Wednesday, October 10, 2007

Budi bahasa ikut acuan sendiri

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim

TULISAN saya minggu lalu di dalam ruangan ini tidaklah bermaksud untuk membela atau mengagung-agungkan Barat. Seperti dunia lain juga, dunia Barat tidaklah merupakan dunia yang ideal dan unggul, malah dalam banyak hal, dunia Barat merupakan dunia yang terlalu banyak kepincangan dari segi sosial, kekeluargaan, politik dan sebagainya.

Kecelaruan kehidupan manusia dan negara-negara dunia, khususnya negara membangun dan negara yang berada di dalam dunia ketiga, banyak yang berpunca daripada tindakan Barat, dan politik kotor yang diamalkan mereka, terutamanya oleh presiden kuasa besar Amerika Syarikat (AS) sejak sekian lama, seperti yang dapat dilihat buktinya dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Tetapi dalam segala keburukan dan kepincangan itu, ada beberapa sudut kecil dan senario tertentu, seperti yang telah saya sebutkan minggu lalu, yang kelihatan masih agak baik di sana, jika dibandingkan dengan kita. Sebab itulah telah saya sebutkan bahawa dalam perhubungan kemanusiaan dan berbudi bicara antara beberapa golongan tertentu, masyarakat Barat nampaknya masih mempunyai satu set nilai yang agak baik dan masih terpelihara menjadi budaya mereka, walaupun dalam hal-hal lain mereka mengalami krisis dan keruntuhan yang tertentu.

Oleh itu tulisan saya adalah merupakan gambaran tertentu di dalam masyarakat Barat dalam konteks Kempen Berbudi Bahasa Budaya Kita yang sedang berlangsung sekarang. Saya percaya bahawa model berbudi bahasa dan berbudaya tinggi ini merupakan model kita sendiri, yang seharusnya diadunkan di dalam acuan sendiri, dengan perencah agama, nilai budi dan amalan tradisi dan budaya kita yang murni.

Dalam konteks tulisan saya itulah, saya telah menerima beberapa komen yang amat positif tentang Kempen Berbudi Bahasa Budaya Kita itu. Ramai beranggapan bahawa andaian saya yang menegaskan, ada ketikanya, orang Barat kelihatan lebih bersopan dan berbudi bahasa daripada kita, merupakan pandangan yang boleh diterima berdasarkan pengalaman mereka yang juga pernah berada di Barat.

Seorang pembaca menulis, kejutan yang saya lakukan itu akan dapat membuka mata masyarakat yang selama ini `perasan' yang kita adalah bangsa yang berbudi bahasa berbanding orang Barat.

Seorang pembaca lain menegaskan bahawa arwah datuknya dulu sering mendidiknya semenjak dia kecil lagi untuk mengucapkan kata-kata terima kasih kepada orang lain. Dan dia bersyukur dan gembira, kerana tradisi bersopan santun ini telah dapat dijadikan nilai keluarga, iaitu apabila ahli keluarga yang lain, telah terdidik dengan kebiasaan ini. Dia berasa gembira kerana dua orang anak saudaranya yang berumur 4 dan 5 tahun juga telah terdidik di dalam persekitaran yang sama, iaitu mereka akan mengamalkan budaya sopan ini, termasuk di dalam pengucapan terima kasih apabila menerima sesuatu, atau menolak satu pelawaan.

Benarlah kata seorang pembaca lain, bahawa sekiranya seseorang itu telah terdidik semenjak kecilnya mempunyai sikap bertimbang rasa, berbudi mulia, kasihan kepada orang lain, malah mengasihi kepada haiwan, hormat dan beretika kepada orang di sekelilingnya, maka besar kemungkinan bahawa dia akan membesar dan menjadi dewasa dengan mempunyai jiwa yang bersih, hati yang ikhlas dan jujur, lalu dengan itu dia akan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin, bersih pemikiran dan hatinya.

Penyakit hati

Dalam konteks ini, saya teringat ajaran al-Quran yang menegaskan bahawa masalah umat manusia ini, iaitu yang menjadikan masyarakat mereka kucar-kacir, tidak bersyukur, dan seterusnya tidak berperadaban, adalah berpunca dari penyakit yang dikenali sebagai `penyakit hati'.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 10, Allah s.w.t. menegaskan kepada Rasulullah s.a.w. tentang kedegilan kaum kafir yang tidak mahu mendengar seruannya, malah berusaha menyakiti baginda dan menggagalkan misi baginda, maka Allah menegaskan bahawa mereka itu adalah merupakan golongan yang `sakit hatinya' lalu Allah tambahkan penyakit hati mereka, supaya mereka akan rasa segala kepedihan seksa dan azab Allah nanti.

Al-Quran menyatakan bahawa hati atau qalb dalam bahasa al-Quran merupakan anggota badan yang kadangkalanya menjadi terlalu keras `lebih keras daripada batu', menjadi lembut dan tenteram, umpamanya ketika mendengar dan mengingati Allah, menjadi unsur penyatuan semua manusia, atau sebaliknya menjadi unsur perpecahan dan kekerasan sesama mereka, seperti yang ditegaskan oleh Allah bahawa di dalam sesuatu keadaan yang tertentu Sekiranya engkau (wahai Muhammad) membelanjakan segala-segalanya yang berada di atas muka bumi ini, engkau tidak mungkin dapat menyatukan hati mereka (surah al-Anfal, ayat 63).

Demikianlah peranan hati manusia, yang disebut di dalam al-Quran sebagai qalb itu, yang bagi kita sering kita terjemahkan sebagai hati atau kalbu. Tetapi istilah al-Quran ini sebenarnya dapat diungkapkan sebagai hati, minda dan jiwa seseorang manusia. Gabungan semua perasaan, akal dan bisikan hati inilah yang akhirnya dapat membentuk sikap, jiwa raga dan budaya masyarakat manusia itu. Al-Quran mengemukakan istilah ini di dalam semua konteks tingkah laku lahiriah dan batiniah manusia, kemampuan memahami ilmu dan kejadian alam, penguasaan emosi dan hati, kekuatan iman dan kelemahannya, kekerasan dan keganasan yang sering dilakukan oleh manusia. Malah segala rasa aman dan tenteram yang dialami manusia, semuanya adalah berpunca dari hati atau kalbu ini, sama ada ia sakit atau sihat.

Kerana kepentingannya inilah, al-Quran mengemukakan istilah ini dalam banyak ayat dan ungkapannya, sehingga berjumlah ratusan dalam konteksnya yang berbeza-beza. Persoalan pokoknya ialah ajaran al-Quran yang menekankan tentang kepentingan mendidik minda, jiwa, emosi dan perasaan manusia sejak dari kelahirannya lagi, agar manusia menjadi masyarakat yang aman tenteram, berperadaban, bertatasusila, bersopan santun dan berbudaya tinggi, sesuai dengan nilai akhlak yang dikemukakan oleh agama.

Oleh itu kita berasa gawat dan cemas apabila melihat masyarakat Islam sendiri berada dalam krisis moral dan nilai yang tidak berkesudahan, bermula dari budi bahasa yang telah terhakis, ungkapan kata yang kasar dan tidak bersopan, membawa kepada tingkah laku yang pincang dan bercanggah dengan tradisi bangsa dan agama, lalu menjurus kepada kejadian jenayah berat, membunuh, merogol, menyamun dan sebagainya. Malah di dalam dunia Islam sekarang ini, satu pandangan biasa yang dapat kita tonton setiap hari, ialah orang Islam membunuh sesama sendiri, tidak lagi mempunyai perasaan kemanusiaan, jauh sekali dari menyedari tanggungjawab keagamaan, yang seharusnya melihat saudara seagamanya seperti saudara kandung sendiri. Maka mereka menjadi terlalu ganas dan kejam, kembali seperti manusia zaman jahiliah yang telah diusahakan oleh Nabi kita membawanya menjadi masyarakat bertamadun dan berperadaban.

Tingkah laku

Sekadar catatan untuk pengalaman kita, pembaca pertama yang saya nyatakan di atas menulis lagi bahawa pengalamannya berada di Barat, telah membuka matanya bahawa mereka lebih beradab daripada kita orang Timur. Jika dilihat di kaca televisyen memang mereka selalu menggambarkan mereka bangsa yang ganas, tetapi realitinya tidak begitu. ``Pemergian saya ke Amerika sejurus selepas peristiwa 11 September 2001. Amerika membenci umat Islam, dan saya agak takut untuk ke sana, namun atas tugas, saya pergi juga ke Washington dan New York, dan saya dapat lihat bagaimana mereka melayan saya walaupun saya bertudung. Apabila turun dari kereta dan hendak masuk ke dalam kedai, sudah ada mereka yang tolong bukakan pintu.''

Bagaimanapun, oleh kerana isu budi bahasa dan budaya ini adalah merupakan sesuatu yang tidak semudah setakat hanya pengucapan terima kasih dan sebagainya sahaja, maka seperti yang telah saya sebutkan di atas bahawa model jangka panjang untuk melahirkan manusia dan warganegara kita yang benar-benar dapat menghayati budaya dan peradaban tinggi hendaklah diusahakan melalui pelbagai saluran dan merangkumi semua peringkat generasi bangsa kita.

Kita perlu mengkaji isu ini dari segala aspek, iaitu sudut psikologi, kejiwaan, kemasyarakatan, kajian nilai dan komitmen agama, juga dalam saluran pendidikan formal dan tidak formal, sama ada pendidikan jangka panjang atau jangka pendek. Penghayatan dan amalan di dalam masyarakat itulah yang amat penting, daripada kita mencanangkan ke sana sini bahawa kita telah menjalankan kempen, pendidikan moral, pelajaran agama, seminar, persidangan dan sebagainya, sedangkan hasilnya kosong dan tidak berkesan.

Hal ini digambarkan oleh pembaca yang menulis kepada saya di atas, iaitu katanya, ``Hello mam sentiasa di mulut cashier yang bertugas walaupun barisan pelanggan panjang berjela. Setiap pelanggan diucap hello dan thank you for coming atau thank you for coming to our store. Ada ketika saya hendak membayar, seorang anak muda kulit hitam yang berpakaian agak ``menakutkan'', memberi laluan kepada saya untuk membayar dahulu.''

Pembaca ini cuba memberikan gambaran kepada kita, bahawa hal yang mungkin pada pandangan sesetengah orang merupakan perkara remeh dan kecil, sebenarnya telah memberikan kesan yang besar kepada tanggapan orang awam tentang sesuatu masyarakat secara keseluruhannya.

Maka kelakuan sebaliknya itulah yang cuba digambarkan beliau, apabila dia mengatakan ``Berbanding dengan kita, kekadang sesama Melayu pun hendak menuturkan ``tumpang lalu'' pun susah. Mereka lebih selesa berkata: ``Tepi sikit''. Kalau membayar di kaunter, apatah lagi kalau pelanggan ramai, silap haribulan dimakinya kita, pada hal kita hendak memberikan mereka wang!''

Pengalaman seperti ini amat penting bagi kita, iaitu sekurang-kurangnya akan dapat menjadi panduan kepada kita dalam situasi yang tertentu. Kita tidak mengatakan Barat lebih baik daripada kita, tetapi dalam konteks pembicaraan kita sekarang ini, mereka kelihatan lebih baik daripada kita, kerana kita sedang membicarakan tentang membentuk sikap dan tingkah laku warga kita dalam kempen berbudi bahasa berbudaya tinggi. Lebih-lebih lagi, kita sering membicarakan sesuatu tentang ketinggian budaya Timur, apa lagi nilai agama yang amat unggul, maka kita seharusnya segera kembali menghayati pengucapan dan tingkah laku sebagai bangsa Timur dan bangsa yang beragama.

No comments: