Wednesday, October 10, 2007

Serangan pihak berkuasa British terhadap masjid di England - Ketakutan terhadap Islam

BERITA yang kita baca tentang perbuatan pihak berkuasa keselamatan British mencerobohi sebuah masjid di sebuah bandar di England baru-baru ini amat menyinggung perasaan kita sebagai orang Islam. Malah sebagai manusia biasa yang sering menghormati semua agama di dunia ini dan amat peka dengan perasaan penganut berbagai-bagai agama seperti yang kita amalkan di negara kita juga berasa bahawa perbuatan itu adalah satu perlakuan yang amat menyentuh sensitiviti penganut Islam.

Dalam beberapa peristiwa yang pernah berlaku di negara kita yang berbilang kaum dan agama ini, kita telah membuktikan kepada dunia bahawa kita amat peka terhadap perasaan dan sentimen kepelbagaian kaum dari kepelbagaian agama. Pernah pada satu masa dulu terjadi satu peristiwa di mana sekumpulan penganut Islam yang fanatik bertindak memecahkan patung di sebuah tempat ibadat kaum Hindu, di Kerling. Akhirnya para penceroboh itu dibawa ke mahkamah dan dihukum.

Dari sudut undang-undang, maka kita juga mempunyai peruntukan undang-undang yang melindungi amalan agama, termasuk kaum minoriti yang menjadi warganegara kita seperti undang-undang yang membenarkan para pengikut agama Sikhism untuk tidak memakai topi keselamatan semasa menunggang motosikal. Mereka dibenarkan memakai serban mereka, kerana pemakaiannya adalah merupakan amalan agama mereka. Amalan agama ini tidak disentuh oleh undang-undang semata-mata untuk tidak menimbulkan rasa marah atau tersinggung oleh penganut agama itu.

Beberapa contoh ini telah menunjukkan kepada kita tentang kepekaan rakyat dan pemerintah kita terhadap sensitiviti keagamaan di antara berbagai-bagai kaum dan agama. Hal ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan ajaran agama kita sendiri yang sering menekankan tentang keharmonian di antara manusia, walaupun mereka itu terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama, warna kulit dan bahasa. Malahan Allah menjadikan manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai warna kulit dan bahasa ini adalah merupakan satu daripada tanda kebesaran-Nya, dan Dia menjadikan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, berbagai-bagai kaum dan puak adalah untuk umat manusia itu berkenalan dan bekerjasama untuk kebaikan mereka sendiri.

Menyedari keadaan ini jugalah maka negara kita mengamalkan dasar yang menuju kepada kesepaduan dan keharmonian kaum, seperti perkongsian kuasa di antara berbagai-bagai kaum dalam pemerintahan dan pengagihan kekayaan negara yang sama rata di antara semua rakyat tanpa diskriminasi.

Maka atas dasar inilah kita merasakan bahawa perbuatan pihak berkuasa British menyerbu dan menceroboh kawasan masjid tersebut lebih merupakan satu pencerobohan terhadap tempat suci agama yang seharusnya boleh dilakukan dengan cara yang lebih bijaksana. Kita sedar bahawa kerajaan British merupakan sebuah kerajaan yang selama ini mempunyai persefahaman yang baik dengan para penganut Islam dan sering bertindak dengan hikmah di dalam hal ehwal agama orang Islam, seperti kebebasan yang diberikan untuk mendirikan masjid, sekolah dan sebagainya. Maka berdasarkan hal ini, kita akan tertanya-tanya kenapakah sikap dan perbuatan kasar itu telah dilakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap masjid tersebut.

Bagi saya, apa yang berlaku itu adalah merupakan satu manifestasi ``ketakutan'' sesetengah pihak terhadap orang Islam, terutamanya yang dicetuskan oleh peristiwa 11 September, iaitu yang sentiasa menjadi igauan orang awam dan sebahagian besar pemerintah dunia pada hari ini bahawa Islam itu adalah ganas dan para penganutnya akan sentiasa bertindak ganas apabila terdapat peluang dan kesempatan untuk bertindak demikian.

Ketakutan inilah juga yang sebenarnya berlaku selepas sahaja peristiwa 11 September, dan atas alasan itulah juga negara Islam diserang habis-habisan seperti yang berlaku di Afghanistan, dan kini Iraq pula sedang menunggu giliran untuk diserang. ``Ketakutan'' telah dijadikan satu alasan yang cukup besar untuk dilakukan tindakan pencerobohan, termasuk pembunuhan dan pemusnahan tempat kediaman dan kemudahan-kemudahan awam lain seperti yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Tetapi benarkah semuanya itu dilakukan kerana rasa takut kepada orang Islam? Apakah benar bahawa tindakan pencerobohan itu dilakukan semata-mata kerana memerangi ``pengganas'' dan ``keganasan''?

Bagi masyarakat yang bertamadun dan benar-benar mengamalkan demokrasi, persoalan di atas amat mudah diberikan jawapan, iaitu kekuatan dan pencerobohan sering merupakan ``kuasa'' yang digunakan oleh satu pihak untuk menghancurkan golongan lain yang dianggap musuhnya. Peluang dan kesempatan yang timbul, seperti peristiwa 11 September, diambil sebagai satu lesen yang menghalalkan pencerobohan dan pembunuhan.

Konflik yang berlaku sekarang ini, terutamanya permusuhan terhadap Islam sebenarnya tidak harus dilihat sebagai satu konflik antara agama. Semua penganut agama memahami sifat toleransi di antara mereka, dan semua penganut agama menghormati agama lain. Tetapi pergolakan politik yang mempunyai motif ekonomi dan penjajahan sering mencetuskan konflik, sehingga seolah-olah apa yang dilakukan oleh beberapa puak fanatik Islam itu adalah merupakan gambaran menyeluruh tingkah laku penganut Islam keseluruhannya.

Akhbar Osservatore Romano, iaitu akhbar rasmi Vatican keluaran 20 September, 2001, telah menyatakan penentangan keras terhadap keputusan Amerika dan sekutunya yang telah bermuafakat untuk menyerang Afghanistan, kerana akhbar tersebut berasa bimbang bahawa peperangan itu akan lahir sebagai satu peperangan agama. Pope sendiri dalam lawatannya ke Kazakhstan dan Romania telah menyeru orang Islam dan Kristian supaya sama-sama berdoa untuk mengelakkan serangan ini.

Mengaut kekayaan

Tetapi nampaknya usaha Pope ini tidak berjaya, kerana para pembesar agama Katolik sendiri telah memberi sokongan kepada Bush untuk melancarkan serangan ini atas nama ``mempertahankan hak dan kebenaran'', maka tindakan serangan itu dilihat sebagai satu perbuatan mempertahankan diri. Tetapi betulkah serangan itu dilakukan untuk ``mempertahankan diri'' atau kerana tujuan-tujuan lain yang tertentu, termasuk proses penekanan terhadap negara Islam dan merebut peluang untuk mengaut kekayaannya?

Inilah sebenarnya percaturan dunia hari ini yang dilanda seribu satu macam kekusutan dan kemelut. Hal ini mengundang kita sendiri sebagai umat Islam untuk mempelajari sedalam-dalamnya politik dan ekonomi dunia moden pada hari ini, tanpa terkongkong dengan kefahaman lama dan kuno tentang selok-belok manusia moden yang serba canggih pada hari ini.

Seperti yang biasa saya tekankan di dalam ruangan ini, bahawa setelah berbagai-bagai helah dan alasan yang sering dicari oleh pihak yang ingin menyerang dan menenggelamkan agama dan umat kita, maka umat Islam tidak seharusnya melakukan sebarang kesilapan yang dapat ditafsirkan sebagai satu tindakan permusuhan dan keganasan. Perbuatan membunuh dan mengganas tanpa sebarang justifikasi dari ajaran agama kita sendiri seharusnya dielakkan. Demikian juga orang Islam haruslah menjauhkan perbuatan menyalahtafsirkan beberapa konsep dan pelaksanaan agama seperti jihad dan perang supaya dengan itu umat Islam tidak dilihat sebagai umat yang menghalalkan pertumpahan darah.

Tentang kes serbuan terhadap masjid di England itu, jika benar laporan media yang mengatakan bahawa ia dilakukan kerana sikap keras dan perbuatan provokasi yang dilakukan oleh pegawai masjid tersebut, maka fakta ini haruslah diteliti, iaitu apakah kejadian yang sebenarnya berlaku dalam konteks ini. Berdasarkan fakta yang sebenar, kita haruslah juga menilai diri sendiri, apakah patut para pendakwah agama atau imam dan khatib perlu mengambil sikap keras dan provokasi untuk menyampaikan dakwah dan ajaran agama, atau khutbah dalam keadaan yang boleh menimbulkan rasa curiga di kalangan pihak berkuasa pemerintah sendiri. Apakah perlu para imam dan pendakwah mengambil sikap berkonfrontasi terhadap pihak berkuasa negara yang membenarkan kita beribadat dan beragama?

Isu penyalahgunaan mimbar dan ceramah merupakan isu sejagat di dalam dunia pada hari ini. Perkara ini juga yang sebenarnya telah menimbulkan begitu banyak kegelisahan dalam masyarakat, termasuk masyarakat Islam sendiri yang mengakibatkan perpecahan dan perselisihan faham di kalangan anggota masyarakat.

Saya teringat bahawa pada satu ketika dulu, pihak kerajaan Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada kerajaan Mesir supaya memberhentikan perbuatan para khatib di negara tersebut dari menyampaikan khutbah yang menyerang negara dan dasar AS. Ancamannya ialah pihak AS akan menarik balik bantuannya kepada Mesir sekiranya hal ini tidak diendahkan.

Di negara kita para khatib bebas mengecam dasar AS kerana kita merupakan negara merdeka yang tidak terbelenggu dengan sebarang bantuan daripada ``tuan-tuan'' kita di luar. Tetapi kesempatan ini sering juga diambil oleh para khatib untuk menghentam sesama sendiri, terutamanya dalam isu-isu yang dipolitikkan secara sempit.

Berbalik kepada isu ini di England, maka saya rasa semua umat Islam, termasuk para imam dan khatib, haruslah lebih berhati-hati dan berhikmah, agar perbuatan kita tidak akan dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menekan dan melemahkan kita. Setelah diserang dan ditangkap beberapa orang ketua agama, maka akhirnya apakah keuntungan yang dapat diperoleh oleh umat kita?

No comments: