Wednesday, October 10, 2007

Nasib malang umat Islam

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
MUNGKIN tidak pernah berlaku dalam sejarah umat kita, kuasa luar secara langsung dapat mentadbir dan menentukan apakah dasar dan perkara yang dapat kita lakukan, baik sebagai pemimpin atau rakyat biasa. Tetapi hal inilah yang berlaku di negara Palestin, sehinggakan tanah perkuburan untuk Presidennya Yasser Arafat yang meninggal dunia menjelang Hari Raya lalu, harus ditentukan oleh rejim Israel. Untuk membawanya keluar bagi mendapatkan rawatan perubatan di luar negara, dan seterusnya untuk membawa kembali jenazahnya bagi dikebumikan di dalam negeri sendiri, semuanya ini haruslah mendapatkan keizinan Israel. Pemerintah zalim itu hanya membenarkan jenazah Arafat dikebumikan di Ramallah, maka di situlah dikebumikan jenazahnya.

Seorang pemimpin Israel berkata bahawa mereka tidak akan membenarkan mayat seorang ketua ``pengganas'' dikebumikan di Jerusalem, maka perintah itu haruslah dipatuhi oleh umat manusia seluruh dunia. Lalu kerandanya dibuat daripada batu, dengan harapan pada satu hari nanti, keranda batu itu akan dapat dipindahkan ke Jerusalem. Persoalannya, apakah masa yang diharap-harapkan itu akan tiba? Dan bilakah masanya? Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.

Selain daripada itu, tidak kira bulan puasa atau bulan raya, hari baik atau bulan baik, nyawa dan harta benda manusia di Iraq, Palestin dan tempat lain sentiasa diancam, dicabut dan dimusnahkan. Bulan Ramadan yang merupakan bulan suci dan bulan ibadat bagi orang Islam, langsung tidak diendahkan lagi oleh Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya. Ketika pihak Barat dan pejuang hak asasi manusia sering memperkatakan tentang demokrasi, semua jentera dan tentera dikerah untuk melakukan pembunuhan dan penghapusan harta benda dan infrastruktur milik orang Islam, di tempat-tempat yang tersebut.

Kini, sesudah seminggu kita berhari raya, keadaan nampaknya tidak reda, malah semakin hebat tekanan dan penghinaan yang dilakukan terhadap masyarakat kita orang Islam. Maruah dan peribadi Islam berada pada tahap yang paling rendah, malah di Iraq umpamanya, ketika tentera AS dan sekutunya bertindak membunuh orang Iraq dan memusnahkan rumah tangga mereka, Perdana Menterinya yang berketurunan Iraq, turut merestui tindakan itu, dan askarnya turut bertindak membunuh sesama sendiri.

Terlalu banyak nampaknya darah yang mengalir dalam bulan Ramadan dan bulan Syawal tahun ini, dan kebanyakannya adalah darah orang Islam yang tidak berdosa. Mengikut kajian yang dijalankan oleh sebuah institusi di AS, di Iraq sahaja kira-kira 100,000 orang awam telah terbunuh sejak pendudukan AS dan sekutunya. Angka ini tentulah telah meningkat berlipat ganda dengan pembunuhan terbaru yang berlaku di Fallujah dan di tempat-tempat lain di bumi Iraq, bumi para nabi, itu.

Penduduk Palestin yang selama ini bermandikan darah kerana perbuatan pihak berkuasa zionis yang kejam, terus-menerus mengalami dan menyaksikan segala macam peluru menembusi kulit dan badan mereka, membunuh sesiapa sahaja, termasuk anak kecil dan bayi. Malah tidak jauh dari kita, di Tak Bai, Selatan Thailand baru-baru ini telah disaksikan ratusan nyawa melayang, terbunuh di tangan tentera.

Peristiwa berdarah dan pembunuhan sesungguhnya merupakan malapetaka yang amat serius, terutamanya apabila kita menginsafi bahawa nyawa dan jiwa manusia adalah satu perkara yang amat mulia dan suci mengikut ajaran agama kita. Dan kerana hakikat inilah Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa sesiapa yang bertindak membunuh satu jiwa, tanpa hak, maka sesungguhnya seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia, dan demikianlah sebaliknya, sesiapa yang berusaha menghidupkannya, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seluruh umat manusia.

Hal ini tentulah menjadi lebih bererti lagi di dalam bulan Ramadan yang mulia dan berkat. Ini kerana mengata, mengumpat, menyakiti hati orang lain walau sekecil mana sekalipun tetap menjadi pantang larang yang sentiasa dihormati oleh umat Islam, maka apatah lagi mengambil nyawa orang lain, mengebom, menembak, memenggal kepala dan seribu satu cara lain yang dilakukan untuk membunuh orang, termasuk pembunuhan yang dilakukan oleh orang Islam sesama sendiri, atau terhadap orang bukan Islam.

Amat menyedihkan lagi, bahawa tragedi ini akhirnya turut menjangkiti masyarakat serumpun, seagama dan saudara seakidah kita di negara jiran, dengan berlakunya pembunuhan dan kematian di Tak Bai.

Peristiwa itu amat mengejutkan kerana sejak turun-temurun, kita merasai nikmat keamanan dan perdamaian. Selatan Thailand, yang dikenali dengan nama Pattani itu, telah banyak meninggalkan warisan keilmuan dan keagamaan sehingga terdapat sebilangan alim ulama yang merupakan hasil keluaran bumi tersebut.

Maka persoalan yang timbul akibat pembunuhan ke atas umat Islam di daerah tersebut amatlah besar dan mengelirukan. Kenapakah hal ini harus berlaku di bumi rantau kita ini?

Saya masih teringat ketika zaman kanak-kanak di kampung dulu, salah seorang yang sering menjadi imam di surau kami dan mengajar ilmu agama kepada penduduk kampung, adalah seorang yang telah menerima pendidikan agama di Pattani. Namanya dilabelkan dengan panggilan ``lebai'', iaitu Lebai Dolah, kerana panggilan ini cukup besar bagi orang kampung memberi penghormatan kepada orang yang berilmu agama.

Sehingga sekarang saya masih teringat beberapa perkara hukum agama yang diajarnya dan masih merupakan pengetahuan agama yang saya terima dan amalkan. Hal ini bagi sesetengah kita adalah satu keberkatan daripada seorang guru agama, dan itulah guru yang mengingatkan kami tentang bumi Pattani. Ketika itu untuk mengembara ke Pattani bagi mempelajari ilmu agama bukanlah perkara yang mudah seperti sekarang. Maka nama Pattani dan hubungannya dengan ajaran agama, amatlah penting kepada kami orang kampung, dan saya percaya hal yang sama juga menjadi pegangan orang Melayu di seluruh nusantara.

Bagaimanapun keadaan berubah, dan akhirnya suasana menjadi amat berbeza sehingga membawa kepada tragedi berdarah baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi peristiwa itu berlaku, ketika semua orang Islam sepatutnya dapat merasakan kedamaian dan keamanan seperti yang kita alami iaitu dapat berpuasa dalam aman dan makmur, bersembahyang tarawih dan bertadarus al-Quran, merasai jamuan berbuka puasa dan moreh yang lazat dan penuh dengan kemesraan sesama saudara seagama. Tetapi tiba-tiba, senapang dan senjata meletup, dan mereka mati dibunuh, akibatnya keluarga mereka mengalami trauma sedih dan marah, dan dunia mereka tentulah terasa amat gelap dan buntu.

Ketika saya diminta untuk sama-sama menyertai satu perjumpaan anjuran Bahagian Keselamatan Negara kita dengan pihak perwakilan negara Thailand yang diketuai oleh seorang jeneral yang berjawatan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Thailand, selepas peristiwa berdarah tidak lama dulu yang melibatkan kematian dan pencemaran sebuah masjid, banyak perkara yang telah disentuh dan dibincangkan. Di dalam perjumpaan tertutup itu perbincangan dibuat secara berterus terang, pandangan ikhlas dari hati ke hati atas semangat kejiranan dan bangsa yang mewarisi budaya yang sama, iaitu budaya dan nilai benua Asia yang penuh toleran dan hormat-menghormati sesama sendiri.

Nampaknya kedua-dua belah pihak dapat memahami persoalan dan beberapa isu yang mutakhir ini yang menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat orang Islam selatan Thailand dengan pihak berkuasa negara mereka.

Maka dalam konteks ini, seperti yang diumumkan bahawa pucuk pimpinan kita menawarkan apa saja pertolongan terutamanya dalam mewujudkan satu masyarakat Islam yang lebih stabil dari segi kefahaman Islam dan world viewnya. Malah kerajaan Thailand sendiri haruslah juga lebih sensitif dengan pembangunan fizikal, spirituil, kebendaan dan sebagainya bagi masyarakat Islam itu sendiri, termasuk kesucian masjid, dalam apa keadaan sekalipun.

Hal ini sebenarnya merupakan satu formula pembangunan satu bangsa di mana-mana sahaja di dunia ini. Malah ketegangan dan krisis yang berlaku antara rakyat dengan kerajaan, seharusnya dilihat dari persepsi dan logik yang sama, iaitu apabila berlaku ketegangan, maka kedua-dua belah pihak haruslah menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dalam konteks ini, masyarakat Islam di sana tentulah akan dapat memahami krisis ini di dalam diri mereka sendiri, dan sebab musababnya, dan kerajaan Thailand juga tentulah mempunyai kelemahannya sendiri dalam layanannya kepada masyarakat minoriti yang berbeza agama itu. Berdasarkan hal ini, sepatutnya kedua-dua belah pihak haruslah mencari satu platform yang lebih sesuai untuk menyelesaikan masalah mereka bersama.

Saya beranggapan bahawa cara bertindak balas beberapa buah kerajaan terhadap apa yang mereka labelkan sebagai keganasan, atau yang dianggap sebagai keganasan global itu, terutamanya yang ditujukan kepada penganut Islam, adalah terlalu berorientasikan kepada pendekatan cara AS atau America-centric, iaitu dengan menggunakan kekerasan, menggunakan cara tentera. Cara ini sebenarnya bukan mengurangkan keganasan itu, malah akan lebih menyemarakkan lagi kebangkitan pengganas dan ancaman keganasan. Tindakan ketenteraan seperti yang berlaku sekarang ini, akan membangkitkan lebih banyak kemarahan dan penentangan secara kekerasan. Malah kegagalan masyarakat dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, untuk melihat keganasan ini dari kaca mata kedua-dua belah pihak yang bertentangan, akan menyebabkan lebih banyak merebaknya tindakan keras dan ganas terhadap pemerintah yang tertentu. Maka akhirnya tindak balas orang Islam itulah yang dipersalahkan sebagai tidak demokratik, ganas dan sebagainya.

Apakah dalam hal ini pemerintah di benua Asia ini juga harus bertindak kasar seperti yang dilakukan oleh AS ke atas rakyat Iraq, atau seperti kerajaan Israel, yang bertindak kejam ke atas rakyat Palestin? Sesungguhnya budaya orang Timur ini amatlah berbeza daripada budaya dan tradisi Barat, termasuklah dalam pentadbiran negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

Kita tentulah tidak mahu lagi melihat dalam dunia bertamadun ini, apabila satu kekerasan itu hendak dilakukan, malah telah diketahui dari awalnya lagi, bahawa itu adalah satu kekerasan, lalu dilakukan juga. Kemudian apabila timbul kritikan dan kecaman, maka pihak yang melakukan kekerasan itu akan mengambil jalan mudah, iaitu memohon maaf, agar kekerasan itu segera dilupakan. Nyawa puluhan orang telah diragut dengan kejam, permohonan maaf tentulah tidak dapat ditukar ganti dengan nyawa yang telah melayang itu, sebaliknya hal ini lebih memarakkan lagi api emosi yang meluap-luap untuk menuntut bela.

Sungguhpun Hari Raya merupakan hari untuk kita bergembira, dan sememangnya kita di negara ini gembira dan bahagia, tetapi jauh di lubuk hati, kita sebenarnya amat berdukacita dan sedih dengan nasib yang menimpa umat kita di seluruh dunia yang bergolak. Nampaknya bulan Ramadan yang mulia bagi kita, tidak lagi dihormati dan dihargai, malah di dalam bulan suci itulah orang mengambil kesempatan melakukan kekejaman terhadap umat yang malang ini.

Namun, bagaimana pedihnya sekalipun luka di dalam hati mengenangkan peristiwa sedih yang menimpa saudara seagama kita itu, tetapi seperti biasa, kita mengharapkan bahawa bulan Ramadan yang baru berlalu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Hayati segala rahsia dan hikmahnya, dan masyarakat Islam di mana-mana sahaja di dalam dunia ini seharusnya belajar bersabar dan berhikmah di dalam tindakan mereka.

Tetapi dengan kemenangan Bush dan dasar luarnya yang kejam itu, apakah kita akan dapat meletakkan harapan bahawa umat Islam akan mendapat pembelaan yang adil? Sama-samalah kita menunggu dan melihat apakah yang akan berlaku selama empat tahun yang akan datang.

No comments: