebudayaan, pelancongan dan sukan, yang semuanya boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur glamor dan kebendaan sehingga boleh menyelewengkan arah tuju masyarakat dalam memupuk nilai-nilai positif di dalam masyarakat.

Seorang teman saya dari sebuah universiti yang membuat kajian tentang dasar langit terbuka dalam memindahkan maklumat dan hiburan ke dalam media elektronik kita membuat kesimpulan bahawa media elektronik negara tidak dapat berfungsi dengan baik untuk memenuhi matlamatnya. Media televisyen sepatutnya menyeimbangkan di antara program hiburan, pendidikan dan maklumat untuk para penontonnya yang terdiri daripada berbagai-bagai kalangan dan lapisan umur.

Penonton muda seolah-olah dididik untuk menjadi penghibur dalam bidang nyanyian dan lakonan semata-mata. Terdapat pendedahan yang begitu ketara tentang program hiburan dalam bentuk muzik dan nyanyian, sama ada yang di- import atau yang dibuat di dalam negara sendiri. Begitu juga promosi artis dalam dan luar negara yang agak keterlaluan.

Para artis dipergunakan dengan hebatnya oleh kebanyakan stesen televisyen untuk menarik penonton yang banyak, terutamanya muda-mudi dengan tujuan komersial dan perniagaan. Program televisyen yang tidak sedikit pun memberi faedah kepada pemupukan nilai budi dan budaya bangsa seperti saluran asing yang memaparkan artis separuh bogel, berpelukan lelaki dan wanita, bercumbuan sambil melakukan adegan seks mendapat tempat di dalam saluran atau stesen televisyen tanpa tapisan.

Filem yang berunsur seks dan ganas, mulai dari filem kartun atau fiksyen yang ditonton oleh kanak-kanak sehinggalah kepada filem berunsurkan seks untuk orang dewasa, ditayangkan dengan bebas pada bila-bila masa yang ditentukan oleh stesen itu.

Menurut teman saya itu, saluran televisyen percuma juga berlumba-lumba mengeskploitasikan program timur dan barat yang tidak membantu sama sekali untuk membangunkan masyarakat kita yang seharusnya menggalakkan pembangunan intelek dan semangat patriotisme.

Program bercorak demikianlah yang meningkatkan peratusan masa tayangan, melebihi berkali ganda peratusan program pendidikan dan maklumat. Ia melahirkan kebimbangannya, bahawa saluran pendidikan tidak formal ini akan memusnahkan segala perancangan pendidikan yang disalurkan melalui pendidikan formal di tadika, sekolah dan kolej, juga universiti.

Peti televisyen memasuki semua rumah di serata pelosok negara kita tanpa mengira had umur dan status penghuni rumah itu. Menurutnya peti televisyen tidak boleh disamakan dengan pusat karaoke atau kelab malam, kerana segala hidangan dalam televisyen dapat ditonton oleh semua orang daripada semua kalangan, iaitu yang berpendidikan atau tidak, yang miskin atau kaya, yang sihat akal fikirannya atau yang sakit jiwa dan akalnya.

Bagaimanapun kita tidaklah pula seharusnya meletakkan tanggungjawab risiko yang menimpa masyarakat kita itu kepada televisyen semata-mata. Tetapi hasil kajian baik buruknya televisyen sama ada yang dijalankan oleh pengkaji tempatan atau luar harus diteliti dan dipelajari dengan serius supaya kita dapat mencari punca sama ada dari kaca televisyen, filem dan sebagainya.

Sekiranya sehari suntuk penonton dan remaja menonton program berbentuk seks dan ganas di televisyen, apakah kita akan rasa hairan sekiranya penonton ini juga akan bertindak merogol dan membunuh mangsanya? Apakah kita akan kecewa sekiranya kita melihat anak-anak muda lelaki dan perempuan berpeluk dan bercumbu di taman sedangkan sepanjang masa mereka melihat adegan ini di televisyen sehingga menganggap kelakuan itu sudah lumrah serta diterima oleh masyarakat.

Kenapa pula ketika mereka berpegangan tangan mereka harus ditangkap?

Bagaimanapun, seperti yang dinasihatkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita perlu banyak melakukan kajian dalam banyak perkara sebelum mengambil sesuatu kesimpulan, supaya pandangan kita tidak merupakan pandangan yang dipengaruhi oleh emosi.

Oleh itu saya syorkan bahawa setiap orang daripada kita cubalah duduk di hadapan televisyen dari permulaan siarannya hingga penutupnya. Saksikan berapa peratuskah kadar program hiburan melulu dan melampaui batas yang disiarkan, dan berapa peratus pula siaran pengetahuan dan pendidikan yang disediakan.

Teman saya yang membuat kajian itu, melahirkan kehampaannya kerana televisyen tidak memberi penghargaan kepada ahli ilmu dan akademik, sama seperti yang diberikan kepada para artis. Di manakah slogan yang selalu kita laungkan untuk membangun masyarakat yang berilmu di negara kita ini?

No comments: