Wednesday, October 10, 2007

Hormati perasaan orang lain

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


KITA di negara ini sering berfikir dan menyangka bahawa orang yang bencikan segala pertunjukan hiburan, terutamanya konsert, ialah para alim ulama kita, atau orang-orang Islam yang alim dan warak. Merekalah yang selalu membuat bantahan, protes dan menyuarakan bangkangan yang tidak berkesudahan ketika terdapat beberapa pihak yang ingin menganjurkan pertunjukan pentas dalam bentuk konsert.

Tetapi rupa-rupanya anggapan ini salah, kerana pada minggu lalu kita membaca di dalam media yang menceritakan bahawa para pengikut agama Buddha yang diketuai oleh para saminya telah melontar bom ke arah penonton konsert Shah Rukh Khan yang diadakan di Colombo, Sri Lanka. Lontaran bom itu telah mengorbankan dua orang penonton dan 11 yang lain cedera. Berita itu menyambung bahawa nasib baik raja Bollywood yang sedang rancak menyanyi dan menari dengan ditonton oleh ribuan manusia itu, tidak tercedera.

Jadi yang melontar bom ke arah pertunjukan konsert itu bukanlah ``pengganas'' Islam, atau konco-konco Al-Qaeda yang diterajui oleh Osama bin Laden, atau puak pelampau yang terdiri daripada alim ulama atau orang Islam ``yang taksub melulu'', yang bencikan pertunjukan hiburan, terutamanya hiburan dalam bentuk konsert. Tetapi kejadian itu berlaku, menurut berita tersebut lagi, ialah berpunca daripada perasaan marah para sami Buddha yang telah mengatur tunjuk perasaan sebelum konsert itu diadakan lagi.

Rusuhan

Berita tersebut juga menjelaskan bahawa beberapa jam sebelum pertunjukan bermula, ramai penunjuk perasaan yang diketuai oleh sami-sami Buddha yang menganggotai Parlimen, bergelut dengan polis pencegah rusuhan berhampiran dengan tapak konsert.

Dengan itu nampaknya bukan hanya para alim ulama Islam sahaja yang bencikan konsert, malahan para sami Buddha juga berasa marah dan seterusnya membantah pertunjukan konsert celebrity terkenal dari India itu. Hal ini menjadikan kita berfikir bahawa bantahan orang-orang agama itu dan tentulah mempunyai sebab yang tertentu, walaupun sebab dan alasan mereka agak berbeza. Tetapi dalam kes bantahan para sami Buddha ini tentulah agak serius, sehingga tunjuk perasaan itu telah bertukar menjadi ganas dengan lontaran bom yang memakan korban nyawa dan mencederakan banyak orang.

Cuma kita di sini, bagaimana marah dan geramnya hati para alim ulama terhadap pertunjukan konsert, tidaklah sampai berlaku sesuatu tindakan ganas yang boleh membawa kepada lontaran bom yang mengorbankan nyawa penonton. Ulama kita hanya marah dengan mulut, dan `bom' yang mereka lontarkan hanyalah bom mulut dan kata-kata tajam yang disiarkan di dalam media. Namun begitu apabila terdengar sahaja bantahan ini maka bukan main lagi riuh-rendah suara orang yang mempertikaikan pendirian para ulama itu, atau mengecapnya sebagai orang-orang yang telah pun ``ketinggalan zaman, masih hidup pada zaman batu'' dan sebagainya.

Sebenarnya para sami Buddha yang bertindak kasar membantah pertunjukan konsert ini menurut berita tersebut, ialah kerana konsert ini diadakan ketika masyarakat Sinhala yang beragama Buddha, dan yang merupakan penduduk majoriti di Sri Lanka, sedang memperingati ketua sami mereka, Gangdowila Soma, yang meninggal dunia semasa lawatan ke Moscow pada tahun lalu. Maka mereka berasa amat tersinggung, bahawa ketika mereka bersedih dan menghormati seorang ketua agama yang meninggal dunia setahun yang lalu, tiba-tiba orang lain bersuka ria dan berhibur hati dengan konsert yang diimport dari India dengan para celebrity yang amat mencukupi untuk menarik perhatian ribuan penduduk Colombo.

Kemarahan inilah yang mencetuskan kekacauan dan membangkitkan emosi mereka, kerana dengan itu mereka berasa bahawa orang lain tidak tahu menghormati ketua agama mereka, dan dengan itu bererti bahawa orang awam dan penganjur konsert ini tidak bersimpati kepada agama dan pemimpinnya. Maka untuk melahirkan rasa marah inilah mereka telah bertindak begitu rupa sehingga mengorbankan nyawa manusia.

Berdasarkan hal ini, maka kita dapatlah mengambil kesimpulan bahawa sesiapa sahaja yang membantah sesuatu pertunjukan hiburan, terutamanya konsert seperti ini, sama ada mereka itu pengikut agama Islam atau lainnya, adalah kerana mereka mempunyai alasan-alasan yang tertentu. Tetapi orang yang mahu berniaga, iaitu pihak penganjur dan orang yang mahu berhibur, iaitu para penonton yang menghadiri pertunjukan itu, sering kali tidak sedikit pun peka dengan perasaan orang lain, terutamanya apabila alasan yang diberikan adalah berdasarkan ajaran atau nilai moral keagamaan, malah terdapat pula mereka yang memperkecil-kecilkan perasaan orang lain itu.

Hal inilah yang sebenarnya terjadi, apabila para ulama kita membantah pertunjukan konsert, iaitu kerana mereka mempunyai alasan yang tertentu, bukan hanya untuk membantah semata-mata.

Di negara kita juga pernah kita alami hal yang sama, iaitu ketika mahu merayakan hari kebesaran agama, seperti hari keputeraan Nabi Muhammad atau menyambut tahun baru Hijrah umpamanya, maka pada malam itulah juga terdapat orang yang menganjurkan konsert gila-gila di stadium besar, atau di tempat lapang yang lain, seolah-olah tidak ada lagi masa lain untuk mereka memilihnya untuk diadakan pertunjukan pentas atau konsert itu.

Hal ini tentulah menimbulkan kemarahan orang yang peka dengan agama, dan yang ingin menyambut hari kebesaran agama itu dengan penuh hormat. Maka sekiranya pada masa yang sama itu juga, orang lain, sama ada disedari atau tidak, menganjurkan pula pertunjukan pentas yang menarik puluhan ribu penonton, maka alim ulama kita menjadi radang dan marah, dan apabila mereka marah serta bercakap lantang sedikit, maka banyaklah pula reaksi sinis dan negatif yang dilemparkan kepada para alim ulama itu.

Saya masih ingat, hal ini pernah berlaku, iaitu pada malam hari kebesaran agama kita itulah, terdapat kalangan tertentu yang menganjurkan konsert yang dibawa dari luar negara, yang sememangnya amat terkenal dengan namanya yang masyhur, dan berkemampuan menarik puluhan ribu muda-mudi membanjiri pertunjukan tersebut. Malah di dalam pertunjukan dan konsert inilah anak-anak muda akan terkinja-kinja menari sehingga lupa daratan. Maka hal ini tentulah akan dibantah oleh orang Islam.

Akhirnya, bantahan rasmi terpaksa dibuat, dan walaupun bantahan itu tidak disertai dengan lontaran bom, tetapi lazimnya pihak penganjur akan menunda tarikh pertunjukan itu. Yang menjadi tanda tanya, kenapakah konsert itu seharusnya diadakan pada malam tersebut? Apakah hal ini berlaku ``secara kebetulan'' atau telah dirancangkan?

Kelakuan

Bagi para ulama Islam, memanglah banyak alasan yang dikemukakan kenapa mereka membantah pertunjukan konsert. Pertama sekali ialah kerana konsert sering menonjolkan kelakuan sesetengah artis, atau sebahagian besarnya, secara yang tidak bersopan, sama ada dari segi pakaiannya yang tidak lagi berbentuk budaya dan cita rasa tempatan, atau kata-kata dan pengucapan mereka yang kurang sedap didengar oleh orang-orang yang bersopan dan bertamadun.

Konsert yang diadakan di tempat lapang juga, terutamanya konsert yang dibawa dari Barat, sering mengundang penonton yang akan berlagak liar dan keterlaluan. Penonton mendapat kesempatan yang besar untuk berkelakuan ganjil dan tidak lagi memelihara batas-batas nilai moral akhlak yang seharusnya dihayati oleh manusia berperadaban. Peluang bercampur gaul secara yang amat bebas di dalam cahaya yang samar-samar itu pula sering membangkitkan nafsu kebinatangan yang tidak terkawal.

Pendeknya banyaklah sebab kenapa pertunjukan pentas dan konsert seperti itu dibantah. Oleh itu pihak penganjur seharusnya menimbang bantahan itu dengan baik, iaitu dengan memilih tempat yang lebih sesuai, mengawal disiplin para artis dengan lebih ketat dari segi penampilan diri dan pengucapan mereka, serta hal-hal lain lagi.

Memang kita juga sedar, bahawa tidak semua alasan yang dikemukakan untuk membantah sesuatu pertunjukan konsert itu rasional dan merupakan pandangan umum masyarakat. Malah diakui juga bahawa sememangnya terdapat di kalangan para pembangkang konsert itu adalah agak keterlaluan, tetapi pada umumnya, apabila terdapat konsert, maka pertunjukan itu haruslah sesuai dengan adab sopan, cara hidup dan budaya kita, dan lebih dari itu haruslah juga menjaga nilai-nilai murni agama serta ajarannya yang menjadi amalan kita di negara ini.

Pada masa-masa yang terakhir ini, nampaknya segala pertunjukan pentas kita sudah tidak terkawal lagi. Sesiapa sahaja boleh menganjurkan konsert, asalkan mendapat kebenaran dan permit pihak yang berkuasa. Kandungan persembahan, tatacara berpakaian dan berkelakuan di atas pentas, termasuk yang disiarkan secara langsung melalui media elektronik ke seluruh negara, tidak menjadi persoalan lagi.

Saya melihat pada suatu ketika dulu, iaitu mungkin pada ketika itu, mentaliti kita masih agak kuno, terdapat juga kod etika berpakaian dan penampilan artis yang telah dikuatkuasakan oleh pihak yang bertanggungjawab, terutamanya bagi pertunjukan pentas yang diadakan di dalam studio televisyen dan disiarkan secara langsung. Artis wanita umpamanya dikehendaki berpakaian sopan, tidak berpakaian tanpa lengan umpamanya, dan artis lelaki yang berambut panjang, akan dipotong rambutnya di atas pentas. Kod etika itu khabarnya masih belum dimansuhkan. Tetapi pada masa kini, iaitu ketika kita telah maju ke hadapan, maka mungkin kod etika itu tidak perlu lagi, tak tahulah saya, kerana nampaknya hanya artis-artis yang mahu menghormati dirinya sahaja yang seolah-olah mahu mematuhi kod etika tersebut, tetapi bagi artis lain yang ingin menampilkan dirinya secara lebih glamor mengikut tafsirannya, maka mereka bebas sekali melakukan apa sahaja, tidak ada sesiapa yang mengawal mereka.

Tetapi baguslah juga penonton dan orang ramai di negara kita agak sabar dan tenang. Kalau mereka tidak sabar, tentulah mereka juga boleh melakukan tindakan seperti para sami Buddha dan pengikut-pengikut mereka di Colombo itu. Tetapi sebagai rakyat yang bertamadun dan maju, saya fikir kita tidak harus melakukan begitu.

Bagaimanapun apa yang berlaku di Colombo itu boleh juga menjadi pengajaran kepada kita, iaitu emosi dan kemarahan orang tidaklah seharusnya dipandang enteng. Maka atas alasan inilah juga saya rasa Shah Rukh Khan dapat berfikir dengan cepat untuk meredakan keadaan, iaitu dengan mengambil tindakan memohon maaf di atas penjadualan konsert itu, dan berjanji untuk mengadakan upacara bertafakur seminit pada permulaan pertunjukan sebagai memperingati ketua sami tersebut. Orang awam pun tidak marah lagi, dan berjayalah kedua-dua belah pihak menghayati konsep ``menang menang'' seperti orang yang berniaga.

No comments: