Wednesday, October 10, 2007

Jihad untuk ketinggian ummah

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SELEPAS peristiwa 11 September yang membangkitkan nafsu amarah kuasa Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk memusuhi negara Islam atas alasan memerangi pengganas, umat Islam terpaksa terus-menerus melaung-laungkan semangat ``jihad'' tanpa henti.

Dari tarikh itu sehingga ke suatu masa yang mungkin amat panjang, pertentangan dan konfrontasi di antara kuasa Barat dan dunia Islam akan berterusan.

AS sejak selepas peristiwa 11 September, segera mengambil tindakan mencari mangsa untuk membalas dendam dan menebus malu, maka dengan tiba-tiba sahaja istilah ``Al-Qaeda'' tercipta dengan seribu satu macam keganasan dilabelkan kepadanya.

Nama Osama bin Laden secara tiba-tiba juga terpahat di benak AS dan konco-konconya sebagai manusia paling jahat dan paling berkuasa mencetuskan segala keganasan dan kemusnahan di dunia ini, termasuk memusnahkan menara kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Kita tidak pernah mendengar kuasa yang amat besar yang dikatakan berada di tangan Osama bin Laden itu. Namanya mungkin hanya dikenali di beberapa daerah yang sempit dan terhad di dunia yang serba moden dan maju ini. Kita pun tidak pernah mengetahui bahawa Al-Qaeda itu mempunyai kekuatan luar biasa sehingga mampu mengalahkan kuasa terbesar dunia, dan merancang satu serangan di ruang angkasa yang amat kebal dan perkasa seperti ruang udara AS.

Oleh itu kita sebenarnya berasa bingung dan tidak dapat mempercayai bahawa kuasa Osama dan Al-Qaedanya begitu perkasa dan hebat, sedangkan Osama dan Al-Qaeda hanya beroperasi secara serba daif dari pergunungan yang jauh dari tamadun dunia, dengan kelengkapan senjata dan peralatan yang ketinggalan zaman dan tidak dapat digunakan seperti senjata canggih yang dimiliki oleh kuasa besar dunia di AS dan Eropah.

Maka musuh pertama yang menjadi mangsa ialah Afghanistan. Umat Islam yang dimusuhi ialah umat Islam yang pada suatu ketika dulu telah berjuang di bawah telunjuk AS untuk mengalahkan tentera Rusia. Negara Afghanistan dihubungkan dengan Al-Qaeda. Umat Islam di sana dikatakan menerima arahan daripada Osama. Oleh itu menurut Bush negara itu adalah negara pengganas yang mesti dihapuskan.

Maka negara AS pun dengan sokongan kuat kerajaan British, terus melancarkan serangan habis-habisan ke atas negara Afghanistan dan rakyatnya, mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Banyak harta benda rakyat Afghanistan dihancurkan atas slogan memerangi keganasan dan membebaskan dunia dari Al-Qaeda dan manusia ganas bernama Osama.

Serangan itu tentulah tidak mendapat tentangan dari kerajaan dan rakyat Afghanistan ketika itu yang rata-ratanya adalah lemah dan mundur. Takkanlah senapang buruk dan kurang berfungsi, akan dapat melawan senjata canggih automatik yang dibawa oleh tentera musuh.

Ruang udara dan darat tentulah menjadi kawalan pihak penceroboh dengan segala keupayaan teknologi baru sebagai senjata pemusnah yang amat berkesan. Maka dalam masa yang singkat sahaja, Afghanistan dapat ditakluki dan dikalahkan. Kerajaan yang sedia ada dijatuhkan dengan mudah mengikut apa yang dirancangkan oleh negara yang menjadi polis dunia itu.

Sejak itu nama Al-Qaeda dan Osama menjadi simbol keganasan yang amat ketara dan hebat di seluruh dunia. Imejnya amat menonjol di empat penjuru alam sebagai imej ganas dan jahat yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini. Maka dengan amat cepat sekali, imej dan gambaran ini menjadi popular dalam masyarakat dunia dan menjadi bahan serangan dari semua orang ``yang cintakan keamanan'' mengikut istilah AS.

Oleh itu kita tidak berasa hairan jika kuasa besar dunia dan sekutunya itu sekarang ini sedang mencari jalan untuk menghubungkan Iraq dengan Al-Qaeda dan Osama. Apabila Iraq dapat dikaitkan dengan ketua ``pengganas'' dan kumpulan ganas Islam itu, maka AS dan sekutunya akan dapat menjustifikasikan peperangan ke atas Iraq dengan alasan yang sama yang diberikan ketika mereka menyerang Afghanistan.

Tetapi nampaknya nada negara Eropah ketika ini agak berbeza. Sesetengah negara Eropah bangun menentang dasar AS yang bercadang untuk menyerang Iraq, sehingga semangat perang yang berkobar-kobar di dalam sanubari George W. Bush, Tony Blair dan teman mereka dari Australia, John Howard menjadi agak muram. Rakyat mereka sendiri dengan peratusan yang tinggi bangun bertindak menentang niat kerajaan mereka untuk menyerang Iraq. Maka nada sombong dan bongkak di kalangan panglima perang tiga serangkai itu mulai berubah ditiup angin penentangan puluhan juta umat manusia di seluruh dunia yang mengutuk niat jahat mereka itu.

Bagaimanapun, bagi kita umat Islam, yang mungkin masih kita nanti adalah peperangan secara besar-besaran terhadap negara Iraq yang masih tidak menentu dan tidak dapat ditelah waktu dan ketikanya. Yang nyata dan sedang berlaku sekarang ini ialah permusuhan dan sikap prejudis yang wujud di kalangan masyarakat yang sengaja mengambil isu keganasan dan peristiwa 11 September, untuk melahirkan permusuhan mereka terhadap umat Islam dan sentiasa melihat imej yang buruk pada wajah agama Islam dan para penganutnya di mana saja mereka berada, sama ada di Timur, di Barat, di Utara dan Selatan.

Permusuhan secara psikologi dan mental sedang berlaku di dalam masyarakat Islam di Barat. Malah gangguan secara kekerasan dapat dibacakan beritanya sedang berlaku, walaupun dalam kadar yang terhad. Namun dari kenyataannya, nampaknya masyarakat Islam sering menghadapi gangguan dan pencerobohan selepas peristiwa 11 September itu. Saya percaya sekiranya umat Islam tidak segera mengambil tindakan memperkasakan kekuatan mereka dalam berbagai-bagai aspek dan kemajuan semasa yang dikuasai oleh umat lain, maka selama itulah umat Islam akan terus menyanyikan nada lama. Mereka akan terus berada di bawah telapak kaki kuasa besar dan dunia maju di luar masyarakat Islam.

Ketika Afghanistan diserang, dan rakyatnya dibunuh, maka yang dapat dilakukan oleh umat Islam hanyalah berdoa dan meminta kepada Allah agar peperangan itu segera berakhir dan tidak ramai orang Islam yang terbunuh. Umat Islam juga berdoa agar Allah mengalahkan musuh Islam, musuh agama, dan memusnahkannya sama sekali. Hal inilah sahaja yang dapat dilakukan oleh orang Islam, kerana dari segi yang lain, tidak terdapat sebarang tindakan yang boleh dilakukan oleh mereka.

Kerajaan negara-negara Islam pula hanya sekali sekala dapat bersidang, sama ada melalui forum Liga Arab atau Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC), dan mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu. Kerajaan negara Islam juga tidak mampu melakukan sesuatu tindakan lain yang lebih berkesan, kerana kebanyakan negara Islam berada dalam keadaan yang lemah, ketinggalan dan keadaan dalaman negara sendiri mengalami kemerosotan, kekacauan dan sebagainya.

Maka pada ketika inilah, iaitu ketika negara Afghanistan diserang oleh AS, orang Islam segera mengisytiharkan perang terhadap AS iaitu peperangan ``jihad'' bagi menghadapi musuh Islam itu. Dunia Islam menyaksikan seruan yang amat lantang untuk umat Islam pergi berjihad di samping saudara seislam di Afghanistan menentang penceroboh. Hal ini berlaku juga di negara kita, apabila terdapat kalangan umat Islam yang amat bersemangat untuk berjihad di sana, walaupun kebanyakan orang yang mengeluarkan seruan itu hanya sekadar berbicara dengan lisan, tetapi tidak pernah dibuktikan dengan perbuatan. Malahan mereka sendiri tidak sanggup untuk bertindak mengangkat senjata di sana berjuang di medan peperangan menentang serangan yang dilancarkan ke atas negara tersebut.

Sekarang ini pun apabila terdapat ancaman AS dan sekutunya untuk menyerang Iraq, di kalangan orang Islam sekali lagi mengeluarkan seruan sebagai fatwa bahawa umat Islam seharusnya pergi berjihad menentang penyerang itu dengan berperang dan mengangkat senjata di medan pertempuran.

Sebab itulah telah saya katakan bahawa pertembungan di antara orang Islam dan penjajahan Barat yang berterusan, termasuk tindakan mereka menggunakan kekerasan dan kekuatan senjata untuk melemahkan umat Islam dan menukar kerajaan yang tidak mereka sukai kerana tidak selari dengan dasar penjajahan mereka, akan terus berlaku.

Selepas Afghanistan diserang dan digantikan kerajaannya, maka sekarang ini Iraq pula yang menjadi sasaran, iaitu dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah untuk digantikan dengan kerajaan lain yang dapat menyesuaikan dengan dasar dan kehendak mereka. Selepas Iraq, tentu ada lagi negara Islam yang akan dijadikan sasaran, dan bagi AS alasan untuk menjatuhkan kerajaan negara Islam itu amatlah mudah, iaitu dengan alasan memerangi keganasan dan Al-Qaeda, memerangi saki-baki pengikut Osama, maka semuanya itu agak mencukupi untuk menjustifikasikan tindakan ketenteraan yang mereka lakukan.

Oleh itu umat Islam akan terus-menerus melaungkan jihad bersenjata dan berperang ke atas kerajaan kuasa besar dunia itu, sedangkan jihad yang sebenarnya untuk meningkatkan ekonomi, teknologi dan kemajuan ilmu pengetahuan umat Islam tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, kerana jihad dalam bidang ini telah dilupakan oleh jihad yang berbentuk peperangan dan kekuatan senjata.

Oleh itu saya berpandangan bahawa umat Islam dalam menghadapi ancaman yang besar pada hari ini, haruslah mengambil semangat jihad yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad s. a. w., bahawa peperangan itu merupakan jihad yang kecil, tetapi peperangan melawan nafsu itu adalah merupakan jihad yang besar. Kita seharusnya memperluaskan konsep ini, bahawa peperangan bersenjata itu, apalagi ketika kita amat tidak mampu melakukannya dengan berkesan merupakan jihad yang kecil. Dan jihad kita yang paling besar pada masa kini ialah mempertingkatkan martabat dan kekuatan umat Islam dalam semua bidang kehidupan mereka sebagai jihad yang besar.

Menghapuskan kemiskinan dan kejahilan, mempertingkatkan pendidikan generasi akan datang, menguasai bidang teknologi dan industri serta berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan yang lain adalah merupakan jihad yang seharusnya dilancarkan oleh semua negara dan umat Islam di dunia pada hari ini.

Syukur kepada Allah, kita lebih dapat melihat jihad yang besar ini di negara kita dengan melakukan berbagai-bagai perjuangan untuk mencapai matlamatnya daripada melihat kepada jihad secara berperang, tetapi kita tidak dapat melakukannya. Jihad kita ialah melawan sifat buruk dan akhlak yang cemar, meningkatkan pelajaran dan ilmu, membasmi kemiskinan, memperkuatkan teknologi dan industri, seterusnya membetulkan imej dan persepsi kita tentang Islam itu sendiri.

No comments: