Wednesday, October 10, 2007

Agama bukan mainan di media -- Selesaikan isu yang boleh menjadi bom jangka mengikut saluran lain

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim


Sebuah media on line di negara ini telah menggunakan kebebasan akhbar dengan sebaik-baiknya untuk melaporkan segala peristiwa yang berlaku di negara ini tanpa berat sebelah mengikut pengakuan media tersebut. Hal ini memanglah amat baik, terutamanya ketika sebahagian besar anggota masyarakat dapat berfikir secara terbuka, dan dapat menerima perubahan yang berlaku di dunia global ini.

Bagaimanapun saya merasakan bahawa walau sebebas mana sekali pun kita membicarakan isu-isu bangsa dan negara, tentulah terdapat perkara-perkara sensitif yang memerlukan pertimbangan yang wajar dan teliti ketika perkara-perkara tersebut disentuh di dalam media kita, seperti isu agama.

Bila saya menyebut hal ini, mungkin ada orang yang akan menuduh saya sebagai seorang yang tertutup pemikiran, atau tidak berani membicarakan isu ini secara berterus terang dan terbuka. Tetapi saya sebenarnya bukanlah ingin menjadi seorang yang berat sebelah kepada mana-mana pihak. Cuma saya merasakan bahawa kebebasan kita membicarakan isu agama ini haruslah dilakukan secara yang penuh hikmah dan bijaksana.

Kita tidak perlu berkonfrontasi atau terlalu terbuka sehingga kelihatan berat sebelah. Apabila ada orang yang berat sebelah, maka akan terdapatlah orang lain yang akan menjawab, yang juga akan mengambil sikap berat sebelah. Perdebatan atau perbincangan seperti ini tidak akan berakhir dengan baik dalam forum seperti media ini.

Saya mempunyai pandangan demikian, kerana sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan yang ke-47 telah memperlihatkan kemajuan dalam berbagai-bagai bidang, termasuk di dalam kesatuan pemikiran umum tentang perpaduan bangsa Malaysia. Perpaduan ini diakui sebagai manifestasi toleransi di antara berbagai-bagai kaum dari kepelbagaian agama, dan persefahaman mereka dalam mengamalkan agama masing-masing sejak turun-temurun tanpa banyak mempersoalkan perkara-perkara yang sensitif, dan tanpa mempedulikan sangat hal ehwal urusan dalaman agama orang lain.

Saya percaya bahawa semua pengikut agama yang berbeza-beza di negara kita memahami isu ini dan terus-menerus menghormatinya tanpa banyak ungkit-mengungkit sehingga boleh menimbulkan suasana tegang di kalangan masyarakat berbilang etnik dan agama ini. Rakyat negara kita masih dapat menahan kesabaran dan masih bersikap tenang dalam menghadapi sebarang perasaan tidak puas hati yang dianggap bukan isu fundamental dalam beragama dan dalam mengamalkan ajaran dan nilai agama masing-masing. Mereka bersikap demikian semata-mata kerana menghayati semangat orang Malaysia yang tidak mudah hilang sabar dan mencari perselisihan kerana isu titik bengik.

Hal ini nampaknya rata-rata diakui dan dihayati oleh semua kalangan masyarakat secara sedar dan insaf, malah perayaan tahun ini menyaksikan ketua pembangkang dari DAP menonjolkan semangat kesepaduan mereka dengan pihak kerajaan dalam menghayati perayaan nasional ini. Mereka sendiri mengakui bahawa semangat rakyat pada tahun ini menunjukkan kesepaduan yang lebih erat lagi dalam membangunkan negara yang aman damai ini.

Oleh itu saya rasa isu agama adalah merupakan kunci kepada kesepaduan ini, kerana di antara sekian banyak isu nasional, maka agama adalah merupakan isu yang mungkin paling sensitif. Orang amat tersinggung dan akan bertindak ganas sekiranya hilang kesabaran dengan tindakan provokasi oleh pihak-pihak tertentu terhadap kepercayaan masing-masing.

Kerana hal inilah saya rasa, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah menegaskan ketika ditanya tentang isu ``azan'' tempoh hari, bahawa hal itu bukan lagi menjadi isu, kerana masyarakat negara ini telah pun menerima amalan ini sekian lama, dan tidak perlu lagi dibangkitkan begitu rupa. Rakyat Malaysia mengetahui sempadan dan batasan penerimaan ini, sama ada lambang atau simbol agama dalam bentuk azan, loceng yang dibunyikan ketika waktu-waktu sembahyang bagi pengikut agama tertentu, dan bunyian-bunyian lain yang melambangkan tradisi agama atau budaya para pengikut agama yang berbeza-beza di negara kita ini.

Memanglah kalau mengikut emosi dan sentimen melulu, mungkin terdapat segelintir anggota masyarakat yang resah atau terganggu dengan hal tersebut, dan yang lebih fanatik lagi akan terasa seolah-olah kepercayaannya digugat dan diganggu dengan suara-suara itu. Tetapi hal ini tidak seharusnya dirasakan di negara ini yang telah sekian lama hidup bersama dalam kepelbagaian etnik dan agama.

Malah orang Islam sendiri telah memahami dasar ini daripada pengajaran agama mereka, iaitu berdasarkan sejarah dan teladan kehidupan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ayat-ayat suci al-Quran sendiri yang agak banyak memberikan panduan agar semangat toleransi dan perdamaian ini dapat diamalkan dengan semua keturunan di dalam masyarakat. Satu ayat yang jelas memberi isyarat tentang perkara ini ialah ketika Allah melarang orang-orang yang beriman daripada mencela sembahan orang lain, kerana perbuatan itu mungkin akan menimbulkan reaksi yang sama dari orang lain, iaitu dengan mencela Allah pula.

Maka dalam konteks ini, orang Islam sendiri seharusnya menjaga supaya segala perkataan dan perbuatan mereka tidak menyinggung perasaan, apa lagi kepercayaan orang lain.

Ketika saya masih menjawat jawatan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) tidak lama dulu, saya pernah menerima surat daripada seorang penganut agama Hindu yang tinggal berdekatan dengan sebuah masjid di sebuah taman perumahan di kawasan Petaling Jaya. Penulis surat tersebut mengadu bahawa bapanya sedang sakit kuat, dan ia berasa terganggu dengan suara lantang pita rakaman bacaan ayat suci al-Quran yang dipasang hampir satu jam lamanya sebelum azan subuh. Oleh kerana saya tidak mempunyai kuasa apa-apa, maka saya telah meminta nasihat dan pertolongan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mencari penyelesaian tentang perkara ini.

Pihak JAIS telah menjalankan siasatan, dan mendapati bahawa aduan penulis surat tersebut adalah benar, lalu dinasihatkan pihak masjid tersebut supaya bekerjasama dan mengambil tindakan yang adil.

Akhirnya saya menerima surat sekali lagi daripada penulis tersebut yang menyatakan bahawa pihak masjid berkenaan telah mengambil tindakan memendekkan masa memperdengarkan pita rakaman bacaan al-Quran tersebut sebelum azan subuh, dan amat melegakan perasaannya, kerana hal itu tidak lagi mengganggu bapanya yang sedang sakit.

Saya mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut, bahawa dalam sebarang krisis, atau perasaan tidak puas hati yang berbangkit dari amalan agama, haruslah ditangani dengan baik.

Dengan nasihat dan hikmah pihak yang berkenaan, maka pihak masjid tersebut telah mengambil sikap bertolak ansur yang baik demi kepentingan awam dan demi menghormati perasaan orang bukan Islam yang menjadi jiran masjid tersebut.

Dengan itu, masyarakat lain juga seharusnya memahami batas-batas toleransi yang wujud di kalangan orang Islam, dan mereka seharusnya menghormati batas-batas tersebut supaya toleransi dan perdamaian ini dapat wujud dengan baik di kalangan mereka.

Hal ini memerlukan penjelasan yang secukup-cukupnya di kalangan anggota masyarakat negara kita yang berbilang agama. Malah saya percaya ketua-ketua agama seharusnya menunjukkan teladan yang baik dalam hal ini. Oleh itu saya gembira kerana baru-baru ini telah berlangsung perjumpaan terbesar dunia para ketua agama Kristian di negara kita tanpa sebarang gangguan dan sungutan, malah mendapat restu daripada ketua negara kita sendiri sebagai simbol toleransi agama di negara kita.

Kerana itulah seperti yang saya sebutkan di atas bahawa saya dukacita juga, kerana pada masa-masa yang terakhir ini, media Internet on line itu nampaknya telah membuka satu perdebatan yang agak khusus tentang isu agama di negara kita, sehingga terdapat di antara tulisan-tulisan yang disiarkan telah membicarakan isu ini secara yang agak sinikal dan mengandungi unsur-unsur provokasi di antara para pengikut agama di negara kita.

Memang diakui bahawa setiap orang bebas menyuarakan pandangannya tentang isu ini, termasuk memberikan definisi dan pentafsiran terbaru tentang kedudukan agama Islam di dalam perlembagaan, atau kedudukan agama lain di negara kita ini, tetapi apakah hal ini perlu dilakukan dalam bentuk cabar-mencabar, dan merendah-rendahkan agama orang lain?

Kita harus ingat bahawa kita sebenarnya berada di negara Malaysia. Ukuran yang dibuat berasaskan negara lain sama ada di Barat atau di Timur, tidaklah sebenarnya mencerminkan ukuran menurut ``order'' kita sendiri di negara ini. Amalan kita sekian lama inilah yang menjadikan negara ini aman damai sehingga hari ini. Oleh itu saya merasakan agak keterlaluan bagi media Internet tersebut membuka perbahasan yang meluas tentang isu sensitif mengenai agama ini. Media tersebut tidak seharusnya menyamakan perdebatan tentang isu agama ini dengan isu ekonomi, politik atau bahasa rasmi negara ini yang sebenarnya telah mengalami kemalapan yang besar, tetapi rakyat masih dapat bertolak-ansur kerana isu-isu itu tidaklah sebesar isu agama dari segi sensitivitinya.

Memang diakui, di negara jiran kita yang majoritinya adalah penduduk Islam, telah mengamalkan agama secara yang amat terbuka, sehingga terdapat banyak kes di mana satu keluarga mempunyai anggotanya yang terdiri daripada kepelbagaian pengikut agama. Tetapi makluman yang saya terima dua tiga tahun lalu menyatakan bahawa kehadiran keluarga dalam bentuk itu telah menimbulkan banyak masalah kepada anak-anak, terutamanya dari segi psikologinya yang menjejaskan cara berfikir dan kestabilan emosi anak-anak tersebut dalam menghadapi kehidupannya pada masa depan.

Hal ini mendorong mereka untuk berfikir lebih panjang dalam pembentukan keluarga mereka dari segi pegangan agama di dalam keluarga tersebut, kerana mereka merasakan bahawa masa depan anak-anak mereka adalah lebih penting lagi daripada amalan yang telah mereka amalkan itu.

Malah dari satu sudut yang lain, kita melihat bahawa dasar liberal dari segi ini, tidak juga mewujudkan satu keharmonian yang sewajarnya di dalam masyarakat tersebut dari segi toleransi agamanya. Peristiwa berdarah yang berlaku dan kemusnahan harta benda yang dialami oleh penduduk berbilang agama di beberapa tempat di negara jiran, termasuk pembakaran masjid dan gereja, adalah merupakan tragedi yang amat buruk di dalam sejarah perhubungan kaum dari kepelbagaian agama di rantau tersebut.

Ketegangan ini terus-menerus wujud sehingga menggugat kestabilan masyarakat dan menimbulkan rasa takut di kalangan penduduk tanpa sebarang keuntungan yang dapat dikaut oleh sesiapa pun.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas, bahawa formula perpaduan dan keharmonian rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai etnik dan pengikut agama di negara kita ini haruslah dibentuk mengikut acuan dan order kita sendiri. Kita tidak seharusnya meniru orang lain secara separuh-separuh, sedangkan formula itu sendiri telah terbukti gagal di tempat asalnya.

Kita semua haruslah ingat bahawa isu agama boleh menjadi bom jangka yang boleh meledak dengan hebatnya, dan akan merosakkan segala kestabilan dan kemakmuran yang telah dibina selama ini. Ingatlah pesan dan amaran orang-orang tua kita supaya jangan kita bermain dengan api, kerana api semasa kecil menjadi kawan, tetapi setelah besar menjadi lawan. Oleh itu isu agama tidaklah harus dibangkitkan sewenang-wenangnya. Kita mempunyai banyak saluran lain untuk menyelesaikan isu ini, bukan dengan menggembar-gemburkannya di dalam media.

No comments: