Wednesday, October 10, 2007

Dialog peradaban pemimpin

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
PEMBACA akhbar di negara kita hampir setiap hari dapat membaca berita panas dan sensasi. Berita rasuah yang dilakukan oleh orang-orang ternama, rogol anggota keluarga, kemalangan jalan raya yang berlaku kerana sikap pemandu yang masih tidak berubah, dan yang terakhir isu salah guna mel elektronik melibatkan celebrity negara, serta berita lain yang setiap hari memenuhi media dan ada kalanya amat memalukan kita sendiri. Tetapi bukan berita-berita itu yang hendak saya bicarakan di dalam ruangan ini pada hari ini.

Saya hanya ingin membicarakan tentang beberapa bahan berita yang terbaru. Akhbar Utusan Malaysia terbitan hari Isnin 29 November 2004 telah menyiarkan tiga bahan yang menarik dalam konteks pergolakan dunia Islam dalam hubungannya dengan dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat, yang mengetuai gerakan konfrontasi terhadap negara dan umat Islam.

Bahan pertama ialah kenyataan Yvonne Ridley, wartawan wanita Inggeris yang memeluk agama Islam tahun lalu (2003) setelah berada di dalam tahanan pihak Taliban di Afghanistan selama 10 hari pada bulan September tahun 2001. Beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) adalah satu kuasa yang bertindak sebagai penghancur rakyat Afghanistan. Bagi orang yang bencikan Islam atau tidak faham tentang ajaran Islam, berita beliau memeluk Islam tentulah amat memeranjatkan, kerana orang yang tidak pernah ditawan oleh puak Taliban pun sering memandang negatif kepada golongan Taliban itu, apalagi sekiranya telah menjadi tawanan mereka. Maka logiknya, orang yang ditawan ini tentulah akan berasa benci sebenci-bencinya kepada golongan Taliban itu.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang ditawan dan ditahan pula oleh pihak Taliban selama 10 hari, itu pula yang bertindak memihak kepada golongan yang diburuk-burukkan itu, dan bukan hanya sekadar memihak kepada mereka, tetapi terus menganut agama Islam, dan bangun bercakap pula bagi pihak umat Islam di Afghanistan. Hal ini tentulah amat menakjubkan dan tentunya mengandungi rahsia besar yang mungkin hanya dapat dibuka oleh Ridley sendiri.

Bahan kedua yang disiarkan oleh akhbar tersebut ialah kenyataan beberapa orang tokoh Islam Melayu selatan Thailand yang bertajuk Tokoh Islam bidas Thaksin. Kenyataan ini dibuat sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-10 di Laos, sambil menyatakan pandangan mereka yang menyokong kenyataan Perdana Menteri Malaysia, bahawa membincangkan kekecohan di selatan Thailand bukanlah merupakan satu tindakan mencampuri urusan hal dalaman negara Thailand. Tetapi isu itu adalah merupakan isu kemanusiaan sejagat, yang melibatkan hak asasi dan nyawa orang awam, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Dan hal ini menjadi lebih penting, kerana media Barat dan para pejuang hak asasi manusia antarabangsa yang berat sebelah kepada Barat, tidak terdapat satu pun yang membangkitkan hal ini, atau mempersoalkannya seperti yang pernah mereka lakukan, apabila seorang dua rakyat Yahudi atau AS, atau umat lain yang terguris sedikit anggota badannya, atau tercedera atau maut di tangan orang lain, terutamanya jika hal itu melibatkan umat Islam. Maka ketika itu riuh-rendahlah dunia dengan slogan keadilan dan hak asasi manusia yang akan mereka canangkan, dan bisinglah suara mereka membangkitkan isu pengganas dan keganasan, seolah-olah dunia telah sampai ke penghujungnya.

Kenyataan ketiga dalam akhbar tersebut, ialah dalam bentuk sepucuk surat yang dikirim melalui Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur oleh Alexander Downer, Menteri Luar Australia, yang bertajuk Dialog boleh melawan ekstremisme, iaitu berkaitan dengan dialog antara agama yang akan diadakan di Yokyakarta pada 6 hingga 7 Disember ini. Beliau menyatakan bahawa dengan persefahaman bersama antara beliau dengan Menteri Luar Indonesia, maka dialog antara agama ini diadakan, dengan harapan untuk membina semula jambatan di antara pemeluk agama besar dunia bagi mencari persefahaman dan mewujudkan perdamaian, juga menentang radikalisme dan ekstremisme di dalam masyarakat global sekarang ini. Pada dasarnya dialog seumpama ini sememangnya harus sentiasa disokong, sekiranya perbincangan dan kesimpulan dialog tersebut dapat memberi manfaat kepada para pemimpin dunia yang mahu mengubah pendirian mereka terhadap agama lain.

Pada umumnya, ketiga-tiga kenyataan ini memusatkan kepada satu persoalan pokok, iaitu permusuhan dan tindakan keras yang dilakukan sesama umat manusia hari ini, terutamanya oleh pihak yang berkuasa dalam politik dunia, adalah merupakan satu strategi untuk menghancurkan peradaban umat itu sendiri. Gerakan kekerasan dan pertembungan tamadun secara kasar dan ganas bukanlah caranya untuk membina masyarakat manusia yang berperadaban, apalagi apabila pertembungan itu didasarkan kepada perbezaan agama dan budaya.

Bagaimanapun saya melihat bahawa kenyataan Yvonne Ridley lebih dekat dengan pokok permasalahan dan lebih menggambarkan realiti yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini. AS sebagai satu-satunya kuasa besar di dunia telah mengambil tindakan yang amat tidak bertamadun dan tidak sejajar dengan kemajuan manusia dalam bidang ilmu pengetahuan dan sains teknologi pada hari ini. Kuasa besar itu bertindak dengan sewenang-wenangnya secara yang amat licin, dan berselindung di sebalik slogan perdamaian dan demokrasi untuk melakukan kekerasan kepada negara dan umat manusia lain, sedangkan di sebaliknya AS lebih berminat untuk menghancurkan peradaban lain, termasuk peradaban dan tamadun Islam.

Hal ini menjadi lebih berbahaya kepada umat Islam dan negara Islam, kerana negara-negara lain yang bersekutu dengan AS juga telah mengambil tindakan yang sama, iaitu tindakan konfrontasi dan menindas kehendak rakyat yang dizalimi, seperti yang dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin yang kehilangan jiwa dan negara mereka kepada kuasa asing. Kerajaan Australia dan Britain juga sebenarnya lebih banyak berpihak kepada dasar AS. Dan mungkin kerajaan Thailand juga mengambil sikap yang sama dalam menghadapi rasa gelisah rakyat minoriti mereka.

Maka dengan itu hampir semua tindakan ketika menghadapi kebangkitan rakyat yang berusaha menuntut hak mereka, sering dihadapi dengan tindakan keras dalam bentuk kekejaman ala AS, atau America centric, iaitu dengan menggunakan kekuatan senjata dan tentera untuk melawan tuntutan rakyat yang lemah dan miskin. Semuanya ini dilakukan atas alasan untuk menentang keganasan dan menghancurkan ``para pengganas'' tanpa memberikan sebarang definisi yang sebenarnya tentang makna keganasan dan siapakah pengganas itu.

Maka tindakan kekerasan inilah yang sering menimbulkan kehampaan dan kemarahan yang meluap-luap kepada pihak mangsa, sehingga dengan itu pihak yang tertindas akan bangun melawan secara kekerasan pula, walaupun mereka hanya akan terpaksa bersenjatakan batu-batu kecil, atau meletupkan diri sendiri untuk membunuh beberapa orang lain di sekeliling, yang menjadi sasaran mereka, apatah lagi mereka diharamkan daripada memiliki senjata berat dan kelengkapan tentera seperti yang berlaku di Palestin.

Dengan itu kenyataan Ridley adalah berdasarkan pengalaman dan analisisnya sendiri sebagai seorang yang pernah melihat peristiwa yang berlaku di Afghanistan, dan melihat pula dasar AS yang memerangi negara tersebut dan menghancurkan segala warisan dan budaya rakyat setempat dengan memaksakan rakyat secara langsung atau tidak langsung supaya menghayati budaya dan cara hidup Amerika yang amat asing bagi rakyat negara tersebut.

Secara jelasnya, Ridley membandingkan kehidupan rakyat Afghanistan ketika berada di bawah pimpinan Taliban dengan Afghanistan selepas Taliban, dan ketika negara tersebut masih di bawah pengaruh AS. Tegas beliau bahawa AS tidak berminat membina tamadun dan kemajuan, sebaliknya amat berminat menghancurkan minda dan menghancurkan rakyat Afghanistan.

Sungguhpun banyak pendekatan pemerintahan Taliban yang tidak kita setujui, termasuk daripada pandangan kita sebagai orang Islam, dan juga dari segi kefahaman Islam dalam tasawurnya yang betul, namun begitu kehadiran AS lebih banyak melahirkan kehancuran kepada umat Islam di sana.

Saya percaya, hal yang sama inilah yang sedang dilakukan oleh kerajaan AS kepada rakyat dan negara Iraq sekarang ini, iaitu bertindak menjatuhkan kerajaan yang sedia ada, kemudian atas nama demokrasi dan keamanan dunia, maka mereka akan membangunkan pula negara itu mengikut acuan yang diciptakan oleh mereka, atau proksi mereka sendiri.

Memang rejim Saddam telah bertindak keterlaluan ketika berkuasa. Tetapi pembebasan yang dilakukan oleh AS tidak dilakukan secara beretika dan ikhlas seperti yang didakwanya. Sebaliknya atas dasar untuk menghancurkan budaya dan peradaban umat lainlah, maka AS berjaya mengajak sekutunya bertindak begitu rupa.

Oleh itu isunya, bukanlah isu dialog di antara agama seperti yang diketengahkan oleh Menteri Luar Australia itu. Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri pernah mengetengahkan hal ini atas cadangan Iran tiga empat tahun yang lalu. Tetapi dialog di antara agama tidak akan mencapai hasilnya, sekiranya kepimpinan negara-negara maju dan kuat itu tidak berusaha mengubah dasar luarnya yang lebih berbentuk penjajahan bentuk baru, daripada mencari keamanan sejagat seperti yang mereka dakwa itu.

Ajaran agama sememangnya bermatlamatkan keamanan dan keharmonian antara manusia. Para pemimpin semua agama menegaskan hal ini, menjelaskan segala falsafah dan hikmah ajaran agama yang unggul dan baik itu. Tanyalah Syeikh Al-Azhar, para mufti, Pope yang mengetuai agama Katolik yang berpusat di Vatican, dan ketua-ketua agama Buddha, Hindu, dan lain-lain. Semua mereka akan menegaskan hal yang sama, iaitu manusia haruslah hidup bersama secara aman dan damai, tidak harus berbunuhan atau menumpahkan darah, kerana perbuatan itu adalah melanggar ajaran agama masing-masing. Maka hal inilah juga yang akan dibentangkan di dalam apa sahaja forum atau persidangan dalam bentuk dialog antara agama.

Oleh itu kepimpinan politik sebenarnya yang seharusnya mengadakan dialog peradaban mereka, terutamanya di kalangan AS dan negara-negara Eropah dan dunia Islam, bukan dialog antara agama yang lebih banyak berbentuk kosmetik semata-mata. Merekalah yang seharusnya lebih bersikap ikhlas dan jujur dalam dakwaan mereka yang kononnya berusaha untuk memulihkan keamanan dunia, dan menjadikan dunia ini sebagai tempat yang selamat untuk dihuni seperti yang selalu disebutkan oleh Presiden Bush.

Malah sekiranya para pemimpin agama dunia mengeluarkan ribuan resolusi dan usul untuk keamanan dunia berdasarkan ajaran agama, apakah dunia akan berubah sekiranya para pemimpin besar dunia maju itu tidak rela mengubah dasar luarnya yang bersifat kejam dan zalim itu? Tentulah keadaan tidak akan berubah dengan usul agama, kerana permainan politik kotor itulah yang dengan jelasnya mencorakkan bagaimanakah dunia ini ditadbirkan oleh orang-orang politik itu.

Atas dasar inilah agaknya, Ridley sendiri telah menyatakan hasratnya untuk memasuki bidang politik bagi menyuarakan pandangannya, walaupun segala apa yang diperkatakan oleh beliau, saya percaya, tidak akan diberi perhatian secebis pun oleh media Barat, dan hasratnya untuk berjuang di dalam medan politik tidak akan mendapat sambutan. Tetapi sekurang-kurangnya kita di sini mengetahui juga hakikat yang sebenarnya daripada mulut beliau sendiri, sebagai orang Barat, dan keikhlasan beliau mencari kebenaran itu haruslah disanjung setinggi-tingginya oleh semua kalangan, bukan kerana kita beragama Islam, tetapi kerana kebenarannya dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan di dalam dunia yang kacau-bilau ini.

No comments: