Wednesday, October 10, 2007

Ranjau sepanjang jalan Sasterawan Negara sebagai ahli politik - Belajar pengalaman Shahnon

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
TERDAPAT beberapa orang teman yang menyesali penglibatan mereka di dalam politik kepartian. Imej dan keterampilan diri mereka di dalam bidang sebenar mereka, terutamanya bidang ilmu dan akademik, agak terjejas. Peribadi mereka tersentuh, dan lebih malang lagi, mereka yang sepatutnya dihormati, tiba-tiba terdedah kepada berbagai-bagai kecaman dan maki hamun. ``Kesalahan'' mereka semata-mata kerana bergiat aktif di dalam parti politik.

Bagi yang terlibat di dalam politik kepartian pula, ada ketikanya mereka merasakan terjebak kerana pada penilaian awalnya, keputusan untuk berjuang melalui parti politik tertentu itu dibina di atas satu prestasi yang amat unggul. Tetapi ternyata bahawa ketika mereka bertungkus lumus memperjuangkan isu-isu yang menjadi agenda parti berkenaan, orang lain asyik memperjuangkan agenda peribadi dan kepentingan sendiri, atau kepentingan beberapa kerat manusia sealiran sahaja.

Kerana kemelut inilah, ramai yang berjuang di dalam parti politik dengan ikhlas dan jujur, akhirnya tenggelam dan hilang entah ke mana. Ada pula yang lari meninggalkan gelanggang yang dianggapnya sia-sia itu, surut ke pangkal dan balik kepada kehidupan asal. Ketika ini hidupnya akan menjadi tenang semula, dan nafasnya mulai segar menghirup udara bersih dan nyaman di persada bumi yang luas, tanpa terikat dengan satu persekitaran yang terhad.

Hal ini adalah merupakan perkara biasa di dalam masyarakat manusia yang serba kompleks ini. Manusia dijadikan Allah sebagai makhluk yang berbeza-beza dari segi akal fikiran, perasaan, naluri, kemampuan fizikal, mental dan lain-lain lagi. Oleh itu dalam perjuangan politik melalui parti politik juga, terdapat orang yang sememangnya dilahirkan sebagai ahli politik, maka ia akan berjuang bermati-matian di dalam politik dengan segala daya ketahanan fizikal, mental dan emosional yang amat kental. Maka ia akan dapat berjaya dalam membina watak dan karier politiknya.

Yang menjadi masalahnya, ialah orang yang dilahir atau dibesarkan, ataupun dididik dalam suasana yang berbeza dari orang politik, maka apabila ia cuba menceburkan dirinya di dalam politik, maka ia akan merasa hambatan dan cabaran yang tidak dapat diatasinya. Orang seperti ini kadang-kadang akan menjadi ahli politik separuh masak, yang akan menjadi lalang mengikut ke mana bertiupnya angin dan ribut, atau akan menjadi orang yang hampa dan kecewa, lalu mencari jalan keluar secara terhormat, atau sebaliknya.

Di dalam akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan Ahad lepas, memuatkan sebuah catatan ringkas Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, yang kelihatannya membawa sedikit mesej seperti yang saya ungkapkan di atas. Tetapi saya tidaklah sebenarnya dapat menyelam rasa hati dan niat beliau, terutamanya rintihan yang diluahkannya adalah berdasarkan pengalaman peribadinya yang amat melukakan, iaitu ketika beliau mengalami penyakit yang agak luar biasa selama lima tahun. Oleh itu saya ingin memohon maaf terlebih dahulu, sekiranya kesimpulan yang saya ambil ini, tidak sebenarnya menggambarkan hasrat hati beliau ketika menulis catatan hidupnya yang ringkas semasa mengalami kesakitan di tanah tumpah darahnya.

Kepada Saudara Shahnon, saya harap beliau tidak menganggap tulisan ini terlalu peribadi di antara saya dan dia. Saya mengenali beliau agak lama melalui tulisannya dan hubungan peribadi, terutamanya gambaran desa dan kampung yang sering digambarkan beliau, tidak ubah seperti gambaran kampung saya sendiri. Begitu juga dengan segala pengalaman hidup kampung yang merupakan pengalaman generasi se- angkatan dengan kami.

Ketika Shahnon masih berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM), saya pernah terlibat dengan beliau dalam beberapa peraduan mengarang sebagai pengadil. Satu peraduan yang pernah kami adili ialah peraduan menulis cerpen bertemakan Islam anjuran Pusat Islam Malaysia. Saya juga pernah mengunjungi Pusat Islam USM yang diketuainya dan mengambil bahagian di dalam beberapa perbincangan atau seminar anjuran pusat tersebut.

Dalam bidang penulisan esei, terutamanya mengenai sastera Islam, saya banyak memanfaatkan pandangan beliau dalam definisi, konsep dan teori sastera Islam, yang disebutkan beliau sebagai sastera untuk Allah. Penumpuan beliau sejak itu ialah sastera dan agama, sehingga beliau dapat menghubungkan sastera dengan agama secara yang amat harmoni sekali.

Saya dapat rasakan dari awal lagi, bahawa Shahnon adalah merupakan seorang insan yang dikurniakan Allah dengan bakat seni. Beliau menghasilkan karya sastera yang agung, menguasai gaya penulisan yang menarik dan bersahaja, dan nampaknya beliau dapat meneruskan kerjanya ini dengan amat berjaya sekali.

Berdasarkan hal inilah, saya rasa Shahnon ketika menulis sedikit catatan hidupnya di dalam akhbar tersebut minggu lalu, merasakan seolah-olah telah kehilangan sesuatu ketika beliau tidak lagi dapat menulis. Selama lima tahun beliau menghidap satu penyakit yang tenat, Myasthenia Gravis, beliau terpaksa meletakkan penanya, melupakan kertas dan penselnya, malah merasakan dirinya amat tersisih dan sepi.

Saya dapat merasai perasaan kosong dan hampa yang dialaminya kerana tidak dapat menulis. Orang yang dikurniakan bakat menulis, akan berasa hidupnya kosong dan hampa sekiranya ia tidak menulis. Tetapi selain dari itu, saya dapat juga merasai luka dan sedihnya, kerana satu episod dalam kehidupannya pada pandangan saya, telah melencong agak jauh dari minat dan darah dagingnya yang bersalutkan seni penulisan dan penciptaan karya sastera. Episod itulah yang agaknya membuatkan beliau merintih bahawa ketika beliau sakit, beliau telah disisihkan oleh kawan dan lawan.

Keuzurannya yang memakan masa berbulan dan bertahun, asyik keluar masuk hospital saja, tak mampu lagi bergerak menyebabkan ``dia akan dibiarkan begitu sahaja. Dia terus jadi kera sumbang. Tak ada siapa lagi yang sampai hati hendak mendekatinya. Tak ada lagi yang punya hati hendak bertanya khabar atau memberi salam, bertegur sapa jauh sekali, malah kalau boleh perlu dijauhkan, kerana orang sakit memang tidak berguna lagi.''

Seperti yang saya nyatakan di atas, saya tidaklah dapat menyelami perasaan dan bisik hati Shahnon yang sebenarnya sehingga beliau berasa begitu hampa dan kecewa. Tetapi dari beberapa ungkapan yang beliau tuliskan, ternyata bahawa beliau mungkin sekali menyesali episod hidupnya yang membawanya terlibat dengan perjuangan politik kepartian. Beliau menulis ``Rupa-rupanya bila mana seorang wakil rakyat jatuh sakit, lama-kelamaan dia akan disisih dan dilupakan oleh anggota masyarakat, kawan dan lebih-lebih lagi lawan.'' Dan pada ungkapan lain, beliau mengeluarkan keluhannya tentang dirinya yang disisih dan dilupakan. ``Kalau boleh dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi dalam politik berparti, malah boleh memudaratkan parti pula.''

Bagaimanapun, seperti manusia seluruhnya yang sering belajar dari pengalaman dan jatuh bangunnya dia di dalam pusingan kehidupan dunia yang serba kompleks ini, maka nampaknya Shahnon mulai mendapat ketenangan semula ketika beliau menulis tentang hidupnya di Kampung Banggul Derdap, bahawa, ``Saya lebih tenang di kampung, bercakap dengan bukit-bukau, kerbau lembu, ayam itik, jagung, pisang, ular dan lipan bara.'' Malah beliau dapat merasakan kehidupan yang lebih tinggi dan akrab dengan Tuhan, dengan pengakuannya, ``Namun pengalaman seumpama ini mematangkan lagi makna kehidupan, kerana dalam kesepian dan keseorangan inilah saya dapat menilai diri dan jiwa saya dengan yang Maha Esa, mengenal siapa kawan dan siapa lawan saya.''

Hakikat kehidupan ini memanglah begitu, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, bahawa Allah akan menduga hamba-Nya dengan berbagai-bagai dugaan, dan yang beruntungnya ialah orang-orang yang sabar menerima dugaan itu dan berusaha mencari keredaan Allah di dalam dugaan itu. Oleh itu malapetaka, kekurangan rezeki, kematian dan kehilangan orang yang tersayang, ketakutan dan kelaparan, adalah merupakan dugaan yang sering dihadapi manusia. Hanya manusia yang sabar dan menyedari akan kebesaran pencipta-Nya itulah sahaja yang akan terus tabah menghadapi kehidupan ini dengan lebih tenang dan kuat lagi, dan akan berusaha setabah mungkin untuk mengatasi segala krisis dan dugaan yang dihadapinya.

Shahnon menulis, mengajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi, melibatkan diri dalam perkumpulan agama, memasuki parti politik dan dipilih menjadi wakil rakyat, kemudian jatuh sakit, semuanya ini merupakan episod kehidupan yang dilalui beliau. Pengalaman hidup seperti ini sebenarnya dilalui oleh banyak orang. Tetapi bagi orang lain, mungkin tahap-tahap pengalaman ini agak berbeza daripada Shahnon. Mungkin ramai lagi orang lain yang melalui ombak kehidupan yang lebih bergelora, atau terus hanyut dilambung arus kehidupan keduniaan dan nafsu yang tidak bertepi. Maka yang beruntungnya, ialah orang yang masih ada waktu untuk menyedari diri dan membuka lembaran hidup yang baru, atau menyambung semula babak-babak kehidupannya yang terdahulu, iaitu dengan menyambung semula suapan rezeki kehidupannya ke dalam mulut, setelah terhenti beberapa ketika kerana tersedak atau terbatuk.

Agama mengajar kita supaya sering menyedari akan pusingan roda kehidupan ini. Sekali kita ke atas, dan sekali kita ke bawah, kerana hari dan waktu itu akan digilir-gilirkan di kalangan manusia. Manusia juga dibekalkan Allah dengan bakat, minat, naluri, perasaan, kecenderungan, kebolehan dan sebagainya dalam bentuk yang penuh kepelbagaian. Maka manusia seharusnya memilih bidang kehidupan dan perjuangannya yang sesuai dengan bakat kurniaan Allah dan inspirasi minda dan kemampuannya.

Maka dalam meniti kehidupan yang ber- belit-belit inilah, mungkin kita telah tersalah langkah, lalu memasuki hutan rimba kehidupan yang penuh ranjau dan duri. Ketika itu kita melihatnya dari luar dan mungkin terlalu yakin dengan imaginasi kita, bahawa di dalam rimba itu, terdapat keindahan, kebahagiaan dan sesuatu yang akan dapat memuaskan selera dan perjuangan kita. Rupa-rupanya apabila kita melangkah masuk ke dalam arena itu, kita dikejutkan oleh realiti kehidupan sebenar di dalam hutan belantara itu yang amat jauh berbeza daripada andaian dan ramalan kita dulu.

Saudara Shahnon, saya memang telah lama bercita-cita untuk membaca semula tulisan saudara seperti catatan yang dicoretkan di dalam akhbar tersebut minggu lalu. Cita-cita saya itu terkabul juga akhirnya, kerana saya amat bersetuju dengan pandangan saudara dulu, bahawa tulisan dan sastera Islam adalah berdasarkan hikmah, dan diciptakan kerana Allah. Dan tulisan saudara sependek itu minggu lalu dapat saya rasakan hikmahnya, dan niatnya yang ikhlas untuk Allah.

No comments: