Wednesday, October 10, 2007

Fahami definisi sekularisme

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
Hari Sabtu yang lalu saya berada di Pulau Pinang kerana mengambil bahagian di dalam satu majlis forum tentang sekularisme dari sudut pandangan Islam. Di dalam majlis tersebut banyak perkara yang telah dibangkitkan, antaranya ialah persoalan yang berbunyi apakah Islam menolak sekularisme? Dan apakah orang Melayu telah menganut fahaman sekularisme sehingga menolak ``parti agama'' di dalam pilihan raya umum yang lalu?

Sebelum persoalan itu dijawab, saya telah mengambil kesempatan bagi menjelaskan sedikit tentang kekeliruan yang timbul daripada persoalan tersebut. Saya cuba memberikan pandangan saya secara umum, bahawa masalah yang sering kita hadapi di dalam masyarakat umat Islam di negara kita, malah mungkin juga di negara-negara yang lain, ialah kita sering berdebat dan mempertikaikan sesuatu isu. Atau kita tidak fahami asal usul perkara itu secara yang lebih mendalam, atau yang tidak kita fahami sesuatu isu itu berdasarkan ilmu pengetahuan yang cukup.

Soal sekularisme, atau masyarakat sekular, umpamanya sering diperdebatkan, malah terdapat orang Islam yang terus menjatuhkan hukuman bahawa orang Islam di negara kita adalah sekular, dan negara kita adalah negara sekular, tanpa mengetahui apakah sebenarnya definisi sekularisme dan negara sekular itu.

Al-Quran sebenarnya telah memberi amaran tentang pertelagahan atau perdebatan yang tidak berdasarkan ilmu pengetahuan ini, iaitu di dalam firman Allah yang berbunyi:

Ingatlah, kamu adalah golongan yang pernah berdebat tentang urusan yang kamu mempunyai pengetahuan padanya. Tetapi mengapakah kamu berbantahan tentang urusan yang tidak kamu mempunyai pengetahuan padanya? - (Ali Imran, ayat 66).

Maka nampaknya kita lebih cenderung untuk berdebat atau berhujah tentang urusan dan isu yang tidak kita fahami dengan sebaik-baiknya seperti isu sekular dan sekularisme itu, sehingga kita terus menjatuhkan hukuman yang agak mengelirukan orang ramai.

Pentafsiran tentang fahaman sekularisme itu sebenarnya boleh dibuat berdasarkan dua pandangan. Pentafsiran golongan rasionalis dan ateis (tidak percayakan Tuhan) sering meletakkan fahaman sekularisme itu bertentangan sama sekali dengan agama. Masyarakat dan negara sekular adalah masyarakat atau negara yang ilhad, tidak beragama, dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Negara yang menjalankan pemerintahan berdasarkan fahaman sekularisme dalam pentafsiran ini adalah negara yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan agama, malah dalam sesetengah negara yang agak ekstrem dalam mengamalkan dasar ini, pemerintahnya tidak akan membenarkan rakyatnya mengamalkan sebarang ajaran agama secara terbuka, kerana agama adalah menjadi tabu di dalam politik pemerintahan yang tersebut. Bekas pemerintahan Kesatuan Soviet merupakan model kuasa pemerintahan politik yang pada umumnya melaksanakan dasar ini.

Namun begitu dasar pemerintahan politik kebanyakan negara Eropah tidak menjadikan agama sebagai tabu, tetapi, bagaimanapun tetap menganggap bahawa agama itu tidaklah mempunyai sebarang kaitan dengan urusan pemerintahan dan politik negara. Urusan negara dan pemerintahan adalah ditadbirkan bebas sama sekali daripada sebarang pengaruh agama.

Di United Kingdom umpamanya, Anglican Christianity masih dianggap sebagai agama negara, dan Raja atau Ratu England pula adalah menjadi ketua gereja Anglican, tetapi agama itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan di dalam urusan negara. Segala dasar dan perundangan yang dilaksanakan adalah bebas daripada elemen agama tersebut, malah gereja tidak mempunyai kuasa sama sekali untuk menentang sebarang keputusan yang dibuat oleh dewan rakyat dan senat negara tersebut.

Kedua-dua kategori dasar dan falsafah sekularisme ini adalah bertentangan dengan ajaran agama kita, dan rakyat atau negara kita tidak pernah mengambil dasar dan falsafah sekularisme di dalam kedua-dua kategori ini sebagai dasar hidup individu atau dasar pemerintahan negara kita.

Kita mempunyai dasar yang terbuka untuk semua orang mengisytiharkan kepercayaan agama masing-masing, malah mengamalkannya secara terbuka. Kemudahan untuk melaksanakan amalan agama tersedia di mana-mana sahaja tanpa dapat diganggu-gugat kerana undang-undang sendiri mempunyai kuasa untuk melindunginya.

Pendeknya negara kita tidak pernah mengambil falsafah kefahaman sekularisme ini sebagai dasar pemerintahannya iaitu dengan memisahkan agama dari urusan negara, atau lebih ekstrem lagi menjadi negara yang ateis, atau tidak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan. Perlembagaan negara, Rukun Negara dan amalan negara kita jelas sekali menggambarkan gabungan agama di dalam dasar pemerintahan negara.

Kita mentafsirkan agama secara yang luas dan terbuka, iaitu yang merangkumi berbagai-bagai sifat, dari sifat toleransi dan hak sama rata untuk semua penganut agama, sehingga kepada pengiktirafan semua kepercayaan rakyatnya. Malah undang-undang negara kita melindungi amalan agama rakyatnya, walaupun rakyat minoriti, seperti undang-undang yang membenarkan pengikut agama Sikh untuk tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal kerana serban atau ikat rambut pada mereka adalah merupakan simbol agama. Maka hal ini harus dihormati dan dilindungi dengan kuat kuasa undang-undang.

Negara Perancis baru-baru ini telah menguatkuasakan undang-undang untuk menghapuskan sebarang simbol agama terhadap rakyatnya di tempat awam seperti di institusi pengajian mereka. Para pelajar sekolah tidak dibenarkan memakai tudung, atau salib, atau kopiah Yahudi dan sebagainya yang melambangkan anutan agama yang tertentu.

Perkara ini dikuatkuasakan kerana negara tersebut mempunyai perlembagaan berdasarkan fahaman sekularisme, dan perlembagaan dalam bentuk ini tidak memberi sebarang hak, apalagi melindungi sebarang simbol agama rakyatnya, kerana dasar sekularisme adalah bertentangan dengan agama, dan dasar itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agama secara rasminya.

Negara kita tidak mengambil falsafah sekularisme itu sebagai dasar pemerintahannya. Dasar negara kita berlandaskan agama yang mempercayai kewujudan Tuhan, hari akhirat, kebebasan beragama dan sebagainya. Ciri-ciri sekularisme yang berbentuk keduniaan, seperti mempelajari ilmu dunia, mencari harta dan memiliki kebendaan dunia, kerjasama antara semua rakyat pelbagai etnik dan keturunan, dan perwatakan negara yang lain tidaklah sebenarnya menjejaskan kedudukan pemerintahan negara kita sebagai negara yang melindungi agama, yang mengakui kewujudan Tuhan dan mengamalkan nilai-nilai agama, kerana ciri-ciri ini adalah sejajar dengan ajaran agama kita sendiri seperti menuntut ilmu, mencari harta yang dibenarkan oleh agama dan sebagainya.

Kita sebenarnya bukanlah mengambil falsafah sekularisme yang bertentangan dengan agama itu untuk dijadikan dasar pemerintahan negara kita sehingga negara kita menjadi negara sekular.

Oleh itu kehadiran ciri-ciri kehidupan dunia di dalam masyarakat negara Islam tidaklah seharusnya dilabelkan sebagai satu simbol transformasi sesebuah negara itu menjadi negara sekular. Malah berlakunya maksiat dan dosa yang dilakukan oleh rakyat di dalam sesebuah negara itu tidaklah seharusnya dianggap bahawa masyarakat atau negara itu telah menjadi negara sekular, kerana sekularisme adalah satu falsafah atau dasar yang menjadi anutan negara yang menolak agama, atau yang memisahkan sama sekali urusan agama dengan urusan kehidupan dan pemerintahan negara, malah perlembagaannya tidak akan melindungi sebarang agama.

Rasulullah semasa menubuhkan kerajaan Madinah, telah menggubal piagam Madinah yang memberi tempat kepada pelbagai kaum, Islam dan bukan Islam, kewajipan berzakat untuk orang Islam dan cukai bagi orang bukan Islam, pertahanan negara yang menjadi tanggungjawab semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan urusan keduniaan lain yang mempunyai kaitan dengan kehidupan pada zaman itu.

Baginda sebagai ketua negara telah bertugas menggubal undang-undang, melaksanakannya dan menjadi hakim di dalam negara yang baginda asaskan itu. Inilah sebenarnya model negara Islam yang pertama di dalam sejarah, malah model sebuah negara yang mempunyai struktur pemerintahan yang bertamadun, dalam sejarah kemanusiaan sebelumnya.

Oleh itu sekiranya pada zaman baginda lagi perlembagaan telah memasukkan urusan keduniaan dari segi undang-undang, harta benda, pertahanan negara dan sebagainya, maka dalam zaman moden yang telah berkembang dengan pesat ini, tentulah hal itu menjadi lebih penting lagi. Dunia yang telah meningkat maju dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, aktiviti ekonomi dan kewangan yang semakin kompleks dan sebagainya tentulah menuntut semua negara untuk turut terlibat di dalam urusan keduniaan moden itu.

Malah perkembangan dunia dengan dasar langit terbuka, pembangunan ICT yang pesat, gerakan globalisasi yang begitu hebat tentulah menuntut semua negara dunia bergerak dengan pantas, dan melakukan perhubungan antarabangsa dengan semua dunia luar, Barat atau Timur, Islam atau negara bukan Islam.

Cuma dalam hal ini, sebagai negara yang berpegang kepada agama dan percayakan Tuhan, tentulah negara Islam seharusnya lebih berhati-hati, iaitu tanpa mengambil segala kemajuan ciptaan dunia luar, terutamanya dasar sekularisme Barat, secara menyeluruh. Kita seharusnya menapis segala kebanjiran budaya dan ideologi luar agar sesuai dengan budaya, tradisi dan nilai keagamaan yang menjadi teras pemerintahan kita. Gerakan globalisasi yang membawa banyak racun yang mampu membunuh nilai moral dan agama serta etika kita tentulah seharusnya ditolak.

Hal inilah yang seharusnya kita fahami dengan sebaik-baiknya sebelum kita menjatuhkan hukuman sama ada negara kita negara sekular atau tidak, dan rakyat kita menganuti fahaman yang menolak agama atau tidak. Kita tidak seharusnya menjatuhkan sebarang hukuman sebelum kita memahami kes yang sedang kita perdebatkan, sebaliknya kita haruslah memahami sesuatu isu itu dengan sebaik-baiknya sesuai dengan perintah Allah di atas yang mengingatkan kita supaya berdebat dan berhujah tentang sesuatu yang kita mempunyai ilmu pengetahuan terhadapnya.

No comments: