Wednesday, October 10, 2007

Manusia berhubung untuk kebaikan dan bertindak seperti pengganas - Globalisasi positif dan negatif

PENYEBARAN wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di seluruh dunia adalah merupakan kesan globalisasi yang terlaksana di dalam dasar dunia tanpa sempadan, iaitu apabila masyarakat dunia menjadi masyarakat sebuah kampung yang kecil, yang dapat berhubungan di antara satu dengan lain secara mudah dan cepat.

Wabak ini yang bermula di negara China dipindahkan oleh para pekerja dan pelancong ke negara masing-masing sehingga sejauh negara Kanada dan Singapura. Pengangkutan udara yang menggunakan pesawat besar dan canggih, dengan kelajuan yang begitu tinggi dapat memindahkan para penumpangnya dari China ke destinasi masing-masing dalam masa yang singkat. Maka wabak ini pun segera tersebar ke seluruh dunia dalam sekelip mata, tanpa amaran dan persediaan.

Tetapi kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui Internet juga memungkinkan pakar perubatan dari seluruh dunia berhubungan sesama sendiri untuk bertukar maklumat dan kepakaran, terutamanya menghantar maklumat yang berguna tentang bagaimanakah caranya usaha yang seharusnya dilakukan untuk mengatasi masalah dan penyakit yang merebak dengan pantas ini.

Mereka memerlukan kajian dan penyelidikan, dan hasil penemuan kajian inilah yang dapat dibincangkan melalui Internet dan komunikasi canggih yang lain.

Maka segala aktiviti melalui ICT ini juga merupakan satu kesan globalisasi yang amat positif, iaitu perhubungan yang dapat dilakukan dalam sekelip mata, tanpa mengira sempadan negara dunia yang terpisah jauh, tanpa memerlukan pengembaraan pakar-pakar tersebut untuk menemui rakan kepakarannya di negara lain. Sebaliknya hanya dengan menghadap komputer dan berkomunikasi melalui perhubungan elektronik ini, mereka telah dapat bertukar-tukar pengetahuan dan berbincang secara berkesan.

Inilah gambaran globalisasi negatif dan positif yang membawa kesan kepada umat manusia pada hari ini hasil perkembangan teknologi terkini yang termasuk juga di dalam dasar langit terbuka di antara negara-negara dunia yang telah melampaui had sempadan geografi tertentu.

Hal inilah juga yang sebenarnya di perkembang dan dibangunkan di negara kita melalui pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat negara kita tanpa mengira fahaman politik, keturunan dan sebagainya. Semua golongan, termasuk golongan yang menentang pembangunan, juga sering memanfaatkan pembangunan multimedia negara kita untuk menghantar bahan ke luar negara, atau memancarkan tulisan dan akhbar dan sebagainya untuk dibaca oleh seluruh dunia dengan majalah dan akhbar on line yang amat banyak dipergunakan sekarang ini.

Sama halnya dengan penyebaran SARS dan penyebaran maklumat yang berguna tentang penyakit ini dari seluruh dunia, maka nampaknya ICT kita juga sering dipergunakan oleh rakyat kita secara positif dan negatif. Setiap hari, terutamanya ketika wabak SARS merebak, dan sebelum itu ketika pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq sedang berlaku, maka kotak mel elektronik kita dipenuhi oleh bahan-bahan yang berguna, juga bahan-bahan sampah sarap yang tidak memberikan sebarang manfaat. Banyak mel elektronik yang dihantar mengandungi pandangan dan pemikiran yang bernas tentang wabak penyakit tersebut serta peperangan di Iraq. Tetapi sayangnya lebih banyak lagi bahan yang dihantar hanya mengandungi bahan-bahan remeh-temeh dan pengisian yang menggambarkan bahawa penulisnya hanyalah terdiri daripada budak-budak nakal dan tidak berilmu, atau golongan yang mengambil kesempatan untuk mengecam dan menyerang orang lain, terutamanya menyerang dan memaki hamun lawan politik kepartian masing-masing, atau bertujuan menjatuhkan nama baik orang lain tanpa sesuatu tujuan yang murni. Hal ini juga saya melihatnya sebagai elemen negatif dan positif pemikiran rakyat kita dalam proses globalisasi sekarang ini.

Bagaimanapun proses globalisasi yang dimanfaatkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ketika menyerang Iraq adalah merupakan satu dosa besar yang dilakukan oleh negara tersebut dalam merealisasikan konsep globalisasi yang tidak mengira sempadan negara orang lain. Atas nama globalisasi AS dapat menyeberangi sempadan negara mana sahaja untuk menguasai negara dan rakyat negara lain itu seperti yang berlaku ketika mereka menyerang Iraq dan mendudukinya sehingga ke hari ini. Hal yang sama juga yang mungkin akan dilakukan ke atas negara lain lagi selepas Iraq.

Yang amat menyedihkan, atas nama globalisasi juga mereka dapat memasuki negara orang lain untuk membunuh atau menghancurkan sesiapa sahaja yang mereka namakan ``pengganas'' dan ``penzalim'' walaupun serangan itu tidak mengikut tatacara etika dan peradaban dunia serta nilai-nilai moral kemanusiaan sejagat, atau ciri-ciri ketamadunan yang sering mereka dakwa sebagai juaranya.

Mereka dapat membuat keputusan sendiri terlebih dahulu siapakah di antara manusia-manusia di dalam dunia ini yang bertindak ganas, memerintah secara zalim, menindas rakyatnya dan berbagai-bagai alasan lain yang sering mereka rekakan untuk menjustifikasikan tindakan dan serangan mereka.

Dalam kes Iraq umpamanya, mereka telah lama mencanangkan kepada dunia tentang senjata pemusnah dan presiden yang kejam dan zalim. Mereka berusaha menonjolkan imej ini secara besar-besaran di mata dunia, supaya semua orang dapat bersama mereka mengatakan bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah yang amat berbahaya dan boleh mengancam manusia dan negara seluruh dunia, termasuk AS sendiri! Hal ini amat berbahaya, dan Iraq boleh menyebabkan dunia seluruhnya hancur dan musnah, Iraq ada senjata nuklear, senjata pemusnah, senjata biologi yang boleh memusnahkan umat manusia keseluruhannya!

Inilah kempen yang mereka lakukan melalui media mereka, ejen-ejen mereka di seluruh dunia, dan presidennya pun secara yang amat emosional dan penuh lakonan, akan berdiri di depan dunia, mengatakan bahawa inilah bahaya dunia kurun ke-21. Inilah seorang manusia yang berbahaya, yang mengancam dunia dan manusia penduduk dunia, inilah orangnya yang telah membunuh dengan kejam berjuta-juta manusia (padahal mangsanya bukanlah rakyat AS).

Penjajahan baru

Kempen ini kelihatan benar-benar nyata dan realistik, lakonan yang dilakonkannya juga kelihatan amat hidup dan menakutkan, sama seperti filem-filem Hollywood yang dikeluarkan selama ini tentang peperangan, angkasa lepas dan filem-filem sains yang amat mengagumkan itu. Seperti di dalam filem, maka Presiden Bush yang menjadi pelakon utamanya akan dapat berlakon dan memegang watak hero yang amat berkesan dan hidup, lakonannya amat mempengaruhi para penonton, dan akhirnya kejayaan lakonan itu, orang ramai akan mengatakan bahawa hal ini adalah perkara sebenar, dan akan berlaku seperti yang diceritakan di dalam lakonan itu. Iraq memang mempunyai seorang presiden yang mengancam keselamatan manusia lain, dan Iraq mempunyai senjata yang boleh memusnahkan seluruh alam!

Maka akibatnya AS dapat menggunakan alasan demi ``keamanan dunia'' dan untuk ``keselamatan manusia semua'', Iraq mesti di serang. Pemimpinnya mesti dibinasakan atau ditawan, walaupun dalam proses serangan ini AS terang-terangan telah mencabul hak asasi manusia, dan melanggar nilai etika serta peradaban kemanusiaan yang sering mereka bicarakan.

Inilah sebenarnya pelaksanaan konsep globalisasi yang ditaja oleh Barat itu dilakukan dalam dunia global, dunia tanpa sempadan pada hari ini. Kuasa besar dunia itu boleh melakukan apa sahaja atas nama globalisasi, iaitu boleh menjajah seperti yang dilakukan ke atas negara-negara jiran Iraq yang memberikan kerjasama erat mereka untuk Bush bertindak ke atas negara jirannya Iraq, iaitu dengan membenarkan ruang udara dan lautan, tanah dan negara mereka untuk AS berkampung bagi melancarkan serangan membunuh rakyat sebangsa dan seagama dengan mereka.

Apa yang dilakukan oleh AS dengan negara-negara yang bersetuju dengan tindakan kejam mereka itu adalah merupakan sebahagian dari perjanjian global yang mengikat kebanyakan negara tersebut untuk dilindungi dan dijaga kepentingannya oleh kuasa besar dunia iaitu dengan menempatkan askarnya di tanah negara-negara Asia Barat itu di samping menghisap hasil minyak negara -negara yang kaya itu dalam bentuk kerjasama global, yang merupakan nama lain bagi penjajahan baru.

Atas nama pembangunan negara baru yang ``dibebaskan'' ini juga AS dapat menjalankan kuasa penjajahannya ke atas Iraq, iaitu membawa syarikat-syarikatnya untuk menghisap minyak Iraq, menjalankan projek-projek pembinaan semula negara Iraq yang telah musnah di dalam peperangan, memadamkan api yang sedang bernyala di perigi minyak dan berbagai-bagai projek pembangunan Iraq yang memakan belanja yang amat besar.

Perbelanjaan yang besar ini tentulah akan dibayar melalui kekayaan Iraq sendiri sedangkan rakyatnya yang telah ``dibebaskan'' itu akan ketinggalan seperti biasa, malah menambahkan krisis perpecahan yang semakin serius di antara mereka.

AS sendiri akan mendapat faedah untuk mencipta senjata-senjata baru bagi menggantikan senjata lama yang telah digunakan di dalam peperangan ini, dan tentulah kecanggihannya akan mengatasi kecanggihan senjata yang telah dipergunakan itu,

Hal inilah yang berlaku dalam jangka masa 10 tahun campur tangan AS di dalam urusan negara Asia Barat yang menjadi mangsa penjajahan barunya itu, iaitu ketika peperangan Teluk pada tahun 1991, serangan ke atas Afghanistan pada tahun 2001, dan terakhirnya serangan ke atas Iraq yang belum berkesudahan sekarang ini. Dalam masa yang singkat itu, telah tiga kali negara Islam tertipu, dan AS membuat keuntungannya.

Dengan itu nampaknya proses globalisasi telah dipergunakan oleh AS secara yang menguntungkan mereka, dan negara-negara membangun, termasuk negara-negara Islam amat mudah tertipu dengan dakwaan Barat tentang pelaksanaan globalisasi ini. Harap-harapnya rakyat kita juga tidak harus tertipu dengan proses ini, iaitu kita haruslah memahami konsep ini dengan sebaik-baiknya, dan mengambil manfaat dengan secara yang maksimum dari perkembangan terbaru yang dibawa oleh proses globalisasi, khususnya dalam bidang ICT. Kita tidak seharusnya menjadi seperti negara-negara Islam yang terbelenggu dengan kuasa penjajahan AS yang kejam itu.

No comments: