Wednesday, October 10, 2007

Bijak hadapi penentang kerajaan

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


SAYA masih ingat, pada 22 Jun 2004, satu pertemuan bersama antara bahagian keselamatan negara Malaysia dan Thailand, diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Saya mengandaikan, oleh kerana perjumpaan ini untuk memberikan penumpuan lebih khusus kepada isu-isu keagamaan yang menjadi anutan dan penghayatan penduduk Islam di selatan negara jiran kita itu, maka saya dijemput untuk turut sama menganggotai perwakilan Malaysia, di samping wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perbincangan berlangsung di dalam suasana yang penuh mesra dan penuh persefahaman, dengan kedua-dua belah pihak mengutarakan beberapa isu yang dikenal pasti sebagai isu sensitif keagamaan yang membawa keresahan beberapa kalangan penduduk Islam di Thailand, sehingga akhirnya mencetuskan sedikit kekacauan dan konflik berdarah antara penduduk Islam di selatan Thailand dan tentera Thailand sendiri.

Ketika perbincangan ini diadakan, suasana di selatan Thailand agak tegang, berikutan keresahan dan konflik yang berlaku antara rakyat Thailand yang beragama Islam dengan kerajaan Thailand. Malah kerajaan Thailand pada ketika itu telah menyatakan kecenderungan mereka untuk mendapatkan pengalaman Malaysia dalam menangani masyarakat majmuk, khususnya di daerah yang majoritinya adalah rakyat beragama Islam.

Kerajaan Thailand mengetahui bahawa isu agama amat sensitif dan perlu ditangani dengan berhikmah. Mereka juga ingin mengetahui bagaimanakah kita berjaya bertindak dengan baik ketika berhadapan dengan segelintir golongan fanatik agama, terutamanya yang berkembang di sekolah-sekolah agama rakyat.

Perbincangan berakhir setelah sehari suntuk kami berbicara. Malahan majlis itu tidak hanya berhenti pada perbincangan serius itu sahaja, tetapi pada malamnya dilanjutkan dengan majlis makan malam dan pementasan hiburan, dengan para anggota rombongan kedua-dua belah pihak menyaksikan pula bakat terpendam beberapa orang anggota kedua-dua belah pihak mendendangkan lagu klasik yang menjadi lagu suka ramai dan sesuai dengan selera orang Malaysia dan Thailand.

Pada malam itulah rupa-rupanya Jeneral Winai Phattiyakul, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand, yang mengetuai rombongan Thailand, menunjukkan bakatnya mendendangkan beberapa buah lagu Inggeris dengan merdu dan bergaya sekali. Para jeneral dari kedua-dua belah pihak, dan anggota perwakilan masing-masing memberikan sambutan dan tepukan yang amat gempita sekali terhadap bakat ketua rombongan Thailand itu.

Pendeknya acara malam itu, amat menghiburkan hati, melupakan sebentar segala ketegangan yang diceritakan pada siangnya di negara jiran kita itu. Acara hiburan ini meninggalkan kenangan yang manis kepada semua, tambahan pula perbincangan yang telah diadakan pada siangnya, telah menunjukkan kemajuan yang baik dan persefahaman antara kedua-dua belah pihak untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk Islam rakyat Thailand dengan kerajaan mereka.

Amalan

Saya masih ingat juga, ketika perbincangan diadakan, bagaimana ditimbulkan isu kekacauan yang berlaku, yang melibatkan kerosakan kepada sebuah masjid dan mengorbankan beberapa orang pejuang di sekitar masjid tersebut. Kami mendapat kesan, iaitu setelah membangkitkan rasa sensiviti umat Islam terhadap tempat suci ibadatnya, iaitu masjid, yang dirosakkan oleh bedilan senjata, maka mungkin pihak tentera Thailand, akan dapat mengambil iktibar yang baik terhadap isu ini. Kerana itulah kami memperingatkan mereka bahawa tempat suci seperti tempat ibadat haruslah dipelihara dalam keadaan mana sekalipun.

Isu agama dan tempat ibadat, adalah perkara sensitif kepada semua penganut agama, tidak kira Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya. Sekiranya hal ini disentuh, maka ia sudah mencukupi untuk menjadi bunga api yang akan marak dengan hebatnya pada suatu ketika nanti. Maka hal inilah yang ditimbulkan di dalam perjumpaan tersebut, agar dalam situasi bagaimanapun, keadaan ini hendaklah ditangani dengan sebijak-bijaknya oleh mana-mana pihak sekalipun, terutamanya yang melibatkan tentera dan polis, dan melibatkan penggunaan senjata api.

Hal inilah yang dibincangkan di dalam perjumpaan itu, dan saya percaya pihak Thailand amat memahami perkara ini, kerana seperti yang diketahui, majoriti rakyat Thailand adalah terdiri daripada pengikut agama Buddha yang juga amat sensitif dengan agama dan ajaran serta amalan mereka. Malah kita di Malaysia amat prihatin dengan hal ini, sehingga di merata-rata tempat di negara kita, terdapat wat Siam yang berdiri dengan megahnya sebagai lambang keharmonian agama dan semangat toleransi agama yang menjadi amalan kita sejak sekian lama. Di Kelantan sendiri, yang terkenal dengan julukan nama serambi Mekah itu pun, terdapat patung Buddha yang terbesar di negara kita, yang kelihatan amat jelas dari udara bagi penumpang pesawat udara, iaitu sebagai lambang kebebasan beragama.

Satu isu lain yang ditimbulkan dengan agak panjang lebar, ialah isu sekolah agama, sama ada yang didirikan oleh rakyat atau oleh kerajaan. Saya masih ingat juga lagi bagaimana hal ini dibincangkan dengan agak masak, iaitu dengan mengambil peringatan, bahawa sekolah agama adalah merupakan pusat pendidikan yang mesti wujud di dalam masyarakat Islam di mana-mana sahaja. Malah Pattani adalah termasyhur sejak sekian lama dengan pendidikan agamanya yang berwibawa, sehingga ramai sekali para alim ulama dari negara kita yang berkelulusan agama adalah lulusan pusat-pusat pendidikan agama di Pattani.

Apa yang seharusnya dilakukan terhadap pusat-pusat pendidikan agama ini, termasuk sekolah agama, ialah pemantauan dan bantuan yang sebaik-baiknya untuk sekolah itu berkembang dan membangun dengan subur, menjadi tempat pendidikan yang sihat dan mendapat pengiktirafan. Para guru yang sanggup berkorban menyumbangkan tenaga mereka di sekolah tersebut, bangunannya yang serba daif, para pelajarnya yang susah dan miskin, haruslah dibantu dan diberikan perhatian yang serius dari segi kebendaan dan sokongan moral dari kerajaan supaya sekolah dan pusat pendidikan tersebut dapat berfungsi dengan baik bagi mengeluarkan para pelajar yang berilmu pengetahuan dan memupuk inteleknya sebagai rakyat kelas pertama yang taat setia kepada negaranya.

Malah ditimbulkan juga bahawa, pandangan terhadap sekolah agama itu, tidaklah seharusnya berselubung dengan pandangan negatif atau permusuhan, kerana tanggapan yang salah, bahawa sekolah agama itulah yang sering mengeluarkan para pengacau dan pemberontak. Pandangan umum, dan hukuman secara menyeluruh terhadap pusat pendidikan agama secara negatif ini, adalah merupakan satu pandangan yang salah.

Semangat

Memang diakui, bahawa terdapat segelintir para guru dan pelajar sekolah agama ini agak militan dan ekstrem, tetapi sekiranya keseluruhan para guru dan pelajar sekolah agama dianggap sebagai pemberontak, maka keadaan ini amatlah berbahaya. Hal inilah yang kami tegaskan di dalam perjumpaan tersebut, di samping asas-asas kesepaduan kaum yang lain, seperti lebih banyak memberikan peluang pendidikan dan perniagaan kepada orang Islam, membangunkan ekonomi mereka dengan bersungguh-sungguh, dan memberi kebebasan untuk mereka bersuara dalam masyarakat yang demokratik itu.

Itulah hasil perjumpaan yang telah diadakan lebih enam bulan yang lalu. Tetapi rupa-rupanya pada masa-masa yang terakhir ini, keadaan menjadi bertambah serius antara masyarakat Islam dan kerajaan Thailand, sehinggalah membawa kepada peristiwa rusuhan dan tembakan tentera dan perlakuan kejam mereka kepada rakyat Islam yang telah memakan ratusan korban baru-baru ini.

Dalam konteks ini juga, saya menganggap tindakan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang menahan beberapa orang guru sekolah agama, dan menyatakan bahawa beliau akan menangkap ratusan yang lain lagi, sebagai tindakan yang akan memburukkan lagi suasana dalam masyarakat Islam, dan akan membakar semangat dan perasaan rakyat Islam di Thailand. Sekiranya mereka dihukum mati sekalipun, tidak bererti bahawa semangat dan keresahan orang Islam itu akan mati dan berkubur begitu sahaja. Malah tindakan yang berbentuk tindakan askar Amerika ini tidak akan meredakan rasa marah rakyat umum, sebaliknya akan memarakkan lagi rasa benci mereka.

Pengajaran yang diterima oleh tentera Amerika Syarikat di Iraq umpamanya, sepatutnya menjadi iktibar untuk seluruh dunia yang cuba memerangi unsur ganas berdasarkan kekerasan. Keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera akan mengundang lebih banyak tentangan secara kekerasan, walaupun penentang yang ganas itu hanya terdiri daripada segelintir manusia sahaja.

Saya melihat dengan rasa hiba dan insaf, masyarakat Islam di Thailand yang begitu ramai bersembahyang hajat dan berdoa di tempat lapang untuk Allah mengembalikan keamanan di daerah mereka. Mereka yang ramai ini amat bencikan kekerasan dan keganasan, maka kerajaan Thailand seharusnya lebih banyak memberikan perhatian kepada orang-orang yang mahukan perdamaian ini, di samping seharusnya lebih bijak menghadapi segelintir orang yang menentang kerajaan.

Oleh itu saya rasakan, bahawa perjumpaan 22 Jun yang saya sebutkan di atas, dan pengakhirannya yang dirayakan dengan nyanyian para jeneral yang amat menghiburkan itu, mungkin dapat dikaji semula hasilnya, agar banyak pelajaran akan dapat diambil dalam menghadapi situasi yang bergolak di dalam masyarakat Islam di selatan negara jiran kita itu. Dan saya rasa perbincangan seperti inilah yang seharusnya diteruskan di pelbagai peringkat, daripada menuduh Malaysia sebagai pusat latihan para pemberontak itu, seperti yang diheboh-hebohkan baru-baru ini umpamanya.

No comments: