Wednesday, October 10, 2007

Falsafah perang dalam Islam

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
SEJAK akhir-akhir ini semakin banyak nyawa orang yang tidak berdosa menjadi korban di tangan para pembunuh. Pembunuhan berlaku di mana-mana saja, termasuk yang dibunuh secara kejam oleh kerajaan-kerajaan dunia yang memberi alasan bahawa pembunuhan itu dilakukan dalam proses memerangi keganasan.

Untuk membunuh orang-orang Islam pula alasan yang diberikan amat mudah, iaitu mangsa pembunuhan adalah orang yang terlibat dengan Al-Qaeda.

Bagi rejim Zionis pula pembunuhan dilakukan atas alasan memerangi golongan pengebom berani mati, dengan membunuh orang-orang tertentu secara langsung atau meletupkan rumah kediaman mangsa.

Maka dalam keadaan ini, tidak ada sesiapa pun yang dapat membantah, mencela, apalagi melakukan sesuatu untuk menghentikan pembunuhan itu. Malah ramai pula yang menyokong dan merestui, memuji dan menghargai usaha itu, kerana menurut mereka, dunia kini telah memasuki satu era serba menakutkan, penuh dengan ancaman pengganas, maka pengganas haruslah diburu sehingga ke tengah-tengah padang pasir, atau ke mana-mana sahaja, dan pengganas haruslah dihapuskan. Itulah kenyataan yang sering diperbesar-besarkan oleh pihak yang menentang Islam dan umatnya.

Keganasan yang berleluasa seperti ini merupakan satu manifestasi masyarakat jahiliah yang kembali terbangun di dunia pada hari ini, di mana pihak yang kuat akan bertindak sesuka hati menindas dan mengambil nyawa pihak yang lemah.

Rasulullah s.a.w. sendiri ketika diutuskan menjadi rasul oleh Allah subhanahu wa taala untuk menyampaikan pengajaran dan panduan yang akan dapat menyelamatkan umat manusia, telah menghadapi tentangan dan rintangan yang hebat.

Baginda disakiti, dilemparkan dengan duri dan najis, cuba dihempapkan dengan batu agar baginda terkorban dan berbagai-bagai taktik kekerasan yang dilakukan ke atas baginda bertujuan menggagalkan misi baginda, dan dengan itu musuh-musuh baginda bercadang akan dapat meneruskan tatacara hidup mereka seperti biasa, iaitu kehidupan syirik, ganas dan jahat.

Umat Islam pada hari ini pun menghadapi situasi yang sama, malah lebih hebat lagi daripada cabaran dan kekejaman yang dihadapi baginda Rasulullah. Kita tidak merestui pembunuhan terhadap orang awam yang tidak berdosa. Tetapi selagi umat Islam dibunuh dengan kejam dan secara teratur seperti yang dilakukan oleh rejim Yahudi ke atas orang Palestin, maka rakyat Palestin yang amat menderita akibat penindasan paling kejam dalam sejarah manusia, mereka menjadi amat tersepit dan hilang saluran secara baik untuk memperjuangkan nasib mereka, membebaskan tanah air dan keluarga mereka, mempertahankan maruah dan harga diri mereka.

Oleh itu mereka terpaksa mengambil jalan ganas, termasuk meletupkan diri mereka di tengah-tengah bandar, di atas bas, di kedai minuman dan sebagainya, dengan harapan pengorbanan itu dapat menarik perhatian dunia agar berusaha menyelesaikan masalah mereka secara damai dan bermaruah.

Keadaan ini akan berterusan selagi kuasa dunia bertindak berat sebelah dan tidak melaksanakan keadilan kepada rakyat Palestin yang tertindas.

Rakyat Palestin tidak dibenarkan melengkapkan diri mereka dengan senjata berat atas perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai sekian lama. Tetapi kerajaan Zionis bebas melancarkan serangan dengan menggunakan pelbagai senjata dan kenderaan tentera ketika meranapkan rumah-rumah kediaman orang Palestin, meruntuhkan bangunan perniagaan mereka, menghancurkan prasarana bekalan air dan elektrik rakyat yang tidak bersenjata itu.

Dalam keadaan ini tidak hairanlah jika kita melihat seorang pemuda belasan tahun Palestin yang telah kehilangan segala-galanya bertindak membunuh diri dengan bahan letupan yang disalutkan pada badannya dengan harapan dapat membunuh seberapa banyak orang yang dianggap musuh bangsa dan negaranya itu.

Bagaimanapun, dalam menghadapi situasi ini, di samping usaha-usaha damai yang seharusnya dipelopori oleh negara-negara Islam sendiri, alangkah baiknya jika kekacauan ini dapat dipulihkan seperti keadaan sebelum kebangkitan rakyat Palestin dengan dasar intifadanya.

Kalau kita mempelajari sejarah dan sirah kebijaksanaan Rasulullah, maka kita dapati bahawa baginda mempunyai strategi yang amat bijak ketika menghadapi musuh yang lebih kuat di bumi Mekah.

Baginda menyedari kuantiti dan jumlah orang Islam ketika menghadapi tentangan musuh. Baginda juga menyedari kekuatan baginda ketika itu berbanding kekuatan musuh.

Oleh itu segala serangan dan tentangan yang dilakukan kepada baginda, termasuk taktik jahat untuk membunuh baginda dihadapi dengan sabar dan berhati-hati. Baginda mengelakkan konfrontasi secara berhadapan, mengelak daripada bertindak balas secara fizikal dan kekerasan, malah sehingga sampai ke kemuncak tentangan musuh terhadap baginda, iaitu ketika mereka mengambil tindakan untuk membunuh baginda pada satu malam. Baginda bertindak menyelamatkan diri dengan berhijrah ke Madinah setelah satu dekad menghadapi berbagai-bagai cabaran mental, kejiwaan dan fizikal daripada musuh baginda yang semakin ganas.

Baginda bertindak secara hikmah untuk menyelamatkan mesej dan ajaran Allah serta agama Islam yang dibawa baginda untuk seluruh umat manusia. Sekiranya baginda mengambil langkah melawan musuh dengan kekerasan, maka baginda mungkin melihat potensi perjuangan baginda akan gagal.

Oleh itu baginda bersabar dan menyusun strategi serta rancangan yang lebih bijaksana, sehingga muncul pertolongan yang ditawarkan oleh orang Islam dari Madinah, sebuah kota baru yang menjadi platform perjuangan baginda dalam fasa yang baru.

Allah hanya membenarkan Rasulullah berperang mempertahankan diri ketika musuh masih ghairah menjejaki baginda hingga ke Madinah. Apabila baginda dan para sahabat diancam dan diserang lagi, maka Allah membenarkan orang Islam bertindak secara peperangan untuk mempertahankan diri. Firman Allah:

Diizinkan berperang bagi mereka (orang Islam) kerana mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa untuk menolong mereka - surah al-Hajj, ayat 39.

Keizinan berperang melawan musuh adalah kerana mempertahankan diri, iaitu ketika serangan itu dilancarkan oleh pihak musuh semata-mata kerana orang Islam mengakui Allah sebagai Tuhan mereka, dan kerana mereka telah diusir dari tanah air mereka.

Pada masa itu orang Islam haruslah mempertahankan diri dan agama mereka, dan mempertahankan negara mereka daripada dicabuli pihak musuh.

Sekiranya mereka tidak diserang atau dimusuhi kerana mereka menganut agama Islam, dan sekiranya mereka tidak dicerobohi maruah dan negara serta rumah tangga mereka, maka mereka tentulah tidak akan menggunakan kekerasan atau mengangkat senjata.

Dalam konteks inilah Allah memberi peringatan kepada orang Islam dengan firman-Nya:

Berperanglah pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batasan - surah al-Baqarah, ayat 190.

Ketika orang Islam terpaksa membalas serangan musuh, maka bertindak balaslah mengikut tahap serangan mereka. Orang Islam tidak seharusnya bertindak secara melampau iaitu seperti membunuh sembarangan, termasuk orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak, atau bertindak merosakkan pohon buah-buahan, rumah kediaman, rumah ibadat dan sebagainya. Malah yang lebih penting ialah orang Islam tidak seharusnya memulakan peperangan tanpa sebab tertentu.

Dalam ayat yang lain Allah juga mengingatkan umat Islam iaitu sekiranya mereka dicerobohi, maka balaslah pencerobohan itu seimbang dengan percerobohan yang dilakukan oleh pihak musuh.

Ketika Rasulullah berada di Madinah, iaitu ketika baginda telah cukup kuat untuk bertindak balas terhadap musuh-musuh baginda, barulah baginda dibenarkan mengangkat senjata dengan syarat-syarat yang ditentukan oleh Allah itu, kerana setiap perjuangan, termasuk peperangan, tujuannya adalah untuk mencapai kemenangan. Sekiranya perjuangan secara kekerasan hanya untuk melepaskan rasa marah dan dendam, sedangkan tujuannya tidak akan tercapai, maka tentulah perjuangan itu menjadi sia-sia.

Inilah sebenarnya falsafah peperangan dalam Islam yang telah dijelaskan dalam sejarah kehidupan Rasulullah, juga yang diperintahkan Allah kepada umat manusia.

Sebab itulah Islam juga menunjukkan sikap toleransi dan kemaafan ketika bertelagah dengan firman Allah yang menjelaskan bahawa sekiranya pihak musuh cenderung untuk berdamai, maka terimalah perdamaian.

Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya falsafah dan objektif peperangan dalam Islam ini difahami oleh semua umat manusia, termasuk oleh umat Islam sendiri. Islam sebenarnya amat cintakan perdamaian dan kerukunan hidup antara sesama manusia.

Tetapi dalam suasana hari ini, umat manusia sendiri yang memusuhi keamanan, dan Islam sendiri dimusuhi habis-habisan.

Malah dalam beberapa hal, umat Islam kadang-kadang amat suka bertindak secara kekerasan dan keganasan sehingga tindakan ganas segelintir orang Islam ini mengakibatkan seluruh umat Islam dimusuhi. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh musuh Islam.

No comments: