Wednesday, October 10, 2007

Kebebasan beragama dan dasar penjajahan

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
Saya berharap Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, M.T. Huhtala, akan dapat menyampaikan mesejnya yang terkandung di dalam jawapan kepada surat terbuka saya tempoh hari kepada kerajaannya yang menuduh kita tiada mempunyai dan tidak memberi kebebasan beragama. Dalam laporan Kebebasan Beragama Kelima oleh Jabatan Negara AS, Malaysia telah dimasukkan ke dalam negara-negara yang tiada kebebasan beragama.

Dalam jawapan Duta AS tersebut, di antara lain beliau menulis rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mereka hidup secara demokrasi dalam keadaan aman makmur, berbilang bangsa dan etnik kaum (Utusan Malaysia, Jumaat 12 Disember 2003, halaman 7 Duta AS Jawab Pengerusi Majlis Fatwa). Ungkapan seringkas ini memberi makna yang amat dalam dan penting bagi seorang diplomat mengucapkannya terhadap sebuah negara lain dan saya percaya Duta AS benar-benar ikhlas dan jujur di dalam kenyataannya itu, terutamanya ketika beliau sendiri dapat hidup dan merasai pengalaman tersebut di dalam negara Malaysia yang diakuinya sebagai negara yang demokrasi dan aman damai sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan etnik kaum.

Saya mengharapkan beliau yang mengalami sendiri suasana dan realiti kehidupan rakyat Malaysia dan memahami sistem pemerintahannya yang demokratik, akan dapat menghantar laporan yang benar tentang hak dan kebebasan rakyat negara ini termasuk dalam mengamalkan agama masing-masing.

Laporan yang mengandungi tuduhan yang dibuat tanpa fakta dan perangkaan yang jelas lebih merupakan fitnah yang dilemparkan kepada sesebuah negara dengan tujuan untuk merosakkan nama negara tersebut dan menjatuhkan imejnya di kalangan dunia antarabangsa.

Maka dalam konteks ini, persoalan yang timbul ialah apakah laporan itu mempunyai niat jahat yang tertentu atau semata-mata kerana ingin melahirkan konflik di antara agama di Malaysia supaya berlaku keributan di dalam masyarakat yang aman dan harmoni itu dan pada ketika itu akan mudahlah pihak tertentu untuk mengambil kesempatan menjatuhkan negara ini.

Namun apa sahaja motif dan tujuan laporan dari AS itu, kita amat mengharapkan bahawa laporan lengkap yang dapat menangkis tuduhan itu seharusnya disediakan oleh kedutaan AS di Malaysia sebagai wakil negara AS yang benar-benar mengetahui dan memahami situasi yang sebenarnya di Malaysia, dan kenyataan Duta AS umpamanya, akan dapat menjelaskan secara terperinci tentang kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini, ditambah lagi dengan kenyataan para ketua agama yang mewakili agama masing-masing yang dikeluarkan sebagai reaksi terhadap tuduhan berat sebelah itu.

Dalam beberapa tulisan saya yang lalu, terutamanya tulisan yang tersiar di dalam ruangan ini pada 14 Disember 2003, telah saya jelaskan tentang konsep kebebasan beragama menurut perspektif Islam dan amalan umat Islam di Malaysia yang ternyata amat bersesuaian dengan ajaran Islam tersebut.

Amalan tersebutlah yang sebenarnya telah menghasilkan kehidupan yang harmoni di antara kaum di negara ini, dan dalam keharmonian itulah rakyat dan kerajaan telah dapat menumpukan usaha bersama untuk membangunkan negara ini menuju negara maju pada tahun 2020. Tanpa keharmonian kaum, keamanan dan keselamatan di dalam negara, Malaysia tidak mungkin akan dapat membangun dengan makmur seperti dapat dilihat pada hari ini, dan Duta AS mengakui sendiri tentang hakikat ini di dalam kenyataannya itu.

Hal inilah yang saya rasa kerajaan AS dapat mempelajarinya dari negara kita, kerana apalah ertinya membicarakan kebebasan beragama di kalangan pelbagai kaum, sekiranya rakyat menderita tertindas dan teraniaya seperti dilakukannya di Iraq dan Afghanistan. Di Iraq umpamanya selepas beberapa lama mereka `dibebaskan' dari rejim dan sistem lama, malah Saddam telah pun ditangkap, penyokongnya dilemahkan dan rakyat dikatakan menerima kehadiran AS di sana, tetapi rakyat masih mengalami kehidupan yang susah, mereka masih tidak dapat menikmati air bersih, bekalan elektrik yang baik, jumlah pengangguran yang berlipat ganda, harga barang yang naik melambung dan berbagai-bagai masalah yang dihadapi rakyat di sana, di samping kehidupan yang penuh dengan ketakutan dan kebimbangan, nyawa yang sering terancam, dan seribu satu masalah lain yang mereka sedang hadapi, walaupun negara mereka telah `dibebaskan'.

Apakah dalam keadaan yang serius dan kritikal seperti ini, kerajaan AS masih dapat mempersoalkan masalah di dalam negara orang lain, apatah lagi yang dipersoalkan itu adalah sesuatu yang tidak diketahui hakikat sebenarnya? Apakah keadaan di dalam Malaysia akan dapat disamakan dengan keadaan di dalam negara Palestin sehingga Malaysia termasuk di dalam kelompok negara yang sama dengan Israel? Kerajaan Israel setiap hari merobohkan kediaman orang, membunuh dan mengambil nyawa orang, termasuk nyawa kanak-kanak dan anak muda yang tidak berdosa?

Mungkin Duta AS di Malaysia akan dapat melaporkan kepada kerajaannya berapa banyakkah letupan senapang atau meriam yang kedengaran di negara kita kerana pergaduhan kaum pelbagai agama? Berapa ramaikah orang yang telah terbunuh kerana berperang sesama sendiri disebabkan perbezaan agama? Yang nyatanya, seperti yang diakui oleh duta tersebut, bahawa Malaysia adalah negara yang demokrasi, aman damai di antara kaum dan berbilang agama. Malah hal ini akan dapat disaksikan sendiri dalam musim perayaan yang tiba berturut-turut, iaitu dari perayaan Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi, di samping perayaan-perayaan kaum dan agama lain, termasuk kaum minoriti yang diberi status dan kedudukan yang sama dengan kaum lain yang lebih ramai bilangannya.

Sebenarnya, seperti pernah saya tegaskan di sini tidak ada sesiapa pun yang berhak menyentuh nilai dan ajaran agama yang mempunyai kaitan dengan akidah agama. Orang Islam tidak pernah membangkitkan isu yang menyalahi agama mereka tentang Nabi Isa yang diiktikadkan sebagai anak Tuhan dalam agama Kristian umpamanya. Orang Islam dan pengikut agama lain juga tidak pernah membangkitkan isu kepercayaan para pengikut agama Hindu yang menyakitkan diri mereka dengan benda-benda tajam pada perayaan Thaipusam, demikianlah juga dalam amalan dan ritual para pengikut berbagai-bagai agama yang terdapat di Malaysia ini yang tidak menimbulkan sebarang konflik sehingga membawa kepada pergaduhan dan keganasan. Malah penganut Islam tidak pernah mempersoalkan kewajaran gereja Katolik melantik paderinya yang terdiri daripada seorang pengamal seks sejenis seperti yang berlaku di Barat baru-baru ini, kerana hal itu adalah merupakan urusan dalaman para pentadbir dan penganut agama tersebut.

Oleh itu saya fikir tidak ada sesiapa pun yang boleh mempersoalkan larangan Islam terhadap para pemeluknya yang berhasrat meninggalkan agama Islam, kerana sebagai satu kontrak agama yang seharusnya dihormati oleh pemeluknya, maka Islam melarang pemeluknya meninggalkan agama yang telah dipeluknya itu.

Hal ini jelas diamalkan di dalam agama Islam, dan selama ini tidak menimbulkan banyak masalah sehingga perkara itu telah diandaikan sebagai satu keadaan yang mencabul kebebasan beragama bagi orang Islam. Laporan tersebut yang menyentuh hal ini, adalah merupakan satu kenyataan yang mencampuri urusan dalaman ajaran agama Islam, dan pencabulan hak agama ini secara yang amat tidak adil daripada pihak yang mengeluarkan laporan Kebebasan Beragama Kelima tersebut.

Saya pernah menghadiri satu perjumpaan pelbagai agama yang diadakan di AS lebih lima tahun yang lalu, iaitu perhimpunan ketua-ketua agama The Parliament of Worlds' Religions. Perakuan dan resolusi yang dibuat di dalam perjumpaan tersebut tidak menyentuh sebarang nilai dan ajaran yang merupakan kepercayaan dan akidah agama masing-masing. Ketua-ketua agama sebaliknya bersetuju bahawa semua penganut agama dunia seharusnya berusaha mencari titik persamaan di antara semua agama yang lebih berbentuk nilai sejagat dan ajaran universal. Semua pemeluk seharusnya komited kepada nilai-nilai sejagat ini dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, seperti menghormati sesama manusia, bersimpati kepada orang yang lemah dan susah, menghormati nyawa dan harta benda orang lain, dan sebagainya.

Hakikatnya hal inilah yang terlaksana di Malaysia pada masa kini, iaitu yang menyaksikan bagaimana semua rakyat dari berbagai-bagai agama sering mengamalkan nilai-nilai universal yang baik, yang bersimpati dan saling membantu dalam urusan kemanusiaan dan sebagainya. Dasar negara ini yang berasaskan kesamarataan rakyat dalam politik negara, iaitu berkongsi kuasa, juga tidak meletakkan sebarang perbezaan agama sebagai kriterianya. Semua kaum diwakili di dalam kerajaan secara adil dan demokrasi. Hal ini merupakan satu perkara yang amat unik bagi negara ini.

Dari sudut yang lain, kehadiran rumah dan tempat-tempat ibadat bagi semua agama di Malaysia merupakan satu pandangan biasa, dan hal ini dihormati oleh rakyat serta dilindungi oleh kerajaan. Undang-undang yang seharusnya dipatuhi ketika mendirikan rumah ibadat pelbagai agama juga sebenarnya berkuat kuasa kepada agama Islam, kerana undang-undang juga seharusnya dipatuhi ketika terdapat permohonan untuk mendirikan masjid dan surau, malah terdapat di sesetengah tempat di Malaysia yang bilangan gereja atau kuil melebihi bilangan masjid menurut faktor kepadatan dan statistik penganut agama tertentu.

Pendeknya orang yang tertutup mata hatinya sahaja yang akan mengatakan bahawa Malaysia tidak memberikan kebebasan beragama kepada rakyatnya. Oleh itu sekiranya terdapat tuduhan seperti ini, maka tuduhan itu tentulah mempunyai motif tersendiri yang tersembunyi. Seperti kata Duta AS, kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup di dalam negara yang demokrasi, aman damai dan makmur, dengan merujuk kepada penduduknya yang berbilang kaum dan agama. Apakah dalam hal ini AS masih mahu menafikannya?

No comments: