Wednesday, October 10, 2007

Mengeluarkan manusia yang dinamik dan berkualiti - Hala tuju pendidikan Islam

KONSEP pendidikan Islam seperti yang pernah dihayati oleh masyarakat Islam pada zaman kegemilangannya telah dibincang dan dibicarakan dengan mantap oleh para sarjana Islam yang menghadiri Kongres Pendidikan Islam Sedunia yang diadakan di Mekah pada tahun 1977.

Dalam kongres itu telah dibicarakan tentang isu-isu pendidikan Islam bermula dari konsepnya secara menyeluruh, membawa kepada penghasilan buku-buku teks yang baru berasaskan kepada kurikulum bersepadu, dan latihan tenaga pengajar yang benar-benar memahami konsep pendidikan Islam secara sepadu dan memahami psikologi pendidikan terkini.

Kongres itu telah berlalu lebih daripada 20 tahun yang lalu. Bengkel-bengkel susulan yang membincangkan tentang kurikulum, buku teks dan latihan tenaga pengajar pun telah diadakan di beberapa buah negara Islam, yang pada keseluruhannya mengeluarkan banyak idea dan pandangan bertujuan mengungkapkan satu konsep pendidikan Islam yang komprehensif, berfungsi dan mampu menghadapi dunia moden.

Namun begitu, dari segi pelaksanaannya, nampaknya negara kita merupakan satu-satunya negara yang dapat melaksanakannya dan masih bertahan dengan konsep asal yang dihasilkan oleh kongres tersebut lebih 20 tahun yang lalu. Kelahiran idea untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi yang berasaskan resolusi kongres itu timbul pada tahun 1981 dan direalisasikan pada tahun 1983 dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa.

Pendekatan secara tasawur Islam atau world view sebenarnya yang membawa kepada penubuhan universiti tersebut, iaitu melalui konsep penggabungan ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang tidak bertentangan dengan falsafah ajaran Islam sendiri. Maka kita telah dapat menggarap konsep dan tasawur itu sehingga kita dapat menyaksikan gandingan politik dan akademik yang memakan masa dan tenaga yang amat gigih untuk merealisasikan penubuhan pusat pengajian yang unik itu.

Sesungguhnya yang amat penting dalam merealisasikan world view Islam dalam pendidikan ialah kehadiran sistem pendidikan yang dapat menghasilkan produk manusia sesuai dengan objektif sistem tersebut. Bagaimanapun sistem yang canggih sahaja tidak akan membuahkan hasil yang diharap-harapkan sekiranya sistem itu tidak ditangani dengan baik dan tidak dapat diterjemahkan dengan betul oleh manusia-manusia yang diberikan peranan bagi mencapai tujuan dan falsafah pendidikan itu.

Melihat kepada realiti yang kita hadapi sekarang tentang ketidak berkesannya pendidikan agama terhadap pembentukan peribadi dan moral sebahagian pelajar Islam, maka kita mungkin akan bertanya apakah silapnya dan di manakah kepincangan sistem pendidikan kita sekarang? Apakah falsafah dan sistemnya tidak sebaik yang diharapkan? Atau apakah tenaga pengajar yang mengendalikannya tidak berjaya mengambil pendekatan yang lebih berbentuk amali untuk dijiwai oleh para pelajar? Ataukah kerana sebab-sebab lain lagi yang tidak diketahui puncanya?

Kita harus mengakui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan agama yang baik dan sentiasa mengalami perubahan dan peningkatan hasil dari kajian yang dijalankan dari masa ke masa. Namun begitu kita tidak seharusnya berpuas hati, kerana selain daripada sistem pendidikan, program latihan guru-guru dan pembentukan watak serta pandangan mereka juga haruslah diusahakan dengan seberapa daya agar meningkat dan menjadi terbuka sebagai sifatnya orang berilmu dan yang bergelar pendidik.

Kejadian di segelintir sekolah yang dilakukan oleh guru yang tidak bertanggungjawab dengan menyampaikan mesej politik kepartian yang sempit kepada pelajar, atau memberi idea politik semasa yang menanamkan rasa benci pelajar kepada pihak-pihak yang tertentu, semua ini adalah berpunca daripada sikap dan pendekatan guru yang mengalami kepincangan jiwa sebagai pendidik yang bertanggungjawab.

Tugas guru untuk mendidik jiwa raga dan membentuk sikap positif dan memberikan ilmu pengetahuan yang membina kepada pelajar adalah merupakan tanggungjawab dan amanah yang paling besar di atas bahu manusia yang bergelar pendidik itu.

Sebenarnya objektif pendidikan yang berasaskan kepada world view Islam seperti yang kita bicarakan ini adalah merupakan sesuatu yang ideal yang perlu direalisasikan oleh dunia Islam keseluruhannya. Kita mungkin telah memulakannya dengan penubuhan UIA, maka kita haruslah mengembangkannya ke semua peringkat pengajian, mulai dari peringkat rendah, menengah hingga ke peringkat universiti. Malah apa yang telah kita lancarkan dengan penubuhan UIA itu pun perlu dikaji dan diselidiki kembali, apakah sistemnya telah berjalan dengan baik dan benar-benar menuju kepada pengeluaran produk tenaga manusia yang benar-benar berkualiti, berilmu, bersikap terbuka dan memahami peredaran dunia seluruhnya.

Sistem pendidikan

Produknya haruslah istimewa dan agak berbeza pada sesetengah dimensinya daripada produk universiti yang lain, terutama dari segi moral kerohanian dan mentaliti keislamannya, kerana UIA juga ditubuhkan dalam satu acuan yang istimewa, berkonsepkan satu gagasan hasil perahan otak para sarjana Islam sejagat. Ia bukanlah hanya semata-mata satu lagi universiti di antara universiti-universiti lain yang ditubuhkan di negara kita.

Dunia Islam sebenarnya amat memerlukan sistem pendidikan yang cemerlang untuk menghasilkan generasi terpelajar yang cemerlang pada abad baru nanti. Kita seharusnya dapat menjadi negara Islam yang mempunyai sistem pendidikan itu, apalagi melihat kepada usaha gigih kita menubuhkan institusi pendidikan tinggi dan merangka kurikulum pendidikan Islam yang agak baik untuk semua peringkat pengajian kita.

Menyedari hakikat ini, masanya telah tiba untuk kita melihat ke dalam diri kita dan negara kita sendiri untuk membentuk model pendidikan Islam yang dapat menepati wawasan kita sendiri. Kajian dan tinjauan secara serius haruslah dilakukan terhadap institusi-institusi pendidikan Islam di luar negara yang menjadi tumpuan pelajar kita untuk menimba ilmu pengetahuan agamanya selama ini. Apakah pusat-pusat itu benar-benar dapat berfungsi dengan baik untuk mengeluarkan ilmuwan yang sesuai dengan peredaran zaman sekarang yang penuh dengan cabaran baru di bidang ilmu pengetahuan dan pemikiran manusia yang serba canggih ini? Apakah pendekatan dan kaedah pendidikan yang diamalkan di sana akan dapat membentuk ilmuwan yang global sesuai dengan perkembangan semasa dan cabaran baru yang bakal mereka hadapi? Persoalan ini amat penting diberikan jawapan yang jujur dan amanah agar kita benar-benar mengetahui hala tuju anak-anak kita dalam memilih gelanggang pendidikan mereka pada masa yang akan datang.

Bagaimanapun dengan meninjau dan mengkaji hal itu, kita tidak menafikan mutu ilmu pengetahuan pusat-pusat pendidikan agama luar negara, kerana keberkesanannya telah terbukti dengan baik, dan produknya juga amat membanggakan seperti yang dapat dilihat pada masa-masa yang silam. Tetapi persoalannya apakah sesuatu yang baik pada masa silam itu masih boleh dianggap baik pada masa kini? Pendidikan Islam, malah pendidikan dalam bidang apa sekalipun, bukanlah merupakan sesuatu yang statik dan beku, malah pendidikan haruslah mengalami sistem dan kaedah yang sentiasa mengalami peningkatan dan perubahan menuju ke arah yang lebih baik. Pendidikan yang statik dan tidak mengalami perubahan sering melahirkan orang yang jumud dan beku.

Amatlah baik kita merangka pendidikan yang dapat mengeluarkan manusia yang dinamik, berkualiti dan mempunyai world view atau tasawur Islam yang betul tentang kehidupan diri sendiri dan orang lain , dan dalam masa yang sama menjadi elemen kekuatan iman dan moralnya.

Dengan itu amatlah diharapkan bahawa perancangan kerajaan untuk memantapkan sistem pendidikan Islam di negara kita di segala peringkat akan membawa hasil seperti yang diharap-harapkan itu. Di samping itu kajian menyeluruh hendaklah dilakukan semula terhadap mutu dan kewibawaan pendidikan agama di sebahagian besar institusi pendidikan Islam di luar negara, agar pelajar-pelajar di negara kita hanya akan memilih yang terbaik dan berkualiti dari institusi pendidikan agama luar negara untuk menyambung pelajaran mereka.

No comments: