Wednesday, October 10, 2007

Berani menghadirkan sesuatu yang berbeza dari idea konvensional - Ubah sistem pendidikan islam

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
MENJELANG tahun baru 2004 Khamis lalu, harapan kita tentulah juga amat tinggi agar dasar dan falsafah pendidikan kita, terutamanya pendidikan Islam, akan dapat diterjemahkan ke dalam satu sistem yang benar-benar sesuai dengan perkembangan ilmu dan pemikiran manusia tahun 2004 ini. Berdasarkan hal ini, saya berasakan bahawa selepas penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk Polis Diraja Malaysia, maka suruhanjaya yang sama mungkin dapat ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan Islam di negara kita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sendiri, baru-baru ini telah menyatakan harapannya dan memberi jaminan akan mewujudkan satu perubahan yang wajar di dalam sistem pendidikan Islam, iaitu menjadikannya sebahagian dari sistem pendidikan nasional. Jaminan ini amatlah besar ertinya kepada kita, kerana setelah mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan Islam di negara kita tidak banyak mengalami perubahan yang selari dengan perubahan zaman dan perkembangan ilmu pengetahuan moden.

Kekecohan yang ditimbulkan kerana penarikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan laporan pendidikan Islam yang dirancang akan dikeluarkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan, tetapi sehingga kini, belum lagi diumumkan, maka semuanya ini memerlukan satu penjelasan lanjut yang agak segera. Ini adalah untuk membolehkan rakyat memahami satu sistem alternatif pendidikan Islam yang akan dijalankan di negara kita.

Isu pendidikan merupakan satu isu nasional yang amat penting, dan tidak seharusnya menjadi satu isu yang dipolitikkan untuk kepentingan sesuatu golongan yang tertentu. Isu pendidikan Islam menjadi isu yang lebih sensitif kepada rakyat umum, kerana sebarang isu yang berkaitan dengan agama, maka amat sering sekali isu itu akan dieksploitasikan oleh golongan politik yang boleh mengelirukan pemikiran rakyat umum.

Saya berkeyakinan bahawa isu pendidikan Islam akan dapat ditangani oleh kerajaan dengan baik, kerana isu SAR yang merupakan isu yang sensitif kepada umat Islam di negara ini, nampaknya kini rakyat umum mulai dapat memahami langkah kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR dan perancangan kerajaan untuk mempertingkatkan pendidikan Islam.

Jaminan Perdana Menteri untuk membawa pendidikan Islam, termasuk pendidikan ibadat dan pengajian al-Quran ke dalam arus perdana pendidikan nasional, merupakan satu langkah positif dalam membentuk generasi baru Muslim yang berperwatakan Islam dan cemerlang di dalam bidang kepakaran dan profesionalisme masing-masing. Perdana Menteri menjelaskan bahawa dalam sistem baru pendidikan Islam, seorang pelajar akan menguasai ilmu agama, termasuk bidang ilmu yang selama ini dipelajari di SAR, malah pelajar yang sama juga akan dapat memilih bidang pengkhususan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya percaya Perdana Menteri mempunyai perancangannya sendiri yang berbentuk strategik untuk merealisasikan program yang dicadangkan itu, kerana beliau sendiri tentu lebih maklum bahawa isu pendidikan, terutamanya isu pendidikan Islam yang telah sekian lama mengalami zaman gerhananya, bukanlah merupakan soal kecil yang dapat diselesaikan dengan mudah pula. Isu pendidikan Islam adalah merupakan satu isu yang amat kompleks dan sukar diselesaikan sekiranya segala masalah yang mengusutkan isu pendidikan Islam itu tidak dikenal pasti dan tidak pula dikaji penyelesaiannya.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas, bahawa isu ini memerlukan kajian dan pengamatan yang mendalam, pemikiran dan idea baru yang lebih kritikal, yang berani menghadirkan sesuatu yang berbeza dari idea konvensional selama ini, yang berani melakukan perubahan yang radikal dan moden sesuai dengan falsafah ajaran Islam sendiri yang menggalakkan perubahan ke arah yang lebih dinamik dalam sempadan-sempadan yang dibenarkan oleh agama Islam sendiri. Penyelidikan dan kajian ini tentulah memerlukan kepakaran dan pengalaman, visi dan pandangan jauh, yang hanya boleh dilakukan dengan sokongan kerajaan, khususnya Perdana Menteri sendiri. Maka dalam merealisasikan perancangan Perdana Menteri ini, mungkin sebuah badan pemikir perlu ditubuhkan, khusus untuk bidang pendidikan Islam ini, dan tentulah lebih baik lagi sekiranya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk maksud ini.

Tanpa pengkajian dan penganalisisan yang jitu dalam isu pendidikan Islam ini, kita akan terus terperangkap di dalam perangkap tradisional yang selama ini tidak mampu kita pecahkan. Banyak persoalan umat Islam yang tidak dapat diselesaikan selama ini, kerana kefahaman umatnya tentang agama itu masih berbentuk kuno dan jumud, pemikirannya amat tertutup dan ilmunya tidak dapat melintasi ufuk sempitnya yang amat terbatas, sedangkan Islam sebagai agama yang merentasi masa dan sempadan geografi mempunyai bidang pemikiran dan ilmu yang amat luas dalam menegakkan konsep tauhid dan syiar agama yang lebih tinggi, merangkumi urusan dunia dan akhirat.

Saya menyebutkan perkara di atas, kerana selama ini nampaknya isu dan persoalan agama sering kali diolah secara retorik dan slogan-sloganan. Ungkapan retorik dan berbentuk slogan merupakan sesuatu yang amat popular di kalangan umat Islam amnya, dan para penceramah khususnya. Amat kurang sekali isu agama ditangani dengan baik berdasarkan ilmu dan tindakan yang berilmu serta berstrategik. Kalau isu sains dan teknologi sering ditangani dengan penyelidikan dan kajian, atau isu ekonomi dan perindustrian diuruskan secara profesional, tetapi isu agama sering ditangani secara mudah dan mendatar, seolah-olah dengan menyebut beberapa slogan dan ramalan, maka isu umat Islam dan agamanya, akan dapat diselesaikan dengan amat senang sekali.

Kita sering melihat persoalan agama sebagai sesuatu yang artificial. Ketika kita menghadapi persoalan salah laku dan krisis moral para remaja umpamanya, maka kita sering mengiklankan kepada dunia bahawa sekiranya kita memberikan mereka pelajaran agama yang cukup, maka akan selesailah krisis tentang moral dan akhlak remaja yang menyeleweng itu. Demikian juga apabila kita berhadapan dengan masalah keluarga, perpecahan rumah tangga, kesalahan jenayah yang dilakukan oleh umat Islam, maka kita sering menyalahkan mereka bahawa mereka tidak mempunyai pendidikan agama yang cukup. Demikianlah seterusnya ketika kita menghadapi berbagai-bagai isu dan persoalan agama dan umat yang runcing, maka kita sering mengatakan bahawa sekiranya kita kembali kepada agama, tegasnya kepada al-Quran dan sunah, maka kita tidak akan menghadapi sebarang masalah lagi dalam masyarakat kita.

Memang saya akui, bahawa segala kenyataan yang diberikan itu adalah benar dan tepat, tetapi persoalannya sikap simplistic dan mudah itulah yang seharusnya kita kaji pada masa kini, kerana kita sebenarnya berhadapan dengan masalah dan cabaran yang lebih besar dan pelbagai dalam isu-isu seperti ini. Persoalan pokoknya kita akui bahawa masyarakat yang meninggalkan agama, akan menghadapi masalah. Tetapi dalam membawa masyarakat itu kembali kepada agama itulah yang sering menimbulkan masalah yang lebih besar lagi, kerana kita tidak mampu menterjemahkan segala ungkapan retorika dan slogan yang sering kita ucapkan itu ke dalam satu agenda kerja yang berkesan dan praktikal.

Isu kemerosotan moral remaja umpamanya adalah merupakan isu besar yang merangkumi isu globalisasi, krisis nilai, kepincangan keluarga dan institusi sosial yang serius, dan ia tidak semudah seperti yang disebutkan itu untuk diselesaikan. Penyelesaiannya tidaklah semudah seperti yang disebutkan, iaitu berikan mereka pelajaran agama maka segala masalah akan dapat diselesaikan.

Penyelesaian masalah moral remaja tentulah merupakan satu perkara yang seharusnya ditangani secara holistic yang melibatkan banyak aspek, mulai dari aspek agama membawa kepada aspek sosial, persekitaran, kejiwaan, ekonomi dan sebagainya. Masalah yang kompleks ini memerlukan satu sistem penyelesaian yang melibatkan banyak kepakaran dan cabang ilmu daripada para sarjana yang berilmu. Maka di sinilah terletaknya kepentingan pendidikan yang berperanan besar untuk menilai dan mengemukakan cara penyelesaian yang sebaik-baiknya.

Masalah yang dihadapi umat Islam pada hari ini merupakan masalah besar dan kompleks yang tidak dapat diselesaikan dengan menangani satu dua jawapan tanpa berasaskan ilmu pengetahuan yang mendalam. Kekeliruan dalam memahami hal inilah yang menyebabkan ibu bapa Islam memilih saluran pendidikan agama untuk menghantar anak-anak mereka dengan harapan bahawa hanya pendidikan itulah sahaja yang dapat menjamin keutuhan moral anak-anak mereka. Bagaimanapun terdapat sesetengah ibu bapa yang akhirnya kecewa dengan pemilihan mereka, kerana terdapat di antara kanak-kanak tersebut yang tidak berjaya menjadi manusia yang berguna seperti yang diharap-harapkan.

Oleh itu saya rasa bahawa sistem pendidikan agama kita pada masa kini amat memerlukan perubahan yang sewajarnya. Perubahan yang perlu dilakukan ialah dari segi falsafah dan objektifnya, pendidikan guru, buku teks dan kurikulum serta pengisiannya yang sesuai dengan falsafah pendidikan Islam itu sendiri dan misinya mengeluarkan manusia yang cemerlang di dalam bidang pengkhususannya dan cemerlang pula dari segi perwatakannya sebagai seorang Muslim yang beriman dan bertakwa.

Berdasarkan hal ini, saya merasakan bahawa kenyataan Perdana Menteri untuk mengadakan perubahan yang agak radikal di dalam sistem pendidikan Islam di negara kita adalah merupakan satu usaha yang amat baik dan sesuai dengan era global ini. Harapan kita hanya satu, iaitu perubahan itu seharusnya akan dapat dilakukan dengan penuh perancangan bertunjangkan kajian yang mantap. Agenda kerja ini akan menjadi lebih baik sekiranya dijalankan oleh kerajaan melalui badan pemikirnya, atau kalau perlu oleh sebuah suruhanjaya yang tertentu.

No comments: