Wednesday, October 10, 2007

Rakyat Malaysia tolak perkauman dan keagamaan melulu - Agama menyatukan kaum

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM
PENDIRIAN negara kita tentang Islam amatlah konsisten. Sejak dari tahun 1980-an kerajaan memperkenalkan kursus Tamadun Islam untuk semua pelajar di universiti dan rencana penubuhan Universiti Islam Antarabangsa serta beberapa penelitian semula terhadap kurikulum pendidikan agama di sekolah kebangsaan, malah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Kini langkah menyerapkan seberapa banyak pelajar sekolah agama rakyat (SAR) ke dalam arus perdana pendidikan kebangsaan sedang dijalankan dengan giatnya. Semua ini merupakan perubahan yang sentiasa berkembang ke arah meningkatkan pendidikan ilmu pengetahuan agama secara global dan universal di kalangan rakyat negara kita agar dapat memahami dan mempraktikkan Islam secara yang lebih luas dan menyeluruh.

Berbeza dengan sesetengah negara Islam yang lain, agama di negara kita adalah merupakan satu faktor memantapkan pemikiran dan minda umat kita. Orientasi pendidikan agama di negara kita ialah berteraskan ilmu pengetahuan dan intelektual bertujuan membuka minda orang Islam supaya dapat mengintegrasikan pembangunan mereka dengan umat-umat yang lain, dan tidak hanya menjadi jaguh kampung dan ceruk dapur, tetapi menjadi juara di kalangan dunia antarabangsa.

Untuk mencapai tujuan inilah maka tahap-tahap perkembangan pendidikan agama di negara kita sering dan sentiasa sahaja mengalami peningkatan untuk membawa umat Islam di negara kita maju ke hadapan dalam semua aspek kehidupan mereka. Hal ini amat disedari oleh saudara kita orang Islam dari negara luar, sehingga pusat-pusat pengajian tinggi di negara kita kini menyaksikan kemasukan pelajar antarabangsa dengan kadar yang agak tinggi.

Dari sudut yang lain, Islam di negara kita juga merupakan faktor penyatuan dan kestabilan kaum, kestabilan ekonomi dan politik. Di beberapa buah negara Islam yang lain, agama sering menjadi faktor perpecahan dan permusuhan kaum, punca pergaduhan dan ketidakstabilan sosial dan politik. Kerana agama, banyak rakyat di beberapa buah negara yang menjadikannya satu faktor permusuhan dan perpecahan, punca peperangan dan pertumpahan darah.

Tetapi di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum, iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman, dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa di negara kita. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama, diredakan oleh semangat tolak ansur, persefahaman di antara satu kaum dengan kaum yang lain, menghapuskan rasa taksub yang melulu terhadap adat resam dan budaya sendiri sehingga membenci dan mengutuk budaya kaum lain.

Semua ini dapat dilakukan secara beransur-ansur melalui pendidikan secara formal dan tidak formal di negara kita, sehingga generasi selepas merdeka menyedari tentang kepekaan berbagai-bagai kaum tentang kaum dan agama mereka. Maka dengan itu mereka mulai mempelajari dan menghayati semangat toleransi dan persefahaman, serta menghormati sempadan-sempadan pergaulan, percakapan dan amalan dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Inilah sebenarnya rahsia kejayaan negara kita dalam mewujudkan kestabilan sosial dan politik selama ini, dan kehadiran generasi bangsa Malaysia yang memahami di antara satu dengan yang lain, sehingga mewujudkan satu masyarakat yang tolongmenolong dan bantu-membantu untuk negara.

Rakyat Malaysia menolak perasaan perkauman dan keagamaan melulu dan ekstrem. Dalam arena politik umpamanya, rakyat tetap menolak parti-parti politik yang meletakkan platform perjuangan di atas dasar perkauman dan agama yang sempit dan ekstrem. Rakyat lebih mengutamakan parti-parti politik yang mempunyai pendirian dan agenda pembangunan bangsa yang sederhana, berasaskan persefahaman, toleransi dan terbuka dalam semua agenda perjuangannya. Rakyat memahami bahawa perpaduan nasional merupakan objektif utama bangsa, mengatasi perasaan perkauman dan keagamaan melulu. Hal inilah yang dibuktikan oleh majoriti rakyat dalam menterjemahkan undi mereka dalam sepuluh kali pilihan raya umum yang dijalankan di negara kita ini.

Sehingga kini, agama di negara kita merupakan faktor utama pembinaan bangsa, menjadi dasar falsafah pendidikan negara, tercatat sebagai satu rukun dalam Rukun Negara, dan lebih utama lagi, termaktub dalam perlembagaan negara yang memberi pengiktirafan terhadap Islam sebagai agama negara, dan agama-agama lain tetap dilindungi oleh perlembagaan yang sama.

Douglas Bullis yang menjalankan wawancara dengan saya tiga tahun selepas penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), iaitu dalam tahun 1995, telah menulis dalam artikelnya Rediscovering Islam;

``Tidak seperti di negara-negara Barat yang telah menggariskan garis pemisah yang amat ketara dan meletakkan sempadannya yang amat ketat di antara kemajuan sekular dan tradisi agama, para pemimpin Malaysia telah menggunakan pendekatan yang amat berbeza sekali dalam hal ini. Mereka melihat bahawa masa hadapan Malaysia dalam jangka panjang adalah terletak di atas dasar integrasi dan kesepaduan di antara nilai kerohanian dan kebendaan, dan kesepaduan ini haruslah dipupuk di dalam jangka masa yang berdekad-dekad, malah mungkin beberapa generasi yang akan datang'' (Wing of Gold, majalah penerbangan MAS, Mac, 1995).

Sememangnya kita membangunkan agama dalam konteks kesepaduan di antara dunia dan akhirat, kerohanian dan kebendaan. Pembangunan agama yang berdasarkan ilmu dan akal dapat mengawal nafsu dan emosi yang jahat dan melampaui batas. Maka semua penganut agama di negara kita seharusnya dapat memahami konsep kesederhanaan dan toleransi di antara agama berdasarkan kehidupan bersama secara aman dan produktif, bukan beragama untuk tujuan berkonfrontasi dan berusaha untuk menghapuskan para penganut agama lain. Atas dasar inilah Islam sering menyeru umat Islam agar menghormati kebebasan beragama, dan bersikap tolak ansur serta memelihara kehormatan agama dan umat yang lain selagi mereka tidak memusuhi umat Islam kerana agama yang kita anuti.

Penghayatan

Hal inilah yang membezakan penghayatan agama di negara kita dengan sesetengah negara lain, termasuk negara maju di dunia Barat yang amat tidak peka dengan sensitiviti keagamaan rakyatnya yang berbilang agama. Permusuhan yang dicetuskan terhadap penganut Islam dan agama Islam sendiri yang amat marak di dunia Barat dan negara-negara lain pada masa ini adalah merupakan manifestasi kemunduran peradaban negara-negara tersebut.

Dalam konteks negara-negara Islam pula, agama sering menjadi faktor pemecah-belah dan konflik yang berterusan, sehingga menjejaskan kestabilan umat itu sendiri, dan menjalar menjadi faktor ketidakstabilan politik negara-negara berkenaan, malah terdapat di antaranya yang menjadi lebih serius sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan berbunuh-bunuhan sesama umat Islam. Faktor inilah yang kelihatan mulai menumbuhkan bibit-bibitnya di negara kita, iaitu faktor konflik di antara umat Islam kerana perbezaan pandangan tentang Islam, atau perbezaan pentafsiran terhadap sesuatu isu agama sama ada disebabkan oleh ketandusan ilmu pengetahuan atau kerana taksub politik kepartian yang melulu.

Sejak kemasukan Islam ke negara kita, Islam sebenarnya tidak pernah mengalami zaman kebekuan, statik, beku dan tidak bergerak. Islamlah yang menjadi faktor dan sumber inspirasi dan motivasi umat kita, umat Melayu yang menganut agama Islam. Malah Islam yang telah mengarahkan kita kepada satu kehidupan yang maju dan dinamik serta berperadaban. Kita telah menjalani proses itu secara yang meningkat, maka tahap pemikiran dan pembangunan umat kita telah meningkat maju. Perubahan masyarakat kita telah dapat dilihat dengan nyata hasil kedatangan Islam.

Dengan kedatangan Islam, masyarakat Melayu telah meningkat maju dalam berbagai-bagai bidang kerana Islam merupakan sumber ilmu pengetahuan dan inspirasi umat Melayu. Bahasa Melayu yang diperkemaskan oleh Islam dari sudut keilmuan, perbendaharaan kata dan pola pernyataan pemikiran yang jelas, telah menjadi bahasa komunikasi yang mantap di seluruh alam Melayu dan Nusantara.

Kerajaan Melayu Melaka telah mengalami kemajuan yang pesat dan cemerlang dengan kedatangan Islam, sehingga masyarakat Melayu mengalami perubahan sosial dan budaya yang amat ketara dengan pengaruh Islam itu. Melaka yang merupakan pelabuhan perdagangan ketika itu kemudiannya berkembang menjadi pusat kecemerlangan antarabangsa. Tradisi keilmuan dan ketamadunan inilah yang kita harapkan akan terus difahami dan dihayati oleh masyarakat kita terus-menerus, terutama di kalangan generasi muda Melayu yang amat ghairah untuk memahami Islam dalam konteks yang luas dan dinamik.

Namun apa yang berlaku dalam kegawatan kefahaman masyarakat Islam terhadap agamanya di negara kita pada masa kini nampaknya mengundang kebimbangan yang amat sangat, dan memperlihatkan bahawa kefahaman dan kemajuan agama Islam di negara kita pada masa yang akan datang agak gelap atau samar-samar. Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat kita mulai digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam, dan hal ini menjadi bertambah parah kerana agama telah menjadi alat permainan yang amat lumrah untuk memecah-belahkan masyarakat oleh beberapa kalangan yang menangguk di air keruh, atau yang hanya ingin menjaga kepentingan tertentu.

Dalam keadaan ini, ketika orang lain memuja dan memuji kita sebagai sebuah negara dan umat yang maju dan berketerampilan, maka kita sendiri melihatnya sebagai gudang sampah sarap yang tidak berguna. Dengan sikap yang demikian, maka bilakah agaknya umat kita akan bersatu untuk menjana kemajuan kita sebagai umat yang satu, iaitu yang mempunyai satu akidah, satu kiblat, satu kitab suci dan yang pentingnya satu Tuhan, iaitu Allah subhanahu wa taala?

1 comment:

talibramli said...

Saya bersetuju tolak fahaman bangsa.
Tolak keris sebagai lambang perpaduan.Junjungi Al-Quran yang sebenarnya.
Bagaimana keris nak menyatukan ummah.
Islam adalah jalan penyatuan.Bagaimana kalau satu bangsa seislam tapi lambang kaumnya adalah parang?Bagaimana lambang kaumnya adalah lembing?
Jika Al-Quran maka tidak lah satu keturunan kaum itu tidak berpuashati.
Orang Islam yang sebenarnya jika dibacakan kitab Al-Quran maka kecutlah hati dan bersujudlah pada Allah.
Bila kita menjunjung keris adakah mereka akan bersujud?
Melayu bukan diwujudkan kerana keris..di Afrika pun ada melayu..di Indonesia pun ada melayu dan seluruh dunia sebenarnya ada melayu
Tetapi untuk menyatukan mereka adalah Al-Quran dan Islam.