Wednesday, October 10, 2007

Rakyat Iraq wajib berjihad mempertahankan negara dan jiwa mereka - Penceroboh boleh dibunuh

AMERIKA Syarikat dan Britain adalah penceroboh dengan melakukan peperangan ke atas Iraq. Mereka cuba menutup kekejaman dengan menamakan serangan itu sebagai konflik, membebaskan rakyat Iraq dari Saddam Hussein, menghapuskan senjata pemusnah, dan berbagai-bagai nama lain untuk mengabui mata dunia bahawa mereka sebenarnya sedang melakukan pencerobohan. Sebenarnya mereka adalah penceroboh. Mereka memasuki negara orang lain, membunuh, mencedera, meruntuhkan rumah dan bangunan, merosakkan segala kemudahan infrastruktur seperti bekalan air dan api, menyebabkan kesusahan yang amat dahsyat kepada orang, mengucar-ngacirkan ketenteraman dunia, mengganggu ekonomi semua negara dunia, dan berbagai-bagai angkara yang hanya pernah dilakukan oleh para manusia kejam zaman jahiliah yang tidak bertamadun.

Tentang pencerobohan dan kekejaman ini, al-Quran surah al-Baqarah ayat 190 dan 191 menegaskan:

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu temui mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu, dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

Iraq sedang berhadapan dengan penceroboh, maka pencerobohan itu mestilah dimusnahkan. Para penceroboh mestilah dihapuskan, rakyat Iraq wajib berjihad mempertahankan negara dan jiwa mereka dari penceroboh. Iraq bukan penceroboh, kerana mereka bukan melanggar negara orang lain sekarang ini, sebaliknya negara mereka dicerobohi, dan ayat di atas jelas menyatakan bahawa mereka mestilah memerangi penceroboh itu, dan membunuh mereka seperti mana mereka membunuh penduduk Iraq. Penceroboh mestilah diusir seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh penceroboh, iaitu untuk memusnahkan rakyat dan kerajaan Iraq serta mengusir mereka dari negara mereka sendiri.

Perbuatan para penceroboh itu adalah merupakan satu perbuatan fitnah, dalam konteks serangan dan pencerobohan ke atas negara lain dan menyekat kebebasan rakyat Iraq untuk mengendalikan urusan mereka sendiri. Fitnah ini lebih besar angkara dan bahayanya dari peperangan, kerana hal ini merupakan campur tangan dari kuasa asing terhadap sebuah negara lain yang berhak menentukan urusan mereka sendiri.

Fitnah juga bermaksud perbuatan jahat seperti menghasut, melakukan perbuatan jahat, mengganggu ketenteraman awam, menyebabkan kekacauan, dan bertindak mengikut nafsu. Apa yang dilakukan oleh penceroboh itu sejak sekian lama sebelum berlaku pencerobohan ke atas Iraq, adalah merupakan fitnah yang besar, iaitu pakatan yang didorong oleh nafsu syaitan, tanpa bertamadun dan berperikemanusiaan.

Dengan itu sesiapa yang mempunyai rasa ragu-ragu tentang kebenaran firman Allah yang dipetik di atas, maka dalam konteks serangan AS dan Britain ke atas Iraq, ayat itu benar-benar menyatakan satu perintah Allah yang amat tepat untuk dilaksanakan oleh umat Islam ketika mereka dicerobohi. Para orientalis sering menuduh Islam bersikap kejam terhadap bukan Islam berdasarkan tafsiran mereka terhadap ayat tersebut yang ditafsirkan bahawa orang Islam harus membunuh orang kafir di mana-mana sahaja orang kafir itu berada. Pentafsiran ini amatlah menyeleweng, kerana ayat tersebut hanya memerintah orang Islam membunuh para penceroboh yang bertindak membunuh orang Islam terlebih dahulu. Islam mengharuskan pembunuhan atas dasar mempertahankan diri dan akidah, juga mempertahankan harta benda dan rumah tangga serta negara mereka dari dicerobohi.

Allah melarang umat Islam memulakan serangan dan pencerobohan. Allah juga melarang umat Islam bertindak kejam ke atas orang lain yang tidak mencerobohi mereka atau mengusir mereka dari tanah air mereka. Allah juga memerintahkan umat Islam berlaku adil kepada orang lain yang tidak memusuhi mereka disebabkan bahawa orang Islam itu berpegang kepada agama tauhid, iaitu agama Islam. Perhatikan ayat-ayat berikut dari Surah Al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Keadilan yang dituntut Allah ke atas hamba-Nya ialah keadilan berdasarkan perdamaian dan persefahaman di antara umat Islam dengan umat yang lain. Selagi orang Islam tidak dimusuhi kerana mereka beragama Islam, dan selagi mereka tidak dicerobohi dengan cara mengusir mereka dari kampung halaman mereka, yang tentulah termasuk negara dan tanah air mereka, maka orang Islam mestilah berlaku adil dan hidup secara baik dengan orang lain. Tetapi Allah melarang orang Islam berhubungan dan berteman dengan orang-orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam, atau yang mengusir mereka dari kampung halaman, rumah tangga dan negara mereka.

AS dan Britain serta konco-konco mereka termasuk dalam golongan musuh dan penceroboh yang tidak harus dijadikan kawan oleh orang-orang Islam kerana dasarnya yang jelas memusuhi dan menceroboh serta ingin merampas segala kekayaan dan negara Iraq, walaupun mereka sering menafikannya.

Kalaupun diandaikan bahawa kerajaan atau ketua negara yang dicerobohi oleh musuh itu adalah kejam atau zalim, maka hal ini tidak memberikan satu justifikasi untuk kita menolong penceroboh membunuh dan merosakkan serta merampas negara orang lain. Urusan dalaman sesebuah negara seharusnya diselesaikan oleh rakyat negara itu sendiri berdasarkan perhubungan di antara rakyat dengan wali al-amri negara itu. Adalah haram membantu pihak musuh melanggar sebuah negara lain, terutamanya negara Islam, dan lebih-lebih lagi negara jiran sendiri. Rasulullah s.a.w. memberi ingatan kepada kita bahawa sesiapa yang bersubahat dan bekerjasama untuk seseorang itu melakukan kejahatan, maka ia adalah sama seperti orang yang melakukannya.

Menanggung dosa

Maka dalam konteks ini, negara Islam yang membantu AS dan sekutunya adalah sama-sama menanggung dosa. Bantuan itu yang memberikan ruang kepada musuh untuk menyerang negara saudara sendiri dan menggalakkan pencerobohan, kerana mereka seolah-olah dijemput dengan sejambak bunga untuk menyerang negara jiran sendiri. AS dan sekutunya tentulah tidak akan berjaya menyerang Iraq sekiranya negara-negara jirannya tidak memberikan ruang udara dan lautannya kepada musuh, dan tidak memberikan segala kemudahan logistik dan ketenteraan kepada ``teman karib'' mereka itu.

Allah menerangkan bahawa orang yang diserang dan diperangi adalah orang yang dizalimi, dan mereka berhak bertindak balas bagi mempertahankan dirinya. Renungkanlah pengertian ayat 29 dan 30 dari Surah al-Haj:

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (bagi mencapai kemenangan) iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya tanpa berdasarkan alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata `Tuhan kami ialah Allah.'

Sekali lagi Allah menegaskan bahawa penceroboh melakukan kezaliman ke atas orang Islam semata-mata kerana mereka mengakui bahawa Allah adalah Tuhan mereka, dan dengan itu mereka akan diusir dari negara mereka. Ternyata sekali bahawa akidah dan tanah air merupakan dua perkara penting yang seharusnya dipertahankan dengan perjuangan dan jihad yang suci.

Bagaimanapun seperti yang ditegaskan di dalam ayat di atas bahawa Allah berkuasa menolong orang-orang yang dizalimi itu. Allah Maha Kuasa, dan kuasa-Nya itu sering dapat kita rasa dan lihat, termasuk di dalam serangan AS ke atas Iraq ini. Kita sebagai orang yang beriman percaya bahawa kuasa Allah yang berlaku tidak akan ada satu kuasa yang dapat menentangnya. Kita lihat beberapa tanda pertolongan Allah di negara Iraq dan negara jirannya. Pada setiap hari berlaku sesuatu yang bertentangan dengan teknologi senjata dan pengangkutan canggih AS.

Dari hari pertama pencerobohan, berlaku beberapa insiden yang dianggap sebagai kemalangan oleh pihak penceroboh, iaitu helikopter mereka jatuh, helikopter berlanggar sesama sendiri, peluru berpandu menembak pesawat sekutunya, tembak-menembak di antara kawan yang dianggapnya musuh, ribut pasir yang amat besar sehingga mengganggu pergerakan dan teknologi perhubungan mereka, dan hal-hal lain yang tidak kita ketahui. Inilah maksudnya bahawa Allah berkuasa menolong mereka di atas musuhnya.

Berdasarkan kekuatan dan kecanggihan pihak penceroboh, dan kelemahan Iraq, musuh akan mendapat kemenangan pada akhirnya, tetapi kemenangan itu tidaklah semudah yang disangkakan. Peperangan telah menjangkau masa lebih dari sepuluh hari, tetapi musuh masih sesat di dalam gurun padang pasir di tengah-tengah ribut pasir yang diturunkan Allah. Mereka menceroboh negara umat Islam pada hari Khamis malam Jumaat. Serangan ini terang-terang menunjukkan sikap mereka yang biadab dan tidak menghormati umat Islam yang setiap Jumaat menunaikan sembahyang di masjid. Sepatutnya sebagai kuasa yang sering melaung-laungkan dasar hidup bersama secara aman dan dasar menghormati hak asasi manusia sejagat, mereka haruslah menangguhkan serangan supaya umat Islam di Iraq dapat menunaikan sembahyang Jumaat secara aman, tanpa takut dan ngeri. Sumber-sumber Barat sendiri meramalkan bahawa AS akan melancarkan pencerobohannya pada hari Sabtu, kerana hari Jumaat adalah hari mulia umat Islam. Tetapi beginilah dasar penceroboh yang dahagakan darah dan nanah orang yang tidak berdosa, mereka tidak mempunyai prinsip dan tamadun lagi.

Peperangan akan berhenti dan pihak penceroboh akan terpaksa kembali ke negara mereka sekiranya kerajaan Islam bersatu, iaitu negara-negara jiran Iraq tidak membenarkan ruang udara dan perairan, serta negara mereka digunakan oleh musuh. Tetapi akan berlakukah hal ini ketika kerajaan Islam masih bergantung kepada ``tuan-tuan'' mereka untuk menjaga kepentingan masing-masing, dan yang menjadi sumber rezeki mereka? Kita berdoalah semoga Allah terus-menerus memberi pertolongan kepada pihak yang teraniaya.

No comments: