Wednesday, October 10, 2007

Parti politik bukan agama -- Demokrasi bukan proses memecahbelahkan masyarakat

DALAM program Wanita Hari Ini TV3 pada hari Khamis 11 Mac lalu, saya terdengar satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang sungguh memeranjatkan. Selama ini saya selalu juga mendengar khabar yang menyatakan bahawa di dalam pilihan raya umum pernah berlaku perpecahan rumah tangga, iaitu suami dan isteri bercerai kerana perbezaan parti politik yang mereka anggotai. Tetapi saya terfikir bahawa peristiwa itu mungkin telah berlaku pada satu ketika yang lama dulu, yang saya kira bahawa pada masa itu, orang kita masih belum sangat memahami perbezaan ideologi politik kepartian, atau belum lagi matang dalam berpolitik.

Tetapi panggilan telefon yang saya dengar ini menceritakan hal yang sama, iaitu ketika wanita tersebut memberitahu para panel perbincangan pada hari tersebut, bahawa suami si pemanggil ini telah bertindak menceraikannya kerana si isteri mengundi parti politik yang lain dari suaminya, dan kebetulan pula calon yang mewakili parti si suami itu kalah di dalam pilihan raya tersebut. Yang agak memeranjatkan saya bahawa hal ini berlaku di dalam pilihan raya yang lalu, iaitu dalam pilihan raya umum 1999. Sangkaan saya bahawa rakyat kita telah matang dalam berpolitik sekarang ini nampaknya meleset sekali dengan pembukaan rahsia yang dibuat oleh bekas isteri yang menjadi mangsa tersebut.

Saya selalu terasa juga bahawa kalau beginilah keadaannya cara berfikir rakyat negara kita seterusnya, iaitu terlalu berfikiran sempit dan bersikap taksub yang begitu melulu, maka setiap kali pilihan raya akan banyaklah berlaku kes perceraian dan perpecahan rumah tangga. Akibat perpecahan rumah tangga ini tentulah hanya akan ditanggung oleh suami isteri dan anak-anak mereka sendiri, sedangkan calon yang menang atau yang kalah itu akan membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun saya berharap bahawa perceraian tersebut berlaku hanyalah kerana sebab-sebab emosi dan sentimen yang melulu, kerana selama ini saya pernah juga mendengar bahawa perceraian yang berlaku kerana perbezaan politik ini adalah disebabkan oleh fatwa yang melibatkan akidah orang Islam. Mereka yang terpengaruh dengan fatwa ini akan bertindak menceraikan isterinya, atau jika ia seorang isteri, akan meminta diceraikan oleh suaminya yang dianggapnya telah terkeluar dari Islam kerana tidak menganggotai parti politik yang sama dengannya. Maka kalaulah isu akidah ini telah dilibatkan dengan keanggotaan parti politik, alamatnya umat Islam yang bertindak demikian sesungguhnya telah bertindak di luar batas-batas agama, dan telah terpesong dari ajaran agamanya, sama ada kerana kejahilannya, atau kerana sikap fanatik melulu terhadap sesuatu fatwa yang didengarnya tanpa usul periksa lagi.

Sebenarnya dalam pilihan raya, perbezaan ideologi politik mengikut kepelbagaian parti politik yang bertanding adalah merupakan satu perkara yang biasa dalam proses demokrasi ini. Proses demokrasi ini juga bukanlah satu proses yang diciptakan untuk memecah- belahkan masyarakat, apa lagi sehingga membawa kepada perpecahan keluarga seperti yang telah kita saksikan di dalam masyarakat kita. Saya ingin juga mengetahui adakah perbezaan kefahaman politik kerana perbezaan parti politik ini juga pernah membawa kepada perpecahan keluarga di dalam masyarakat lain, sehingga membawa kepada perceraian di antara suami dan isteri?

Konteks

Pembentukan perbagai parti politik dalam konteks masyarakat Islam bukanlah merupakan satu penjelmaan agama baru yang sama dengan agama Islam dari segi akidah dan syariahnya, kerana agama Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah (subhanahu wa taala) melalui Rasul-Nya yang terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. Selepas turunnya agama Islam, maka tidak ada lagi agama lain yang diturunkan oleh Allah, demikian juga selepas Nabi Muhammad, maka tidak ada lagi nabi atau rasul lain yang diutuskan oleh Allah untuk membawa sebarang agama lain. Dari hakikat ini, kita dapatlah mengambil kesimpulan, bahawa parti politik itu bukanlah agama, dan perlembagaan parti itu pula bukanlah merupakan kitab suci yang sama dengan al-Quran. Parti politik adalah merupakan pertubuhan ciptaan manusia biasa, dan oleh kerana manusia ini sering berbeza-beza pandangan dan pemikirannya, maka lahir pula berbagai-bagai parti politik dengan agenda perjuangannya masing-masing menurut gagasan yang dianuti oleh kumpulan-kumpulan itu.

Oleh itu adalah amat salah sekali sekiranya kita menyamakan parti politik dengan agama sehingga kita memberi pula hukuman bahawa sesiapa yang menganggotai parti yang tertentu itu sahaja yang benar-benar Islam, sedangkan orang lain yang menganggotai parti politik lain tidak dianggap sebagai Islam, iaitu sama seperti hukuman yang kita berikan kepada penganut-penganut agama Islam itu sebagai orang Islam, dan penganut agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain sebagai orang bukan Islam.

Hukuman yang merupakan fatwa agama ini jelas menyeleweng dari landasan agama yang sebenarnya, iaitu samalah sahaja dengan ajaran-ajaran sesat yang lain, terutamanya oleh beberapa orang yang terlalu ghairah menonjolkan dirinya sehingga terdapat di antaranya yang mengaku menjadi nabi atau rasul untuk menyampaikan satu ajaran agama baru kepada orang awam yang sering lahir dari semasa ke semasa.

Berdasarkan hal ini juga, kita sebagai orang Islam wajiblah beriktikad bahawa selepas baginda Rasulullah s.a.w., maka tidak ada lagi seorang insan yang sama dengan status nabi atau rasul utusan Allah, iaitu yang perbuatan atau pengucapannya menjadi sumber syariah. Manusia tetap manusia, ia bukanlah nabi yang menjadi sumber syariah sehingga kita mengatakan bahawa apa yang disebut atau diperkatakan oleh manusia itu adalah merupakan satu ajaran yang sama dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Perbuatan, pengucapan atau sesuatu yang diikrarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan sunah, tetapi apa yang diucapkan oleh seorang manusia biasa itu tidaklah boleh dianggap sebagai sunah.

Hal inilah yang seharusnya difahami dengan teliti oleh umat Islam dalam menghadapi isu agama dan politik. Para ulama dan para pendakwah adalah merupakan insan biasa yang bertugas menyampaikan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Sebagai manusia biasa mereka juga terdedah kepada kesilapan dan kesalahan di dalam perlakuan atau perkataan mereka. Oleh itu kita tidak seharusnya menganggap bahawa segala sesuatu yang diperkatakan itu benar atau betul tanpa usul periksa.

Pertentangan

Dalam musim pilihan raya ini kita seharusnya lebih berhati-hati, kerana para calon dan pengikutnya akan melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi para pengundi, termasuk menggunakan isu agama untuk kepentingan politik sempit. Penggunaan isu agama secara keterlaluan inilah yang menyebabkan tercetusnya pertentangan yang hebat di antara umat Islam. Imej pertelagahan dan pertentangan kerana isu agama ini sesungguhnya amat memalukan umat Islam sendiri. Kerana ketika itu kita akan dilihat sebagai umat yang terlalu emosional dan tidak dapat lagi berfikir secara rasional.

Sebagai pemerhati politik, saya tidak dapat memikirkan apakah sumber syariah yang digunakan ketika para pemimpin parti politik yang tertentu menghubungkan isu hukum agama dengan politik kepartian, sama ada dalam konteks menyertai parti politik sebagai anggota, atau ketika memilih calon tertentu di dalam pilihan raya.

Saya mempunyai ramai kawan yang terlibat di dalam pilihan raya yang akan datang, iaitu sebagai calon parti Pas atau UMNO. Mereka adalah kawan-kawan saya semasa di Kolej Islam Malaya di Klang satu ketika duhulu, atau sama-sama belajar di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Saya tidak fikir mereka itu terbahagi kepada dua golongan semata-mata kerana menganggotai parti politik yang berbeza sama ada dari segi akidah atau syariah. Mereka memilih parti politik masing-masing kerana sebab-sebab yang difahami oleh mereka sendiri. Selain daripada pemilihan parti politik yang berbeza, saya masih yakin bahawa mereka tetap mempunyai akidah yang sama, melakukan ibadat yang sama dan tetap beramal mengikut apa yang mereka pelajari bersama semasa menjadi pelajar dulu.

Saya menyebut begitu kerana mengikut latar belakang pendidikan masing-masing, mereka adalah merupakan orang-orang yang pernah belajar di institusi pengajian agama yang sama, menggunakan buku dan kitab yang sama, malah ramai di antaranya yang berguru kepada guru dan pensyarah yang sama. Apakah kerana mereka berpecah kepada parti politik yang berbeza maka status mereka sebagai seorang Muslim juga akan turut berubah? Apakah kerana perbezaan parti politik maka mereka akhirnya menjadi Muslim kelas satu dan Muslim kelas dua, atau yang satu lebih Islamnya dari yang lain?

Oleh itu saya amatlah berharap agar para penyokong mereka masing-masing akan menjadi lebih rasional dan berfikir dengan lebih matang dalam menghadapi pilihan raya kali ini. Kita telah pun mengharungi sebanyak 10 kali pilihan raya di negara kita, maka sudah sewajarnyalah pilihan raya yang ke-11 ini akan menjadi pilihan raya yang menunjukkan bahawa kita lebih berilmu dan lebih bertamadun.

No comments: