Wednesday, October 10, 2007

Cara mengukur kekuatan Islam

Cetusan Pemikiran Oleh Dr. Ismail Ibrahim
Dengan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri ketiga pada hari ini, maka berakhirlah satu lagi episod yang bergelora dalam sejarah umat Islam tahun ini. Kita telah melalui saat-saat amat genting dalam kehidupan kita dan peristiwa-peristiwa yang amat mencabar dalam sejarah kebangkitan umat Islam sejak beberapa dekad mutakhir.

Satu peristiwa dalam negara yang menyedihkan ialah kehadiran beberapa golongan yang ingin melakukan keganasan untuk menegakkan sebuah negara yang mereka namakan ``negara Islam''.

Gerakan ini yang pada mulanya diragu-ragukan kewujudannya akhirnya ternyata bahawa ia adalah gerakan yang mempunyai motif untuk memperluaskan perjuangan secara kekerasan dalam mencapai cita-cita mereka di seluruh dunia. Kehadiran mereka adalah satu hakikat yang tidak mungkin boleh dinafikan.

Kita tentulah tidak akan berasa amat terperanjat sekiranya gerakan secara kekerasan oleh golongan yang menamakan diri mereka sebagai pejuang, mujahidin dan sebagainya ini berlaku di daerah dan di bawah satu kekuasaan yang menindas dan menafikan hak mereka seperti yang berlaku di Palestin umpamanya.

Rakyat Palestin telah sekian lama bersabar kerana kes mereka tidak pernah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa secara adil, sebaliknya kuasa besar dunia sentiasa menyokong rejim yang menindas mereka. Akhirnya mereka bangkit mengangkat senjata dan melakukan perjuangan dalam bentuk yang amat menyayat hati, seperti gerakan berani mati dengan meletupkan diri sendiri menggunakan bahan letupan bertujuan membunuh sesiapa sahaja yang mereka anggap musuh.

Mereka memang berhak berasa marah dan dalam kemarahan ini akan bertindak melakukan sesuatu sehingga membinasakan diri sendiri. Tambahan pula setelah kezaliman ini berlarutan puluhan tahun, dan kedua-dua belah pihak, iaitu kerajaan Israel dan rakyat Palestin telah terlibat dalam konflik berdarah ini begitu lama.

Tentulah amat sukar bagi mereka untuk kembali seperti asal yang dapat membuka saluran komunikasi secara aman, apalagi untuk mengakui hakikat bahawa mereka adalah jiran tetangga yang seharusnya dapat hidup secara aman dan damai.

Bertindak ganas dan keras dalam memperjuangkan hak adalah satu tindakan semula jadi bagi mereka yang amat terdesak. Sebab itulah kita tidak berasa pelik dengan cara perjuangan mereka itu. Tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia yang aman dan harmoni, yang rakyatnya bebas bersuara dan bertindak dalam batas-batas demokrasi yang menjadi amalan negara itu, malah dapat bergerak cergas dalam politik mengikut lunas-lunas dan peraturan yang dibenarkan, kita tentulah terkejut sekiranya dalam suasana demikian timbul gerakan bawah tanah yang menyusun agenda perjuangan dengan secara kekerasan dan keganasan.

Perjuangan begini tentulah satu perjuangan yang lebih berbentuk sentimen melulu dan terburu-buru.

Ketika saya berada di Mesir pada akhir tahun 1960-an, Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdul Nasir, telah membakar semangat orang Arab dan mengajak mereka, terutama negara-negara yang berjiran dengan Israel, supaya bangun mengangkat senjata dan berjuang membebaskan bumi Palestin daripada pendudukan Yahudi, malah beliau menyeru disapu bersih Israel daripada bumi ini dengan menolak seluruh rakyatnya ke dalam laut.

Maka pada bulan Jun 1967 berlakulah peperangan antara Israel dengan negara-negara jirannya, iaitu Mesir, Jordan dan Syria. Peperangan hanya berlaku selama lima hari, akibatnya Semenanjung Sinai, Bukit Golan dan Baitulmaqdis jatuh ke tangan Israel. Tempat-tempat penting ini, yang sebelum itu berada di bawah kekuasaan Arab, dalam sekelip mata jatuh ke tangan musuh yang hendak disapu bersih ke dalam laut itu.

Walau apa pun yang mendorong negara Arab berperang, dan atas alasan apa sekalipun negara Arab kalah, dan negara Israel menang, namun hakikatnya pembakaran semangat dan emosi yang menimbulkan kemarahan dan cara bertindak tanpa melihat kepada realiti diri sendiri dan tanpa strategi yang baik, akhirnya merugikan diri sendiri.

Pada adatnya jika peperangan itu tidak berlaku, dan jika sekiranya saluran lain dilakukan untuk membangunkan negara Palestin, maka sehingga ke hari ini tentulah bandar suci agama kita yang ketiga itu iaitu Baitulmaqdis masih berada di tangan orang Islam seperti kedudukannya sebelum peperangan Jun 1967. Sebab itulah dalam sebarang perundingan yang diadakan, termasuk kemenangan tentera Mesir dalam perang dengan Israel dalam tahun 1973, Israel tetap berkeras tidak akan berkompromi tentang kekuasaannya ke atas Baitulmaqdis. Kota suci itu tetap menjadi milik Israel, dan umat Islam hanya menggigit jari melihat bagaimana Israel mengambil tindakan dengan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Tanpa analisis mendalam dari sudut disiplin sains politik atau sejarah, saya melihat bahawa peperangan lima hari dalam bulan Jun 1967 merupakan satu peristiwa pahit yang dilakukan tanpa perkiraan yang bijak dalam melihat kekuatan dan kelemahan pihak-pihak terlibat, terutama dalam mempelajari percaturan kuasa-kuasa besar ketika itu, iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Jika kita bertanya murid sekolah sekalipun tentang tujuan mereka bergaduh dan berkelahi, tentu mereka akan menjawab tujuannya ialah untuk mendapat kemenangan.

Inilah jawapan yang bijak daripada mereka yang menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang rasional. Sebab itulah mereka akan lari bertempiaran sekiranya dicabar untuk berkelahi oleh orang yang lebih gagah dan besar badannya kerana pada masa itu mereka mengetahui bahawa jika berlaku perkelahian, mereka akan mudah dikalahkan oleh lawannya yang lebih gagah.

Namun begitu terdapat juga kumpulan yang tidak memikirkan akibat daripada pergaduhan ini.

Mereka tidak lagi menyedari kekuatan sendiri. Kerana mengikut hati yang marah, mereka akan terus berlawan, akhirnya mereka kalah. Mereka melawan dan bergaduh semata-mata kerana hati yang marah, tanpa memikirkan akibatnya sama ada mereka akan menang atau kalah.

Inilah kiasannya bagi peperangan yang berlaku antara Arab dan Israel. Tujuan peperangan memanglah untuk mencapai kemenangan, tetapi apakah telah difikir dan dikaji dengan mendalam sama ada tujuannya akan dapat dicapai atau tidak, iaitu dengan mengukur kekuatan masing-masing dan strategi serta sokongan pihak lain yang bakal berlaku dalam peperangan itu.

Kalau peperangan berlaku semata-mata kerana semangat yang meluap-luap dan api kemarahan yang telah sampai kemuncaknya, peperangan itu memanglah telah mencapai tujuannya. Tetapi dalam keadaan ini, diri sendiri yang menanggung kerugian, dan akibat jangka panjangnya amatlah menyedihkan.

Peristiwa itu telah mengubah keseluruhan sejarah dan kedudukan geografi tanah yang dimiliki oleh bangsa Arab, dan mengubah peta rantau tersebut yang hampir mustahil dapat diubah semula seperti sebelum peristiwa peperangan Jun 1967 itu.

Saya fikir hal inilah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah s.a.w. ketika baginda diutus oleh Allah menjadi rasul-Nya untuk membawa risalah kebenaran di Mekah selepas menerima wahyu pertama. Selama satu dekad baginda diganggu gugat, dihalang daripada menjalankan tugas dan misinya, diperlakukan secara kekasaran, disakiti, dikonfrontasi, dan cuba dipujuk agar baginda menerima sogokan kuasa dan sebagainya supaya baginda menghentikan perjuangannya.

Tetapi baginda menghadapi semua itu dengan penuh diplomasi dan hikmah, penuh hati-hati agar baginda tidak terperangkap dalam jerat yang dipasang oleh musuh, kerana baginda lebih menumpukan perjuangan untuk mencapai matlamat baginda diutuskan, iaitu agar agama Allah yang dibawanya itu berjaya disebarkan untuk semua umat manusia.

Atas sebab itulah baginda mempunyai strategi yang berbeza-beza menurut jangka masa dan proses dakwahnya, iaitu dengan berdakwah secara sembunyi-sembunyi dan kemudiannya secara terang-terangan, berdakwah kepada orang-orang yang hampir dengannya, kemudian baru keluar kepada masyarakat yang lebih terbuka, seterusnya taktik berdakwah di Mekah dan kemudiannya dalam bentuk yang lebih luas setelah menubuhkan kerajaan di Madinah.

Semua ini dilakukan oleh baginda dengan bijaksana, penuh perancangan dan penyusunan strategi yang bijak. Baginda akhirnya berjaya dengan cemerlang menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.

Sejak kebelakangan ini, umat Islam sering dicabar dan dihina. Saya rasa salah satu tujuan musuh Islam ialah untuk mencetuskan kemarahan umat Islam supaya dengan itu umat Islam akan hilang pertimbangan dan kesabaran. Akibatnya umat Islam akan bertindak sesuka hati mengikut emosi dan perasaan.

Perkara inilah yang berlaku di Nigeria baru-baru ini ketika negara itu menganjurkan pertandingan Ratu Cantik Dunia. Pertama untuk mencabar orang-orang Islam dan kedua membangkitkan kemarahan dan emosi orang Islam dengan tulisan yang mengandungi unsur provokasi bahawa Nabi Muhammad jika masih hidup akan bertindak mengahwini salah seorang daripada ratu itu.

Tulisan itu mencetuskan kemarahan orang Islam. Berlakulah pergaduhan dan rusuhan yang mengakibatkan kematian ratusan orang.

Kesimpulan yang hendak saya rumuskan ialah emosi, sentimen, marah dan benci merupakan musuh umat Islam pada hari ini.

Marah dan benci menyebabkan kita hilang pertimbangan. Kerananya segala perjuangan dan kerja kita akan mengalami kegagalan atau akan berakhir dengan pergaduhan sesama umat. Keadaan ini juga menyebabkan kita tidak lagi dapat melihat siapakah musuh kita yang sebenar. Kita menembak ke sasaran yang salah.

Semoga semangat puasa dan Hari Raya yang menuntut kita agar bersabar, bijaksana, bersopan dan beradab, berlaku jujur dan amanah kepada diri sendiri dan orang lain, akan mengajar kita supaya lebih berhikmah dan bijaksana. Kita sendiri haruslah menginsafi bahawa berjuang secara tidak bertamadun dan berhikmah akan menggagalkan seluruh perjuangan umat. Janganlah menjadi kumpulan yang menang sorak kampung tergadai.

No comments: