Wednesday, October 10, 2007

Perlembagaan mewujudkan amalan toleransi beragama pelbagai kaum - Konsep negara Islam Malaysia

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PERTELAGAHAN sesama orang Islam tentang sesuatu gagasan sering mengundang kekeliruan di kalangan orang bukan Islam. Hal inilah yang berlaku tentang kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah kalangan ahli politik Islam tentang konsep negara Islam, iaitu dalam konteks membicarakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Maka pembicaraan itu mendapat reaksi masyarakat bukan Islam yang agak mengelirukan.

Seorang pembaca bukan Islam menulis di dalam ruangan forum pembaca sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini. Beliau memberikan komen serta pandangannya terhadap wawancara akhbar tersebut dengan Pemangku Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya mengenai konsep negara Islam.

Saya berasa bahawa pembaca tersebut berhak untuk menyatakan pandangannya bahawa konsep negara Islam yang dikemukakan oleh ahli politik tersebut tidak dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam. Ini berdasarkan beberapa alasan yang tertentu, terutamanya dalam konteks negara kita yang mempunyai keunikannya tentang kepelbagaian kaum, agama, budaya dan sebagainya. Komennya yang menyentuh latar belakang masyarakat majmuk rakyat Malaysia amat relevan dengan perkembangan sosiopolitik negara kita.

Bagaimanapun bagi pembaca yang kurang mendalam ilmunya tentang beberapa isu yang ditimbulkan oleh pembaca tersebut di dalam komennya itu, maka hal ini agak mengelirukan kerana terdapat beberapa pandangan yang agak menyimpang dari konteks pembicaraan mengenai negara kita sebagai negara Islam.

Pembicaraan tentang sesuatu konsep yang mempunyai hubungan dengan dasar ekonomi, politik dan budaya itu seharusnya dibicarakan di dalam konteks setempat, iaitu dengan memfokuskan kepada negara itu sendiri.

Maka dalam hal ini juga ketika kita membincangkan isu negara Islam, saya rasa perbicaraan kita haruslah ditumpukan kepada negara kita sekarang ini, iaitu dalam konteks perlembagaan, dasar negara dan pelaksanaan yang dilakukan oleh negara kita dalam pembangunan negara ini sebagai sebuah negara Islam.

Pelaksanaan Islam di negara kita merupakan satu keunikan yang mungkin tidak wujud di dalam negara Islam yang lain. Hal ini diakui oleh dunia luar dan kita sendiri dapat melihat bagaimana masyarakat Malaysia keseluruhannya menerima dasar negara tentang pembangunan Islam dan pelaksanaannya dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama dan kaum ini.

Sejarah moden Malaysia memperlihatkan satu kerjasama dan persefahaman yang amat penting dalam masyarakat kita, iaitu ketika Semenanjung Tanah Melayu akan diberikan kemerdekaannya pada tahun 1957. Ketika itu, Parti Perikatan yang dipimpin oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dengan dua orang ketua parti yang mewakili kaum Cina (MCA) dan kaum India (MIC), telah menghantar memorandum kepada Lord Reid, pengerusi suruhanjaya draf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya Islam hendaklah dijadikan agama negara Malaya, tetapi prinsip ini tidak akan menyentuh hak warganegara-warganegara yang bukan Islam dalam negara ini untuk menganut agama mereka.

Cadangan ini merupakan satu permuafakatan di antara rakyat negara kita yang amat penting atas dasar toleransi yang amat sukar ditemui di dalam masyarakat majmuk di daerah lain. Tetapi iklim politik dan sosiobudaya negara ini memungkinkan persefahaman itu dicapai sebagai satu dasar memberi dan menerima yang menjadi teras kesatuan rakyat. Maka cadangan ini telah diterima sehingga ia dicatatkan di dalam perlembagaan negara kita.

Perlembagaan merupakan satu dokumen penting yang bukan sahaja merupakan satu dokumen perundangan bagi negara ini, malahan juga memberi satu pentafsiran tentang status negara ini sebagai sebuah negara yang memaktubkan agama sebagai dasar negara, dan sekali gus menolak dasar sekular dalam pemerintahannya.

Oleh itu adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa kita seharusnya menerima dasar yang dilakukan di negara lain sebagai dasar negara kita dalam menolak agama, seperti yang disebutkan oleh pembaca tersebut mengenai negara Turki. Kita dengan perlembagaan yang ada, iaitu tanpa menolak agama, tetap dapat membangunkan negara ini dengan adil, makmur dan maju dalam semua bidang pembangunan, iaitu dalam pembangunan sains dan teknologi, ekonomi dan industri, membangunkan institusi pendidikan dan keluarga berdasarkan nilai-nilai bersama yang baik dan seterusnya menampilkan satu model masyarakat Malaysia yang unggul dan istimewa di mata dunia seperti yang benar-benar berlaku pada hari ini.

Agama sendiri sebenarnya yang memperakui hak dan kewajipan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa, kerana dasar agama sentiasa berasaskan toleransi dan keadilan, kerjasama dan tolong-menolong. Kita tidak perlu mengambil dasar sekular untuk mewujudkan masyarakat yang sama rata, malah agama sebenarnya tidak mengenal batas kaum dan bangsa untuk memberikan hak kepada setiap kaum. Sebab itulah saya rasa masyarakat bukan Islam di negara kita masih dapat menggunakan nama asal mereka, mengamalkan ajaran agama mereka, mempunyai institusi pendidikan mereka, malah membangunkan adat resam dan budaya mereka dengan bebas, serta mendirikan rumah-rumah ibadat mereka tanpa mendapat gangguan dari kaum lain.

Hal ini merupakan satu inspirasi yang sebenarnya ditiupkan oleh agama, terutamanya dalam perlembagaan sendiri termaktub tentang amalan toleransi ini, iaitu ketika agama Islam menjadi agama negara, maka agama-agama lain dapat dipraktikkan dalam suasana aman dan harmoni. Oleh itu kita tidak perlu melihat jauh ke negara orang lain, terutamanya mengambil model negara Islam yang telah ditransformasikan sebagai negara sekular dengan menghapuskan warisan agama, menghapuskan tulisan Islam, mengubah undang-undang dan sebagainya atas nama membangunkan sebuah negara menjadi negara moden seperti negara Eropah.

Negara kita dengan perlembagaan yang sedia ada ini sebenarnya merupakan sebuah negara Islam yang terkemuka dan berwawasan untuk menjadi negara maju dalam jangka masa kurang dari dua dekad yang akan datang. Kalaupun kita mengambil dasar sekularisme sebagai dasar negara, kita tidak juga pasti bahawa kita akan dapat mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang ini.

Agama sebenarnya yang menjadi pendorong kepada keadilan sosial dan toleransi yang tinggi di kalangan semua kaum dan bangsa, termasuk umat manusia sejagat. Tetapi hal ini hanya dapat direalisasikan oleh pemimpin dan rakyat yang sebenar-benarnya berilmu dan memahami agama dengan luas dan terbuka. Maka dalam konteks negara kita, para ilmuwan Islam sering membicarakan hal ini dan berganding rapat dengan pemerintah untuk mencapai matlamat yang unggul menjadikan negara ini sebagai sebuah negara membangun berdasarkan ajaran murni agama itu sendiri tanpa menolak hakikat sebenar bahawa negara ini mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Agenda pembangunan negara dan pelaksanaannya selama ini menunjukkan bahawa kita mampu berbuat begitu, dan rakyat keseluruhannya dapat menerima dasar ini, malah terdapat masyarakat bukan Islam yang amat memahami segala sistem dan dasar Islam dalam pembangunan ekonomi, industri, perkhidmatan, produk Islam dan sebagainya, malah mereka turut terlibat di dalam pembangunan sistem Islam itu dengan amat giat sekali. Hal ini menunjukkan penghayatan yang mendalam tentang dasar negara yang berasaskan kepada perlembagaan kita itu di kalangan masyarakat yang berilmu dan mahu memahami konsep dan pengertian negara Islam yang dibangunkan selama ini.

Memang kita tidak dapat menafikan kewujudan kelemahan di sana sini yang masih membelenggu masyarakat kita seperti yang berlaku di dalam pentafsiran konsep negara Islam itu sendiri. Saya melihat bahawa pandangan yang ditulis oleh pembaca yang saya maksudkan di atas adalah relevan ketika terdapat orang yang membicarakan tentang negara Islam secara retorika dan simbolik, atau mengemukakan konsep tersebut di luar konteks peredaran zaman dan situasi masyarakat tertentu.

Bagaimanapun penulis tersebut seharusnya dapat memahami motif dan matlamat sesuatu kenyataan politik.

Kestabilan ekonomi dan politik negara kita selama ini menghasilkan keamanan dan keharmonian yang amat diperlukan oleh umat manusia di dalam era yang penuh dengan keganasan, penindasan, penganiayaan, peperangan dan kekejaman sesama manusia sekarang ini. Saya ingin memberikan kredit tentang keadaan aman damai dan persefahaman di antara rakyat berbilang kaum di negara kita pada hari ini kepada kefahaman dan amalan kita dalam menghayati nilai dan ajaran agama yang sebenarnya.

Walaupun masyarakat Islam di seluruh dunia menghadapi tekanan dan kezaliman, orang Islam di negara kita masih dapat mengawal diri mereka tanpa dipengaruhi oleh emosi dan sentimen melulu atau bertindak sebagai umat yang tidak bertamadun. Negara kita tidak menghadapi konflik agama yang serius seperti yang dialami oleh banyak negara lain. Umat Islam di Malaysia tidak bertindak liar sehingga membawa kematian dalam pertempuran dengan pihak berkuasa umpamanya, seperti yang berlaku di dalam masyarakat Islam lain ketika berlaku kes Salman Rushdi, perselisihan mazhab, penindasan terhadap Islam di Bosnia, pencerobohan di Iraq dan sebagainya.

Umat Islam di negara kita masih dapat bertindak secara rasional dan mengikut saluran damai. Hal ini sebenarnya satu perlakuan yang direstui oleh agama itu sendiri, dan orang-orang yang memahaminya sahaja yang dapat bertindak dengan baik mengikut lunas-lunas dan nilai ajaran agama itu. Keadaan inilah yang sepatutnya difahami dan diamalkan terus-menerus di negara kita. Kita seharusnya sebagai rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama bersyukur dengan keadaan ini dan terus-menerus memelihara keadaan dan iklim ini, tanpa memberi sebarang reaksi yang negatif semata-mata kerana kenyataan yang dibuat oleh kalangan politik tertentu. Kita memerlukan komen yang lebih spesifik dan fokus supaya orang ramai tidak terkeliru, terutama komen-komen pembaca dalam ruangan yang terbatas tanpa dapat dijelaskan secara terperinci. Memahami sesuatu gagasan dan konsep, terutama yang mempunyai kaitan dengan agama, haruslah berdasarkan keilmuan yang mendalam dan memahami roh agama itu sendiri.

1 comment:

Mujahidah silam said...
This comment has been removed by the author.